Showing posts with label Novel Aisya Humaira. Show all posts
Showing posts with label Novel Aisya Humaira. Show all posts

24 June 2015

Aisya Humaira : Menunggu itu juga tanda

Aisya Humaira, anak gadis yang semakin meningkat remaja, ratu hati bagi ibu dan ayahnya. Kini Aisya berada di persimpangan usia, di antara dunia kanak-kanak yang dipenuhi dengan keseronokan dan kegembiraan dengan dunia dewasa yang penuh dengan tanggungjawab.

Hujung minggu itu, Aisya membawa diri bersama kolam ikan sekolah kecintaannya, menjauhkan diri dari suasana hiruk-pikuk asrama. Bayu yang lembut menemani aisya melayani karenah ikan-ikan beraneka jenis menari-nari membelah air seolah-olah memahami isi hatinya yang sedang gundah-gulana.

"Benarkah dia menyukai aku?" benak hati Aisya berkata

Kakinya yang tidaklah panjang mana hanya mampu menyentuh permukaan air kolam. Dikuis-kuis air itu, tanpa tujuan. Hanya menakutkan ikan-ikan di dalamnya.

"Tapi siapalah diri Aisya untuk disukai. Fauzi itu orangnya glamor, Aisya ini biasa-biasa sahaja"

Ternyata ini pengalaman pertama Aisya menghadapi perasaan sebegini. Tidak tahu ke mana harus diluahkan perasaan itu. Ibu dan ayah tiada lagi di sisi untuk dirujuk persoalan hati. Aisya tahu, dirinya bukan kanak-kanak lagi. Berumur 16 tahun, Aisya perlu berdikari berdiri sendiri. Kalau dahulu, ada sahaja cerita dari ibu dan ayah, kisah teladan dan pengajaran. Kini kisah teladan tersebut perlu dirangkanya sendiri.

"Ah, biarlah..bukannya penting pun,"

Lalu nota kecil itu dilipat kemas, dimasukkan kembali ke dalam sampul birunya. 


**********************

Malam itu Aisya terkenang kembali nota bersampul biru yang diterimanya. Dia tahu, sesuatu perlu dilakukan, tidak boleh dibiarkan keadaan ini berlarutan. Boleh dikatakan, tidak selera makan dibuatnya. Lauk pauk makan malam tadi sedikit sahaja yang dijamah.

Lalu Aisya teringat akan seseorang yang amat rapat dengannya, Kak Safura. Walaupun Kak Safura setahun lebih tua dari Aisyah, tetapi hati mereka telah bertaut seperti telah berkenalan berpuluh tahun lamanya. Inilah nikmat yang dikurniakan kepada mereka yang mengikuti institusi usrah atau halaqah.

"Kak Saf, nak tanya sket boleh?" pinta Aisya lembut


"Nak tanya apa tu? Moh le duk kat sini," pelawa Kak Safura, menepuk-nepuk tilam di sebelahnya sambil pandangan masih kekal ke skrin telefon pintarnya.

Kak Safura memang terkenal dengan sifatnya, tak pernah lekang dari telefon di tangan. Siapa yang tak kenal, specialist dalam Clash Of Clans. Semua orang berguru dengannya. Namun, di sebalik itu, dia tetap tekun dengan tanggungjawab sebagai seorang mujahidah. Usrah tidak pernah dilupakan. Itulah yang menarik minat Aisya untuk mendekati Kak Safura.

***************************

"Macam ni lah Aisya, kamu biarkan sahaja dia. Lelaki ini memang bermacam jenisnya. Lagi pula, kita ini masih baru mengenal dunia, mahu pula diajak bercinta. Aisya jugak tahu perkara itu bukan?" soal Kak Safura

Aisya hanya mengangguk tanda setuju

"Kakak tahu, Fauzi itu matangnya belum lagi, sekadar berjinak-jinak dengan cinta, hanya menurut kata hati, tetapi tidak menurut kata akal dan iman. Aisya rasa, ke mana arah tujuan hubungan ini, ke pelamin kah? Memang itu yang mereka selalu janjikan, tetapi diri sendiri masih meminta belanja dari ibubapa, mahu pula menjaga anak dara orang," terang Kak Safura

"Habis tu kak, apa yang perlu Aisya buat?" tanya Aisya lagi, masih keliru

"Kita perlu tahu, hal jodoh itu adalah rahsia Tuhan. Untuk perempuan seperti kita yang malu-malu ini, usaha mencari jodoh yang baik itu, 50 peratus malu, 50 peratus doa. Tapi yang paling utama sekali, untuk mencari jodoh yang baik itu bererti berusaha menjadi perempuan yang baik,"


Aisya mengangguk lagi, seakan semakin faham

"Lalu, bagaimana dengan Fauzi, mungkinkah dia boleh jadi jodoh Aisya?" soal Aisya

"Makanya, Fauzi kena lah tunggu. Tunggu sehingga dia benar-benar bersedia memikul tanggungjawab yang sangat besar, mengambil alih tanggungjawab yang selama ini ayah Aisya telah pikul selama hidupnya. Sekiranya ada jodoh tidak ke mana. Menunggu itu juga adalah tanda, bahawa jodoh itu ada," terang Kak Safura lagi.

Aisya tersenyum. Ada raut kepuasan di wajahnya.

Kini fahamlah Aisya bagaimana yang sepatutnya.


to be continued....


21 December 2012

Aisya Humaira : Setiap dari kamu adalah pemimpin


Aisya Humaira, anak kecil yang sedang menjejak usia. Matanya bundar tidak tumpah seperti wajah ibunya. Juga wajahnya yang bersih membuatkan dia senang dipandang.

Di bawah pokok angsana di halaman rumah, ditemani sang rembulan malam, aisya mengasingkan diri. Menunggu masa menanti air mata yang bertakung menitis ke bumi.

"Mengapa perlu ayah selalu tinggalkan aisya?" bicara aisya terhadap sang angsana

Bisu, tiada jawapan.

"Kerana ayah sayangkan aisya"

Aisya menoleh ke arah suara itu. Badannya dipeluk dari belakang.

"Eh, ibu.."

Aisya tersenyum, sesekali cuba mengesat air mata yang mengalir namun tangan seorang ibu lebih pantas menyeka air itu dari pipinya.

"Bila ibu datang? Tak perasan pula"

"Kenapa aisya menangis ni? Tak manis la anak ibu kalau menangis"  usik ibu aisya sambil mencuit manja pipi anaknya

Tergelak kecil dibuatnya. Hilang sedikit hiba yang dirasai aisya. 
Aisya menghela nafas panjang. 

"Balik dari sekolah tadi, semua ayah kawan aisya datang bawa mereka balik. Tapi aisya, ibu sahaja yang datang. Aisya malu dengan kawan-kawan aisya. Ayah dah lupakan aisya?"

Ibunya tersenyum, "Aisyaku sayang, ayah tidak pernah lupakan aisya. Tiap hari ayah telefon ibu, ayah pesan minta tolong ibu kejutkan aisya solat subuh, tolong ingatkan aisya siapkan kerja rumah, tolong ciumkan aisya sebelum tidur, ayah tak pernah lupa walau sehari pun, percayalah"

"Betul bu?" soal aisya meminta kepastian

"Iyalah, takkan ibu nak tipu aisya pula"

"Tapi bu, kalau lah betul ayah sayangkan aisya, kenapa perlu ayah terima jawatan tu? Lihat lah sekarang, tiap minggu ayah hilang, pergi ke situ la, pergi ke sini la, aisya tak suka la ibu!" berontak aisya, dengan mulut yang sedikit dimuncungkan

"Tak baik nak cakap macam tu. Kalau ayah dengar ni, mesti dia kecik hati"

"Betul la bu, kalau la jadi pemimpin itu bagus, di mana kemanisannya bu?"

"Bagi ibu, pemimpin itu seperti akar"

"Kenapa akar bu?"

"Lihat sahaja pokok angsana ini. Akarlah yang menguatkannya. Tanpa akar, sudah pasti angsana yang gagah ini akan rebah ke bumi. Akar jugalah yang akan bersusah-payah merobek bumi dan batuan demi mencari nutrisi buat sang angsana. Pemimpin pun begitulah, bersusah payah demi orang yang memilihnya untuk memimpin"

"Ibu pun kata pemimpin itu bersusah-payah, bagaimana dengan hidupnya sendiri ibu? Tidak lah indah sangat menjadi pemimpin ini kan?"

"Cuba kamu lihat angsana ini. Betapa tinggi dan gagahnya dia segalanya kerana akar yang bersusah payah di bawah sana. Aisya juga punyai tempat berteduh dan mengadu di angsana ini kerana akar itu bukan? Sudah pasti segala pujian kegagahan aisya berikan kepada sang pohon tanpa sedikitpun aisya berikan kepada akar kan? Tapi pernah akar kisah? Tidak.."

"Iya juga kan" aisya mengangguk kecil sambil memegang dagunya.

"Di situ letaknya kemanisan yang dicari. Kemanisan melihat orang yang dipimpin menikmati kebahagiaan yang diingini"

"Oh begitu"

"Sebenarnya aisya, setiap daripada kita ini adalah pemimpin. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah berkata 'Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumahtangga, suami dan anak-anaknya, dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin'"

"Maksudnya, Aisya pun akan jadi pemimpin juga?"

"Benar sayang. Suatu hari nanti aisya juga akan mempunyai insan untuk dipimpin. Tapi ingat, jawatan itu jangan dicari, namun bila ditaklifkan janganlah kita menolak. Ambillah contoh Presiden Mursi kita. Bersedia menggalas berjuta harapan rakyatnya tatkala diminta untuk mejadi pengganti"

"InsyaAllah bu. Aisya berazam mahu ikut jejak ayah aisya yang hebat. Ibu doakan aisya ya bu"

"Sentiasa mendoakanmu sayang, sentiasa.."

