AMANAT 2012: Peranan Pelajar dan Belia Dalam Konteks Pembinaan Negara

Golongan belia merupakan golongan terbesar mewakili penduduk Malaysia, manakala pelajar pula merupakan golongan terbesar dalam kategori belia. Justeru itu, golongan pelajar merupakan golongan yang amat signifikan dalam mencorakkan sesebuah negara dalam membentuk generasi dan kepimpinan akan datang sehingga boleh menjangkau kepada pembinaan tamadun yang hebat.


Dalam hubungan ini, umumnya para sarjana yang melaksanakan penyelidikan serta menganalisis aktiviti para pelajar dan belia sependapat bahawa golongan tersebut memainkan peranan perubahan yang penting dalam beberapa siri revolusi seperti di Jerman dan Austria pada tahun 1848, revolusi di China pada tahun 1919 dan pergolakkan terbaru dan kejatuhan rejim zalim Asia Barat seperti di Mesir, Libya dan Syria juga menggambarkan bahawa golongan ini berpotensi dalam menentukan jatuh bangun politik negara berdasarkan kepada perjuangan golongan terpelajar terhadap order lama di negara tersebut.


Dalam tradisi Islam, penglibatan golongan muda ini bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah menunjukkan penglibatan Saidina Ali ibn Talib r.a, Asma’ Abu Bakar dan Usamah bin Zaid dan ramai lagi yang diungkapkan oleh sejarah Islam sebahgai golongan awal “As-Sabiqul Awwalun” yang begitu setia berjuang dalam peristiwa berkenaan.


Justeru, peranan pelajar dan belia sebagai agen perubah masyarakat tidak akan memberi makna sekiranya perubahan itu adalah dari kecerahan kepada kegelapan, dari berakhlak kepada tidak berakhlak dan seumpamanya. Agenda taghyir atau perubahan dalam erti kata yang sebenar adalah merujuk kepada dari kegelapan kepada kecerahan, dari akhlak yang kurang baik kepada manusia yang beradab, dari kurang berilmu kepada mereka yang mengangkat martabat ilmu dan seterusnya.


Oleh yang demikian, pembinaan peribadi seorang pelajar Muslim yang merujuk kepada pembinaan intelektual, rohani dan jasmani yang baik adalah merupakan kewajipan yang perlu diambil kira kepentingan dan manfaatnya mengikut landasan Allah S.W.T besertakan dengan niat yang ikhlas. Dalam pembinaan sebuah tamadun yang besar, ianya tidak mampu dipikul oleh manusia yang rendah peribadi, akhlak dan jatidirinya serta tidak mempunyai iltizam dan tekad yang mantap.


Seharusnya, para pelajar perlu memanfaatkan kuliah-kuliah di universiti, mengadakan perbincangan melalui usrah, dialog, wacana, menghadiri kursus-kursus keilmuan dan juga memperbanyakkan bahan bacaan dan rujukan dalam usaha untuk membina kefahaman Islam secara lebih syumul. Sementara itu, pengetahuan pelajar berkaitan Al-Quran dan Al Hadith tidak sewajarnya terhenti sekadar membacanya sahaja tetapi golongan pelajar perlu memainkan peranan sebagai generasi rabbani yang menghafal, memahami dan menghayati isi kandungan dan mesej yang hendak disampaikan oleh ilmu wahyu ini. Tradisi ilmu hendaklah dibudayakan oleh para pelajar sesuai dengan seruan Allah S.W.T di dalam wahyu pertama yang diturunkan iaitu surah Al-Alaq (1-5):


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhamnu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu lah yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Sayugia, golongan pelajar dan belia hari ini sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam meniupkan keyakinan bahawa setiap pelajar dan belia sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam mencorakkan perubahan di kalangan generasi mereka sendiri. Konsep rakan sebaya positif yang memimpin golongan ini ke arah kebaikan harus dipopularkan sebagai alternatif kepada pengaruh rakan sebaya negatif yang dilihat ‘lebih berjaya’ mendorong mereka kepada salah laku dan jenayah.


Kesedaran kepada generasi pelajar dan belia untuk memimpin diri sendiri dan membuang sikap bergantung diri kepada orang lain dan mentaliti subsidi dan tongkat juga perlu diambil perhatian sewajarnya dalam memastikan generasi hari ini lebih ampuh dan berdaya saing.


Dalam pada masa yang sama, aspirasi dan suara para pelajar harus didengar dan disantuni sebaiknya khususnya kepada para penggubal dasar, pihak pelaksana dasar, pemimpin masyarakat dan setempat. Natijah daripada penggubalan dasar negara yang dibuat pimpinan negara hari ini sebenarnya akan dipikul oleh generasi muda yang akan menyambung legasi kepimpinan sedia ada. Hakikat bahawa sekiranya suara pelajar ini tidak didengari dan difahami sebaiknya seolah-olah kita tidak mengiktiraf golongan pelajar ini sebagai ‘pelanggan utama’ dan ‘penerima akhir’ segala dasar.


Sejarah Islam pernah mengungkapkan contoh yang baik apabila Saidina Umar Abdul Aziz pernah ditegur oleh seorang remaja kerana mempersoalkan kredibilitinya yang telah dipilih sebagai jurucakap kaumnya. Ketika remaja itu ditanya mengapa tidak dibawakan orang yang lebih tua daripadanya, remaja itu dengan berani menghujahkan:
“Jika pertimbangan umur yang diambil kira, pastilah engkau tidak akan menjadi khalifah sekarang kerana pasti ada sahaja yang lebih tua daripadamu wahai Khalifah, justeru mereka yang lebih tua adalah lebih layak untuk menjadi khalifah berbanding dirimu wahai khalifah!”


Pengumuman pindaan Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti AUKU di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia disambut baik oleh gerakan pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Secara tidak langsung, pemerintah memberi pengiktirafan kepada wadah gerakan pelajar yang konsisten memperjuangakan isu ini sejak dari awal penubuhannya lagi. Natijahnya, generasi pelajar dan belia merasakan bahawa pandangan dan cadangan mereka didengari oleh kepimpinan negara dan keseinambungan ini perlu disahut oleh generasi pelajar dan belia dalam mendepani perubahan seperti ini.


Justeru, penglibatan perwakilan pelajar dan belia dalam memberi komen, ulasan dan pandangan mahupun hala tuju dalam konsultansi awam dalam pindaan AUKU ini sewajarnya diperbanyakkan lagi dan turut melibatkan soal-soal dasar yang lebih besar sifatnya seperti isu ekonomi, sosial, dasar luar negara dan lain-lain. Hal ini secara tidak langsung akan mengisi kelompongan dan kekosongan pandangan suara orang muda dalam konteks pembinaan negara bangsa yang lebih bermakna.


Mengambil semangat sambutan tahun baru 2012 yang boleh dikatakan ‘tahun belia dan pelajar’, mesej dan saranan kepada kepimpinan pelajar dan belia seluruh Malaysia agar mereka dapat mengambil posisi selaku ‘jurubicara generasi muda’ dan memperjuangkan hak dan kepentingan, menyatakan aspirasi dan mengenengahkan suara hati pelajar dan belia. Hal ini merupakan satu kemestian apabila melihat kepada pola fikir, sikap, perilaku, perkembangan psikologi dan gaya hidup generasi ini yang semakin kompleks dan moden dalam dunia hari ini.


Walaubagaimanapun, peristiwa demonstrasi awal pagi di ambang tahun baru 2012 sekiranya tidak diselesaikan dengan semangat musyawarah dan perbincangan yang tuntas akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan provokatif dalam menangani permintaan suara ini tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai dengan tuntutan generasi muda hari ini. Sewajarnya, sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.


Pada masa yang sama, kepimpinan belia dan pelajar perlu berkemampuan dari segenap segi bagi menawarkan khidmat terbaik sebagai ‘partner in problem solving’ dan ‘partner in nation building”. Oleh yang demikian, program-program pengisian yang ditawarkan haruslah mempunyai keunikan tersendiri, dinamik, kreatif, inovatif, komprehensif, efektif, efisien, mesra orang muda, berorientasikan misi dan bukan sekadar ‘programme oreinted’ yang bersifat ‘touch and go’.


Akhirnya, kesedaran harus dicetuskan di kalangan para pelajar dan golongan belia agar lebih peka dan sensitif terhadap peranan mereka dalam membantu melahirkan generasi akan datang yang seimbang selaras dengan matlamat, halatuju dan dasar negara yang mementingkan aspek pembinaan modal insan yang utuh dan jitu.


Mengambil kata-kata yang diungkapkan oleh seorang penyair Arab. Beliau menyebutkan “Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana tidak kita inginkan akan berlaku”.


AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”