Memaparkan catatan dengan label hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hukum. Papar semua catatan

Ahad, 19 April 2009

Lu Fikirlah Sendiri!!!!

Aduh, bingit rasanya bila membaca kenyataan artis negara kita yang semakin hari semakin biadab terhadap hukum islam. Sebelum ini dikecohkan tentang penghinaan isteri Rasulullah S.A.W. Kini, berpelukan " tidak menjejaskan ekonomi negara ". Itulah yang dipaparkan dalam sebuah laman web berita (dalam Malaysia).

Mungkin tajuk itu hanya sekadar lawak jenaka, tetapi ketika saya membaca penulisan wartawan dalam berita itu, banyak perkara yang perlu kita sama-sama fikirkan. Lagi-lagi menyentuh isu hukum. Bila mana kita sebut tentang hukum, bermakna ia sudah merangkumi adab dan kemasyarakatan.
Mungkin ayat dibawah tidak disenangi oleh segelintir masyarakat. Tapi rasanya inilah selembut ayat yang mampu diberikan untuk pembaca dan tuan empunya badan. Segala nasihat bukanlah ditujukan sebulat-bulatnya kepada dia dan artis yang lain, tapi untuk diri saya sendiri yang kadan-kadang lupa dan lalai.

Kerana sikap artis yang semakin hari semakin menampakkan ceteknya ilmu membuatkan amarah yang disimpan selama ini membuak-buak untuk diluahkan. Semakin lama semakin mencontohi barat. Yang paling menyedihkan orang islam pula, lagi-lagi berbangsa melayu. Jangan sampai bangsa lain maju, barulah nak salahkan orang melayu

Jom kita redah apa kata artis ini!!!!!

Tidak dirancang dan tidak menyesal.
-Adakah dikeranakan sesuatu yang tidak dirancang itu boleh dianggap tidak sengaja?
-Alangkah kasihan seorang muslim yang berbangsakan melayu tidak menyesal atas kelakuan yang tidak beradab.


-Adakah kerana sifat sayangnya membolehkan dia berpelukan dengan wanita lain?
-Adakah kerana sifat sayang membolehkan dia berpelukan dengan tempat yang kena?
Just for infomation, hanya ikatan perkahwinan sahaja membolehkan anda berpelukan dengan wanita yang dihalal untuk dikahwini. Itu pun dilarang berpelukan dikhalayak ramai.

ha, yang ini lagi jawapan yang sengal..


Saya bukan melakukan kesilapan yang besar!!!!
-Oh, my Allah!!!! ungkapan apa ini???? Jahil sangat ke artis kita dalam pemahaman agama???

Wahai saudara, jika kurang ilmu agama sekali pun, tolonglah jangan ungkapkan ungkapan yang boleh menyentuh sensetiviti umat islam. Segala-galanya mencerminkan pemikiran saudara ditahap mana. Sememangnya saudara 'raja lawak',tetapi tiada lawak dalam menjalani hukum Allah.

Kepada pengundi 'raja lawak' dan Anugerah Bintang popular, andalah semua yang akan dipertanggungjawabkan dihadap Allah kelak. Dia menang atas tangan anda.. dan dia melakukan ini atas kemenangan yang anda telah berikan. Sebab itu, sekecil mana pun anda lakukan, ia tetap dinilai oleh Allah SWT. Mengundi untuk kebaikan ia akan diberikan pahala di sisi Allah dan balasannya adalah syurga, manakala mengundi kepada kemunkaran adalah disebaliknya.

Ada lagi ungkapan yang dijawab ketika ditanya wartawan tersebut, rasa tidak sanggup nak diletakkan lagi. Anda semua boleh layari laman ini untuk mengetahui lebih lanjut http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Wahai saudara... LU PIKIRR LA SENDIRI!!!!!!!!!!!!!!!!!

Sabtu, 21 Mac 2009

PERINGATAN DAN AMARAN UNTUK WANITA

1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).

