Tempat tumpuan pelancong di Istanbul
MERHABA. Kini aku kembali.............
"İstanbul seviyor müsün?"1 tanya Pn. Zeynep. "Evet, çok seviyorum."2 balasku. "Neden?"3 tanyanya lagi, dengan penuh minat. "Çünkü, Türkiye tarihi ben çok seviyorum."4 jawabku dengan yakin, tanpa mempedulikan tatabahasa yang kugunakan betul atau tidak. Pn Zeynep hanya mengangguk faham, lantas memberitahu rakan-rakan sekelasku yang aku amat berminat dengan sejarah ketamadunan Turki. Dia kelihatan sedikit bangga mendengar jawapanku itu.
Sejarah, ya, sejarah. Betapa pentingnya sejarah. Tanpa sejarah, tiadalah masa akan datang. Tiada semalam, akan tiadalah hari ini dan juga esok. Dalam bahasa Melayu disebut sejarah, bahasa Inggerisnya pula history. Bahasa Arab menggelarnya tarikh atau sirah. Bahasa Turki pula meminjam bahasa Arab iaitu tarih.
Terlalu banyak yang dapat dan perlu dipelajari melalui sejarah bangsa besar ini. Kerajaan yang memerintah kira-kira 633 tahun, menguasai dari Timur (hingga ke Busra, Iraq) ke Barat (hingga ke Vienna, Hungary). Satu bangsa yang membawa mesej pembebasan kepada wilayah-wilayah yang bernaung di bawahnya.
Semasa pemerintahan Uthmaniyyah, tercatat dalam lembaran sejarah orang Islam, orang Kristian dan orang Yahudi mampu tinggal dalam negara yang sama tanpa ada peperangan. Mesej keamanan dan keadilan yang menjadi teras kerajaan Uthmaniyyah diterima baik di semua peringkat masyarakat.
Sejarah menyaksikan pembebasan Constantinople daripada pemerintahan empayar Rom Timur di tangan seorang sultan yang terpilih, Sultan Muhammad II al-Fatih bin Murad II bin Muhammad I bin (Yıldırım) Beyazid bin Murad I bin Orhan bin Osman.
Bazar berbumbung Bayazit, dikatakan bazar berbumbung terbesar di dunia
Selain itu, kerajaan Uthmaniyyah turut melahirkan seorang sultan yang bijaksana, diakui oleh kawan dan lawan iaitu Sultan Sulayman al-Qanuni yang juga digelar Solomon the Magnificent di Barat. Bahkan kebanyakan Sultan Uthmaniyyah mempunyai budi pekerti yang mulia.
Apakah rahsia kerajaan ini hingga mampu bertahan selama hampir 700 tahun sebagai kuasa utama dunia? Hinggakan musuh pada satu ketika tidak lagi berani untuk berperang secara fizikal? Bagaimanakah pula bangsa yang hebat ini boleh jatuh? Mengapa tidak ramai orang Melayu yang benar-benar berminat mendalami sejarahnya sepertimana mereka mendalami sejarah ulama' Timur Tengah? Sesungguhnya, amat rugi bagi mereka yang tidak mahu belajar daripada apa yang berlaku kepada bangsa besar ini.
Insya Allah, kita akan cuba mengenali dengan lebih rapat lagi sejarah kerajaan besar ini dalam artikel-artikel yang akan datang.
1 Anda sukakan Istanbul?
2 Ya, saya amat menyukainya.
3 Kenapa?
4 Kerana saya amat berminat dengan sejarah Turki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan