Tuesday, March 31, 2015

Musibah banjir dan K-Pop



Musibah banjir dan  K-Pop
Oleh: Rossem


Masih lagi dalam suasana awal tahun  baru 2015 yang memilukan!  Mangsa-mangsa banjir yang kehilangan rumah atau rosak teruk  masih belum berganti  rumah.  Sebahagian masih menumpang  tidur di rumah sanak saudara, sebahagian dalam caravan atau  khemah yang sempit . Kesedihan, jerih dan payah terus  menyelimuti, sedang kehidupan harus diteruskan.  Anak-anak sekolahan harus ke sekolah. Yang bekerja harus bekerja, bantuan banjir tak akan mengalir terus menerus sepanjang masa. Akan berhenti juga sampai waktu dan saatnya.

Sesetengah kawasan yang dilanda banjir teruk, kawasan perumahan di Kusial, Kuala Krai misalnya,  air mencecah setinggi  30 kaki. Sama tinggi dengan 4 orang Malaysia (disambung). Bayangkan  kalau kita (yang tak terlibat) berada dalam situasi dan kondisi seperti itu. Pasti air mata kesedihan mengalir sama deras dengan  air banjir.

 Justeru bila mendengar khabar , di kawasan yang selamat dari banjir seperti Kuala Lumpur , penganjur mengadakan konsert  kumpulan K-Pop, B1A4   dari Korea Selatan  sehingga mendorong gadis-gadis Melayu Islam bertudung naik ke pentas, kemudain merelakan diri  mereka  dipeluk cium oleh  penyanyi  lelaki Korea, terasa  terkoyak hati. Sudah hilangkah  rasa simpati kalian kepada mangsa-mangsa banjir yang merintih simpati, sudah hilangkah rasa hormat kalian kepada pasukan sukarelawan, NGO, individu, parti politik,  pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba yang bertungkus lumus membantu menyelamatkan, memindahkan  mangsa dan membahagi-bahagikan  mereka makanan serta  minuman. Sesungguhnya golongan ini perlu dihormati!

 Pengorbanan mereka terlalu besar buat rakyat Malaysia. Saya amat terharu, bila setiap kali berselisih dengan konvoi kereta misi bantuan yang sarat dengan muatan  makanan dan kain selimut menuju ke lokasi bencana. Setiap  kereta mengibarkan bendera negeri masing-masing, ada dari Johor, Terengganu, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan lain-lain.  Yang amat teruja, misi bantuan dari Thailand, umat Islam Selatan Thai, seperti diketahui,  dalam kesempitan hidup, namun  tak lupa membantu sauadar-saudara mereka, disaat-saat kita memerlukan pertolongan.

Banyak kereta yang ditenggelami  air banjir  dibawa ke bengkel  untuk dibaiki.  Sehingga tukang baiki sekarang  tak  cukup tangan. Mungkin itu rezeki  mereka . Demikian Allah SWT mengatur kehidupan hamba-hambanya; hari ini rezekiku, besok lusa rezeki mu. Saya bertanya seorang forman di sebuah bengkel  kereta:  Berapa kos dikenakan untuk membaik pulih sebuah kereta ditengelami banjir termasuk servis enjin (tanpa tukar barang). Kadar ditetapkan antara RM250 –RM300, dan  mengambil masa dua hari untuk menyiapkannya.

Rata-rata  rumah yang dimasuki air banjir,  barang-barang perabok seperti  sofa, almari, tak dapat diselamatkan.  Selain ianya berat dan berukuran besar, ia pula bukan jenis kalis air,  bahannya bukan seratus peratus daripada kayu.

Air bah yang datang dari bukit bukau Gua Musang  juga membawa bersamanya lumpur halus berwarna kuning susu.  Purata setiap bangunan atau rumah yang dinaiki air meninggalkan lumpur yang tebal. Kalau paras airnya 4 kaki, lumpur yang ditinggalkan satu kaki. Andai segala lumpur-lumpur yang melekat di jalanraya, bangunan, rumah, padang seluruh negeri Kelantan dikumpulkan, akan menjadi sebuah bukit , sama banyak, sama tinggi  dengan  bukit yang digondolkan di jajahan Gua Musang.

Kereta dan rumah adalah keperluan asas yang mesti diselesaikan segera. Bagaimana penguasa menguruskannya, kita lihat akan hasilnya nanti.

Di pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Balai Islam Lundang, pada tanggal 18 Januari 2015 orang ramai berpusus-pusu di hadapan perkarangan Maik seawal jam 7 pagi. Orang tua, ibu-ibu yang mengendung anak kecil berdiri berbaris seperti tak faham apa gerangan ini. Mereka  hanya  mendapat maklumat yang bersumberkan laman sosial dan televisyen kononnya hari itu Maik akan mengedarkan  borang bantuan banjir untuk rakyat Kelantan.

 Ada yang datang dari Gua Musang, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas, masing-masing  balik tangan kosong – hampa,  kerana tak ada borang dikeluarkan, bahkan Setiausaha Maik, Mohd Asri Abdul Rahman mengakui tak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan agihan borang bantuan banjir dari sumber wang baitulmal itu.

Menyenaraikan nama mangsa-mangsa banjir  menjadi lebih mudah sekiranya  melalui imam-imam mukim, kerena imam lebih tahu kondisi  anak mukimnya. Namun, bantuan itu tetap ada, iaitu disalurkan  berasaskan kepada senarai yang disahkan  oleh ketua-ketua jajahan .

Di sisi lain,  melihat kepada  keadaan orang  ramai menyerbu Maik , mohon bantuan wang zakat (baitulmal) yang tak pernah berlaku sebelum ini, ternyata  kesusahan , kepertitan hidup rakyat yang kehilangan harta  akibat banjir akhir tahun 2014 itu tak boleh dipandang ringan. Rakyat tidak akan menyerbu pejabat baitulmal seperti itu, kalau mereka punya wang. 

Penurunan harga minyak melegakan.  Dulu isi petrol  RM10 dapat 4 liter lebih sedikit, sekarang dapat  5 liter, Namun  tak  ramai yang berterima kasih kepada Perdana Menteri  di atas penurunan harga minyak itu, berbanding dengan kata nesta  ketika kenaikan harga minyak diumumkan. Penurunan oleh kerajaan itu juga mungkin disebabkan desakan rakyat setelah melihat harga minyak dunia jatuh menjunam.

Namun amat dikesali, harga petrol  turun, harga barang tak turun. Ketika harga petrol naik, peniaga  cepat-cepat menaikkan  harga barang jualan  dengan  memberi alasan, tak dapat dielakkan  kerana kenaikan harga petrol.  Realitinya pengguna  dipermainkan terusan, kecuali Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bangkit dari tidur, dan memikirkan bagaimana untuk meringankan beban rakyat pengguna.  Yang tak terusik  oleh kata-keta ialah Tenaga Nasional, terus kekal mencekek leher rakyat dengan kadar tarif elektrik yang tinggi.  Dan sebenarnya tak mampu  rakyat miskin menjelaskan bil setiap bulan.

No comments:

Post a Comment