HALAMAN UTAMA

Sakitkah Aku? : Darah di waktu pagi (Part 1)

Kisah benar pengalaman penulis.

Salam, sedang tidur di pagi hari 25/10/2010, lebih kurang pukul 5.00 pagi. Tekak yang sudah lama berasa gatal-gatal menyebabkan aku terbatuk-batuk dengan kuatnya. Sehinggakanku menyangka bahawa aku sedang bermimpi untuk meludahkan kahak keluar. Oleh itu, keluarlah sesuatu yang disangkakan kahak yang aku ludahkan dan melelehlah ia ke atas dadaku. Sedangku dalam keadaan separuh sedar seakan-akan benda yang mengalir panas, aku meraba-raba dadaku dalam kegelapan. Sedar tidak sedar, sudah kering sedikit cecair itu dan aku mula berasa tidak selesa pada mulut dan bibirku.

Lantas bangun membuka lampu dan mencapai cermin. Masya-Allah, rupa-rupanya yang keluar itu adalah darah. Panik aku seketika dan memikirkan apakah yang perlu aku lakukan di waktu pagi begini? Tanpa berfikir panjang, terus aku mencapai kamera digital dan mengambil rupa keadaanku di waktu pagi itu. Sebagai bukti dan rakaman situasi sebenar kejadian.

Kerisauan menemani aku membersihkan darah yang sudah hampir kering sambil memikirkan apa yang perlu aku lakukan di waktu pagi itu. Tetapi tidak mengapa, perlu tenangkan diri dan ingatlah kepada Allah dan redha sahaja dengan apa sahaja yang dirancang-Nya. Waktu inilah kita akan lebih mengingati Allah dan mati. 

Pada paginya aku ke kelas seperti biasa. Di dalam perancangan aku akan ke klinik kesihatan pelajar UM untuk berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti masalah kesihatanku. Tiba masanya berjumpa dengan doktor, beliau pun tidak berani untuk membuat atau mengesahkan penyakit aku kerana tidak mendapat gambaran yang jelas puncanya. Tetapi diberikan aku sebotol dua untuk mengambil sampel kahak yang keluar bersama darah, jika boleh aku dapatkan.

Lebih kurang pukul 1.00 petang, selepas makan tengahari tekakku berasa gatal semula dan memaksa untuk aku batuk. Ketika itu, sukar dikawal lagi batukku sehinggakan keluarlah darah tanpa kahak daripada kerongkongku. Setiap kali aku batuk, seolah-olah terpancut darah dari saluran darah di dadaku. Sukar untuk digambarkan melainkan mereka yang pernah mengalaminya. Semakin risau dibuatnya melihatkan keadaanku yang tidak menentu.


Tanpa menunggu lama, terus aku ke klinik kesihatan pelajar UM sambil membawa sampel darah yang keluar, walaupun sedikit sahaja aku dapat ambil. Doktor pun tanpa berfikir panjang, terus aku dirujuk ke bahagian kecemasan PPUM pada petang itu juga.

Dalam pukul 2.45 petang, aku mula menunggu dengan tenang untuk berjumpa dengan doktor. Mujurlah ketika itu, sedikit sahaja pesakit yang menunggu untuk di bahagian kecemasan. Selepas sedikit pemeriksaan dibuat, barulah aku dirujuk kepada doktor dan disoal dengan beberapa soalan untuk memastikan apakah sakit yang aku alami.

Pada petang itu juga, darah aku diambil, paru-paruku di x-ray, air kencingku diambil untuk dibuat ujian dan diperiksa. Lebih kurang pukul 4.30 petang aku perlu menunggu keputusan hasil ujian yang sedang dijalankan. Keadaan tenang dengan air yang masukan ke dalam badanku hampir setengah jam itu tidak bertahan lama apabila tekakku mula menimbulkan rasa tidak selesa dan gatal-gatal. Keadaan ini membuatkan aku tidak tahan mahu melepaskan batuk.

Walaupun cuba aku tahan untuk tidak batuk, namun ianya tidak berjaya apabila aku telah mengeluarkan bercawan-cawan darah daripada tekakku yang aku rasakan darah itu keluar daripada peparu. Hampir 5 minit juga aku sendirian batuk sambil keluar darah dengan banyaknya. Jururawat pun sukar untuk aku panggil apabila batuk menguasai diri.