Tersenyum aisya menyambut doa ibunya.

"Aisya, jom masuk tidur. Esok kita kena bangun awal ni, kan esok hari pengundian. Harap-harap la pak cik yazid dengan auntie wiwin kamu menang"

"Menang tu bu, aisya boleh jamin" aisya memberi jaminan, sambil memberi thumbs up kepada ibunya. Dan lampu bilik pun dipadamkan...


To be continued...

19 November 2012

Aisya Humaira : Menatap dunia kali pertama



Aisya Humaira, anak kecil yang masih merah pipinya, matanya bundar seindah bulan purnama, tawa manjanya mampu mengubat mana-mana hati yang lara.

Dia berlari anak menuju ke arah ibunya sambil tangan kecil mulusnya itu menutup kedua telinga.
"Ibu, lihat tu! Banyak sungguh kapal di langit ibu! Mereka mahu ke mana ibu?" jerit kecil Aisya agar didengari ibunya, menewaskan kelantangan bunyi-bunyi sonic boom jet-jet pejuang yang melintasi mereka.

"Aisya, mahu ke mana sayang?" jawab ibunya yang sedang menjemur pakaian di halaman rumah

"Tidak ibu, Aisya hanya mahu bertanya kepada ibu. Kapal-kapal itu mahu ke mana ibu?"

"Oh..sejujurnya ibu pun tidak pasti sayang. Tapi ibu rasa itulah pejuang-pejuang Islam kita yang bakal berjuang di jalan Allah. Mereka akan ke Gaza sayang,"

"Mengapa ke Gaza ibu? Apa yang ada di Gaza ibu? Mereka ada saudara di sanakah ibu?"

Oh anakku, engkau masih mentah untuk mengetahui keadaan dunia. Tapi biarlah ibu menerangkan selembutnya kepadamu, agar tidak lenyap umat Islam yang masih mengambil cakna isu umat Islam ini.

"Aisya, mereka ke sana untuk berjihad sayang. Berjihad untuk membantu saudara-saudara kita yang ditindas, saudara yang tidak bertalikan darah, tetapi saudara yang bertalikan aqidah. Ketika ini mereka sedang dibunuh sayang, dibunuh kerana mempertahankan apa yang sepatutnya menjadi hak mereka,"

"Siapa yang membunuh itu ibu?"

"Mereka itulah kaum Yahudi sayang, menggelar diri mereka yang berhak ke atas tanah Israel yang sudah jelas di mata dunia sebenarnya hak milik anak-anak Palestin." jawab ibunya

Dia mendukung Aisya ke arah sepohon pokok kurma. Mereka berdua duduk di atas pangkin yang tersedia di situ. Kemudian mereka bersama-sama melihat keindahan ciptaan Tuhan di hadapan mereka. Melihat luasnya padang pasir yang dahulunya menjadi saksi perjalanan hidup Nabi Musa a.s

"Aisya, sesungguhnya Gaza itu telah lama berdarah. Namun hakikatnya, cinta yang kita beri kepada mereka hanyalah cinta bermusim. Mungkin membara hari ini, esok menjadi abu, lusa ditiup angin lalu menjadi debu dan hilang tanpa bekas. Lihat betapa rapuhnya pegangan umat Islam hari ini sayang'

"Bagaimana dengan saudara-saudara sebaya aisya di sana ibu?"

"Saudara-saudara Aisya ketika ini tidak sebertuah Aisya sayang. Ada yang telah kehilangan ibu ayah, abang kakak, malah ada yang tidak sempat mengetahui siapa ahli keluarganya kerana semuanya telah gugur syahid mempertahankan agama dan tanah yang mereka cintai.  Tatkala Aisya ketawa ria bermain mesra, anak-anak kecil disana membesar dengan membaling batu ke arah musuh, dan anak-anak ini jugalah yang akan membina roket mereka sendiri membalas segala ketidakadilan yang dilakukan Israel"

Perlahan, mutiara jernih mengalir di pipi Aisya

"Mengapa Aisya menangis sayang?"

"Aisya kasihankan mereka ibu. Banyak sungguh dugaan mereka. Tidak tertanggung rasanya andai Aisya sendiri mengalaminya"

"Jangan risau sayang. Merekalah antara insan-insan yang paling kental sekali di dunia ini. Biar saban hari jet musuh menghujani dengan bom-bom dari atas, tetapi mereka tetap percaya Tuhan lebih tinggi daripada jet-jet itu."

"Aisya berdoa semoga mereka beroleh kemenangan suatu hari nanti ibu"

"Sudah pasti sayang, sudah pasti"

"Ibu, di mana ayah ibu?"

"Ayah aisya di atas, tengah update blog."

"Oooohh.." balas Aisya sambil mengukir senyuman



*************
Related Posts with Thumbnails