Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Tuesday, May 22, 2018

ROYALTI – PAS JANGAN BERSIKAP ‘LEBIH SUDU DARIPADA KUAH’



Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad mudah lupa atau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu mengambil hati Perdana Menteri - tidaklah dapat dipastikan.

Tetapi yang dapat dipastikan ialah Perdana Menteri pada pertemuan peribadi atau berkumpulan sama ada di Putrajaya atau di Terengganu sebelum ini, tidak pernah menyatakan jika ada royalti minyak untuk kerajaan Terengganu, ia  boleh melebihi 10 peratus.

Malah dalam membentuk Manifesto HARAPAN, Dr Mahathir meminta supaya jangan diletakkan persen atau peratus dalam tuntutan royalti. Perkataan lebih sesuai ialah ‘value equivalent’ atau nilai setimpal.

Maknanya ialah royalti akan dibayar mengikut harga petroleum semasa.

Berikutan itu dengan permintaan HARAPAN Terengganu untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat - menggunakan royalti sebanyak 10 peratus bukan value equivalent - bagi memudahkan rakyat memahami dipersetujui oleh HARAPAN Pusat bahawa 10 peratus adalah nilai paling baik untuk tuntutan royalti di Terengganu.

Jadi persoalannya ialah apakah Timbalan Presiden PAS itu mahu menunjukkan bahawa Dr Mahathir lupa dan ‘nyanyuk’ apabila dipetik sebagai berkata royalti minyak untuk negeri pembangkang – termasuk Terengganu akan dibayar sebanyak  20 peratus?

Sebagai rakyat Terengganu bodohlah saya kalau menolak jika benar Kerajaan Pusat dan Petronas bersedia membayar 20 peratus.

Dr Mahathir pernah menjelaskan dalam pertemuan peribadi dengan beliau di Yayasan Perdana sebelum ini bahawa Putrajaya dan Petronas tidak mampu untuk berbuat sebanyak itu.

Jadi sedikit pelik apabila Timbalan Presiden PAS berkata pada 20 Mei lalu bahawa “Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyambut baik dan penuh syukur di atas kesediaan Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia untuk meneruskan pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus sebagaimana kenyataannya yang terbaru.”

Di manakah Perdana Menteri membuat kenyataan kesediaan untuk memberikan royalty sehingga 20 peratus?

Malah, menurut Tuan Ibrahim, persetujuan itu selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU14 lepas dan disahkan oleh Dr Mahathir..

“Dengan kesediaan YAB Tun M ini, PAS berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu tidak lagi diikuti,” kata beliau.

Bagi PAS, kesediaan (kononnya) terbaharu daripada Dr Mahathir  itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas PRU14.

Persoalannya, apakah hanya kerana ‘dapat royalti minyak sebanyak 20 peratus’ baharu PAS merasakan akan wujud hubungan baru antara kerajaan negeri pimpinan Pusat dengan Putrajaya.

Sedangkan hakikatnya, banyak lagi projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksana memerlukan tumpuan Putrajaya dan jika sebaliknya, mungkin projek-projek itu akan tergendala atau dibatalkan terus.


Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kerajaan Posit sejauh sudah menghormati Konsep Federalisme, berlapang dada dan tidak pernah menghukum Terengganu, gara-gara penarikan bayaran royalti dahulu.

Ia bersebab dan nyata, gara-gara kehilangan RM432 juta ketika pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Putrajaya tidak lupa kepada semua peruntukan-peruntukan perkapita lain yang layak diterima oleh Kelantan dan Terengganu.

Malah, PAS sewajarnya tidak terlalu menekan bagaikan  ‘terlebih sudu daripada kuah’ dalam projek-projek sedia ada dan telah  diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke-11.

Ini termasuk LPT3, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuhraya jajaran tengah (Central Spine Road) dan juga projek keretapi Pantai Timur (ECRL).

Kerajaan Pusat, sesuai dengan Manifesto HARAPAN, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk ditunaikan termasuk kajian semula terhadap ECRL.

Jadi, PAS tidak sewajarnya terlalu ‘laju untuk menasihat atau mencabar Putrajaya’ walaupun dengan kata-kata manis dan pujukan seperti projek ECRL yang kononnya bagi PAS tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat.

Jangan cuba menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Pusat tidak mengamalkan prinsip dan amalan menghormati konsep demokrasi dan Federalisme kerana Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kini mewakili parti berbagai kaum dan fahaman tahu menilai dan menghormati pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan  yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Kita berharap PAS bersabar dan pastinya Putrajaya tidaklah begitu teruk dan zalkim sehingga sanggup untuk mengenepikan peruntukan yang perlu disalurkan  mengikut sistem dan undang-undang sedia ada.

Monday, February 19, 2018

‘PAS + AMANAH’ BANTU BARISAN NASIONAL/UMNO MENANG???



Pertelingkahan PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH ) tidak akan menguntungkan kedua-dua parti.

Malah, mungkin perang mulut secara terbuka yang berterusan antara pemimpin PAS dan AMANAH akan menyebabkan parti serpihan PASitu  menerima akibat lebih buruk di Terengganu  dan Kelantan, berbanding PAS.

