HALAMAN UTAMA

Wang? Sampah? Kitar Semula?

Sudah lama saya terfikir akan perkara ini, wang? sampah? kitar semula? Apakah yang para pembaca fikirkan jika ditanya mengenai sampah. Mungkin ada yang mengatakan bahawa sampah itu adalah sesuatu yang kotor, jijik dan boleh mengganggu kehidupan kita seharian. Walaubagaimanapun, sedarkah kita bahawa tindakan membuang sampah dengan tidak sistematik adalah punca utama masalah pelupusan sampah yang semakin kritikal kini. Apakah kita tiada jalan untuk mengatasi masalah ini? Pada pandangan saya, ini bukanlah sesuatu yang sukar bagi sesebuah masyarakat untuk bertindak apabila terdapatnya kesedaran mengenai kepentingannya.

Sampah itu wang, sampah itu alam sekitar, adakah kita sedar akan kenyataan ini?
Namun, disinilah pertimbangannya. Sampah itu akan jadi apa yang kita fikirkan. Bagaimana? Kita sebagai ahli masyarakat perlu sedar akan hakikat ini. Para pembaca yang budiman, kitar semula adalah jawapannya. Mengapa? anda perlu faham bahawa apa yang kita buang adalah sesuatu yang sudah tidak berguna lagi bagi kita. Tetapi ingat, ini bukan bermaksud ia tidak boleh diguna pakai lagi. Betul ke? para pembaca sekalian, kita di Malaysia menghasilkan sampah 30 000 tan sampah sehari yang mana sampah yang kita buang mempunyai pelbagai kategori. Untuk pengetahuan, hanya 5% sampah yang dikitar semula dan 95% dilupus begitu sahaja. 


Oleh yang demikian, banyak perkara yang perlu dinilai, walaubagaimanapun secara ringkas dan mudah difahami, ada beberapa kategori utama sampah seperti kertas, plastik, tin, kaca dan sebagainya. Jika diamati jenis-jenis ini adalah sesuatu yang biasa kita lihat terutamanya kertas dan plastik. Kita tidak boleh lari dari menggunakan bahan-bahan ini. Hal ini kerana ia sudah menjadi sesuatu keperluan dalam kehidupan kita.

Oleh yang demikian, beberapa pengalaman saya bolehlah dijadikan panduan para pembaca untuk berfikir dan menilai. Pada saya, kesedaran ini sudah bermula sejak dari sekolah rendah lagi, yang mana saya mula untuk mengitar semula bahan-bahan utama ini seperti surat khabar, botol-botol kaca dan tin aluminium. Ini kerana pada ketika itu, dilihat dari konteks untuk mendapatkan wang. Walaubagaimanapun, tidaklah memikirkan kepentingan kitar semula dari sudut saintifik. Namun, ia berterusanlah sehingga ke sekolah menengah yang mana kebetulan di SMK Segambut Jaya juga telah memulakan kempen untuk mengitar semula bahan-bahan utama yangboelh dikitar semula seperti tin, kertas, botol-botol kaca dan plastik. Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membina pentas. Namun bukan mudah untuk dilaksanakn dan tidak mustahil untuk berjaya dalam kempen ini. Saya yang tinggal berhampiran sekolah merasakan adalah amat mudah untuk menyumbangkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula memandangkan ia adalah sesuatu yang amat mudah untuk dilaksanakan di rumah, kerana hanya perlu mengasingkan ia mengikut jenis.


Walaubagaimanapun, kempen ini sepatutnya tidak berakhir walaupun selepas mencapai matlamat yang disasarkan. hal ini kerana ia adalah usaha yang berterusan yang sepatutnya dipupuk kepada generasi sekarang bukan sekadar untuk mencapai matlamat sahaja. Namun ia perlu diteruskan disamping dapat dijanakan ke dalam tabung pembangunan sekolah. Walaupun ianya tidak memberikan keuntungan yang lumayan, tetapi bukan itu yang kita kejarkan, apa yang perlu adalah untuk mendidik paradigma masyarakat mengenai keperluan kitar semula agar menjadi budaya masyarakat negara kita yang masih menuju ke arah mencapai negara maju.

