Showing posts with label pecat. Show all posts
Showing posts with label pecat. Show all posts

Wednesday, September 9, 2015

JANGAN BERBURUK SANGKA DENGAN PRESIDEN, MKT – AHMAD ZAHID

Apabila Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersuara tidak akan ada yang akan ‘menghangatkan’ mesyuarat Majlis Tertinngi (MT) UMNO hari ini,  maka kita yakin dengan kata-kata beliau itu.

Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, menegaskan semalam, beliau tidak dimaklumkan mengenai ada rancangan pemecatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

Berikutan itu, beliau tidak mahu orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, isu kemungkinan pemimpin UMNO dipecat dari UMNO kerana kesalahan disiplin parti, turut disangkal beberapa pemimpin UMNO termasuk oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun ramai yang ragu-ragu dengan kenyataan Hishamuddin itu.
 
Anggota MT Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula ketika dihubungi Malaysiakini senada dengan rakan sejawatnya itu.
“Setahu saya mesyuarat biasa. Setakat yang saya tahu, saya yakin tidak ada (pemecatan),” katanya.
Malah kata-kata Ketua Penerangan UMNO  Datuk Ahmad Maslan yang yakin hanya perkara baik sahaja yang akan berlaku pada mesyuarat hari ini hendaklah diterima dengan tangan terbuka.

Beliau yakin mesyuarat mesyuarat MT itu akan berlangsung tanpa sebarang masalah walaupun ia akan dihadiri para anggota MT UMNO yang digugurkan daripada Kabinet baru-baru ini.

Dengan kata lain tidak akan ada yang hangat hari ini.

Baginya,  wujud keperluan bagi mengukuhkan UMNO secara dalaman dengan menjelaskan kepada para anggota parti berhubung isu-isu semasa.

"Saya yakin mereka semua akan hadir esok. Ia tidak menjadi masalah kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden UMNO), Datuk Seri Shafie Apdal (Naib Presiden UMNO) dan Datuk Seri Hasan Malek (anggota Majlis Tertinggi UMNO) masih mempunyai jawatan yang penting dalam UMNO.

"Kami sebagai satu keluarga UMNO, kami tahu bagaimana menyelesaikan masalah kami dan saya yakin perkara yang baik sahaja yang akan berlaku esok (hari ini)," katanya semalam.

Dr Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata isu pemecatan itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti.

"Saya tidak dimaklumkan (mengenai pemecatan) dan ia (parti) tidak pernah bincang tentang adanya pemecatan ini. Maka, janganlah berburuk sangka dan melakukan spekulasi berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat yang pertama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang percaya tiada pemimpin kanan parti akan dipecat daripada parti pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam satu sidang media semalam berkata :"Saya 100 peratus yakin tiada pemimpin kanan parti akan dipecat esok (hari ini)".

Ketika ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku peralihan dalam kepimpinan UMNO, Ahmad Zahid membayangkan bahawa tiada usaha ke arah itu berlaku sekarang.

Menyentuh mengenai mesyuarat Biro Politik UMNO semalam, Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana selaku presiden parti beliau juga merupakan pengerusi biro berkenaan.

Sehubungan itu Ahmad Zahid menjelaskan, tidak wujud isu Najib, yang juga Perdana Menteri, telah mengambil alih tugas pengerusi biro daripada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ahmad Maslan berkata pemimpin UMNO perlu terus setia dan komited mengukuhkan parti kerana UMNO hanya boleh dimusnahkan dari dalam.

Berkaitan isu ini,  Dr Ahmad Zahid meminta semua pihak tidak berburuk sangka dan membuat spekulasi kononnya akan berlaku pemecatan dalam UMNO khususnya membabitkan barisan anggota Majlis Tertinggi.

Tuesday, September 8, 2015

PECAT PEMIMPIN - PRESIDEN, ANGGOTA MAJLIS TERTINGGI UMNO ADA BERANI?


Ramai menunggu tarikh 9 September 2015, Apakah ia tarikh keramat?

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ditunggu berikutan ramalan akan berlaku sesuatu yang akan menentukan masa hadapan UMNO.

