Juara lahir daripada inkubator yang disediakan di rumah. Melahirkan seorang juara ialah seperti seekor ibu burung mengeramkan telur untuk melahirkan anak yang cemerlang. Inkubatornya harus bermutu, memberi kepanasan yang sederhana. Jangan terlalu panas nanti telur rosak. Jangan panasnya suam-suam kuku, nanti anak yang lahir lembik.
Sarang inkubator kemas, lengkap, teratur, bersih dan mantap. Inilah rumah tangga bahagia - asas untuk melahirkan anak cemerlang.
Dalam inkubator burung, telur dieram 24 jam tanpa pengecualian, hatta ibu terpaksa berpuasa dan meninggalkan kerja lain. Telur disusun rapat-rapat supaya wap panas tidak tiris keluar.
Jangan pula telur dipijak, diinjak atau dihimpit hingga pecah. Anak akan cacat sebelum dilahirkan.
Foto: Saya tidak pastilah mengapa burung species ini membina inkubator bergotong royong dengan suku sakat dan anak-anaknya. Yang saya tahu inkubator hanya dibina oleh ibu dan bapa burung sahaja. Susah payah pun mereka berdua! Yang pasti inkubator ini dibina di puncak gunung yang selamat.
Begitulah inkubator rumah untuk melahirkan seorang juara. Anak harus dijaga dan diawasi 24 jam juga. Ibu bapa terpaksa berkorban masa dan tenaga fizikal. Anak-anak perlu dirapatkan ukhwah dan kasih sayang. Tolong menolong dan mempunyai sifat simpati dan empati.
Anak tidak boleh dibelasah, didera dan dikasari. Anak perlu dibelai dengan kasih sayang. Tapi bukan dimanjai melampaui batas hingga si anak hilang waja diri dan keyakinan diri.
Cuba anda perhatikan apa hambatan dari luar yang akan merosakkan sebuah inkubator sarang burung:
- Air hujan yang akan merosakkan telur.
- Ular yang sentiasa mencari peluang untuk menghisap isi telur. Telur kelihatan baik dan tidak rosak tetapi isinya kosong kerana telah dihisap ular. Hanya lubang seni yang diguna ular untuk menghisap telur.
- Air hujan ibarat media massa yang meresap masuk ke dalam rumah tangga. Kebobrokan media massa merosakkan minda anak. Media massa harus dikawal. Sedikit media massa penting seperti bergunanya sedikit air untuk kehidupan, makan minum dan kebersihan diri. Air yang berlebihan menjadi mudarat seperti banjir dan ribut taufan.
- Musuh ular yang merosakkan isi telur tanpa merosakkan kulitnya ibarat pengaruh manusia seperti kawan-kawan, jiran dan manusia luar yang membawa budaya tidak sihat. Ini merosakkan minda dan pembangunan jiwa anak-anak.
Begitu juga inkubator di rumah yang mahu melahirkan anak-anak juara harus ada 2 struktur:
- Skruktur fizikal: Keperluan prasarana asas untuk anak-anak membesar dan menimba ilmu harus lengkap seperti keperluan kepada makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kemudahan tempat belajar.
- Struktur rohani: Jiwa anak-anak harus dibangunkan sebaiknya.
Lihat bagaimana burung membina sarang?
- Tinggi di hujung dahan supaya tidak tercapai oleh musuh seperti anak-anak nakal dan ular.
- Setengahnya bersarang di lereng bukit batu yang tinggi. Sangat merbahaya jika mahu mengambilnya namun manusia akan berusaha membuat binaan dari batang-batang buluh, mengikat dengan akar dan rotan yang kuat supaya tidak runtuh untuk mengambil sarang burung layang-layang yang terletak di atas bumbung gua.
- Bapa burung mencari makanan untuk si ibu, membawa balik rezeki untuk disuapkan ke mulut ibu. Ibu mengeram telur sepenuh masa.
- Lagi lama dieram, lagi matang anak yang akan lahir.
- Sifat garang ibu burung luar biasa jika ada musuh yang mahu mengambil telurnya. Sifat itu menjadi lebih garang jika anak burung sudah lahir, maknanya hasil sudah nampak.
Bagaimana burung menjaga anak yang baru lahir?
- Diasuh 24 jam.
- Disuap makanan dahulu sebelum ibu bapanya makan.
- Garang menjaga dari gangguan musuh.
- Kebersihan. Burung pun pandai mengumpulkan najis di suatu sudut sahaja.