Namun, saya amat tidak menyokong jika ia hanya dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja dan hangat-hangat tahi ayam. Bukan kerana usaha itu tidak bagus, tetapi perlulah dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab bagi menerapkan budaya ini dijiwa masyarakat. Bukanlah tong-tong kitar semula yang disediakan diisikan dengan pelbagai sampah yang tidak diasingkan mengikut jenis. Ini adalah sesuatu yang gejala yang timbul dan boleh membantutkan usaha ini. Mengapa usaha ini disambut dingin oleh masyarakat?

Saya juga ingin menyarankan agar semua sekolah wajib untuk mempunyai tong-tong kitar semula dan memanfaatkannya seratus peratus tanpa mengabaikan fungsi-fungsi tong tersebut. Pada saya yang pernah bersekolah di SBPI Selandar Melaka boleh melihat sendiri perkara ini yang mana sekolah perlulah memanfaatkan sampah yang dihasilkan oleh para pelajar. Hal ini kerana, khususnya pada akhir tahun ataupun cuti-cuti umum, para pelajar boleh menyumbangkan barang-barang yang boleh dikitar semula kepada sekolah disamping dapat mengumpul dana yang boleh digunakan untuk pembangunan pelajar sendiri atau sekolah.

Selepas tamat persekolahan, terutamanya pada setiap akhir tahun, sudah pasti banyak buku-buku dan kertas-kertas dibuang oleh pelajar. Pada pengalaman saya, apakah berbaloi untuk saya mengumpul dan mengutip semua kertas-kertas dan buku-buku yang terbuang untuk dibawa pulang bersama ke Kuala Lumpur. namun, itulah yang saya lakukan kerana tidak mahu berlaku pembaziran yang kita tidak nampak ianya berlaku jelas dipandangan mata. Pada saya, kebanyakan orang berpendirian bahawa ianya tidak berbaloi sama sekali untuk berbuat demikian kerana tidak memberikan apa-apa keuntungan dan hanya meletihkan.


Pandangan ini biasa didengari daripada mereka yang belum sedar akan kepentingan kita untuk memelihara alam sekitar secara tidak langsung dalam mengitar semula bahan-bahan tersebut. Ini kerana pendidikan dalam pembudayaan kitar semula hanya dilaung-laungkan kempennya di media massa dan merata tempat. Namun tempat yang sepatutnya pendidikan ini berlaku tidak bertindak dengan serius dan menganggap ia perkara yang tidak ada kena mengena dengan aspek akademik pelajar. Amat malanglah generasi negara Malaysia akan datang kerana mempunyai keturunan yang tidak mahu mengambil kesah akan kesan budaya kitar semula yang tidak dipupuk sejak awal lagi kepada mereka.

Mengapakah ini berlaku? Sukarkah untuk dilaksanakan?
Fikir-fikirkanlah. Antara wang? sampah? Kitar semula? Pilihlah yang mana untuk dijadikann landasan dalam membina budaya masyarakat negara maju. Alam sekitar adalah perkara paling pokok untuk dibicarakan dan memerlukan usaha yang berterusan tanpa ada tolak ansur untuk memelihara khazanah alam yang seimbang daripada sebarang kemusnahan dan kerosakan seterusnya kepupusan. Terpulanglah kepada kita untuk menilai.


Apa yang dapat saya dirumuskan :-

1. Sampah adalah apa yang kita fikirkan.
2. Sampah adalah wang jika tahu untuk mengitar semula.
3. Sampah yang diuruskan dengan baik dapat mengurangkan longgokan sampah.
4. Jangan jadikan alam kita sebagai sampah semata-mata.
5. Semua sekolah perlu diwajibkan untuk melaksanakan kempen kitar semula secara
berterusan dan bertanggungjawab.
6. Budaya kitar semula perlu dipupuk untuk menjadi sebuah negara maju.