Jangan marah jika ada yang percaya bahawa tujuh pemimpin UMNO akan dipecat esok. Kalau pun tidak dipecat, dikhabarkan mereka akan’digantung keahlian’.

Jika benar, apa kesnya? Sekadar menyanggah pendapat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri?

Apakah ini melanggar perlembagaan atau peraturan parti?

Apakah ini salah laku yang besar?

Mereka menuntut jawapan atas perkara tertentu dan memberikan ‘secong opinion’ sahaja. Salahkah walaupun UMNO mengamalkan demokrasi dalam berparti?

Bukan sahaja sms bertalu-talu datang, FB berulang-ulang memperkatakannya malah, beberapa blog yang rapat dengan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut memperkatakanya.

Malah beberapa pemimpin UMNO turut memberikan pendapat yang kebanyakannya bimbang jika langkah itu benar-benar diambil.

Juga jangan marah, berkaitan isu ini jika ada pelbagai spekulasi kerana politik hari ini dipenuhi dengan 'ramalan pak nujum' di alam maya, lebih-lebih lagi bagi yang bimbang dengan senario politik semasa.

Kebimbangan utama ialah isu kehilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Ada berani Presiden dan ahli Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan seperti yang dispekulasikan?

Hari ini, Bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid meningatkan Umno akan bertambah lemah sekiranya spekulasi pemecatan timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti Datuk Seri Shafie Apdal menjadi kenyataan esok.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkata keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya perkara berkenaan benar-benar berlaku.
"Umno akan menjadi bertambah lemah kerana setiap tokoh mempunyai pengikut, penyokong, sahabat dan saudara mara," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
"Apatah lagi pemecatan itu, jika berlaku, adalah kerana perbezaan pendapat. Bererti yang tinggal hanya 'yes man',” katanya.

"Semuanya bergantung kepada spekulasi kepentingan dan pemikiran sekitar rancangan pewarisan kepimpinan," katanya.
Sekiranya benar ada pemecatan yang berlaku dalam masa terdekat ini, Sanusi berkata pemimpin Umno tidak berfikir panjang dalam membuat keputusan.
Sebelum ini,  beberapa blog umpamanya Agendadaily turut menarik perhatiaan apabila mengatakan: "Terbaru paling hangat ialah penyebaran di media sosial senarai tujuh orang pemimpin UMNO konon akan dipecat pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan pada Rabu,9 September ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya diadakan pada 31 Julai lalu.Namun ia dibatalkan  kerana dikatakan untuk sejukan keadaan selepas rombakan kabinet dibuat.
Macam mana senarai yang disebar tak jadi panas.Ia membariskan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO,Shafie Naib Presiden dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru,Datuk Aziz Sheikh Fadzir,Ketua UMNO Bahagian Kemaman,Datuk Ahmad Said,bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO,Datuk Hamidah Osman dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar,Sabah,Datuk Jumat Idris.

Jika betul bagai disebar UMNO/BN akan kehilangan empat kerusi Parlimen yakni Muhyiddin di Pagoh,Johor ,Shafie di Semporna,Sabah,Aziz di Kulim Bandar Bharu,Kedah dan Jumaat di Sepanggar,Sabah

Dua kawasan Dewan Undangan Negeri pula Ahmad Said di Kemaman,Terengganu dan Mukhriz di Air Hitam,Kedah.'

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menepis khabar angin dengan mengatakan khabar angin yang tidak berasas.

"Jika ada pihak tertentu yang mahu terus percaya khabar angin berkenaan, terpulanglah tapi saya sendiri pun masih tidak tahu apa agenda mesyuarat ( Majkis Tertinggi UNNO )  itu nanti."

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil pula ingatkan ahli UMNO tidak terpengaruh dengan penyebaran senarai seumpama itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri MukhrizMahathir  pula tidak bimbang dengan khabar angin bahawa beliau akan dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno. 

Pada April lalu, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata Mukhriz perlu meletakkan jawatan jika beliau tidak boleh secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.

Wednesday, December 3, 2008

ZAID IBRAHIM - RAMALANKU BENAR BELAKA

Ramalan saya bahawa Datuk Zahid Ibrahim akan dipecat daripada UMNO pada Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO malam semalam, tepat.

Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Saya mendapat berita bahawa Zaid akan dipecat daripada sumber di Jakarta dan kini keputusan sudah dibuat.

Sabtu lepas, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Zaid kini berada sebaris dengan mereka yang pernah dipecat UMNO seperti bekas Menteri Kabinet zaman Tunku Abdul Rahman, Abdul Aziz Ishak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Harun Idris, Zaharin Mohd Yassin dan beberapa ahli lain yang kurang popular.

Mohd Sayuti Omar melalui blognya msomelayu, berkata ketika MT sedang mengadakan mesyuarat bermula jam 9:00 malam beliau sedang bersama Zaid dalam satu siri pertemuan khas dengan bekas Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut Sayuti, ketika pertemuan itu Zaid sudah membayangkan tindakan akan bakal dikenakaan ke atasnya. "Tetapi terus terang saya jelaskan kepada you saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya, sambil menambah; "saya hairan kenapa ada pemimpin Umno mempersoalkan tindakan saya, padahal siapalah saya," begitulah katanya.

Katanya, tindakan itu mungkin tidak mengejutkan bekas Menteri berkenaan kerana beliau sudah dapat membayangkan apa yang berlaku apabila beberapa hari ini ramai pemimpin Umno memperkatakan dan mempertikaikan mengenai tindakannya mengadakan pendekatan politik dengan pembangkang.

Selepas bertemu Zaid, Sayuti kemudian bersama saya di The Mall seketika sebelum kami beredar ke Coffee House Puteri Pacific. Ramai kawan-kawan berada di coffee house sementara menunggu berakhirnya mesyuarat berkenaan.

Selain isu Zaid, isu lain yang diperkatakan hangat kini ialah pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Dalam kami berbual-bual, muncul Tan Sri Annuar Musa bersama beberapa yang lain seperti Datuk Norza Zakaria serta juga Datuk Ikmal Hisham. Annuar singgah sebentar di meja kami sebelum berbincang dengan Norza.

Sebelum itu saya sempat bertanya apakah Zaid dipecat, Annuar tersenyum dan mengangguk tanpa mengulas panjang.

Saya tidak berapa ingat siapa lagi dipecat daripada UMNO tetapi yang pasti Aziz Ishak dipecat selepas beliau berhenti daripada Kabinet pada tahun 1963 selepas tidak bersetuju dengan Tunku dan bertelingkah dengan rakan Kabinet lain apabila ditukarkan ke Kementerian Kesihatan.

Dr Mahathir pula dipecat pada 12 Julai 1969 berikutan tersebarnya surat beliau kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri waktu itu. Surat itu mengkritik cara Tunku Abdul Rahman menguruskan negara yang dikatakan memberikan kelebihan kepada orang Cina.

Sementara Datuk Harun dipecat dari UMNO pada 1976 kerana tuduhan rasuah.
Terbaru sebelum Zaid yang dipecat ialah “Sang Kelembai’ blogger yang mengkritik keras kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29hb September 2006 atas dakwaan bahawa telah melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli Umno iaitu berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan parti Umno di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej dan nama baik parti.

Menurut Sayuti dalam blogspotnya, apabila ditanya apakah beliau akan menyesal jika beliau diambil tindakan dipecat daripada parti berkenaan, Zaid menjelaskan; "Mungkin untuk saya kata mujur dengan tindakan itu tidak boleh, tetapi yang jelasnya saya tidak merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam semalam Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

"Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata keputusan untuk memecat Zaid daripada Umno adalah berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti.

"Keputusan yang kami ambil adalah berdasarkan prinsip. Dalam Umno dari dulu lagi kami ikut garis panduan dalam parti. Apabila kita melanggari garis panduan parti, kita mesti berdepan tindakan disiplin yang biasa," kata Muhammad kepada pemberita selepas mesyuarat MT itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan terhadap Zaid dicapai sebulat suara.