Selepas  melabelkan pemimpin AMANAH  sebagai ;pengkhianat’ kini PAS menganggap AMANAH memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu.

Paling membimbangkan, PAN didakwa  memberi talian hayat kepada UMNO.

Benarkah AMANAH membantu UMNO?

Jika menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, AMANAH  mahu masuk pertandingan pilihan raya BUKAN untuk lawan UMNO kerana mereka sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

Abdul Hadi mendakwa AMANAH membuat keputusan itu adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.


Jawapan kepada apa yang ditimbulkan oleh Abdul Hadi, ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat, semuanya ini ekoran pendirian parti diterajui Abdul Hadi– PAS - sudah berubah.

“Kami (AMANAH) sibuk di situ sebab parti Pak Aji (Abdul Hadi) dah tak sibuk nak lawan parti sarkas lagi kat situ.

“Hingga ada rakyat yang dah tak nampak lagi beza parti suci dan parti sarkas,” sindirnya dengan menggelar PAS sebagai ‘parti suci’.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang PAN (Kanun)  itu: “Lihat saja wawancara Pak Aji. Mana ada cuit parti sarkas macam mana Pak Aji cuit AMANAH (PAN)  dan DAP.

Persoalannya, apakah PAS dan AMANAH masing-masing akan berterusan mempersoalkan peranan antara satu sama lain menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14)?

Sedangkan musuh sebenar mereka adalah Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Melihat kepada pertelingkahan kedua-duanya, memang mereka akan membantu BN/UMNO atau dengan kata lain  ‘PAS + AMANAH Untungkan BN/UMNO’.

BN/UMNO memang mengharapkan pertandingan tiga penjuru di mana-mana kerusi yang mereka sertai.

Jika ada PAS dan AMANAH turut bertanding – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – pastinya pemimpin BN/UMNO akan merasa lega kerana berlakunya perpecahan undi.

Malah, umpamanya di Terengganu, dikatakan AMANAH akan menghadapi kesulitan untuk menang di kerusi seperti DUN Rhu Rendang, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Jerteh, Paka, Jabi serta beberapa kerusi lain jika tiga penjuru – PAS, AMANAH dan BN/UMNO.

Jadi, berapa sahaja kerusi yang tinggal untuk AMANAH berpeluang menang jika enam kerusi dilihat sukar untuk dimenangi oleh AMANAH dan memberikan peluang kepada BN/UMNO menang?

Begitu juga dengan PAS - jika terus bertelagah, apakah mereka mampu bertahan di DUN Rantau Abang, Teluk Pasu, Manir, Ladang, Bukit Payong dan yang lain?

Akhirnya kedua-dua parti akan rugi.

Walaupun PAS bertanding di semua kerusi DUN (32 DUN)  di Terengganu), PAS juga dilihat tidak mampu untuk kekalkan 14 kerusi seperti yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beberapa kajian menunjukkan BN/UMNO akan mendapat untung daripada pertelagahan PAS dan AMANAH.

Sewajarnya pembangkang – apa lagi parti Melayu-Islam tidak bercakaran dan cuba merangka kemenangan bukan melonjakkan ‘ego’ masing-masing.

PAS - walaupun sudah lali dengan perpecahan dan AMANAH sebagai serpihan tidak perlu lantang di persada umum kerana rakyat memerhatikan gelagat mereka.

PAS yang semakin tepu dan AMANAH yang belum pasti diterima oleh rakyat perlu berhati-hati dengan jangan cuba memperlekehkan antara satu sama lain.

Mungkin ada kebenaran pada pendapat Hanifa mengenai pendapat Abdul Hadi bahawa, “Parti sarkas dan MO1 (Malaysian Official 1) tak tercuit. Kalau cuit sikit-sikit tu sajalah nak ‘berlakon’, konon kami juga lawan parti sarkas.”

Juga, jika benar PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam, tegurlah dengan bijaksana dan terbuka, bukan cuba ‘bermain selamat’ kerana pendirian pemimpin atasan dan bawahan perlu selari.

Pemimpin PAS seperti Abdul Hadi perlu jelas dan berterus-terang dalam menentang BN/UMNO agar rakyat tidak terkeliru.

Jangan ada perbezaan pendapat jelas antara Presiden PAS dan pemimpin lain, termasuk Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS – jika benar – mahu menjadi kerajaan yang berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang jangan ‘berklu-klek’.

Tidak ada lagi watak ‘orang tengah’, ‘berkecuali’ atau ‘king maker’ untuk politik dan pentadbiran Malaysia. Jangan berangan-angan untuk menang 40 kerusi Parlimen atau negeri tertentu jika peranan PAS dilihat untuk menengangkan BN/UMNO.

Yang dilihat rakyat ialah politik berterus terang dan straight forward iaitu menumbangkan rejim Najib Razak atau mengekalkan pemerintahan ‘kleptokrasi’ sedia untuk lima tahun lagi sehingga 2022.

Monday, November 27, 2017

BAIAH – MENCARI LEBIH RAMAI PEMIMPIN SEPERTI IR AMIRUDDIN...


"Amat nyata akan semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan Ir Amiruddin semalam membuka mata lebih ramai pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu."