Antara Info menarik mengenai kitar semula :-

1. 1 tan KACA yang dikitar semula menjimatkan 9 Gallon bahan bakar.

2. Setiap BOTOL KACA yang dikitar semula menjimatkan tenaga yang cukup untuk
menghidupkan sebiji mentol berkuasa 100watt untuk 4 JAM.

3. 1 tan kertas yang dikitar semula menjimatkan:-
> 17 batang POKOK
> 6953 GALLON AIR
> 463 GALLON PETROLEUM
> 587 PAUN pencemaran UDARA
> 3.06 unit padu TAPAK PERLUPUSAN
> 4 077 Kilowatt tenaga SEJAM

4. Keluli yang dikitar semula dapat :-
> Menjimatkan 4 KALI tenaga yang digunakan.
> Mengurangkan pencemaran dan sisa gailan sebanyak 70%.
> Menjimatkan tenaga untuk hampir 18 JUTA pemilik rumah setahun dalam
pengitaran semula oleh industri keluli.

Untuk keterangan dan infomasi bagi lokasi dan syarikat yang boleh menguruskan mengenai kitar semula boleh rujuk di laman :-

http://web.kpkt.gov.my/recycle/

Sekian, Info ditambah, Minda Bercambah.

Pernah melihat Kiswah dihasilkan?


Sempena menyambut musim haji dan Hari Raya EidulAdha tidak lama lagi, para jemaah haji di Tanah Suci sedang bersiap sedia untuk menunaikan rukun Islam yang kelima dengan melaksanakan rukun-rukun haji. Tahukah kita bahawa ka'bah akan ditukar kelambunya setiap tahun apabila tiba musim haji? Pernahkah kita melihat bagaimana cara pembuatannya? Mungkin ada di antara para pembaca sudah pun pernah ke tanah suci Makkah al-Mukarramah dan pernah melihat sendiri bagaiman kelambu ka'bah atau kiswah ini dibuat.

Saya di sini ingin berkongsi serba sedikit beberapa gambar yang saya perolehi daripada laman web yang saya temui. Oleh yang demikian, suka saya menyatakan bahawa gambar ini adalah untuk memberikan gambaran dan info kepada kita serba sedikit mengenai bagaimana kiswah ini dihasilkan.

















Beberapa Fakta Menarik mengenai Kiswah

1. Kos bernilai $5 juta.
2. Saiz 658 meter persegi.
3. Dibuat menggunakan 670kg sutera asli.
4. Disulam menggunakan 150 kg benang emas dan perak.







Video ringkas berkaitan dengan pembuatan kiswah...



Video penuh berkaitan dengan pembuatan kiswah di kilangnya...



Di bawah ini juga ditunjukkan bagaimana proses penukaran kelambu kaabah/kiswah pada setiap kali ketibaan musim haji.



Dokumentari penuh berkaitan Sejarah kilang kelambu Kaabah/Kiswah.



Jika para pembaca mempunyai pengalaman mengenai kiswah ini bolehlah dikongsi bersama dengan memberikan komen dan pandangan. 

Sekian, Terima kasih.

Botol plastik? Selamatkah kita?

Rakan-rakan sekalian, mungkinkah kita pernah terfikir. Adakah botol plastik yang kita gunakan sepanjang kehidupan kita adalah selamat daripada sebarang kemudharatan? Mungkin ramai di antara kita tidak pernah terfikir dan mahu mengambil tahu apakah yang tersembunyi disebalik botol plastik yang kita gunakan. Pernahkan kita terlihat simbol segitiga yang terdapat dibahagian bawah botol plastik yang kita gunakan?