2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya
(meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis.Sabna Nabi s.a.w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanitayang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu
Salamah, "Bukankah orang itutidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab,"Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya,maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki kerumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa(kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan ditepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya,ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan,maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s.a.w. ditanya, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapabanyakpun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakkan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Jawab Nabi s.a.w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kaliganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakkan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w. :

i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii Sering mengkufurkan (engkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya :Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apapun.)

iv Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya :bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a. : Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-

a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil

* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
* Orang yang alim tapi jahil ialah ulamak yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Kharizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau
kenali. Itulah suami mu.Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan
memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya,matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-

a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah s.w.t.
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.
h. Ingat kepada mati.

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminyaseperti tersebut di dalam kitab Muhimmah :-

a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya samada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami samada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain. Dibolehkankeluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Mermasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami samada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukaioleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita :-

a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya."

kredit : tranungkite

Khamis, 8 Mei 2008

Tabarruj Dan Aurat



SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

# Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

# Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

# Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Sabtu, 15 Disember 2007

IBADAT KORBAN



Definisi
Apa yang disembelih daripada unta, lembu, kambing atau kibas semata-mata menghampirkan diri kepada Allah pada hari raya. Asal disyarakkan ibadat korban ini melalui firman Allah dalam ayat 2 surah al-Kauthar yang bermaksud : Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Maksud "nahr" dalam ayat ini mengikut pandangan yang paling ramai dan sohih adalah membawa maksud korban binatang-binatang korban.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud bahawa nabi S.A.W telah mengorbankan dua kibas yang mempunyai tanduk yang besar. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama(Allah) dan bertakbir. Baginda meletakkan kedua luntut baginda di atas bahagian (berhampiran) tengkok keduanya.

Hikmat daripada pensyariatan ibadat korban

1.Ibadat korban sama sebagaimana ibadat yang lain adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
2. Menghidup dan mengingatkan semula pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail.
3. Menghidupkan suasana bantu-membantu antara yang kaya dan miskin dengan ketibaan hari raya dengan sedikit bantuan daripada daginmg-daging korban yang disedekah.
4. Mengeratkan lagi ukhwah Islamiah yang terbina dan menyiramkan ruh bermasyarakat.

Hukum ibadat korban

Hukumnya adalah sunat muakkad(digalakkan) tetapi ia akan menjadi wajib dengan 2 sebab iaitu :

Pertama : Dia mengisyaratkan kepada binatang yang berada di bawah peliharaannya yang baik untuk dikorbankan maka dia berkata : "Ini adalah binatang korbanku" atau "Aku akan berkorban dengan kambing ini" sebagai misalnya. Jika dia berkata sebagaimana tersebut maka dia diwajibkan berkorban.

Kedua : Dia mewajibkan dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan korbannya seperti katanya : "Untuk Allah atasku untuk berkorban". Maka dengan ini maka dia diwajibkan berkorban yang mana ia menjadi hukum sebagaimana orang bernazar.

Mereka yang disuruh untuk melakukan ibadat korban

Disunatkan melakukan ibadat korban ini kepada mereka yang mempunyai syarat-syarat berikut :
1. Islam dan tidak diminta kepada orang kafir
2. Telah baligh dan berakal yang mana tidak dituntut kepada yang belum baligh atau pun gila
3. Mempunyai kemampuan yang mana mempunyai kewangan yang berlebihan daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungannya samada makanan, tempat tinggal dan pakaian sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Binatang yang disyarakkan untuk dijadikan korban

Tidak sah untuk dijadikan binatang korban selain daripada unta, lembu(termasuk kerbau), kambing(termasuk biri-biri dan kibas dan seumpamanya). Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam ayat 34 surah al-Haj : Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa kerana itu berserahlah dirimu kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada mereka yang tunduk dan patuh(kepada Allah). Binatang ternakan(al-An'am) tidak terkeluar daripada maksud jenis binatang yang tiga tadi. Ini kerana tidak pernah diriwayatkan samada daripada nabi S.A.w sendiri atau pun sahabat tentang binatang korban yang selain daripada tiga jenis tadi.
Mengenai binatang yang paling utama dari segi kelebihannya ada ulama' yang mengatakan unta kemudian lembu dan seterusnya kambing dan ada pula yang berpendapat kambing yang lebih afdhal.
Dibolehkan melakukan ibadat korban dengan berkongsi tujuh bahagian daripada seekor unta atau pun lembu tetapi bagi kambing hanya untuk seorang sahaja.Ini adalah mengikut kepada perbuatan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Jabir telah berkata : Kami telah melakukan ibadat korban bersama Rasulullah S.A.W pada tahun Hudaibiah seekor unta daripada tujuh bahagian dan lembu daripada tujuh bahagian.
Kita juga diharuskan berkongsi satu daripada tujuh bahagian samada daripada seekor unta atau lembu walau pun dengan niat yang berbeza seperti ada yang berniat korban, ada yang berniat aqiqah, ada untuk dijual dan ada untuk nazar dan sebagainya. Cuma hukum untuk daging tersebut mengikut apa yang diniatkan oleh seseorang.

