Aku terlalu letih hari ni. Balik saja dari kerja aku terus membaringkan diriku di katil. Sebentar kemudian isteriku membawa secawan kopi masuk ke bilik. Abang nak minum kat sini ke kat luar, tanya isteriku. Letak kat luar la ek, kang abang minum, nak baring kejap je, lengguh badan ni dapat lurus kejap lega sikit, jelas ku yang telentang di katil sambil meluruskan badan dan kakiku. Uhhh.. terasa nikmatnya dapat baring macam ni setelah keletihan bekerja seharian.
Aku benar-benar kepenatan, kerja melambak dan bos aku pula asyik push suruh cepat. Sesekali aku naik angin, tapi apa aku boleh buat, memang dah perangai bos aku macam tu, kalut tak menentu. Kerja aku, aku tau lah nak buat macam mana, lagi pun dah lima belas tahun aku bekerja di syarikat ni, semua di hujung jari ja, tapi aku pelik tengok bos aku tu, tak sudah-sudah dengan kalutnya, takut tak siap ikut masa yang ditetapkan seperti selalu disebut orang dateline gitu.
Sambil berbaring aku dapat mendengar perbualan isteriku di hadapan rumah. Dia berborak dengan kak Ema, jiran sebelah rumah kami. Aku suka mendengar suara isteriku bila bercakap. Dan yang paling aku suka bila dia ketawa, itu pun yang mula buat aku terpikat dengannya masa mula bertemu dulu. Suka betul aku bila dengar dia ketawa, terserlah keriangan dan kemanjaannya bila dia ketawa.
Sesekali, aku terpikir alangkah sempurnanya hidupku di saat ini andai kami dikurniakan anak. Isteriku sangat baik pada ku, malah dia lah penawar dikala aku resah dan susah hati. Gelagatnya boleh buat aku tersenyum dan ceria semula. Namun jauh di sudut hatiku, ujud ruang yang terisi dengan kesepian yang tak dapat dimeriahkan oleh sesiapa jua termasuk isteriku sendiri. Aku teringin mendengar suara anak kecil menjerit-jerit di saat aku pulang kerja, eh ! eh ! ayah dah balik. Aku ingin memeluknya di saat aku berbaring begini. Tentu akan hilang letih ku ini disirami manja dan keletah anak kecil yang berlari datang minta didukung setiap kali aku pulang kerja.
Sudah tiga belas tahun kami berumah tangga, namun bayang menjadi pun belum ada lagi. Puas sudah kami berusaha dengan cara moden dan kampung. Namun semuanya hampa. Ada masanya aku terfikir mungkin inilah cubaan buat diriku. Sebagai eksekutif pemasaran di syarikat multinasional, gaji ku memang lumayan. Berbagai-bagai jenis elaun dan kemudahan pinjaman disediakan. Kehidupan kami pula sederhana tentunya banyak lebihan wang yang dapat kami simpan. Aku memang tidak suka bermewah-mewah. Falsafah ku yang telah pun aku terapkan di pemikiran isteriku, abang suka hidup senang dan beli barang yang berkualiti tapi abang tak mahu ada saudara mara apatah lagi ahli keluarga yang segan silu nak datang rumah kita. Bila dah datang segan silu pula nak duduk di kerusi empuk kita, risaukan anak-anak mereka terlanggar pasu mahal kita. Akhirnya mereka jadi kalut dan tak selesa berada di rumah kita. Beli lah apa kamu nak beli asal saja keluarga kita selesa dan tak canggung berada di rumah kita.
Dalam kesepian tanpa kehadiran zuriat, kedatangan ahli keluarga samada di sebelah aku atau pun isteriku meriangkan suasana rumah ini dan mengubat sedikit rinduku pada kehadiran anak kecil. Cuma aku berasa begitu sayu di saat sendirian begini, terbayang-bayang aku anak kecil berlari datang menerpa ku. Aku sunyi, terlalu sunyi di saat-saat begini.
Ada juga yang mencadangkan agar diambil anak angkat, entahlah aku masih berharap kehadiran kanak-kanak yang wajahnya mirip aku atau isteriku. Sejak akhir-akhir ini pula, aku sering berangan keluar berjalan-jalan ambil angin petang sambil memimpin tangan anak kecil. Tentu seronokkan. Uhh..ada masa aku mengeluh. Aku tetap bersyukur dengan apa yang telah dikurnia Tuhan pada ku dan isteriku cuma mungkin lumrah manusia selagi belum dapat hajat hatinya, selagi itulah dia resah menanti.
Ahh dah sejuk agaknya air yang isteriku buat, aku pun terus bangun ke ruang tamu. Sambil melihat siaran televisyen yang memang sedia terbuka, ku hirup air kopi buatan tangan isteriku itu. Sesekali aku memandang keluar rumah. Di luar terdengar suara kanak-kanak sedang bermain dan berlari-lari. Aku tunduk memandang ke lantai. Tuhan ku apalah kiranya kau kurniakan anak buat kami. Kami kesepian ya Tuhanku. Selalu aku berdoa begitu. Aku tidak putus harap dari rahmat Tuhan ku. Aku percaya, dengan izinnya jua barulah aku bisa memperolehi apa jua hajatku.
Bang bangun, magrib dah ni, tersentak aku bila isteriku menepuk bahuku. Aku tertidur di sofa rupanya. Selepas menghabiskan lebihan kopi sejuk buatan tangan isteriku, aku segera ke bilik air untuk mandi. Aduhh, terlepas lak asar tadi..sesal ku di dalam hati.
Selepas berjemaah magrib bersama isteriku, kami keluar untuk mencari katrij printer yang telah kehabisan sejak semalam. Dengan memandu Chevrolet Aveo yang telah tiga tahun ku beli itu, kami ke bandar walaupun di pekan berhampiran kediaman ku ini ada menjualnya. Saja je, nak round-round ambil angin malam sambil mencari katrij. Lepas membeli katrij dan sedikit barang keperluan dapur, kami berdua terus mencari tempat untuk makan malam.
Di pinggir bandar, di kawasan kediaman itu memang ada gerai makan terbuka yang aku suka. Suasana terbuka dan masakannya pula sesuai dengan tekak ku dan isteriku. Sambil makan mataku dari tadi asyik memerhatikan sebuah keluarga yang sedang makan di meja bertentangan dengan tempat kami duduk. Lapan anaknya, semua masih kanak-kanak lagi. Isterinya bertudung tunduk sahaja sambil makan, tidak memperdulikan anak-anaknya yang sedang bergaduh sambil makan itu. Tergelak aku melihat gelagat anak-anak itu makan. Sempat di curinya lauk dari pinggan kakaknya. Bila kakaknya sedar dah mula mereka bergaduh. Si ayah yang sesekali menunjukkan jarinya memberi isyarat kepada anak-anaknya agar diam dan makan lebih tertib. Suasana memang bising sikit di saat ini. Bunyi kereta dan motor yang sesekali lalu dicampur pula suara anak-anak itu yang tidak tahu makan sambil diam. Ada saja yang mengusik. Sekali ayahnya mengangkat muka, semua diam, lepas tu bising balik. Seperti si isteri, ayahnya juga seperti malas nak layan sangat dan membiarkan sahaja anak-anaknya dengan keletah masing-masing. Tak larat agaknya nak layan, tegur pun kejap je diam, lepas tu bising semula. Tersenggeh sendirian aku memerhatikan mereka. Ku lihat ayahnya begitu macho, tidak seperti aku yang tidak punya rakyat sendiri. Terasa sayu juga di hati melihat keriangan keluarga mereka tu.