Akhirnya, berjaya juga aku menarik perhatian jururawat untuk memberitahu keadaan aku ketika itu. Saat genting aku batuk dengan darah tidak berakhir di situ apabila aku mula dibawa menggunakan kerusi roda ke bilik lain. (bersambung)

Sakitkah Aku? : Kata Doktor... (Part 2)

Sekian, Terima kasih.

Promosi Tahun Baru Cina

Setiap kali menjelang perayaan besar di negara ini. Kita sering ditawarkan dengan pelbagai promosi untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Tidak ketinggalan juga di dalam penulisan blog yang rata-rata berkongsi manfaat kepada para pembaca sekalian. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berkongsikan promosi yang dibuat oleh beberapa syarikat yang menawarkan produk dan perkhimatan mereka. Sudah tentu percuma jika kita mahu melihat sendiri. Namun, kita juga membuat pilihan sama ada mahu memilih atau tidak produk tersebut. Untuk memilih, kita perlu menilai. Jadi, silalah nilaikan tawaran dan promosi berikut.

Thank you #CNYhottickets! Double the prosperity with Hot Tickets!

Sekian, Terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Takwin Baru UM Sesi 2011/2012?

Salam, kita telah dimaklumkann bahawa sesi kemasukkan baru  IPTA untuk sesi 2011/2012 telah pun dilewatkan bagi menyelaraskan waktu cuti IPTA seluruh Malaysia dengan IPT di luar negara. Oleh yang demikian, takwim IPTA-IPTA berkemungkinan akan menjadi lebih kurang sama tempoh masanya. Mengikut Takwim UM 2011/2012 yang dikeluarkan Laman sensawang Pejabat Naib Canselor Universiti Malaya pada 26 Januari 2011 telah memberikan makluman awal kepada mahasiswa Universiti Malaya mengenai takwim tersebut dan memberikan peluang kepada mahasiswa untuk merancang takwim mereka dengan lebih awal. 

Saya juga mendapati, perbezaannya adalah waktu cuti antara 2 sem telah dipendekkan menjadi satu minggu sahaja manakala cuti antara sesi adalah lebih panjang iaitu 11 minggu. Pada pandangan saya, ini berkemungkinan memberikan kelebihan dan juga cabaran kepada mahasiswa untuk lebih bersedia menghadapi semester 2 yang mana akan bermula lebih awal. Di mana tiada lagi masa untuk berehat-rehat yang lebih lama. Walaubagaimanapun, kelebihan juga pada waktu cuti yang lama bagi melakukan aktiviti yang lebih berfaedah dan bermanfaat.





Sebagaimana dalam tinjaun saya di dalam soalan yang dikemukan dalam satu perbincangan komuniti Youth Malaysia mengenai penyelarasan cuti ini, mendapati ramai yang memberikan jawapan bahawa ianya adalah masa yang baik untuk membuat perjumpaan dengan rakan-rakan lama yang mana cuti mereka adalah serentak. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka boleh berkerja part time bagi menambah sedikit pendapatan. Walaupun terdapat juga peluang bagi mereka untuk program pertukaran pelajar dengan IPT luar negara, mungkin tidak semua akan mendapat peluang tersebut. Namun, apa pun perancangan anda, diharapkan ianya perlulah kepada perancangan yang memberikan manfaat kepada anda.

Bagi takwim Universiti Malaya, saya kongsikan takwim yang telah dikeluarkan oleh Laman sensawang Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya.



Bagaimana pula dengan takwim IPTA lain? Sudah keluar atau pun belum? Mungkin lebih kurang sama sahaja mungkin.
Sekian, Terima Kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Apakah Itu Namanya Ustaz?

Salam semua, di Malaysia sering kali istilah atau gelaran ustaz digunakan untuk mereka yang mengajarkan ilmu agama atau yang mahir di dalam ilmu agama. Sekitar pembelajaran saya, walaupun belum pernah ke negara arab. Namun, saya juga telah diberitahu bahawa gelaran ustaz ini adalah gelaran yang sangat tinggi di sana.