Nasib baik baiah PAS tempohnya tidak sampai kiamat.
Mujurlah ia  sekadar sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen) dibubarkan.

Jika tidak, ramai wakil rakyat PAS yang takut meninggalkan PAS  akan ‘merana’ seumur hidup dan jika menentang araus akan merasa berdosa sepanjang hayat mereka.

Namun, perasaan itu hanya akan ada dalam diri seseorang jika mereka tinggalkan PAS tanpa sebab yang mereka fikir munasabah.

Tetapi bagi yang mempunyai sebab atau perjuangan tersendiri, khususnya menentang nahi munkar, penyelewengan dan rasuah dan zalim, mereka akan berani melakukan tindakan bertentangan dengan baiah yang pernah mereka lafazkan.

Kerana itu, perkataan sesuai berkaitan seorang wakil rakyat PAS berani meninggalkan parti itu semalam ialah, kita mencari lebih ramai ADUN PAS yang berani seperti Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Persoalannya, dengan tindakan Ir Amiruddin itu, apakah lebih ramai yang sanggup membelakangkan baiah sambil berjuang melawan Barisan Nasional (BN) melalui parti lain selain PAS?

Isunya juga ialah, pada ketika  PAS menakut-nakutkan wakil rakyatnya, apakah kepimpinan PAS sendiri melaksanakan tugas mereka seperti yang mereka lafazkan dalam ikrar dan baiah mereka?

Jika tidak, kenapa wakil rakyat PAS tidak boleh menentang mereka. Juga jika perlu  berjuang melawan BN, dengan tinggalkan PAS dan sertai parti pembangkang lain selain PAS?

Mengulas tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari PAS itu semalam, pemimpin PAS diingatkan tentang baiah oleh kepimpinan PAS.


Ingatan itu disampaikan sendiri Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Jelas dan terang lagi bersuluh bahawa setiap wakil rakyat PAS, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen, dipaksa berbaiah yang antaranya perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan PAS.

Isunya dalam konteks baiah ini, apakah PAS hanya melihat kepada wakil rakyatnya yang meninggalkan PAS.

Tidakkah juga PAS melihat kenapa wujud penentangan berani sama ada secara persaorangan atau beramai-ramai terhadap kepimpinan PAS?

Apakah pemimpin PAS yang masih ada dalam parti itu, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi mempraktikkan apa yang terkandung dalam perjuangan dan perlembagaan PAS?

Juga apakah PAS benar-benar membela rakyat yang dilafazkan melalui janji mereka kepada rakyat?

Apakah pemimpin mereka tidak melakukan salah laku dan apakah tidak ada perbuatan antara mereka saling ‘tutup-menutup’ kesalahan pemimpin di atas  demi maruah dan kepentingan peribadi.

Sedangkan yang menentang dan keluar daripada PAS mempunyai keberanian tersendiri untuk menentang atau melawan arus berasaskan keyakinan mereka kepada kebenaran walaupun pernah melakukan baiah?

Amat nyata semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan  Ir Amiruddin membuka mata pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu.

Melihat daripada ‘perjanjian dan sumpah’ melalui Baiah ini amat nyata PAS tidak pernah percaya kepada wakil rakyatnya. Kebimbangan kepimpinan PAS bahawa akan ada yang ‘melarikan diri daripada PAS tetap wujud sejak kesekian lama.


Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu kepada Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1959 tetap menjadi pengajaran kepada mereka. Ironinya, parti lain yang tidak menyebut Islam dan meletakkan Al-Quran dan Hadirh dalam perjuangan mereka, tidak pula menjadikan baiah sesuatu yang perlu.

Tidak dinafikan ada sumpah tertentu, termasuk sumpah menyimpan rahsia tetapi tidaklah ke peringkat sampai perlu bercerai berai dengan isteri atau suami jika meninggalkan parti.

Apakah peringatan Tuan Ibrahim ini menggambarkan masih ramai dalam PAS yang sedang menunggu untuk lompat pagar?

Namun ketika ini mereka tidak berani bertindak kerana baiah?

Tidakkah apa yang dilakukan oleh Ir Amiruddin itu menggambarkan bahawa PAS sebenarnya sedang bergolak dari dalam? Tidakkan keberanian Ir Amiruddin itu membuka mata pemimpin PAS lain yang 'mementang dari dalam' terhadap PAS?

Tuan Ibrahim yang menyifatkan terkejut dengan pemergian Ir Amiruddin lebih-lebih lagi kerana beliau seorang yang mudah dibawa berbincang dan tidak bermasalah dalam parti meningatkan pemimpin PAS bahawa ‘air tenang itu tidak semestinya tidak ada buaya’.

Dengan jelas Tuan Ibrahim mengingatkan Ir Amiruddin bahawa beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan.

Namun, Ir Amiruddin seperti rakan beliau yang meninggalkan PAS sebelum ini yang kebanyakannya menyertai AMANAH, berani untuk melanggar baiah kerana melihat PAS sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Dengan kata lain, PAS sekarang bukan PAS yang asli.

Ada pemimpin PAS mengulas tindakan Ir Amiruddin sekadar mampu mengatakan “Kita doa (agar) dia dapat lepasi baiah yang dilafaznya dalam pilihan raya sebelum ini di akhirat kelak.”