- Anak menjadi guinea pig (barang eksperimen) seperti anak burung but-but.
Foto: Ini inkubator untuk mendidik anak-anak kita yang saya laksanakan di Maran, Pahang baru-baru ini. Terima kasih Cik Azizah, pengurus program yang berjaya.
Cerita Burung But-but
Waktu saya kecil-kecil saya mengikut datuk saya membuat minyak urut dari sarang burung but-but. Saya sering mengikut datuk saya masuk belukar mencari sarang burung but-but. Selalunya kawasan itu berlalang.
Bila jumpa sarang burung but-but beliau akan memastikan hingga anak burung but-but menetas. Selepas beberapa hari datuk akan datang lagi lalu mematahkan kaki anak-anak burung but-but yang masih kecil ketika ibunya terbang mencari makan. Bercicitan anak burung itu menjerit kesakitan. Kesihan saya melihatnya.
Yang ajaibnya selang beberapa hari apabila datuk datang semula ke sarang itu, kaki anak burung itu sudah pulih. Lalu dipatahkan sekali lagi. Begitulah dilakukan hingga tiga kali. Akhirnya anak-anak burung itu disembelih dan direbus bersama sarangnya untuk menghasilkan minyak but-but yang sangat mujarab untuk sakit patah. luka dan sakit tulang.
Datuk memberitahu apabila kaki anak burung but-but itu dipatahkan ibunya akan mencari ramuan tumbuh-tumbuhan herba untuk merawat tulang yang patah. Herba itu terkumpul di dalam sarang setelah digunakan.
Sebab itu sarang itu direbus untuk mengeluarkan minyak daripada herba tersebut yang sangat mujarab untuk dijadikan minyak urut dan mengubat sakit patah tulang atau tergeliat urat seperti mana ibu burung but-but mengubatkan kaki anaknya yang patah (dipatahkan datuk) dan boleh sembuh dalam sekelip mata.
Saya sebenarnya hendak bercerita tentang anak-anak yang dijadikan eksperimen oleh ibu dan bapa. Maksud saya untuk menghasilkan juara anak harus jadi bahan eksperimen (guinea pig). Anak harus menguasai banyak kemahiran. Anak harus pandai mengaji. Bukan sahaja pandai mengaji tetapi pandai bertaranum (membaca al-Quran berlagu). Di samping itu pandai melukis kaligrafi Arab (khat). Pandai berpidato. Boleh mengarang dan berkhutbah Jumaat atau khutbah hari raya.
Foto: Ini satu lagi inkubator untuk mendidik anak-anak yang saya adakan setiap cuti sekolah bulan Disember iaitu KEM TAHFIZ AL-QURAN 40 HARI. Ini di Masjid Bandar Baru Sungai Buluh yang disertai 400 orang peserta yang diadakan beberapa tahun lalu. Fasilitator sahaja seramai 26 orang hafiz dan hafizah. Tunggu program yang sama selepas raya tahun ini.
Apa relevannya inkubator sebuah sarang burung dengan inkubator di rumah untuk melahirkan seorang juara?
- Aktiviti anak-anak harus dipantau dengan rapi oleh ibu bapa.
- Jangan ada anasir jahat meresap masuk.(seperti telur yang dihisap ular). Anak kita nampak sihat dan biasa-biasa tetapi mindanya sudah kotor atau kosong.
- Bersikap tegas (garang) dalam menjaga anak.
- Body contact dengan anak-anak perlu. Selalu usap mereka. Anak hendaklah mencium ibu dan bapa setiap kali mahu berpisah seperti mahu ke sekolah atau selepas solat berjemaah.
- Rapat dengan adik-beradik lain (seperti rapatnya telur dalam sarang).
- Cukup input (seperti kepanasan eraman ibu burung).
- Inkubator kuat, tidak tergugat dengan angin dan ribut maksudnya rumah kebal dari gangguan.
Jangan manjakan anak pada hujung minggu dengan melepak di hadapan TV atau mengunci diri dalam bilik. Hantar mereka ke kelas tuisyen atau latihan sukan. Jangan menumpu kepada kelas tuisyen akademik semata-mata. Hantar mereka tuisyen Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris, tuisyen tajwid, tuisyen badminton atau tuisyen kelas tarian.
Ada ibu bapa yang membangkang, "Itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Kami tidak ada wang."
Itulah harga untuk melahirkan seorang juara.