Di negara kita Malaysia, terdapat segelintir yang menganggap gelaran ustaz inii adalah suatu yang sangat rendah tahap atau levelnya kerana kita telah terbiasa dengan budaya di sini. Sesetengah mereka yang mengajarkan ilmu agama di Malayasia ini suka tidak suka menggelarkan diri mereka sebagai ustaz atau ustazah kerana mungkin menganggap ianya tidak setaraf dengan mereka. Sama ada gelaran itu mereka anggap paling rendah atau pun menganggap ianya terlalu tinggi. 


Walaupun begitu, ada juga yang menggunakan gelaran ustaz atau pun ustazah ini di hadapan gelaran yang mereka ada, dengan kata lain, mereka sangat bangga dengan gelaran ini kerana ianya adalah sesuatu yang sangat membanggakan mereka. Sehinggakan apa sahaja gelaran yang mereka dapat akan didahulukan dengan gelaran ustaz atau pun ustazah.

Saya juga memikirkan ada benarnya dan sebaiknya kita mengangkat mereka ini untuk menghargai mereka dalam menyampaikan ilmu. Saya mendapat tahu daripada Dr. Aizan yang menyampaikan syarahannya mengenai Kesarjanaan Sains Islam di Universiti Malaya bahawa ustaz atau ustazah ini di negara arab adalah untuk mereka yang bergelar Professor. Bukan seperti di Malaysia, budaya kita menganggap ustaz atau ustazah ini sebagai golongan yang mengajarkan ilmu agama sahaja. Begitu juga dengan syarahan kelas Bahasa Arab di Fakulti Bahasa Universiti Malaya oleh Ustaz Abd Malek yang mengatakan bahawa perkataan ustaz itu sebenarnya datang daripada bahasa Parsi yang membawa maksud Professor di Universiti-universiti di negara arab.




Oleh yang demikian, tidak salahlah kita menggunakan gelaran ustaz bagi mereka yang mengajarkan ilmu agama atau pun apa sahaja ilmu yang bermanfaat. Cumanya mahu dikatakan di sini bahawa, gelaran itu amat tinggi nilainya kerana tanpa penyampaian ilmu mereka kepada kita, mungkin tidaklah kita dapat mempelajari ilmu-ilmuu yang baru sebagai panduan dalam hidup kita. Juga janganlah kita menrendah-rendahkan gelaran ini seolah-olah mereka ini tidak setanding dengan ilmu-ilmu lain seperti kejuruteraan, perubatan, matematik, ekonomi dan sebagainya. Jika ada yang beranggapan demikian, maka fikir-fikirkanlah apakah ilmu yang kita miliki itu lebih penting daripada ilmu mereka?

Sekian, Terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Masalah PC : Error driver

Penggunaan laptop atau komputer kini telah dianggap satu keperluan di dalam urusan pekerjaan seharian kita. Jadi, saya telah belajar sesuatu hari ini. 

Spesifikasi laptop:-

Model : BENQ Joybook R45
Processor : Intel(R) Core(TM)2 Duo CPU     T5750 @ 2.00GHz
Install memory (RAM) : 3.00 GB
System type : 32-bit Operating System
Windows edition : Windows 7 Ultimate Version 6.1 (Build 7600)

Masalah telah berlaku pada laptop ini. Apa yang perlu dilakukan untuk menyelesikan masalah keluar "Error" seperti ini :-

[ Can't Open ACPI ATK0100 kernel Mode Driver ]




Pengguna ini telah menerima mesej ini selepas restart laptop. Diberitahu juga, beliau telah me'remove'/membuang beberapa program dan kemudian masalah ini timbul. Mengikut daripada maklumat ini, masalah yang dijangkakan ialah berpunca daripada tindakan beliau terdelete ATK Hotkey driver laptop berkenaan di bahagian  Oleh yang demikian, dicadangkan supaya menginstall semula driver berkenaan daripada CD driver laptop tersebut. Antara langkah yang telah dilakukan ialah :-

1. Mengenalpasti driver berkenaan adalah daripada jenis yang sama.
2. Meng'copy' file yang berkenaan ke desktop dan installkan driver berkenaan.
3. Laptop tersebut memerlukan untuk direstart semula.

Kemudian, masalah ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Semoga dengan sedikit ilmu cara selesai masalah PC atau laptop berguna di masa hadapan. Insya-Allah.


Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Islam ada politik?