He he meriah betul keluarga mereka tu, bisik hatiku. Aku memang tidak pernah berbicara tentang anak-anak kecil dengan isteriku. Aku tidak mahu dia bersedih hati dan merasa rendah diri. Maklumlah, dia seorang perempuan, dan ketidakmampuannya melahirkan anak tentu buat dirinya sedih apatah lagi bila melihat aku yang kepingin sangat untuk beranak pinak. Aku sayang sangat isteriku, lagi pun akal warasku dapat memikirkan hakikat kehidupan ini.
Semua yang berlaku ini bukan salahnya. Apalah daya dirinya jika telah ditakdirkan dia tidak berkemampuan. Aku juga ada kelemahan diriku sendiri. Awal-awal dulu, isteriku selalu bersedih dan gundah gulana sebaik sahaja keputusan ujian doktor mendapati dia memang tidak dapat melahirkan zuriat. Ibarat pohon kepaya yang subur, menghijau berkilat pelepahnya, daunnya pula cantik melentik tapi tidak berbuah, tentu akan ditebang orang akhirnya. Mungkin itulah juga sebahagian dari punca kerisauan isteriku disaat itu. Namun selepas puas ku pujuk dan memberi kepastian kepadanya, kini dia biasa sahaja. Lebih berkeyakinan untuk terus membahagiakan diriku dan menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Memang aku boleh berkahwin lain. Tapi aku selalu berfikir, kenapa harus aku susahkan hati isteriku yang sedang susah itu akibat keputusan doktor yang tidak memihak kepada harapannya. Lagi pun aku fikir zalim lah aku jika menghukum isteriku dengan sesuatu yang di luar dari daya dan kemampuannya. Hidup, mati, rezeki dan zuriat semuanya kan dalam ketentuan Tuhan. Belas hatiku setiap kali melihat dia tunduk bila ada yang bertanya, anak berapa sekarang ni. Dia terlalu baik untuk aku kecewakan. Lagi pun jika tidak aku yang menyenangkan hatinya , siapa lagi di saat kekecewaan melanda dirinya disebabkan ketidakmampuannya itu.
Rupa-rupanya sedari tadi isteriku memerhatikan aku yang sedang melihat anak-anak kecil di depan kami yang sedang makan itu. Aku memandang isteriku sambil tersenyum. Jom balik, dah lewat ni, aku bersuara sebelum isteriku memulakan tajuk perbualan yang pastinya tentang kesedihannya yang tidak dapat melahirkan anak buat ku. Tentu dia akan berkata, abang kawinlah, yah tak kesah, betul ni. He he aku tahu itu bukan lah kata-kata ikhlas dari seorang wanita yang standardnya macam isteriku ini. Kalau wali yang cakap macam tu aku percaya lah. Emm mana ada wanita yang rela di madukan. Jom lah balik, abang dah mula nak ngantuk ni.
Kami pun pulang dalam deram derum suara di langit. Nak hujan agaknya, aku memecah kesenyapan di dalam kereta. Dari mula bergerak tadi, isteri ku tidak berkata sepatah pun. Aku pula asyik memandu. Pemandu motor kelihatan lebih laju dari biasa, ada yang memotong dari kiri dan kanan. Maklumlah semua nak cepat takut hujan turun.
Abang kawin la, saya ikhlas. Seperti aku dah agak, pasti isteriku akan mengulangi kata-kata itu. Aku mencubit pipinya dan aku besarkan suara radio. I love you. Itu sahaja yang aku dapat ucapkan. Aku terus memandu pulang sambil isteriku melentokkan kepala nya di bahuku.
Aku tetap tidak putus harap dari rahmat Mu Tuhan. Andai baik buatku di sisiMu untuk aku dikurniakan zuriat, kau mudahkanlah jalannya, jika tidak aku redha, kau kuatkanlah hatiku dan hati isteriku dengan cobaan mu ini. amiin.
Doa ku buat aku dan isteriku, dua batang kara ini.
Hujan turun dengan lebatnya, jom tido, aku tersenyum mencuit isteriku yang sedang menutup pintu.
1, 2, 3, 4 oleh Aris Ariwatan