Perginya seorang Murabbi Ummah- Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Oleh: Rossem
Pulau
Melaka, tetapi letaknya di Kelantan, tentu aneh! Kenapa nama Melaka ada di
Kelantan, walhal jarak antara kedua negeri itu
hampir 700 kilometer. Tentu ada sejarahnya tersendiri.
Kampung Pulau Melaka sudah wujud ratusan tahun dahulu, ketika era
kesultanan Melayu Melaka masih tegak. Ketika itu Kg Pulau Melaka diperintah
oleh kesultanan Jembal, antara sultan Jembal yang terkenal ialah Raja Sakti
(1638M).
Hubungan
antara dua negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu itu
hanya lewat kapal laut yang belayar menyusuri Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Belum wujud jalan darat ketika itu (kurun ke 16).
Kerajaan Jembal di zaman kegemilangannya maju dan makmur, pedagang-pedagang luar datang
berdagang. Sungai Pulau Melaka yang dalam airnya serta lebar memudahkan kapal-
kapal belayar dan singgah berlabuh di situ. Hal ini menimbulkan iri hati Sultan
Melaka, lalu mengirim pengintip untuk
mengintip kekuatan pertahanan kerajaan
Jembal. Perbuatan dan niat buruk itu
diketahui Raja Jembal, lalu pengintip Melaka
itu di tangkap dan diasingkan di
sebuah pulau kecil pinggiran sungai. Akhirnya pulau itu dinamakan Pulau Melaka,
sempena keturunan orang-orang Melaka itu.
Sekarang
nama Pulau Melaka kembali disebut-sebut, meniti di bibir-bibir rakyat. Tanggal
13 Februari 2015 bumi asal kesultanan Jembal itu menerima kedatangan lebih 50 ribu
manusia dari seluruh Malaysia untuk mengucapkan selamat jalan kepada seorang
putra kelahiran Kampung Pulau Melaka yang pulang ke rahmatullah pada jam 9.45
malam, 12 Februari 2015 di rumahnya Pulau Melaka, bersambung dengan Masjid Tok
Guru setelah beberapa minggu menerima rawatan di hospital Sultanah Zainab Kota
Bharu, kerana mengidap kanser prostat yang dikesan sejak Pilihan Raya Umum ke
13 dan kondisinya bertambah buruk selepas bencana banjir melanda Kelantan akhir
Disember 2014.
Putra
kesayangan ummah itu tak lain Mursyidul Am Pas dan mantan Menteri Besar
Kelantan, Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Almarhum menghembus nafas terakhir dalam usia 84 tahun.
Nik Abdul
Aziz Nik Mat putra asal Pulau Melaka, bapanya, Allahyarham Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada
keturunan Raja Jembal yang memerintah Kelantan dalam kurun ke 16. Keturunan Raja Jembal itu
masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama di Kota Jembal (Dulunya Kedai
Lalat), Pulau Melaka, Binjai, dan Kota Bharu. Pusara Almarhum bersebelahan dengan pusara
ayahandanya Haji Nik Mat Bin Raja Banjar.
Beliau
menikah dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak, atas pilihan ibi bapa pada 1962.
Ketika itu Tok Guru berusia 31 tahun,
manakala isterinya berusia 14 tahun. Hasil perkahwinan itu dikurniakan 10
cahaya mata, 5 lelaki dan 5 perempuan. Antara
anaknya yang mengikut jejak menjadi politikus ialah Muhamad Abduh, sekarang
menjadi Wakil Rakyat.
Rumah
kediamannya di Kg. Pulau Melaka amat sedarhana. Rumah lama berdinding papan (kayu), hanya konkrit pada
bahagian belakang (dapur). Lebih teruja kerana rumah itu berpagar, sepertimana rumah-rumah kediaman orang sekarang. Bahkan tiada pengawal keselamatan mengawal rumah itu, walhal ia seorang Menteri Besar (23 tahun).
Sebagai Menteri Besar, berhak
mendapatkan kalwalan polis di rumahnya.
Tok Guru tak
mahu membina pagar di rumahnya. Tiada istilah “privacy” dalam kamus hidupnya.
Sesiapa pun dan bila-bila masa
boleh datang ke rumahnya. Tok Guru melayani tetamu dengan penuh hemah,
kecuali bila masuk waktu solat, Tok Guru mendahului solat.
Pertama kali
saya ke rumah Tok Guru tahun 2000,
menemani kawan dari Indonesia. Ketika itu saya tinggal di Kuala Lumpur. Setelah
memperkenalkan diri (sebenarnya malu untuk memperkenalkan diri sebagai kartunis
kepada seorang ulama besar seperti Tok Guru). Tok Guru kemudiannya melontarkan ungkapan yang sehingga hari
masih segar dalam ingatan “ Jadilah
kartunis Islam” . Acapkali beliau menyebutnya, dan saya faham biarpun tanpa
huraian. Sebulan selepas itu dalam satu
ceramah Tok Guru yang saya hadir di Kuala Lumpur, beliau menyebut lagi di hadapan ribuan khalayak “ Kepada
kartunis saya menasihati mereka, jadilah kartunis yang bermanfaat untuk perjuangan Islam”.
Sebelumnya
saya pernah mendengar cakap-cakap mengatakan, Tok Guru mengambil sendiri minuman
(teh / kopi) di dapur rumahnya untuk
sajian tetamu. Realitinya, hari itu Tok Guru masuk sebentar ke dapur,
kemudian datang membawa dulang dengan dua cawan teh untuk kami berdua. Tak
ada orang gaji (pembantu rumah) di rumah
beliau, walhal beliau seorang Menteri Besar.
Sebagai
Menteri Besar, beliau disediakan sebuah rumah rasmi kerajaan (dinas) di Kota Bharu, namun Tok Guru tak tinggal di rumah
itu, sebaliknya di rumah sendiri di Pulau Melaka. Segala kemudahan seperti
kos sewaan dan kos meraikan tetamu
sebanyak RM3,000 sebulan yang diperuntukkan kerajaan, Tok Guru tak
mengambilnya, sebaliknya memulang kembali kepada kerajaan.
Rutin harian
Tok Guru Nik Aziz selama menjadi Menteri
Besar Kelantan 23 tahun, sebaik saja
beliau tiba di pejabat di Kota Darulnaim
(pagi), beliau dahului dengan mendirikan solat dhuha, kemudian baru memulakan
kerja. Tazkirah pagi untuk semua karyawan di semua pejabat di kompleks
pentadbiran negeri dipancarkan menerusi pembesar suara yang disambung kepada
setiap bangunan dan pejabat selama 10 minit setiap pagi hari bekerja (jam 8.00).
Selama 9
tahun (2005 - 2013) saya bekerja di
bawah pentadbiran beliau di Kota Darulnaim, Tok guru mudah didampingi. Sesiapa
saja boleh datang berjumpa beliau,
walaupun tanpa temu janji. Tiada protokol baginya, wartawan boleh bertanya apa saja, tak kira tempat, tak perlukan pembantu atau setiausaha menjwab
segala soalan wartawan.
Saya
tertarik dengan tulisan seorang wartawan media dari sudut pengalamannya bersama
Tok Guru; apa yang diucapkan tampaknya
datangnya dari hati, tanpa nampak
sebarang percubaan untuk
menyembunyikan sesuatu. Kadang-kadang kenyataan beliau menjadi bahan untuk dikritik, namun beliau
tak pernah memulaukan wartawan atau
media terbabit, tetapi membiarkan ianya berlalu.
Di pentas
ceramah, Tok Guru tidak pernah memilih khalayak untuk disesuaikan dengan inti
ucapannya terutama yang terkait dengan hukum Islam. Ada ketikanya ceramah
beliau khususnya ceramah politik dihadiri pemimpin parti komponen yang
non-Muslim. Beliau terus terang mengatakan ; Di atas muka bumi ini ada dua
golongan, iaitu Muslim dan non-Muslim. Mereka yang non-Muslim itu kafir, matinya masuk neraka”. Tetapi
non-Muslim tak marah dengan kata-kata Tok Guru.
Itulah antara kelebihan dimiliki Tok Guru.
Dengan imej serban dan jubah, Tok Guru menjadi
Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun bermula 1990 hingga 2013. Ketika
televisyen menyiarkan segmen berita tentang perlantikan Tok Guru Nik Aziz pada
1990, saya bekerja di pejabat kerajaan
di Kuala Lumpur. Kami bersama
teman-teman sepejabat menoton segmen berita pagi itu. Seorang karyawan wanita mencelah
(menghina) “
Bolehkah Nik Aziz bertutur
orang putih (bahasa Inggeris)? Jawatan
Menteri Besar mesti tahu orang putih”
Saya menjawab “ Kalau Tun Dr Mahathir (ketika itu Perdana Menteri
Malaysia) boleh bertutur dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, Nik Aziz boleh
bertutur 4 bahasa; Melayu, Arab, Urdu
dan Inggeris. Wanita itu kemudiannya terdiam.
Hakikatnya,
walaupun berserban, berjubah, berstatus ulama, namun telah berjaya mentadbir
negeri Kelantan dengan aman damai selama 23 tahun, dengan meletakkan Islam di tempat yang paling
tinggi.