Syarat binatang korban

Pertama : Umur
-Bagi unta mesti genap enam tahun dan setengah berpendapat sudah cukup hanyan lima tahun.Manakala lembu atau kerbau apabila berumur tiga tahun dan setengah berpendapat cukup dua tahun. Sementara kambing dan seumpamanya telah genap dua tahun atau pun bersalin gigi iaitu gugur gigi depannya walaupun belum cukup dua tahun iaitu biasanya enam bulan.
Dalilnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh oleh imam Ahmad daripada Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik binatang korban itu ialah kambing yang telah bersalin(gigi).

Kedua : Selamat daripada sebarang penyakit
- Iaitu mesti selamat daripada sebarang aib yang boleh menyebabkan kurangnya daging. Tidak sah korban kambing yang gila, tempang yang jelas, mempunyai kecacatan atau penyakit dan terpotong sebahagian daripada badannya.
Imam Tarmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan daripada al-Barra' bin 'Azib daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Empat perkara yang tidak dikira pada binatang korban : keaiban yang jelas keaibannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas ketempangannya dan sakit gila.
Diqiaskan daripada empat kecacatan atau keaiban tadi maka dikira apa yang seumpamanya merupakan perkara yang boleh menyebabkan korban tidak dikira.

Waktu korban

Bermula daripada selepas terbitnya matahari hari raya eidil Adha dengan kadar cukup untuk menunaikan dua rakaat hari raya dan dua khutbah hari raya. Waktu ini berterusan sehinggalah terbenam matahari hari tasyriq iaitu hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu yang paling afdhal (lebih baik) untuk melakukan penyembelihan binatang korban adalah sebaik selesai menunaikan solat sunat hari raya eidil Adha sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim: Permulaan apa yang kami mulakan dengannya hari ini adalah solat, kemudian kami pulang maka kami sembelih korban. Maka sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menurut sunnah kami. Dan sesiapa yang sembelih sebelum itu maka sesungguhnya ia merupakan daging yang diberikan kepada ahlinya bukannya daripada ibadat pada sesuatu....Makna khabar ini ialah sesiapa yang sembelih binatang korban sebelum masuk waktu solat hari raya eidil Adha dan berlalunya masa yang memungkinkan dia melakukan solat padanya maka sembelihannya tidak dikira ibadat korban tetapi menjadi sembelihan biasa sahaja.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Habban daripada Jubir bin Mut'im telah berkata : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dan setiap hari-hari tasyriq merupakan hari sembelih...
Apa yang perlu dilakukan dengan daging korban
Pertama : Sekiranya korban itu wajib seperti nazar maka daging korban itu tidak boleh dimakan oleh oarng yang melakukan korban itu dan juga semua ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sekiranya ada dikalangan mereka tersebut makan daripada daging korban itu maka dia wajib menggantikannya samada dengan daging lain atau pun harga daging dengan kadar yang telah dimakan.
Kedua : Sekiranya korban sunat maka dia boleh memakan daging korbannya lebihan daripada apa yang telah disedekah.Yang lebih afdhal dia makan sedikit daripada daging korban itu sebagai mengambil berkat dan disedekahkan yang selebihnya. Untuk makan satu pertiga, satu pertiga untuk disedekah kepada orang miskin dan satu pertiga selebihnya untuk dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran-jirannya walaupun mereka kaya.Tetapi pemberian kepada mereka yang kaya untuk dimakan bukannya untuk jualan berlainan dengan pemberian kepada orang miskin adalah sebagai pemilikan samada untuk dia makan atau dibuat apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
Asal daripada hukum tersebut menurut kepada maksud ayat 36 surah al-Haj : Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri , Kemudian apabila telah roboh (mati) maka makanlah sebahagiannya dan berikanlah makan oarng yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Bagi mereka yanmg melakukan korban juga diminta memberi sedekah kulit binatang korbannya atau pun dia sendiri yang menggunanya. Dia dilarang menjualnya atau pun memberinya kepada penyembelih sebagai upah bukannya sedekah. Ini adalah kerana perkara itu boleh menyebabkan berlakunya kekurangan daripada binatang korban dengan merosakkannya pada perkara yang dilarang. Apa yang diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi daripada nabi S.AW telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menjual kulit sembelihan maka tidak dikira korban baginya.

Biografi
1. Al-Quranul karim
2. Feqhul Minhaji karangan Doktor Mustafa Khan dan sahabat, Darul Qalam

Sabtu, 8 Disember 2007

Hukum Bersanding Mengikut Perspektif Islam

Musim cuti di Malaysia sekarang ni mesti sibuk dengan kenduri walimatul urus atau lebih dikenali dengan kenduri kawin.. sempena pula seorang adik sedang bertanyakan kenapa persandingan dilarang di dalam islam.. saya tersentuh untuk melampirkan kenapa ia diharamkan dan bagaimana persandingan ini harus dilakukan.. diharap bagi mereka yang akan berkahwin tidak lama lagi akan mendapatkan pengajaran yang sebaiknya..

Hukum Bersanding Mengikut Perspektif Islam


1. Definisi Persandingan: meletakkan suami-isteri yang baru dinikahkan di atas penganjangan (pelamin) dengan berhias indah, berpakaian lengkap, dikipas oleh dua jurukipas dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.

2. Tujuan: antara tujuan utama persandingan ialah untuk ditonton, menjadi kenangan bersejarah, meraikan peluang seumur hidup dan menghayati adat dan budaya nenek moyang.

3. Sejarah: ada dua teori dalam menjelaskan dari mana asalnya persandingan dalam adat Melayu.
Pertama: bahawa persandingan adalah adat resam Melayu tulen. Ini kerana istilah raja sehari itu persis kepada adat istiadat Melayu yang berpaksikan raja (HM Sidin, Adat Resam Melayu, PAP, 1964)

Kedua
: Persandingan adalah adat yang diimport dari India. De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

4. Unsur-unsur khurafat dalam persandingan:

(a) Penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan ialah bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi.

(b) Penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu.

Hukum Islam Terhadap Persandingan

1. Menabur Beras Kunyit: Jika ia ditabur dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah syirik--bercanggah dengan surah al-Fatihah: ayat 5: Thee do we worship, and Thine aid we seek., dan Yunus: 107: If Allah do touch thee with hurt, there is none can remove it but He: if He do design some benefit for thee, there is none can keep back His favour: He causeth it to reach whomsoever of His servants He pleaseth. And He is the Oft-Forgiving, Most Merciful.

2. Membaca Jampi Mentera: Jika beri'tikad bomoh atau pawang itu membaca jampi-mentera dengan tujuan dapat memelihara majlis itu daripada roh jahat, maka dia juga amalan syirik seperti yang dijelaskan di atas.

3. Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk "li tadlis" mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud: "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah." (*pengecualian: membuang bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)

4. Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), "Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)

5. Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran: Hukum sebenar kenduri kahwin ialah sunat sahaja sebagaimana sabda baginda: "Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing."

Islam mencela amalan boros: "Janganlah kamu membazir secara melampau." (Maksud al-Isra': 26)

6. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian: Ini berlawanan dengan roh Islam Firman Allah," Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (2: 286)

7. Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah Rasul saw: "Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)

Demi meraikan adat: Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat:


1. Jika ia disandingkan secara tertutup (di hadapan muhrim atau keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat.

2. Jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin dan para jemputan semua menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat.

Rujukan
1. Prof Muhammad al-Ghazali, Laisa minal Islam.
2. Ibn Taymiyah, Hijab al Mar'ah wa Libasuha.
3. Prof Qardhawi, Fatwa Mu'asirat dan Halal & Haram fil Islam.

Sumber: Tuan Hassan Tuan Lah, "Bersanding dalam Pandangan Islam".

Sabtu, 1 Disember 2007

Tunjuk Perasaan Bantu Ubah Kemungkaran Kepada Kebenaran

Pendahuluan: Tunjuk perasaan merupakan satu cara menyatakan sikap terhadap sesuatu perkara yang mungkar supaya ia boleh diubah kepada kebenaran. Ia amat penting dalam menyatakan kekuatan hak bagi menghentikan kezaliman golongan tertentu, agar mereka menginsafi segala kesalahan menggunung kepada satu keadaan yang memberangsangkan semua pihak.

Tunjuk perasaan diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Malah ada ketikanya ia menjadi wajib, sekiranya tiada cara lain untuk merubah kemungkaran yang dijana oleh pihak berkuasa atau pemerintah yang berkuasa di sesebuah negara melainkan dengannya.

Perkara ini juga pernah dilakukan oleh segelintir pada ulama pada zaman silam tanpa sebarang bantahan daripada pihak lain yang seakan-akan bersetuju dengan tindakan mereka itu.

Sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik jihad di sisi Allah adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.

Menyatakan perkataan yang benar adalah wajib, perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT menerusi ayat 70-71 surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berkata dengan perkataan yang benar. Nescaya (dengannya) Allah akan memperbaiki amalan kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar

Justeru, bagaimana pula dengan berhimpun dalam satu tunjuk perasaan bagi menyatakan sikap mempertahankan hak sebagai warganegara khususnya dalam pilihan raya dan juga bagi menyatakan sokongan terhadap saudara-saudara seagama yang dizalimi, diseksa, dibunuh dengan kejam seperti di Palestin, selatan Thailand dan Filipina dan seumpamanya oleh rejim Yahudi dan ejen-ejen musuh Islam?

Ia menjadi wajib, sepertimana menghadapi kezaliman kerajaan yang tidak membela nasib rakyat jelata dengan pelbagai kenaikan harga barangan dengan pelbagai alasan dan menipu untuk kekal sebagai kerajaan dalam proses pilihan raya dijalankan, maka rakyat berhak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan berhimpun dalam satu tunjuk perasaan, kerana mereka tidak diberikan peluang untuk mengkritik kerajaan sama ada melalui stesen televisen, radio ataupun surat khabar.

Amalan rasuah, konspirasi bagi menjatuhkan orang lain, tipu dalam pilihan raya, memperbanyakkan program maksiat serta premis-premis perjudian dan sebagainya adalah tindakan yang menyalahi tuntutan agama Islam khususnya dan pegangan agama lain amnya, kesemua itu adalah untuk meraih sokongan pihak tertentu dan untuk kekal berkuasa walaupun matlamat tidak menghalalkan cara.

Kepentingan tunjuk perasaan adalah disandarkan kepada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. dan amalan para ulama berdasarkan kaedah-kaedah syarak. Antara elemen yang dikenal pasti mengesahkan kebenaran tunjuk perasaan adalah seperti berikut:

Kesan tunjuk perasaan terhadap musuh
Ini pernah terjadi pada tunjuk perasaan pertama antara barisan umat Islam pimpinan Rasulullah s.a.w. dan Quraisy, di mana pihak Islam diketuai oleh Sayidina Hamzah dan di pihak musuh adalah Omar.

Akhirnya pihak Quraisy mengarahkan pasukan tenteranya supaya berundur dari peperangan setelah melihat kehebatan tentera Islam.

Tunjuk perasaan menyatakan keburukan perbuatan mungkar


Ia berlaku ke atas saudara-saudara Islam di negara-negara umat Islam termasuklah pembunuhan ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa, kaum wanita dan orang-orang tua, di mana Islam menganggap ia sebagai perbuatan mungkar yang patut dibantah menerusi saluran tunjuk perasaan besar-besaran agar dihentikan segera tindakan rakus pihak musuh di serata dunia.

Tunjuk perasaan bagi menyatakan kekuatan orang Islam
Ia juga berlaku pada setiap mukaddimah peperangan yang disertai baginda Rasulullah s.a.w., baginda mengarahkan sekurang-kurangnya tiga orang sahabat untuk melawan pedang sebelum peperangan meletus, bagaimanapun para sahabat berjaya mengalahkan lawan masing-masing dan menyemarakkan anggota tentera yang lain.

Satu bukti yang pernah terjadi di Perancis pada 2004, apabila dua orang adik beradik iaitu Laila, 18, dan adiknya Lina, 17, dilarang masuk pekarangan sebuah universiti atas alasan mereka berdua memakai tudung kepala dan berpurdah.

Kedua-duanya telah menunjuk perasaan di sebatang jalan raya di kota Paris bagi menyatakan rasa tidak puas hati kerana dilarang berbuat demikian, akhirnya mereka disokong oleh orang awam termasuk yang beragama Kristian yang menyifatkan tindakan larangan itu menyalahi hak asasi manusia, apatah lagi mereka berdua adalah warganegara Perancis.

Dengan tunjuk perasaan yang disertai ribuan orang itu, akhirnya Kementerian Pendidikan Perancis menarik balik larangan tersebut. Akhirnya tindakan mereka berdua itu menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar perempuan lain yang terus bebas mengenakan tudung kepala.

Ia merupakan roh Syariat Islam

Kehadiran Syariat Islam di tengah-tengah masyarakat umat manusia, adalah untuk merealisasikan keagungan dan kemuliaan Islam dalam segenap aspek.

Ia dapat dilihat menerusi solat jemaah (umpama tunjuk perasaan dengan memohon kekuatan daripada Allah SWT), solat Jumaat, solat dua hari raya, pelaksanaan manasik haji dan sebagainya. Semuanya tidak dapat dijayakan melainkan dengan berjemaah.

Hukum tunjuk perasaan pada asalnya adalah harus

Tunjuk perasaan merupakan wasilah untuk sampai kepada matlamat yang mulia, seperti mendedahkan kejahatan dan kezaliman manusia durjana seperti Yahudi. Semua jenayah yang dilakukan itu patut didedahkan agar boleh bertindak bagi menyekatnya.

Tunjuk perasaan seumpama ini dibenarkan kerana tidak ada nas yang menegahnya daripada dilakukan oleh rakyat yang dahagakan keadilan dan kesaksamaan pemerintah yang bergelumang dengan pelbagai penyelewengan dan memperbodoh-bodohkan rakyat.

Justeru, rakyat telah mencipta satu sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila dalam perhimpunan anjuran bersih pada Sabtu, 10 November 2007 bagi menuntut pilihan raya bersih, ia bagi memastikan calon yang menang dalam pilihan raya juga mendapat hasil wang pendapatan yang bersih lagi halal untuk menyara keluarga agar menjadi sebahagian masyarakat yang berdisiplin dan berhemah tinggi.

Dengan sebab proses pilihan raya di Malaysia ini amat menjijikkan dengan penipuan, jika tidak tipu mereka tidak akan menang, justeru tunjuk perasaan bertujuan membuka mata semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa.

Tunjuk perasaan hari ini umpama separuh peperangan

Menyatakan suara melalui media massa atau apa sahaja alat sebaran berhubung jenayah, kejahatan atau kezaliman yang dilakukan oleh pihak tertentu, diterima oleh segenap lapisan masyarakat yang cintakan kedamaian.

Ia tidak dapat dibuktikan melainkan dengan membantah dari sudut penerangan, sama ada akhbar, siaran berita dan lain-lain yang disifatkan sebagai bantahan tunjuk perasaan media massa.

Tunjuk perasaan boleh jadi haram jika berlaku kemudaratan

Jika tunjuk perasaan dianjurkan atas sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, ia diterima dan sah mengikut peraturan Islam dan undang-undang dunia.

Akan tetapi jika ia dianjurkan hingga merosakkan harta benda awam, tercetus rusuhan hingga berlaku pertumpahan darah, pada ketika itu tunjuk perasaan menjadi haram dari dianjurkan. Ia patut dihentikan seberapa segera bagi mengelak pelbagai kemungkinan yang tidak terduga akan berlaku.

Bukti pendekatan yang dilakukan para ulama

Sejarah telah membuktikan bahawa para ulama menganjurkan tunjuk perasaan seperti yang pernah berlaku di Kuwait, Algeria, Syria yang memenuhi jalan-jalan raya untuk menyatakan sikap penentangan terhadap penjajah.

Di Mesir, tunjuk perasaan yang diterajui oleh al-Marhum Syeikh Rasyid Reda bertujuan mengusir penjajah Perancis keluar dari bumi Mesir.

Ia juga pernah dilakukan oleh para ulama Universiti al-Azhar dalam tunjuk perasaan menentang penjajahan British pada 1919, tidak seorang pun mengeluarkan fatwa mengatakan tunjuk perasaan adalah haram ketika itu.

Tunjuk perasaan dikongsi oleh Muslim dan non-Muslim

Apabila sesuatu tindakan pihak tertentu menjurus kepada penganiayaan yang menindas golongan yang lebih rendah (bawahan), maka pada ketika itu, orang ramai bertindak untuk berhimpun dalam satu tunjuk perasaan menyatakan sikap ketidak-puasan hati mereka terhadap apa yang dihadapinya.

Ia bukan sahaja berlaku di negara-negara yang bukan Islam, malah masyarakat di negara-negara Arab dan Islam juga bertindak melakukan demikian, kerana fenomena percanggahan antara hak dan batil tetap berlangsung sepanjang masa, justeru ia diperlukan bagi meredakan keadaan.

Natijah tunjuk perasaan membuahkan hasil positif


Tidak dinafikan oleh pihak yang cintakan keharmonian, tiada cara lain untuk menyatakan sikap membendung perkara negatif, melainkan ia dapat diatasi dengan adanya tunjuk perasaan secara aman tanpa melibatkan pihak-pihak yang sepatutnya dipelihara hak mereka seperti kanak-kanak kaum wanita, orang-orang tua dan jauh dari melakukan kerosakan terhadap harta benda awam dan mengancam nyawa manusia. - lanh

copy : http:www.harakahdaily.net

Selasa, 27 November 2007

Pemberian Tidak Setara Antara Anak-anak

Oleh : Syed Abdul Kadir Aljoofre

Ketika berbual beberapa hari lepas bersama adik-adik, selepas ana membacakan kitab Adab Sulukil Murid dan Nailurraja' di surau Asrama Selangor, ana ditanyakan persoalan berkaitan pemberian seorang bapa kepada anaknya untuk belajar. Terkait juga pada permasalahan ini, seorang bapa yang melebihkan pemberian (hibah), kepada seorang anaknya daripada yang lain, jika dilihat anaknya itu lebih memerlukan terutamanya jika anak tersebut masih lagi belajar, dan tidak bekerja, berbanding anak-anaknya yang lain, atau anak tersebut dilihatnya lebih alim dan beradab daripada yang lain.

umhur Fuqaha' (majoriti ahli fiqh) menyatakan makruh pemberian tidak setara atau tidak seimbang daripada seorang bapa kepada anak-anaknya jika keperluan antara anak-anak tersebut adalah seimbang. Adapun jika terdapat seorang anak yang lebih memerlukan daripada yang lain maka tidaklah makruh. (Mughniyul Muhtaj; Al-Khatib Assyarbini). Contoh "lebih memerlukan" adalah, kerana sakit, ahli keluarga yang ramai atau menyibukkan diri dalam menuntut atau mengajarkan ilmu. Begitu juga tidak mengapa bagi seorang bapa untuk tidak memberikan langsung hartanya kepada seorang yang didapatinya fasiq atau derhaka kepadanya.

Di dalam kitab Majma'ul Anhar (Feqh Hanafi), ada menyebutkan :

"Jika sebahagian anaknya menyibukkan diri dengan ilmu (samaada menuntut ataupun mengajar) dan tidak bekerja, tidaklah mengapa dia melebihkannya daripada anak-anaknya yang lain. Dan di atas jawapan para mutaakhirin (ulama terkemudian), tidak mengapa jika diberi kepada sebahagian anaknya yang alim serta beradab dan tidak memberi anaknya yang fasiq serta berbuat dosa"

Imam Malik bin Anas sendiri pernah ditanya berkenaan seseorang yang ingin memberikan pemberian kepada sebahagian anaknya yang mentaatinya, dan tidak memberikannya kepada yang lain, maka dijawab oleh Imam Malik : "Tidak mengapa".

Inilah pendapat Jumhur Fuqaha' serta yang dipegang dalam Mazhab Syafie, dan beginilah juga fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta' Mesir (no. 6039). Jawapan yang disebutkan di atas adalah huraian semula secara ringkas daripada Fatwa tersebut. Wallahu A'lam.

copy from : http://www.pmram.org/