Rakan pembaca yang dihormati, adakah kita terfikir, apakah simbol-simbol ini?

Simbol kitar semula? Simbol bilangan botol boleh digunakan?

Adakah betul andaian kita ini? rakan-rakan sekalian. Adalah tidak tepat jika kita berfikiran begitu. Ketahuilah bahawa itu adalah simbol bagi bahan-bahan yang digunakan didalam pembuatan botol plastik tersebut. Yang mana setiap simbol menunjukkan bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan botol tersebut. Saya disini ingin berkongsi serba sedikit apa yang dapat dirungkai untuk mengetahui kesesuaian penggunaan berdasarkan simbol-simbol yang ditunjukkan pada botol tersebut.




Secara ringkasnya bahan-bahan tersebut adalah:-
1) Polyethylene terephalate (PET)
2) High density polyethylene (HDPE)
3) Unplasticised polyvinyl chloride (UPVC) or Plasticised polyvinyl chloride (PPVC)
4) Low density polyethylene LDPE
5) Polypropylene (PP)
6) Polystyrene (PS) or Expandable polystyrene (EPS)
7) Other, including nylon and acrylic

Dan Penggunaan yang disarankan adalah seperti berikut :-



Antara kandungan pada setiap nombor tersebut adalah seperti berikut :-
JENIS PERTAMA

Nombor 1 di tengahnya serta perkataan PETE atau PET (Polyethylene Terephthalate) di bawah segitiga. Biasa digunakan untuk botol plastik, berwarna jernih/lut sinar seperti botol air mineral, botol jus, dan hampir semua botol minuman. Hanya boleh digunakan sekali sahaja. Jika terdapat air panas di dalamnya, ianya akan mengakibatkan lapisan polimer pada botol tersebut meleleh dan mengeluarkan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser.

JENIS KEDUA

Nombor 2 di tengahnya, serta perkataan HDPE (High Density Polyethylene) di bawah segitiga. Biasa dipakai untuk botol susu yang berwarna putih susu, tupperware, serta bekas air minuman. HDPE memiliki sifat bahan yang lebih kuat, keras dan lebih tahan terhadap suhu tinggi. HDPE merupakan salah satu bahan plastik yang selamat untuk digunakan kerana kemampuannya mencegah reaksi kimia antara plastik berbahan HDPE dengan makanan/minuman. Sesuai di pakai sekali sahaja.

JENIS KETIGA

Nombor 4 serta perkataan PVC bermaksud Polyvinyl Chloride. Plastik ini biasanya terdapat pada plastik pembungkus (cling wrap) dan botol-botol. Reaksi yang terjadi antara PVC dengan makanan berpotensi berbahaya untuk ginjal, hati dan berat badan. Sebaiknya kita harus mencari alternatif pembungkus makanan lain (bukan bertanda 3 dan V) seperti plastik yang diperbuat dari polietilena atau bahan alam seperti daun pisang.

JENIS KEEMPAT

Nombor 4 di tengahnya serta perkataan LDPE (Low Density Polyethylene) ialah plastik coklat (thermoplastic/diperbuat dari minyak bumi), biasa di gunakan sebagai tempat makanan, bekas plastik, dan botol-botol yang lembik.
Barang berbahan LDPE ini sukar dihancurkan namun tetap baik untuk tempat makanan.

JENIS KELIMA

Nombor 5 di tengahnya serta PP (Polypropylene) adalah botol lutsinar biasa yang tidak jernih. Polipropilen lebih kuat dan ringan dengan daya tembus wap yang rendah,ketahanan yang baik terhadap lemak, stabil terhadap suhu tinggi dan cukup mengkilap.
Jenis ini adalah pilihan bahan plastik terbaik, terutama untuk tempat makanan dan minuman serta yang terpenting botol minum untuk bayi.

