Orientalisme

|

"Para aktivis liberal Islam sering memuji pemikiran golongan Orientalis, seolah-olah menggalakkan umat Islam belajar Islam daripada mereka yang tidak mengimani ajaran Islam"

Samada sedar ataupun tidak, hidup kita dikelilingi oleh suara-suara orientalis. Petikan daripada majalah i di atas membakar hati untuk menulis posting ni, dengan harapan agar para pembaca sedar ancaman "berhala moden" ni terhadap agama kita. Gagasan orientalisme telah banyak mencemar pemikiran orang Islam umum, lebih dahsyat lagi pencemaran pemikiran ini seterusnya membawa kepada kerosakan akidah. Semoga Tuhan sentiasa melindungi akidah kita. Ameen...

#Orientalisme: Sekilas pandang

  • Definisi: Ilmu tentang keTimuran (bahasa Arab ~ Al-Istisyraq)
  • Definisi mendalam: Kajian akademik yang dilakukan oleh para ilmuan Barat mengenai Islam dan kaum Muslimin dari seluruh aspeknya termasuk akidah, syariah, kebudayaan, peradaban, sejarah dan manusia.
  • Asal-usul: Banyak pendapat. Salah satunya mengatakan orientalisme bermula sejak perang Salib, kerana ada tokoh Kristian berpendapat bahawa perang bukan kaedah tepat untuk menewaskan kaum muslimin.
  • Orientalisme juga berkait rapat dengan missionari. Hal ini dapat dilihat melalui banyaknya kaum Kristian dan Yahudi yang bekerjasama dengan kaum orientalis untuk melakukan kajian Islam yang bertujuan untuk mengetahui celah-celah yang dapat dimasuki untuk memutar belit fakta kebenaran Islam, menaburkan keraguan dan berusaha untuk menjauhkan mereka daripada ajaran Islam.

#
Tokoh awal
Peter The Venerable atau Petrus Venerabilis (1094-1156M).
Dia adalah 'tokoh' misionaris pertama yang merancang keadah untuk menakluk umat Islam bukan dengan senjata, tapi dengan pemikiran. Ketika itu, dia merupakan ketua Biara Cluny, Perancis – sebuah biara yang sangat berpengaruh di Eropah pada Abad Pertengahan.

Sekitar tahun 1141-1142, Peter mengunjungi Toledo, Sepanyol. Di situ dia menghimpunkan sejumlah cendekiawan untuk menterjemahkan karya-karya kaum Muslim ke dalam bahasa Latin. Terjemahan itu akan digunakan sebagai bahan untuk misionari Kristian terhadap dunia Islam.

Menurutnya, Islamic Studies perlu dilakukan oleh kaum Kristian, agar mereka dapat “membaptis pemikiran kaum Muslimin”. Dia pernah membuat pernyataan berikut:

"But I attack you not, as some of us [Christians] often do, by arms, but by words; not by force, but by reason; not in hatred, but in love…"

Dahsyat bukan?

#Tokoh Nusantara

Christian Snouck Hugronje(1857-1936M).
Rasanya kebanyakan kita mengenali dia melalui buku sejarah, sebagai sebahagian daripada silibus pelajaran peringkat menengah.
Semasa menjadi mahasiswa dalam Fakulti Teologi di Universiti Leiden, dia pernah mengujar: "Adalah kewajipan kita untuk membebaskan penduduk negeri jajahan(warga Indonesia) agar terbebas dari Islam"

Untuk mengubah wajah Islam, Snouck sanggup berpura-pura masuk Islam. Dalam masa sama, dia masih berhubungan dengan gurunya, Theodor Noldeke seorang orientalis terkenal di Jerman. Dalam suratnya, dia pernah menegaskan bahawa keIslamannya adalah permainan untuk menipu orang Indonesia semata-mata. Baginya, itu merupakan satu-satunya cara untuk membolehkan dirinya diterima masyarakat Indonesia yang fanatik.

Snouck pernah menegaskan bahawa Islam harus dianggap sebagai faktor negatif, kerana menimbulkan semangat fanatik agama dalam kalangan kaum muslimin. Pada masa sama, Islam menimbulkan kebencian rakyat Aceh terhadap Belanda. Jika "pembersihan" pengaruh ulama dapat dilaksanakan, maka Islam tidak lagi memiliki kekuatan. Setelah itu, para tokoh adat boleh menguasainya dengan mudah.