Beliau merupakan pengganti Allahyarham Datuk Fadzil Noor di DUN itu, selepas menang dalam pilihan raya kecil 2002 susulan kematian bekas presiden PAS itu.
  
Selain ADUN Anak Bukit, Ir Amiruddin juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Pada 12 Mei 2016 lalu. media melaporkan, ADUN Anak Bukit itu meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.

Baginya,  keputusan beliau  itu kerana merasakan BN hanya dapat dihadapi melalui gabungan pembangkang yang erat seperti yang dibuktikan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

"Yang penting kita berada dalam kesepakatan yang padu dan ini saya lihat dapat dicapai dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Malah, Ir Amiruddin mengakui  pernah berjumpa dengan Pesuruhjaya PAS Kedah untuk memastikan sama ada masih wujud kemungkinan PAS bekerjasama dengan PH, tetapi jalan kea rah sudah ‘hampir mustahil’ sama sekali.

Tuesday, November 21, 2017

ISU KOS SARA HIDUP – WAKIL RAKYAT PENTING PAS TIDAK PEDULI?



"Menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat. Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti ini?"

"Kita kalah satu undi. Rakyat akan fikir bahawa dua wakil rakyat Parlimen (MP) yang berkecuali daripada mengundi ini menyebabkan kekalahan kita."

Kekalahan apa itu?

Ia membabitkan isu kos sara hidup yang dibincangkan di Dewan Rakyat semalam.
Kesimpulan di atas dibuat oleh wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar mengenai keputusan usul Pakatan Harapan (PH) yang membuat pengundian blok (belah bahagian) menolak  Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pada pengundian dalam suasana kecoh di Dewan Rakyat semalam, usul PH yang turut disokong oleh beberapa wakil rakyat (MP) PAS tewas tipis satu undi -  51-52.

Lalu timbul persoalan, apakah kos sara hidup tidak sepenting cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) atau Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) bagi pemimpin PAS?

Atau apakah isu mempertahankan tuduhan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima RM90 juta ‘segala-galanya’ berbanding isu kos sara hidup yang sedang menghimpit kebanyakan rakyat sekarang?

Dan untuk dua orang wakil rakyat yang berkecuali itu, ucaplah tahniah kepada mereka kerana menyelamatkan kerajaan ddaripada dimalukan.

Apakah akan ada ‘habuan menarik’ untuk penyelamat ini?


Namun di pihak rakyat -  masih ada beberapa ‘wakil rakyat PAS’ – penulis ulangi - wakil rakyat PAS yang disebut oleh Mahfuz sebagai tetap ‘menjiwai kesulitan rakyat’ apabila mengundi mengundi menolak Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam.

Enam Ahli Parlimen (MP) PAS yang mengundi menolak Bajet 2018 ialah Mahfuz (Pokok Sena), Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Husin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Mereka mengundi menyokong usul Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat pengundian blok (belah bahagian) malam semalam selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyimpulkan bahagian Bajet 2018 semasa peringkat jawatankuasa.

Mahfuz memberitahu Malaysiakini, “mereka beritau saya ini kali undi tolak sebab ini melibat soal kos kehidupan."

Tidak diketahui sama ada sudah dijangka atau tanpa disangka, dua wakil rakyat PAS iaitu MP Bukit Gantang Idris Ahmad dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) berkecuali daripada mengundi.

Perlu diulangi, pada pengundian belah bahagian (blok) terhadap Bajet 2018 peringkat polisi sebelum ini,11 orang MP PAS kecuali Mahfuz berkecuali daripada mengundi.

Taktik berkecuali ini menjadi amalan PAS ketika membuat undian belanjawan persekutuan, sejak ia berpisah dengan PKR dan DAP.

Wakil rakyat PAS yang tidak hadir ketika pengundian semalm ialah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan pemimpin utama Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Nik Abduk Nik Aziz (Pasir Mas) , Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) serta ketua kelab penyokong parti Che Rosli Che Mat (Hulu Langat)  juga tidak hadir.

Tidak diketahui di mana dan kenapa tetapi sikap wakil rakyat PAS - , selain enam yang dianggp sebagai ‘cakna dengan soal kos kehidupan’ rakyat - jelas tidak jauh bezanya dengan kumpulan sesetangah wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Penulis mengatakan demikian kerana BN yang menang hanya satu undi dalam undi belah bahagi seperti diminta oleh G Manivannan (PKR-Kaparyang diadakan selepas Menteri Datuk Seri Hamzah Zainudin selesaiu menggulung ucapan untuk kementeriannya.


Malah, sewaktu loceng untuk undi belah bahagi dibunyikan, kelihatan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kebanyakannya tidak berada di dalam Dewan Rakyat.
Walaupun deringan loceng yang berbunyi selama dua minit sudah tamat, masih ada Ahli Parlimen BN berlari masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.
Apa erti semua ini? Tidakkah sikap mereka membuktikan ramai yang tidak peduli dengan ‘perkara yang dibincang dan digulung’ di Dewan Rakyat.
Berikutan itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkora) menggesa pintu masuk Dewan Rakyat ditutup agar tidak ada lagi wakil rakyat  dapat masuk selepas deringan loceng tamat.
Antara wakil rakyat yang didakwa pembangkang lewat masuk namun dibenarkan mengundi adalah Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).
Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) dalam keadaan marah meminta BN berhenti “menipu” dan meminta pengundian dilakukan secara jujur, sementara Mahfuz mendakwa ada “konspirasi” ketika undi belah bahagi dilakukan.