JENIS KEENAM

Nombor 6 di tengahnya serta PS (Polystyrene) biasa digunakan sebagai tempat makan styrofoam, tempat minum sekali pakai dan lain-lain. PS merupakan polimer aromatik yang dapat mengeluarkan bahan styrene ke dalam makanan ketika bersentuhan dengan bahan tersebut. Selain tempat makanan, styrene juga terdapat dari asap rokok, asap kenderaan dan bahan konstruksi gedung. Bahan ini harus dihindari, kerana selain berbahaya untuk kesihatan otak ia juga mengganggu hormon estrogen pada wanita yang mengakibatkan masalah reproduksi, pertumbuhan dan sistem saraf. Ketika dibakar, bahan ini akan mengeluarkan api berwarna kuning jingga dan meninggalkan jelaga.


JENIS KETUJUH


Nombor 7 di tengahnya serta perkataan OTHER. Untuk jenis plastik 7 Other ini ada 4 jenis iaitu:

1. SAN - styrene acrylonitrile

2. ABS - acrylonitrile butadience styrene

3. PC - polycarbonate

4. Nylon

Boleh didapati pada tempat makanan dan minuman seperti botol minum olahraga, komputer, alat-alat elektronik. Barangan plastik SAN dan ABS bertindak tinggi terhadap reaksi kimia dan suhu, kekuatan dan tingkat kekerasan yang telah ditingkatkan. Biasanya terdapat pada mangkuk mixer, pembungkus thermos, piring, alat makan, penapis kopi dan berus gigi. ABS biasanya digunakan sebagai bahan mainan Lego. Plastik jenis ketujuh ini merupakan salah satu bahan plastik yang sangat baik untuk digunakan dalam barangan makanan ataupun minuman. Walaubagaimanapun, harus diingat kadang-kala penggunaan barangan plastik yang tidak betul juga memberikan kesan yang amat buruk seperti menggunakan barang plastik di dalam mikrowave yang tidak tertera pada barang plastik tersebut 'microwave save'. Berhati-hatilah.

Oleh yang demikian, dapat diringkaskan untuk yang mahu mengetahui apakah ringkasan daripada artikel ini ialah kita perlu mengelakkan daripada menggunakan botol plastik atau bekas-bekas plastik yang mempunyai kod pada botol bernombor 3, 6 dan 7(PC). Hal ini kerana kod ini menunjukkan bahawa penggunaannya tidak sesuai untuk digunakan sebagai pembungkus makanan atau bekas makanan dan paling berbahaya digunakan. Walaubagaimanapun no 7 hanya yang tertulis (SAN atau ABS) selamat digunakan. Namun anda boleh menggunakan 1, 2, 4, dan 5 sebagai alternatif dan penggunaan kaca atau gelas dan barangan keluli juga amat digalakan.

Walaubagaimanapun, untuk lebih jelas lagi, saksikanlah video temuramah ini...



boleh juga merujuk laman berikut untuk keterangan lanjut:-

1. http://urbanlegends.about.com/library/ bl-microwave-dioxin.htm
2. http://www.mindfully.org/Plastic/ Microwave-Health-Problems.htm

Saya juga ingin berkongsi komen yang diambil dari laman PPIM mengenai botol plastik ini :-

parangkontot 23 Oct : 02:15
Comments: 4

(DelUser)
Registered: 09 Aug : 00:36
Tidak salah menggunakan barangan plastik asalkan kena pada tempatnya. Kita sedia maklum plastik adalah terdiri daripada bahan2 estrak petroleum. Ada sebahagiannya boleh bertahan pada suhu didih air dan ada juga sebahagian bahannya boleh terlepas keluar pada tahap suhu tertentu.

Penggunaan Polystyrene (PS) foam ataupun Styrofoam sebagai pembungkus makanan atau minuman memang sepatutnya diharamkan dari dulu lagi. Ini kerana didalam PS foam itu terdiri daripada Benzene, Styrene, Ethylene dan Blowing agents yang mampu mengakibatkan leukimia, kerosakan organ dalaman dan lain2 alahan.