Salam semua pembaca, saya tergerak hati ingin berkongsi sedikit pandangan mengenai adakah Islam ada Politik? Saya bukanlah mahir atau pun menguasai penuh bidang politik ini, tetapi sekadar ingin berkongsi pandangan saya mengenainya.

Adakah anda akan  bersetuju jika saya katakan, di dalam Islam, politik tidak boleh dipisahkan?
setujukah anda, jika tiada politik dalam Islam, maka Islam tidak lengkap.

Saya setuju akan pernyataan ini, hal ini kerana politik itu juga adalah kuasa Islam.
Saya bagi sedikit contoh:-

Di dalam solat, solat itu juga adalah politik, setuju? kenapa? sebab, jika nak bersolat jemaah mesti melantik imam. Jadi di dalam perlantikan itu, boleh atau pun tidak ramai yang menjadi imam utk satu jemaah? sudah tentu tidak boleh. Demikian juga ia sama juga dengan konsep kita melantik ketua, sebab imam itu ialah ketua.

Adakah ia bukan politik? di sini juga telah mengajar kita agar patuh kepada pemimpin atau ketua. Jikalau kita ingkar? maka tidak dapatlah pahala jemaah. Betul? Maknanya, kalau kita ingkar dengan ketua, maka kita dengan tersendiri terkeluar daripada masyarakat atau orgnisasi tersebut.

Oleh itu yang penting juga, jika imam itu melakukan kesalahan atau terlupa sesuatu perkara yang boleh dimaafkan, maka jemaah wajib menegur imam tersebut. Betul? Kalau tidak tegur macam mana? sah atau tidak kita mengikut imam yang kita sudah nampak kesalahannya ketika sedang bersolat? Iaitu kesalahannya terang-terangan membatalkan solat. Di sini bolehlah kita katakan, kita perlu menegur ketua jika mereka terlupa atau tersilap. Inilah antara politik yang boleh dilihat di dalam Islam.

Situasi yang lain pula, jika imam terbatal atau terkentut, maka perlulah digantikan dengan memilih imam yang lain. Tetapi bagaimana kalau tidak diganti? Adakah makmum yang tahu imam itu batal, masih ikut imam? sudah tentu tidak. Bagaimana mahu ikut imam, sedangkan imam sudah tiada di hadapan? maka kita perlu pilih imam yang lain dalam kalangan jemaah itu sendiri.

Di sini, boleh dikatakan kita wajib menggantikan pemimpin dalam masyarakat yang mempunyai pemimpin yang sudah tidak layak lagi atau hilang kelayakkan untuk memimpin seperti imam tadi yang telah melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat. Maka perlu membuat pilihan dan sepatutnya perlu tahu siapakah yang prioriti menjadi imam selepas imam utama batal. Di sini, semua perlu ambil peranan masing-masing.

Dan bagaimana sebuah kampung itu wajib mendirikan solat jemaah yang mana menjadi fardhu kifayah kepada kampung tersebut. Tetapi cuba kita bersama fikirkan, jika hanya ada beberapa orang sahaja yang memainkan peranan mereka untuk menjadi imam di dalam kampung itu dan yang lain hanya mendiamkan diri tanpa apa-apa persediaan, adakah pada satu masa imam tiada, bagaimana kewajipan dan tanggungjwab seluruh kampung itu terangkat? Dengan kata lain, siapa yang bertanggungjawab menggantikan dan memastikan solat jemaah itu masih dilakukan?

Jika tiada seluruh kampung akan mendapat dosa. Saya melihat kepentingan kita sebagai anggota masyarakat itu tidak boleh lari dengan politik. Begitu juga dalam pemilihan pemimpin negara. Cumanya yang kita mampu buat di negara kita adalah demokrasi berparlimen. Walaupun ianya adalah acuan daripada barat, di sinilah kita perlu memainkan peranan jika kita mahu ianya diubah. Jadi tanggungjawab siapa? Jika kita sibuk dengan amalan kita sehinggakan mengabaikan politik pemilihan pemimpin, bagaimana mahu menjamin kesucian dan keagungan itu sendiri sekiranya kita hanya membiarkan kuasa kita diambil mereka yang kurang faham mengenai Islam.

Jadi bagaimana untuk memilih pemimpin di Malaysia, sudah tentu kita perlukan pilihanraya. Dan perlu juga tahu ketua yang baik dan berkelayakan. Betul? Ini sudah tentu perlu. Islam juga telah mengajar bagaimana untuk memilih pemimpin. Jadi akhlak yang baik dan sesuai untuk memimpin masyarakat dan kriteria yang lain perlulah diambil kira. Solat itu sendiri banyak yang kita boleh belajar falsafah yang boleh dijadikan panduan hidup kita.

Oleh itu, adakah Islam itu tiada politik? saya sangat tidak setuju dengan pandangan yang memisahkan Islam itu dengan politik. Seolah-olah, bila diminta memilih pemimpin khususnya dalam apa jua perkara. Tidak boleh diberikan penerangan bagaimana untuk memilih. Di dalam ceramah agama perlu diterapkan cara memilih pemimpin. Sebab kita perlu aplikasikan cara pemilihan imam dengan cara memilih ketua atau pemimpin. Konsepnya pada saya sama sahaja. Cuma kita yang tidak mengambil pengajaran di dalam ibadah kita itu sendiri.

Selain itu, perku diingat, saya bukanlah mengatakan bahawa kita perlu berpolitk kepartian semata. Yang saya ingin tekankan adalah, jangan kita cepat melatah atau pun melenting jika orang lain atau pun sesiapa sahaja memberi ingatan mengenai tanggungjawab kita berpolitik. Kita lari dari politik, bermakna kita lari dari tanggungjawab. Kita hidup perlu bermasyarakat, jika tiada masyarakat, bermakana kita tiada tamadun. Dalam masyarakat mesti ada pemimpin. Jika tiada pemimpin, adakah masyarakat itu makmur dan tenteram? Fikir-fikirkan bersama.

Jangan juga lupa, politik juga ibadah jika kita faham konsep yang sebenarnya kerana ianya luas. Yang menjadikan politik itu kotor dan jijik itu jika kita mengamalkan politik yang secara membabi buta dan tidak tahu hujung pangkalnya. Membiarkan kemungkaran berlaku tanpa menegurnya. Menyalahgunakan kuasa politik untuk kepentingan sesuatu perkara. Mengamalkan rasuah dan tidak telus dan sebagainya yang menyalahi batas-batas Islam itu sendiri sebagai landasan hidup.

Jadi, pada saya paling tidak pun seseorang muslim itu perlu antaranya:-
1. Mendaftar sebagai pengundi di SPR.
2. Mengambil tahu sahaja isu politik negara sebagai panduan mengundi.
3. Sentiasa sensitif dengan perkara yang berlaku berkaitan dengan kesucian Islam secara rasional dan berhikmah.

Sekian, sedikit pandangan mengenai politik dan Islam. Jadi apa kata anda?

p/s : Pandangan saya sebagai seorang belia muda Malaysia mengenai Politik dan Islam. Teguran amat dialu-alukan jika terdapat kesilapan kenyataan yang saya tulis.  

Sekian, Terima Kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Benarkah Si Unta Pedendam?

Salam semua, sesuatu yang sangat menarik jika mendengar suatu kisah yang selama ini kita tidak ketahui. Melihatkan daripada tajuk "unta pendendam?" Apakah benarkah kenyataan ini? Apabila dikhabarkan kepada saya bahawa unta adalah seekor haiwan yang sangat kuat ingatannya. Dalam pembacaan saya secara rambang di dalam beberapa laman web dan blog, memang benarlah dikatakan bahawa unta ini mempunyai ingatan yang kuat. Oleh itu, kenyataan unta adalah seekor haiwan yang pendendam adalah tidak mustahil.



Walaubagaimanapun, mengapakah saya menyebutkan mengenai unta? Begini saudara sekalian, ketika menghadiri satu kursus, seorang penceramah telah mengaitkan sifat pemalu unta yang boleh dijadikan tauladan, juga diberitahu bahawa unta adalah haiwan yang kuat ingatannya. Pemalunya unta ini sehinggakan kita tidak tahu bilakah unta tersebut mengawan berbanding dengan binatang-binatang lain yang kadang-kala kita boleh binatang tersebut mengawan. Di sini, kita perlu mengambil pengajaran bahawa, jika haiwan pun mempunyai rasa malu yang amat tinggi, mengapa tidak kita sebagai manusia? Sebagai contoh bercumbu-cumbuan di tempat awam. Jika haiwan pun mempunyai rasa malu untuk melakukannya di khalayak ramai, mengapa kita manusia tidak malu? Tetapi, pada saya tidaklah begitu terkejut jika manusia tiada rasa malu. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran :- 

Surah Al A'raaf
ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ
{179} Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.

Allah juga telah memberitahu kita bahawa sememangnya terdapat manusia yang lebih teruk daripada binatang ternakan. Tetapi, bagaimana jika dibandingkan dengan binatang yang bukan ternakkan? Jadi, pandai-pandailah saudara fikir-fikirkan. 

Berbalik kepada kisah unta tadi, walaubagaimanapun, saudara saudari sekalian, perlu diketahui juga bahawa jika kita melihat unta tersebut mengawan, maka eloklah kita elakkan daripada melihatnya mengawan. Hal ini kerana, diberitahu tadi bahawa unta mempunyai ingatan yang kuat. Jadi, jika unta tersebut mengetahui orang yang melihat unta tersebut mengawan, ia akan ingat wajah orang tersebut dan akan menyimpan dendam untuk membunuh sesiapa yang melihatnya mengawan dalam tempoh masa yang lama. 





Oleh itu, misal kata kita datang pada tahun ini melihat unta tersebut, dan kita datang lagi pada tahun hadapan, nescaya unta tersebut akan mencari orang yang telah melihatnya mengawan dan memastikan orang itu akan mati dibunuh. Itulah yang diberitahu sebagai satu pengetahuan yang mungkin berguna kepada kita apabila berjumpa dengan unta dengan mengetahui sifatnya itu. Walaubagaimanapun, saya sendiri tidak dapat sahkan apakah pernah berlaku kejadian sedemikian atau tidak, dan adakah unta ini benar-benar menyimpan dendam itu adalah fakta yang benar. Wallahua'lam. Jika saudara pernah mendengar atau alaminya sendiri, silalah berkongsi dengan saya dan pembaca-pembaca lain. Saya sekadar berkongsi mengenai sebahagian sifat unta.

Sekian, Terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Selawat Kompang, Amin amin ke tajuknya?

Salam sejahtera, saya ingin berkongsi lagi ilmu yang saya dapat bersama kumpulan Paluan Warisan. Di dalam kompang ini juga saya telah diajar kan untuk bermain paluan kompang sambil berselawat. Selawat ini yang dinamakan dengan tajuk amin amin, (betulkah nama selawat ini?) Kalau tidak salah, nama amin, amin ini dapat daripada rangkap amin, amin yang ada di dalam lirik selawat ini. Tetapi, menarik jugalah apabila paluan kompang ini dimainkan sambil berselawat. Jadi, saya ingin berkongsikanlah selawat amin amin ini bersama-sama anda. Tetapi jika ada kesalahan atau kesilapan pada lirik ini, diharapkan dapat ditegur atau diperbetulkan agar ianya dapat diperbetulkan.

Selawat Amin Amin
Sollallahu ala Muhammad,
Sollallahu alaihi wassallam,

Sollallahu ala Muhammad,
Sollallahu alaihi wassalam,

Sollallahu ala Muhammad,
Ya Rabbi solli alaihi wassalam,

Amin, amin, amin,
Amin, amin, amin,
Ya Allah,

Amin, amin, amin,
Muhammadur Rasullullah.



Itulah lirik selawat yang dimainkan di dalam kumpukan paluan warisan. Ada lagi lirik selawat yang dimainkan, Tetapi, tak ingatlah buat masa ini. Nanti akan saya kongsikan lagi beberapa selawat dan lagu-lagu lain yang saya ingat. Otai-otai kompang Paluan Warisan pun diharap dapatlah ingatkan semula lagu-lagu atau selawat-selawat yang ada, Insya-Allah. Sekadar berkongsi apa yang saya masih ingat bersama saudara saudari pembaca sekalian. 

Sekian, terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Sudah sah sebagai pemilih?