Tidak keterlaluan jika Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit “tipu” pada Ronald.Kiandee.
 “Kita mahu senarai nama itu disemak semula. Kenapa ini berlaku, satu dunia melihat kejadian ini. Mereka ini hanya menang dengan 1 undi sahaja,” kata Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Ronald menjawab kritikan pembangkang berkaitan kekecohan yang berlaku hampir 15 minit itu berkata tiada peraturan menyatakan undi wakil rakyat yang lambat masuk tidak boleh dikira.
Tidak usah fikirlah dengan sikap wakil rakyat BN. Ia sangat mudah difahami.
Tetapi bayangkkan jika dua wakil rakyat PAS yang berkecuali itu
mengundi usul PH demi ‘kos kehidupan’ rakyat., apa akan jadi?

Namun kini ia menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat.

Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti  ini?

Wednesday, June 28, 2017

ISU ASAS IALAH APAKAH WUJUD ‘DERMA NAJIB KEPADA HADI' SEBANYAK RM90 JUTA’?


Isunya wang RM90 juta...

Tetapi PAS Terengganu kata kalau PAS sebuah parti sekular, pastinya PAS tak akan berhadapan dengan fitnah yang jijik ini.

Kononnya fitnah ini ditujukan kepada PAS kerana perjuangan Islam.

Tuduhan mengenai wang RM90 juta daripada Perdana Menteri kepada Presiden PAS ini, malah idak kira kepada siapa pun, kalaupun bukan PAS, bukan boleh dikaitkan dengan agama. Ia isu 'serahan wang daripada sebuah dana' oleh seseorang kepada seseorang yang lain'.

Jika demikian, apakah jika pemberian ini  membabitkan bukan Islam kepada Islam atau sebaliknya tidak dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik dan ditafsirkan sebagai tuduhan daripada atau kepada  ‘bukan Islam’?

Isunya sekarang ialah, oleh kerana ia ‘kena batang hidung PAS’ maka ia ditafsirkan sebagai serangan terhadap Islam. Bagaimana jika ia tuduhan membabitkan antara pemimpin UMNO dengan parti Melayu-Islam lain?

Apakah PAS mewakili Islam? Kenapa pula orang Islam lain, termasuk dari AMANAH dan UMNO tidak mengatakan isu ini sebagai isu Islam?

PAS hanya parti berlandas dan memperjuangkan Islam dan bukan parti Islam. UMNO sendiri mengatakan demikian.

Dalam konteks ‘derma Najib kepada Hadi ini lebih kepada daripada seorang pemimpin perti kepada seorang pemimpin parti lain.

Juga ia daripada UMNO kepada PAS. Apakah UMNO parti Islam seperti PAS?


Semalam Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim mengingatkan orang ramai, khususnya umat Islam supaya tidak memandang remeh saman fitnah yang dikemukakan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke atas portal Sarawak Report.

Menurutnya, mereka yang sayangkan Islam perlu melihat bahawa saman ke atas penulis artikel Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan dana sebanyak RM90 juta itu bertujuan merosakkan imej PAS.

Dr Syed Azman perlu melihat isu ini dalam konteks bukan agama.

Ia membabitkan pertuduhan apakah benar  wang ‘didermakan’ oleh Perdana Menteri itu benar-benar berlaku.

Dan, apakah Presiden PAS menerimanya?

Ini persoalan asas. Bukan kerana ia Islam atau tidak Islam.

Seperti juga isu derma RM2.8 bilion. Ia bukan isu Islam.

Ia isu apakkah wang itu benar-benar wujud, bukannya dipertikaikan apakah ia disumbangkan oleh Raja Islam kepada seorang Perdana Menteri Islam.

Cuma pemimpin UMNO sahaja mengatakan wang itu bertujuan memerangi pengganas Islam IS sebagai cara untuk ‘menghalalkan’ derma berkenaan.

Sekarang apa berlaku? Wang itu didakwa diterima oleh berbagai pihak dan berapa pula disalurkan kepada pejuang menentang IS dan berapa jumlahnya?

Dalam konteks wang RM90 juta ini, sepatutnya pemimpin PAS tidak mentafsirnya sebagai isu Islam.

Isunya apakah benar wujud ‘derma Najib kepada Hadi’? Dan ke mana pula wang itu disalurkan?

Hadi gunanya untuk peribadi? Atau pemimpin PAS lain turut ‘kenyang’ dengan wang berkenaan.

Malah, dalam konteks ini, pertarungan adalah antara Sarawak Report dengan Hadi sebagai Presiden PAS semata-mata.

Apakah pemimpin bawahan dan ahli PAS menganggapnya sebagai serangan kepada Islam seperti yang disebut oleh beberapa pemimpin PAS sebelum Dr Azman ini?

Jangan larikan isu utama dalam melihat perkara wang RM90  juta ini.

Jangan kelitukan masyarakat dengan mengatakan apa yang ditimbulkan oleh Sarawak Report ini sebagai perang terhadap Islam.

Ia memang ‘perang; tetapi perang untuk buktikan bahawa Najib beri Hadi wang RM90 juta. 

Untuk apa?

Pemimpin PAS lebih baik membaca semula apa tuntutan PAS dan Hadi dalam samannya terhadap Sarawak Report.

Ia tidak menyebut sepatah pun perkataan Islam di dalamnya. Islam itu tafsiran oleh pemimpin PAS sahaja.

Tiga perkara itu ialah meminta Sarawak Report membuang artikel berkenaan daripada laman web tersebut selain menyiarkan permohonan maaf atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS.

Selain itu  PAS juga menuntut Sarawak Report memberi akujanji tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

Ini jelas bahawa PAS hanya mahu menafikan bahawa parti itu dan Hadi tidak menerima wang berkenaan.

Soal memohon maaf dan buang atau padamkan artikel itu akan hanya berlaku jika benar Sarawak Report membuat tuduhan palsu.

Isu asas ialah apakah benar ada ‘derma Najib kepada Hadi’.

Ini belum membabitkan dari sumber mana wang itu Najib dapatkan.

Bagaimana jika ia  benar wang1MDB?

Sedagnkan pemimpin utama PAS sendiri ada yang menyelar isu 1MDB yang dianggap penyelewengan, pemindahan wang haram dan ‘kecurian beringkat global’?

Halalkah bersumberkan wang sedemikian untuk dijadikan derma?

Apa hukumnya orang Islam yang menerima derma daripada wang haram?

Lebih memalukan jika PAS atau Presidennya menerima 'wang haram' berkenaan daripada seorang pemimpin Islam di negara ini (penulis gunakan perkataan jika).

Apakah ini juga kelak akan ditafsirkan sebagai 'derma haram daripada seorang pemimpin Islam kepada seorang pemimpin Islam' lain?

Tuesday, May 2, 2017

WAHAI HADI, PARTI MANAKAH MAHU JADIKAN PAS ‘HOTEL’, BATU LONCATAN?


Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti ‘hilang akal’ apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang segala-galanya  dominan daripada parti lain?

Atas apa kekuatan PAS, Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS  boleh menang 50 kerusi Parlimen?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau pakatan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini?

Isunya apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini 14 sahaja selepas 6 ke AMANAH dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) daripada 99 kerusi, apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada ia ada 165 kawasan, dan 7,000 cawangan. Sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa ia mempunyai ahli hampir satu uta orang dan parti lain tidak sehebatnya,  namun bukankah keputusan PRU13 boleh dijadikan ukuran sebenarnya?

Kenapa DAP bertanding sebanyak 51 kerusi tetapi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan Parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu dan sebagainya?
  
Apa akan terjadi kali ini dengan bantah banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga apakah PAS sedar bahawa bantahan rakyat melalui kempen parti AMANAH terhadapnya selain penolakan rakyat kepada PAS atas beberapa sebab lain,  akan menjejaskan undi terhadapnya pada PRU14 kali ini?

Apakah Hadi bermimpi di siang hari dan menyusahkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu di atas kekuatan apa sehingga Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah 'hotel persinggahan' untuk dijadikan batu loncatan?
Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, parti politik akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia )PPBM) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, belum pun rundingan muktamad, Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa  kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sudah tidak boleh dipakai lagi dan Hadi menggunakan kuasa ‘vetonya’ untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?


Pada kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum  menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu. Malah katanya, "Jika DAP atau AMANAH atau mana-mana pihak lain yang bersedia untuk mematuhi syarat-syarat kami, kami masih boleh bekerjasama. "Kami masih terbuka mengenainya.”

Pada sidang media selepas menghadiri muktamar sayap muslimat PAS ke-57 di Alor Setar, Hashim menegaskan syarat PAS itu adalah Islam mesti menerajuinya.

Namun kenyataan Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim yang mempunyai ‘jiwa dan perasaan lebih lembut dan terbuka’ berbanding sikap Hadi yang ‘keras dan tertutup’.

Lebih jauh Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Hadi ada menyebut perbuatan ini turut dilakukan oleh ahli partinya tetapi kenyataan ini  jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain, seperti Hadi membawa atau melafazkan suara ‘orang lain’ dalam isu ini.

Apakah Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang dan Hadi dijadikan sebagai ‘suara mereka’ kerana Hadi mudah memakan umpan?


Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan partinya sejak beberapa hari kebekalangan ini turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Apabila Hadi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyiasat parti politik yang ada di negara ini untuk memastikan sama ada mereka mematuhi perlembagaan atau sebaliknya, membuktikan Hadi kini sanggup mengheret parti lain untuk diadili secara terbuka.

Menurut Hadi antara aspek yang perlu diteliti adalah kepatuhan pihak terbabit kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan selain menghormati perlembagaan atau tidak?

Apa hak Hadi mempertikaikan kewujudan, perlembagaan dan perjuangan pembangkang lain, kalau pun tidak berteraskan Melayu-Islam sebagai tidak mematuhi perlembagaan?

Kenapa sampai begitu jauh Hadi mempertikaikan parti lain yang mengambarkan beliau bersedia melakukan apa sahaja demi menjada persefahaman beliau dengan seseorang.

Kenapa Hadi mudah dipengaruhi dan kali ini sangat mudah dibaca turur-kata dan tindakannya?

Kata-kata Hadi :"Contoh, Islam agama rasmi - dia hormat ke tidak? Raja berpelambagaan, dia hormat ke tidak? Bahasa Melayu, (Islam) agama rasmi, dia hormati ke tidak? Hak bumiputera Melayu jawa bugis orang asal semenanjung, bumiputera Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati, mereka hormat ke tidak?" membawa seribu makna yang tersirat.

Walaupun tidak menamakan secara khusus parti yang dimaksudkannya, Hadi dipercayai merujuk kepada DAP yang suatu ketika dulu pernah menjadi sahabat PAS.


Walau kepada siapa ditujunya, kenapa sekarang Hadi timbulkan isu ini dan apakah ketika bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang sebelum ini, termasuk DAP kenapa  isu ini tidak dilontarkan?

Apakah Hadi sebelum ini ‘separuh sedar’ dan kini sudah sedar selepas memakan umpan dan sanggup menjadi ‘burung kakak tua’ kepada pihak tertentu?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang  Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PPBM.

Kritikan Hadi terhadap PPBM ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Pada 29 April lalu, Hadi menegaskan, selepas dibuat penilaian, “PPBM tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam. Sebab itu kita buat keputusan tak ada hubungan dengan PPBM," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar.

Jadi siapa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Moahamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Hadi? Lebih rendah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan Hadi ini turut melupuskan gambaran yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan PPBM.

Kenyataan Hadi mengenai PPBM ini langsung tidak mengiktiraf mengenai wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan PPBM yang ‘tumbuh bagai cendawan di musim hujan’ di negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.


Amat nyata Hadi menganggap PAS ‘super kuat’ berbanding parti pembangkang lain untuk menghadapi PRU14 dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh UMNO dan BN.
  
Malah, kali ini tidak sukar untuk dibaca bahawa walau apa kata dan penafian PAS kononnya tidak mempunyai persefahaman dengan UMNO, yang nyata dengan penolakan PAS bekerjasama dengan PH untuk merobohkan UMNO/BN, PAS sebenarnya sedang mempertahankan dan menegakkan kerajaan BN untuk terus memerintah.

Bagi PAS,  RUU355 adalah satu-satu yang terpenting di Malaysia ketika ini berbanding perkara lain -  perjuangan menentang kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi – yang PAS mesti ditegakkan.

Dan yang nyata bagi Hadi dan PAS, yang boleh membantunya  ketika ini hanyalah satu-satunya iaitu - Najib Razak!!!

Thursday, April 27, 2017

MENGHADAPI PRU14 – PAS SANGGUP BERSENDIRIAN ATAU BEKERJASAMA?


Sekutu, seteru serta pihak yang sedang mengintai kerjasama dengan PAS tentunya akan mengikuti dengan teliti perkembangan Muktamar PAS ke-63, bermula hari ini.

Bukan sekadar PKR yang dijemput menghadiri muktamar ini akan memberikan perhatian kepada perkara yang dibincang dan diputuskan oleh muktamar tetapi juga yang tidak dijemput tetapi mempunyai ‘minat bekerjasama’ termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah AMANAH, DAP serta parti lain juga akan mengikuti dengan teliti bagaimana arus dan gelombang muktamar PAS kali ini akan beralun.

Dengan tiadanya jawatan penting dipertandingkan kali ini – hanya peringkat Najb Presiden –  empat calon, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Anggota Parlimen Bukit Gantang; Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor; dan Nasruddin Hassan yang merupakan Ketua Penerangan PAS dan Anggota Parlimen - suasana tidaklah sehangat proses pemilihan sebelum ini.

Selepas ‘pembersihan’ PAS, walaupun jumlah 40 pemimpin lain bertanding untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat, untuk dipilih kira-kira 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar kali ini, ketegangan sudah dapat dihindarkan dan tumpuan semestinya kepada membentuk strategi pilihan raya.

Menariknya, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri malah dikatakan  semua  calon berkenaan adalah 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Juga tumpuan dapat diberikan kepada  penentuan lebih  30 usul daripada 194 kawasan Parlimen yang dibahagikan kepada empat kategori - usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan – akan merancakkan lagi perbincaangan menentukan stratagi dan hala tuju parti.

PAS menjadi perhatian kerana ia kini adalah parti kedua terbesar bagi orang Melayu dan Islam selepas UMNO, sementara PPBM dan AMANAH masih tidak diketahui keberkesanannya.

Sudah pasti dengan kedudukan di mana pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang diramal diadakan tahun ini akan menjengah, PAS dilihat mengadakan perhimpunan tahunan partinya sangat bertepatan dengan masa dan dan  keadaan semasa.

Malah, kedatangan muktamar ini diihat sebagai ruang mendapatkan input pemimpin dan ahli bertujuan mencatur strategi politik bagi menghadapi PRU14 dengan langkah yang ‘bijak daan berani’.