Oleh itu elakkan membungkus makanan panas atau hangat, menggunakan cawan Styrofoam pakai buang dan pastikan 'mi segera cawan' kegemaran anda tidak menggunakan bahan tersebut. Ianya lebih sesuai untuk membungkus TV, peti ais, dsbg. Banyak negara barat telah menetapkan had penggunaanya.

Kaulo juga ingin ambil kesempatan berkongsi sedikit pengetahuan tentang PVC. PVC sangat baik sebagai penebat letrik, tikar getah, pelapik kusyen,paip air dsbg. Bagaimanapun kesesuaiannya boleh menjadi malapetaka andai tidak digunakan dengan betul.

Sekiranya anda menggunakan paip PVC, elakkan ia dari terdedah pada haba baik daripada matahari atau lainnya. Barangkali ada antara kita menggunakan kaedah dan sumber tersebut untuk air minuman. Tak mustahil kita juga pernah terdedah dengan ethylene dichloride dan vinyl chloride tersebut.

Di Singapura pemprosesan produk berasaskan PVC adalah menjadi satu kesalahan. Pernah satu ketika kami menempah beberapa acuan untuk produk berasaskan PVC. Kalau nak tau apa yang belaku kesemua acuan tersebut terpaksa diusung keluar tambak walaupun hanya untuk ujian pertama (first trial moulding). Begitu sekali tegasnya mereka.

Kesan Chloride yang tersejat atau terlepas keluar sebagai gas pada manusia memang hebat, selain kanser dan kerosakan otak, banyak lagi gejala lain yang teruk. Hatta besi acuan dan mesin pun boleh terhakis inikan pula manusia.

Gunakanlah sesuatu itu kena pada tempatnya. Pastikan botol susu anak atau cucu kita daripada bahan PC dan jangan sekali kali membeli jag air murah yang berwarna atau berbau pelik yang tidak diketahui asal usulnya (banyak dipasaran sekarang). Jangan cari nahas. Wallahua’lam
(rujukan :-http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.612)
Lagi maklumat terbaru lihat BOTOL SUSU DIHARAMKAN TERKINI MAC 2011

Sekian, Terima kasih.

Info ditambah, Minda Bercambah.

Medium Penyebar Info

Apakah medium yang paling sesuai pada masa kini untuk mendapatkan maklumat dan menyebar maklumat?

Semestinya kita semua hatta saya sendiri kadang-kala tertanya-tanya apakah medium yang paling berkesan dan paling telus untuk mendapat dan menyebar maklumat. Adakah televisyen, radio, akhbar, laman-laman web, blog-blog atau ada medium lain?

Jawapannya sukar dirungkai kerana kecanggihan kini menyebabkan banyak medium penyampai maklumat telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan masing-masing. Yang jelas adalah berita di televisyen yang mana pada suatu masa dahulu menjadi salah satu medium yang sangat dipercayai masyarakat untuk mendapatkan berita-berita yang terkini dan telus.

Tetapi apa yang telah berlaku? Saya sendiri yang dahulunya sangat mempercayai apa yang disiarkan media masa baru sahaja terjaga dari tipu daya media yang mana telah menyiarkan berita-berita yang berat sebelah dan ternyata berkepentingan sendiri.

Pada penilaian saya, contoh berita TV3 yang tidak menyiarkan sepenuhnya kenyataan-kenyataan sesetengah pihak yang sepatutnya disiarkan untuk pengetahuan rakyat. Tetapi telah diputar belitkan dan kadang kala berunsur hasutan supaya rasa kebencian atau pun syak wasangka rakyat kepada pihak tertentu menebal. Wal hal, perkara itu tidak disiarkan sepenuhnya.

