Kad undangan perkahwinan banyak sekali yang sampai ke rumah. Undangan daripada orang sekampung, saudara-mara dan kawan-kawan. Sebahagiannya dapat dihadiri, sebahagiannya tidak dapat dipenuhi, lantaran sudah terlepas tarikh (ketika saya masih di kampus), jarak yang terlalu jauh, dan beberapa halangan lain. Di cuti akhir sem begini juga poket telah kering untuk bermusafir ke walimah yang jauh lokasinya. Hanya ucapan Selamat Pengantin Baru dan doa yang dikirimkan, semoga kalian semua berbahagia dalam melayari alam baru serta dilimpahkan rezeki yang mencurah-curah.
Satu kad undangan yang diposkan kepada saya daripada seorang kawan lama tertulis,
Dengan segala hormat dan takzimnya mempersilakan Saudari Khadijah & Pasangan serta Family ke majlis....
Mungkin sangkanya saya sudah berkahwin. Terkejut juga membacanya..
Jodoh
Ingin saya bawakan satu firman Allah di dalam surah al Hadid ayat 22;
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."
Jodoh dan ajal kita telah pun ditentukan oleh Tuhan, tertulis di Lauh MahfuzhNya. Ada orang yang cepat jodohnya, dan ada pula yang lambat. Yang lambat perlu bersabar, insya Allah ada, hanya belum sampai masanya. Perumpamaannya seperti meniti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita berbanding mereka yang pendek jambatannya.
Apa yang telah ditakdirkan Allah itu sudah tentu paling baik dari sisiNya dan paling baik buat hambaNya. Ada orang yang baru berkenalan, setelah itu terus diijabkabulkan. Ada orang mengambil masa yang lama dan mengharungi pelbagai dugaan, kemudian barulah disatukan. Tidak kurang juga yang bertahun-tahun bercinta, tetapi akhirnya diijabkabulkan dengan orang lain. Hakikatnya, jodoh kita hanya Allah yang mengetahui.
Teringat saya kepada filem Ketika Cinta Bertasbih. Saya percaya ramai yang telah menontonnya. Salah satu pengajaran yang dapat diambil daripada filem tersebut ialah, jodoh itu di tangan Allah. Kalau dah jodoh, takkan ke mana. Abdullah Khairul Azzam akhirnya berjodoh juga dengan Anna Althafunnisa walaupun sebelum itu bermacam-macam perkara yang berlaku. "Allahu akbar" (sebagaimana yang diungkapkan oleh Khairul Azzam setelah diberitahu oleh Kiai Lutfi :)
Usah bimbang, jika kita menjadi baik dan soleh/solehah, pasti kita akan dikurniakan pasangan daripada golongan yang baik-baik juga. Allah telah menjanjikannya sebagaimana tercatat dalam surah an Nur ayat 24:
"...Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..."
Nyatakanlah perasaan dan keinginan kita itu dalam doa-doa dan munajat kita. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memahami segala isi hati.
Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.
Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.
Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripadaMu.
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui jihad dan syahid di jalanMu.
Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurgaMu.
Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu.
Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu,janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.
Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.
(doa yang biasa kita jumpa)
Bagi yang telah selamat menyempurnakan sunnah Nabi ini, alhamdulillah dan tahniah diucapkan. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan mengimpikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan antara ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan RasulNya.
Bagi yang belum sampai jodohnya, jagalah diri sendiri dan bermujahadahlah.Insya Allah, jika dipanjangkan umur, baitul muslim itu akan tiba masanya.
Semoga Allah memandu kita semua ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Amiinnn...
Ajal
Al-fatihah buat adik Fatimah Zurwanti Zulkifli yang telah kembali ke rahmatullah petang semalam akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang pelajar lepasan Pusat Asasi UIAM yang bakal ke UIAM Kuantan Julai ini.Namun Allah Taala lebih mencintai beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu adik...Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un...
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya)." (Yunus:10)
Sesungguhnya jodoh dan ajal maut itu di tangan Allah ~
Nota 1: Bersemangat menanti semester baru. ^_^
Nota 2: Kenapa rasa kita sangat jauh, walaupun sebenarnya kita sangat dekat