PAS tidak menjemput parti Melayu dan Islam terbesar – UMNO - ke muktamarnya kerana ia masih parti lawan yang dianggap sebagai parti yang perlu ditumbangkan.

Begitu juga dengan PPBM kerana sementara AMANAH dan DAP kini sudah menjadi musuh nombor wahidnya yang dilihat tidak boleh lagi diperbaiki hubungan antara mereka, ia dilihat bekerjasama dengan dua parti berkenaan..

Akibat PPBM bersekongkol dengan AMANAH dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH), mereka dipalitkan  untuk tidak dijemput.PPBM.



Kemarahan PAS kepada PH tetapi tidak PKR, amat jelas apabila Setiuasaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan pihaknya  mengundang wakil PKR dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), namun tidak PPBM.

Hubungan PAS dengan PPBM boleh disifatkan sebagai 'digantung sementara', termasuk  tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah PPBM mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan.

Apakah muktamar ini akan menegaskan secara lebih jelas pendirian PAS dalam konteks hubungannya dengan PPBM, AMANAH dan DAP tetapi berlembut dengan PKR kerana ‘kepentingan PAS’ di Selangor?

Sudah pasti juga ramai menanti apa keputusan PAS dalam tahaluf siyasinya dengan PKR selepas ada cadangan diputuskaan hubungan itu?

Benarkah PAS mahu bersendirian menghadapi PRU14 kali ini?

Atau kali ini PAS akan bermain silap mata dengan bekerjasama dengan parti tertentu untuk menjamin ia terus survive di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu?

Ada pendapat mengatakan PAS akan banyak ‘bersandiwara’ kali ini untuk mengelak kalah di beberapa Parlimen tradisinya selain di Kelantan khususnya dengan bekerjasama khususya dengan PPBM.

PAS tidak sanggup berputih mata di Selangor. Apakah PAS bersedia menerima nasib buruk sekiranya membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR?

Kerana itu ramai tidak percaya PAS akan putuskan kerjasama politiknya dengan PKR di Selangor kerana khuatir tindakan memutuskan hubungan dengan PKR hanya akan merugikan PAS.

PAS tidak rela untuk melihat beberapa  Ahli Dewan Undangan Negerinya yang  menjadi EXCO  kerajaan negeri di Selangor hilang jawatan dan kuasa.


Malah dikatakan hubungan kerjasama ini ada kaitan dengan ‘restu istana’ Shah Alam dan apakah PAS sanggup menyanggahnya?

Persoalan juga semakin ditimbulkan, walaupun PPBM tidak dijemput ke muktamar, namun ada pihak meramalkan PAS mungkn menjalin kerjasama dengan PPBM, khususnya untuk menawan Kedah dan Terengganu.

Malah di Kelantan, turut diakui bahawa untuk menyekat pengaruh UMNO dan BN, PAS perlu bekerjasama dengan PPBM, walaupun tidak dengan AMANAH yang dikatakan ‘kuat’ di beberapa kawasan Parlimen.

Di Kedah pula, dengan kedudukan di mana PAS Kedah yang kini turut menaruh harapan dan keyakinan parti itu akan kembali merampas Negeri Jelapang Padi pada PRU akan datang, ia tidak mampu melakukan bersendirian.

Pilihan adalah untuk bekerjasama sama dengan  PPBM.

Walaupun  ada pendapat sukar untuk bekerjasama dengan PPBM untuk tundukkan UMNO/BN di beberapa negeri tetapi apakah PAS mempunyai kekuatan sendiri melakukannya?

Jika pertandingan tiga penjuru berlaku, PAS mungkin menjadi parti paling rendah menerima sokongan rakyat apabila ia akan turut diasak oleh AMANAH -  selain UMNO/BN dan PPBM di beberapa negeri?

Memanglah sejauh ini tiada keputusan  konkrit dibuat oleh PAS tetapi apakah perkara ini akan turut dibincangkkan pada muktamar ini?

Malah bukan sekadar dengan PPBM, PAS sudah ada persefahaman politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) apabila mengumumkan pada 16 Mac 2016 lalu untuk membentuk blok ketiga politik.

Walaupun IKATAN - parti pelbagai kaum - pimpinan bekas menteri Kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil tidaklah sekuat mana, namun ini dilihat akan memberikan kekuatan kepada PAS.

Malah ada pertanyaan,  apakah PAS akan ‘berbaik dengan UMNO’ untuk berdepan pembangkang lain di beberapa negeri tertentu demi kepentingan Melayu dan Islam?

Semua ini ada pada pertimbangan PAS. Yang penting sebarang langkah dan tindakannya mampu memberikan  keuntungan kepada PAS dalam meraih sokongan berbanding jika ia bergerak sendirian pada PRU14.

Dengan kedudukan kehangatan suasana pemilihan parti dapat diredakan, muktamar kali ini sdah pasti dapat menumpukan perhatian seepenuhnya kepada strategi menghadaapi pilihan raya.

Dan sudah pasti muktamar ini akan menjelaskan sikap PAS dalam keputusannya sama ada untuk bersendirian atau bekerjasama dengan parti Melayu-Islam, khususnya PPBM kalaupun tidak dengan UMNO.