Thursday, October 15, 2009

Bahasa Melayu @ Bahasa 1Malaysia?



Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan tiga perkara penting untuk diberi perhatian kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tiga langkah itu adalah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain meminta pertimbangan kerajaan memberi kuasa penuh kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan undang-undang atau kesalahan bahasa yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Satu lagi langkah yang disyorkan gabungan itu adalah meminta para pemimpin menunjukkan teladan baik dengan menggunakan bahasa Melayu yang tepat terutama ketika bercakap kepada media.

Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tiga langkah itu perlu diberi perhatian dalam usaha menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, istilah bahasa Melayu perlu dikembalikan semula sekali gus mengikis penggunaan istilah bahasa Malaysia yang tidak tepat seperti diamalkan sekarang.

"Pada masa sama, GPMS meminta Kabinet berbincang semula untuk mengembalikan istilah bahasa Melayu yang lebih tepat. Kita harap semua pihak tak kira kerajaan atau rakyat lebih serius melaksanakan dasar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Semua saranan ini bersempena sambutan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan sepanjang bulan ini dan kalau boleh sambutan biarlah bermula 1 Oktober seterusnya ke bulan-bulan lain, bukan terhad bulan Oktober saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar menjelaskan, DBP sewajarnya diberi kuasa meluluskan penggunaan bahasa terutama pada papan tanda atau iklan kerana walaupun telah mendapat kelulusan PBT, kesalahan penggunaan bahasa masih ketara.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan biarlah tepat tanpa perlu dicampur dengan bahasa asing.

"Kita sedia maklum, PBT mempunyai kuasa berkaitan papan tanda atau iklan tetapi biarlah mereka lebih cakna dan sensitif mengenai penggunaan bahasa itu sendiri demi memartabatkan bahasa kebangsaan," tegasnya.

Mengenai bahasa yang digunakan oleh pemimpin, beliau berkata, setakat ini hanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa Melayu yang tepat kepada media.

Katanya, ia penting memandangkan kata-kata seseorang menteri akan menjadi ikutan rakyat termasuk pelajar dan golongan muda dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat membantu mengelak timbul kekeliruan.

(Tok Adi berpandangan sudah tibalah masanya Bahasa Melayu dimartabatkan selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Negara, no kompromi, jangan perjuangan ini diambil alih oleh pihak2 tertentu yang mempunyai seribu satu muslihat dan agenda tersembunyi menggugat kemuliaan Bahasa ibunda kita...biarlah gelaran pejuang bahasa kembali ke pangkuan parti keramat dan pertubuhan GPMS}

No comments: