Cinta... satu pengalaman yang dikatakan cukup indah dan kehilangan cinta dikatakan cukup pedih. Bagi saya yang tidak pernah bercinta (tetapi amat percaya pada cinta), saya tidak boleh komen lebih-lebih mengenai perasaan bercinta atau putus cinta. Tetapi, saya ada satu kisah benar yang berlaku kepada seorang kawan baik saya ketika di Amerika. Kisah ini membuktikan cinta terbaik hadir apabila kita berubah menjadi terbaik.
Kisah S
Pada tahun 1996, semasa saya melangkah kaki di Illinois State University, tiada orang Melayu Malaysia dan saya satu-satunya wanita bertudung. Selepas seminggu berada di bumi Amerika, S adalah orang pertama yang menegur dan memberi salam. Ketika itu, saya mengakui betapa perkataan semudah "assalamualaikum" menjadi common language antara 2 insan berlainan bangsa dan warganegara.
S adalah gadis Pakistan yang lahir dan dibesarkan di Amerika. Bersama-samanya ketika itu ialah M, teman lelaki yang berbangsa black American yang baru setahun memeluk Islam. Dipendekkan cerita, setelah beberapa kali berjumpa, kami sepakat apabila semester seterusnya, kami akan tinggal sebilik di asrama.
Apabila kami menjadi roomate bersama 2 gadis berbangsa white American yang lain, saya mengenali S dengan lebih rapat. Setiap malam Sabtu, dia akan keluar dengan kawan-kawannya (dia tidak pernah mengajak saya). Dia cukup rajin belajar dan antara pelajar cemerlang dalam bidang biologi.
Saya pernah ke rumah keluarganya. Adik perempuannya bermekap tebal ala ghotic dan abangnya akan menyebut 'f#%@" disetiap akhir ayat. Rumahnya sederhana dan rasa tenang sepertimana rumah berkeluarga yang lain. Saya perhati, hampir di setiap dinding rumahnya tertera "786". Apabila ditanya, katanya, "that is the number of times Bismillah is mentioned in Quran." Saya diam sahaja kerana kurang arif. Hanya sekali sahaja saya tegur dengan nada serius "S, if I saw you sleeping in one bed with M again, I sleep outside."
Saya akui, kelemahan iman menyukarkan saya menegur perkara-perkara lain tetapi percaya perubahan total perlu datang dari dalam diri. Saya menerima S seadanya.
Suatu hari S kata, dia cuba nak pakai tudung. Dia mula pakai tudung putih ke kampus dengan baju lengan pendek. Sebulan kemudian, dia pakai jubah hitam di atas baju lengan pendeknya. Dia juga mula membaca tafsir Al-Quran.
Suatu hari S, beritahu saya, "Mimi do you know, when Allah send the message for the women to wear hijab, they immediately pull the curtains and cover themselves with it. Only their eyes were shown."
Beberapa minggu kemudian, S menutup mukanya dengan kain. Hanya mata yang kelihatan. Saya berkesempatan ke rumah keluarga S lagi. Rumahnya masih sama. Tetapi, isi rumahnya sudah lain. Adik perempuannya sudah berjubah dan menutup muka, tiada lagi "786" sebaliknya diganti dengan ayat Quran, abangnya juga sudah tidak menyebut "f%#@". Adik perempuannya juga ambil keputusan berhenti sekolah menengah & hanya home school. Mereka sekeluarga juga mengambil kelas bahasa arab.
Untuk pengetahuan semua, dari saat S beritahu hendak pakai tudung sehingga saat dia menutup wajahnya (termasuk tangan), ia mengambil masa kurang dari 1 tahun.
Okay sekarang cerita cinta...
Sepanjang perubahan itu, S masih dengan M (yang juga berubah menjadi Muslim yang lebih baik). Mereka berdua sudah tidak berjumpa berdua-duan. Kalau berjumpa, mereka akan berbincang mengenai hadis atau ayat Al-Quran. Suatu hari sepupu S (juga, suatu ketika pernah melalui kehidupan bebas) masuk melamar. Sepupunya adalah antara pendakwah muda di beberapa konvesyen Muslim di Amerika.
Di bahu ini, S meluahkan dalam perasaannya...
"How can I love another man, as I love M...?"
Saya tak boleh nak jawab. S keraskan hatinya yang pilu dan menerima lamaran sepupunya. M juga terpaksa menerima dengan hati yang berat.
Tiga bulan kemudian, S bercerita pengalaman keluarganya bercuti. Malah, dia juga memberitahu bagaimana sepupunya (si tunang) terpaksa mengangkat punyalah banyak beg dan dia yang berjalan di belakang berkekeh ketawa dengan adiknya. Saya juga turut gelak kecil. S bercerita dengan nada gembira & seri di muka.
Semenjak saya pulang ke Malaysia, saya sudah hilang contact dengan S. Namun, saya bersyukur sepanjang 2 tahun setengah bersama S, Tuhan tunjukkan erti sebenar perubahan.
Walaupun belum bertemu cinta, percayalah, apabila kita berubah menjadi diri kita yang terbaik, Tuhan akan buka laluan untuk cinta yang terbaik juga hadir. Berdoalah semoga kita bertemu cinta yang telah dijanjikan.