Banyak contoh-contoh terkini yang boleh diberikan seperti contoh berita tv3:-

1. Ulasan yang diberikan mengenai isu sajak kematian oleh seorang ustaz yang menyokong penayangan itu tetapi, media sengaja tidak memberi peluang untuk kenyataannya yang menyokong tayangan itu disiarkan kerana ianya bertentangan dengan pandangan menteri pelajaran yang tidak mahu tayangan itu diteruskan. Oleh itu nampak media tidak telus dalam tanggungjawabnya.

2. Isu-isu yang berkaitan babi, yang mana contohnya kerajaan negeri Kedah yang merancang untuk membina ladang babi moden telah dimainkan isu ini oleh pihak media masa. Apa yang diketahui isu ini telah lama dan perojek ini sebenarnya telah lama dirancang oleh kerajaan negeri Kedah dahulu. Dan mengapa sekarang isu ini baru ditimbulkan? Mengapa tidak semasa ia dirancangkan dahulu. Mengapa media memainkan isu ini pada masa ini. Di mana ketelusan dalam profession kewartawanan mereka?

Oleh yang demikian, kita terpaksa mencari alternatif untuk mendapatkan berita-berita yang telus dan benar. Natijahnya, masyarakat kini sudah bijak dalam memanipulasikan teknologi dalam menyampaikan info-info dan maklumat-maklumat terkini. Pada masa kini banyaklah laman-laman web dan blog-blog wujud seperti cendawan yang masing-masing ingin memberikan maklumat-maklumat yang terkini yang lebih telus.

Bukan itu sahaja, pembaca-pambaca juga dapat mencari kebenaran dan menilai sendiri berita yang diperolehi daripada pelbagai sumber yang boleh didapati internet. Mengharapkan satu sumber sahaja tidak cukup untuk mengetahui sesuatu perkara yang sebenar.

Oleh itu medium blog kini lebih digemari oleh pelbagai jenis latar belakang untuk menyampaikan pelbagai info tidak kira tua muda, pasti pilihan mereka blog. Hal ini kerana ia bukan sahaja mudah digunakan malah telah menjadi trend pilihan pembaca kini untuk mendapatkan maklumat. Begitulah kesan perkembangan teknologi maklumat abad ini yang sangat hebat melanda masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia Khasnya.

Sebenarnya banyak lagi yang ingin diulas. Apakan daya, setakat ini sahaja yang mampu. Kerana walaupun isu ketidak telusan media ini sudah lama, tetapi masih ramai lagi yang belum sedar akan berita yang dimainkan media massa. Oleh itu, renungkan dan ambil perhatian akan perkara ini agar tidak mudah dipermaikan mereka yang berkepentingan ini.

Terokai Blog Minda Insan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...:)
Alhamdulillah... Syukur kepada Ilahi...
Blog ini baru sahaja selesai dibuka untuk bacaan umum. Diharap segala kekurangan dapat ditegur dan dikongsi bersama saya dalam memberikan hasil yang terbaik dalam penulisan blog. Blog ini bebas dikritik dan bebas menggunakan pelbagai bahasa yang dapat difahami semua.

Mengapa dipilih Minda Insan?:-/
Sengaja saya menamakan blog ini sebagai Minda Insan kerana saya ingin mengetengahkan info-info yang kadang-kala terlepas pandang daripada minda kita yang mana kita sebagai insan yang lemah dan perlu kepada peringatan dan info-info yang berguna. Justeru, kita perlu kepada info yang pelbagai agar minda kita sentiasa tidak ketinggalan daripada perkara-perkara yang sepatutnya diketahui. Bukan sahaja dapat menambah ilmu bahkan bermanfaat kepada kita.

Oleh yang demikian, saya memberikan ungkapan untuk blog ini 'Info ditambah Minda Bercambah'. Hal ini kerana Info yang akan diperolehi kadang-kala membuatkan minda kita berfikir dan terbuka dalam menerima sesuatu isu atau perkara. Sekian, wassalam. Insya-Allah.:)

Nuffnang