Salam semua. Selamat Tahun Baru 2011. Sempena tahun baru ini, marilah bersama-sama kita menjadi warga negara MALAYSIA yang lebih baik. Untuk diri saya, rasanya, satu langkah untuk menjadi seorang warga Malaysia sudah tercapai. Ingatan saya kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian. Marilah kita menjadi warga negara yang patriotik untuk kedaulatan dan keamanan kehidupan kita di MALAYSIA. Siapa yang mahu negara mereka kucar-kacir? Sudah pasti semua orang mahu negara yang aman dan bebas. Walau apa sekalipun berlaku, kitalah yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatannya.

Ada beberapa perkara yang saya rasakan sedang berlaku dalam fikiran anak muda sekarang:-
1. Mahu duduk dalam negara yang aman tapi tak mahu mendaftar sebagai pengundi.
2. Mahu hidup bebas bergerak dan buat apa sahaja tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.
3. Mahu hak-hak kita dibela dan terjamin sebagi rakyat tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.
4. Mahu berjaya dalam pelajaran dan kerjaya tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.




Tetapi percayakah anda kita mungkin dan boleh :-
1. Hilang keamanan yang ada sekarang.
2. Hilang hak kebebasan untuk buat apa sahaja kerana keselamatan diancam oleh pihak luar.
3. Hilang hak-hak sebagai rakyat seperti mendapat keperluan asas, keperluan untuk hidup bebas.
4. Sukar untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya kerana tidak dibantu atau tidak mampu atau dihalang.

Jadi, apa perlu kita lakukan untuk menjamin sekurang-kurangnya kita berhak dan berkuasa? Walaupun mungkin sukar dan kita anggap nilai satu itu tidak memberi makna yang besar, tetapi itulah sebenarnya yang boleh dan tidak mustahil akan terjadi jika diabaikan. Janganlah kita anak muda abaikan untuk mendaftar.


Saya sangat bimbang, mungkin kita tidak mampu ubah seorang diri, namun kita mampu menentukan keadaan yang mungkin memerlukan nilai satu itu untuk mengubahnya. Percayalah, jangan tolak atau bazirkan kuasa kita sebagai rakyat. Anak muda Malaysia 21 dan ke atas amat diperlukan dalam penentuan negara yang maju dan lebih stabil. Pada saya, kita tidak boleh menjadi seperti dulu yang mana, mungkin kita biarkan sahaja keadaan yang menentukan nasib kita. Minta jauhlah sikap seperti itu daripada diri kita.

Saudara pembaca sekalian, bayangkanlah tatkala kita diperlukan, kita masih tidak bersedia. Jadi bagaimana kita boleh membantu? Bersedia di sini, ialah mendapatkan hak sebagai pengundi. Jika kita tidak dapat hak mengundi, bagaimana kita mahu gunakan hak kita?

Analogi yang boleh saya gunakan seperti semua orang diberikan kunci untuk motosikal masing-masing. Setiap kunci diletakkan disebuah peti untuk setiap orang. Setiap orang perlu ambil kunci tersebut bila sampai masanya. Tetapi kita tidak membawa bersama kunci tersebut. Jadi, jika tiba-tiba keadaan kita memerlukan motosikal tersebut, kita tiada kuncinya. Bolehkah kita gunakan motosikal tersebut? Sudah tentu tidak. Orang lain yang sudah ambil kunci motosikal tersebut, boleh bergerak bebas memilih destinasinya sendiri. Tetapi kuta sudah tidak dapat membuat pilihan ke mana kita mahu pergi sebab tiada kuncinya.

Begitulah analogi yang saya cuba gunakan. Mungkin tidak berapa tepat analogi seperti itu, tetapi sedikit sebanyak saya gambarkan keadaaannya yang akan beralaku kelak. Jadi, jom daftar pemilih untuk pilihan raya.

Kuncinya di sini, BUKAN PARTI yang menjadi keutamaan tetapi KUASA KITA PERLU KITA DAPATKAN. Dapatkan KUASA dahulu, barulah fikirkan PARTI HALUAN kita. Itu yang penting pada fikiran saya.

Sebenarnya, saya ingin berkongsi bahawa pendaftaran saya sebagai pemilih pada tahun lalu yang sudah 6 bulan rasanya telah pun disahkan. Jadi jika anda sudah mendaftar, silalah semak disini dan akan tertera seperti di bawah :-


Oleh itu, untuk buat semakan, silalah ke laman sensawang ini :-




Sekian,

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Nuffnang