Theodor Noldeke
Dalam sebuah ceramah yang pernah saya ikuti, saya masih ingat lagi fakta bahawa Snouck telah memperkenalkan pelbagai zikir kepada masyarakat Indonesia untuk melekakan mereka daripada perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Lantas, usaha penentangan yang hebat suatu ketika dahulu hanya tinggal kenangan, kerana mereka hanya sibuk berzikir di atas sejadah, demikianlah ujar ustaz penceramah tersebut.

Dia pernah memasuki Makkah untuk menjalankan ibadat haji. 6 bulan kemudian dia diusir kerana kepura-puraannya terbongkar. Saya juga pernah dimaklumkan bahawa Snouck pernah mengajar di Universiti Azhar.

#Perbahasan lanjut

Sebenarnya saya tidak ingin untuk memanjangkan posting ini, kerana ia meletihkan mata yang membaca. Tapi saya rasa posting ni tidak lengkap tanpa sedikit contoh pemikiran orientalis. Tanpa perbahasan lanjut ni, saya risau para pembaca akan berada di awang-awangan kerana tidak disajikan contoh untuk menjelaskan keadaan. Kata orang, TEORI tanpa APLIKASI. Pemahaman terhadap sesuatu isu adalah motif saya.

Bermula dengan sesuatu yang biasa didengari: Islam tersebar melalui mata pedang. Mereka cuba menunjukkan bahawa muslim sememangnya teroris sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu sebuah agama yang tersebar melalui perang(mata pedang). Dakwaan ini ternyata tidak benar sama sekali. Menelusuri Sirah & kisah para sahabat, kita tahu bahawa agama Islam dianuti secara sukarela oleh penduduk yang negaranya ditakluki pemerintahan Islam tika itu. Pihak pemerintah Islam mengamalkan kebebasan agama.

Mereka juga cuba menonjolkan 'keganasan' Islam berdasarkan peristiwa semasa, misalnya September Eleven dan pengeboman keretapi bawah tanah London. Mereka mendakwa Islam masih ganas kepada mereka berdasarkan kepada hanya beberapa kerat pemimpin Islam yang berani tampil memberi pendapat yang bertentangan dengan pendapat mereka ataupun beberapa peristiwa ganas yang dilakukan oleh segelintir pejuang Islam kerana kezaliman Barat sendiri.
Natijah daripada itu, mereka tidak perlu memberi alasan lagi dalam merasionalkan sebarang kekejaman terhadap orang Islam..

Lagi contoh?
  • Kemunduran umat Islam berpunca daripada tradisi Islam yang "ketinggalan zaman". Lantas, jalan keluarnya adalah dengan mengadaptasi tamadun dan materialisme Barat. Kelompok-kelompok yang ingin bertahan dengan identiti dan pandangan hidup Islam, dilabel dengan istilah-istilah yang negatif seperti “radikal”, “fundamentalis”, “militan”, “eksklusif”(hanya satu agama benar), “literalis"(makna selapis/berfikiran sempit), dan sebagainya.
  • Menimbulkan keraguan umat Islam: Quran adalah karya Nabi s.a.w, hadith Nabi tidak boleh dijamin kebenarannya, Islam tidak lebih daripada gerakan politik di dunia Arab sahaja, Islam anti kehidupan metropolitan dan sebagainya. Anggapan-anggapan keliru hampir selalu mewarnai potret yang ditulis oleh kaum orientalis mengenai agama, kebudayaan, sejarah dan peradaban Islam.
Huraian lebih lanjut boleh didapati di allah-esa.blogspot.

#Kesimpulan

Sebenarnya terdapat orientalisme yang positif, iaitu yang mengkaji masalah-masalah keislaman semata-mata dengan tujuan ilmiah murni yang dijiwai semangat dan sikap objektif. Dunia orientalis telah melahirkan sejumlah sarjana yang bersimpati. Jika bukan kerana jasa-jasa mereka, banyak karya ulama' Muslim klasik barang kali tidak dapat ditemukan sekarang. Yang lebih positif lagi, tidak sedikit di antara mereka yang memeluk Islam setelah terlebih dahulu mengadakan kajian. Kemudian mereka menangkis karya-karya orientalis yang lain yang diwarnai sikap bias dan kedengkian.

Namun, melihatkan sikap permusuhan yang banyak diamalkan orientalisme Barat, kita tidak boleh sekadar main tangkap-muat sahaja dalam hal ehwal agama. Sepertimana dibincangkan di atas, mereka mempelajari Quran dan hadis bukan untuk diimani, tapi untuk dirosakkan ajaran murni Islam itu sendiri. Mereka mengubah atau menambah, membuang dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta huraian-huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil dan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar mereka jangan menganut agama Islam.

Wallahu'alam...

0 ulasan:

Catat Ulasan

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB