Kata JIWA

Showing posts with label Tasawwur Islam. Show all posts
Showing posts with label Tasawwur Islam. Show all posts

Sunday, November 27, 2011

Lembaran Hijrah : Benarnya Abu Bakar Walau Dalam Berdusta

Setelah perjalanan yang panjang bermula dari gua Thur menuju ke selatan, rombongan hijrah Nabi yang ditemani oleh Abu Bakar As-Siddiq, Amir Bin Fuhairah dan Abdullah Bin 'Uraiqit berpatah arah pula ke kanan menuju ke tepi Laut Merah di dalam negeri Thihamah. Nabi sengaja memilih jalan ini kerana ianya tidak dilalui oleh ramai orang. Dan inilah salah satu taktik yang digunakan oleh Nabi dalam perjuangan untuk meninggikan agama Allah S.W.T.

Banyak kampung atau penempatan yang telah dilalui oleh Nabi sehinggalah sampai ke satu tempat yang bernama Al-'Araj, unta baginda yang bernama Qaswa' itu tidak lagi larat untuk membawa bebannya. Tiba-tiba seorang lelaki dari suku Aslam telah memberi untanya kepada Nabi untuk baginda tunggangi. Dan unta baginda itu ditarik tanpa beban lagi di atasnya.

Ketika dalam perjalanan, rombongan Nabi telah bertemu dengan orang yang bertanyakan perihal Nabi, "Siapakah orang ini?".

Abu Bakar As-Siddiq segera menjawab, "Dia adalah penunjuk jalan,".

Pada zahirnya, Abu Bakar As-Siddiq telah bercakap dusta kepada si penanya itu. Tetapi dalam berdusta itupun, jawapan Abu Bakar masih masih benar. Ini kerana Abu Bakar telah memalingkan maksud tersurat kepada maksud tersirat. Abu Bakar As-Siddiq mengatakan Nabi itu penunjuk jalan bukan penunjuk jalan untuk ke Madinah tetapi dengan maksud penunjuk ke jalan kebenaran.

Subhanallah, masih tetap terselah terpujinya sikap sahabat walau di dalam keadaan genting sesuai dengan mencontohi akhlak Rasul yang mulia.

Dipetik dari: Sejarah Dan Perjalanan Hidup Nabi Muhammad S.A.W / Warisan Ilmu Publications / Tahun 2009

Baca juga : Hijrah Nabi Penuh Muslihat
 

Sunday, September 25, 2011

Siapa Melihat Allah..

"Siapa yang benar-benar mengenal Allah, pasti akan melihatNya pada tiap-tiap sesuatu. Siapa yang berasa fana' dengan Allah, pasti dia lupa pada segala sesuatu. Dan siapa yang cinta kepada Allah, pasti tidak akan mengutamakan yang lain daripada sesuatu,".

Demikianlah siapa yang benar-benar mengenal Allah, pasti dia akan selalu ingat kepada Allah; pada tiap-tiap sesuatu yang dilihat, didengar dan dirasa, disebabkan tiada sesuatu pun yang dapat menunjukkan keindahan, kekuasaan dan ciptaan Allah S.W.T.

Kerana itulah siapa yang telah fana dengan Allah; dengan sungguh-sungguh ingatnya kepada Allah, maka segala sesuatu yang ada di depannya seolah-olah sepi kosong dan bayangan belaka. Sedang siapa yang betul-betul cinta kepada Allah, maka pasti dia tidak akan mengutamakan sesuatu apapun selain Allah yang telah dicintainya itu. Bahkan dia akan sanggup mengorbankan segala kepentingan dan hawa nafsunya demi mencapai keredhaan Allah Taala.

Hakikat daripada semua pancaindera, penglihatan, pendengaran dan perasaan itu semua bukan semata-mata kerana adanya mata, telinga, lidah atau hidung, tetapi semua mengharapkan Nur Ilahi yang langsung dari Allah, sehingga terangnya mata tanpa terangnya benda yang akan dilihat.

Maka dengan pandangan yang demikian, orang yang bijaksana selalu melihat Allah, merasa fana denganNya dan mencintaiNya dengan cinta yang tiada tara.

Wallahua'lam.

(Petikan Al-Hikam)

Monday, September 5, 2011

Manusia Perlu TUHAN

Berkata Will Durant (seorang ahli falsafah) , "Pertanyaan terbesar di zaman ini bukanlah komunisme melawan individualisme, bukan Eropah melawan Amerika, bukan Timur melawan Barat, melainkan adakah manusia tetap dapat hidup tanpa Tuhan,".

Diceritakan bahawa Rudyard Kipling (pengarang dan penyair Inggeris) ketika dia terbaring sakit dan diserang demam; berguling-guling di atas ranjang dan menggumamkan kata-kata yang tidak difahami sesiapa pun.

Suatu pagi, seorang jururawat memeriksannya dan bertanya, "Tuan Kipling. apa yang kamu inginkan?".

Sang Penyair pun bangkit dari tidurnya, membuka mata dan berbisik perlahan, "Aku perlu Tuhan, kerana agama adalah ubat untuk semua kekacauan jiwa dan mental,".

Suatu pagi, seorang pemuda mengetuk pintu di depan rumah Presiden Abraham Lincoln. Setelah tenang, dia berkata, "Maaf Tuan Lincoln. Saya kesal lagi hari ini,".

Lincoln merangkul bahu pemuda itu dengan tangannya dan berkata, "Anak muda, mengapa kamu tidak berhenti memerangi Tuhan dalam dirimu?".

Nah, mereka yang tidak Islam pun mengakui hakikat mengapa manusia perlu hidup bertuhan. Sedang kita, sering memerangi rasa bertuhan di dalam diri kita, baru kemudian melawan orang lain di luar diri kita.

Tuhan tidak pernah bosan meskipun kita sering mengunjungiNya. Semua beban hidup manusia manusia hanya dipasrahkan kepadaNya, tetapi itu tidak menjadikan Dia penat, sekalipun beban itu memenatkan manusia.

Dan ingatlah firman Allah S.W.T. dalam surah Toha : 124 yang bermaksud,

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan akan Kami himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta,".

Kesimpulannya, hanya agama dan iman yang benar kepada Allah S.W.T. sahaja yang dapat memberi makna kehidupan dan kematian, pekerjaan, penderitaan dan kesengsaraan. Hanya agamalah yang mempunyai kekuatan untuk menetapkan peraturan moral sekalipun memepertahankannya.

Wallahua'lam.

Dipetik dan diolah dari : Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin / Al-Hidayah House of Publishers / Cetakan Pertama 2011

Monday, July 4, 2011

Kemantapan Tarbiyah Syarat Kemenangan Islam

Tarbiyah merupakan satu uslub terbaik yang mampu bergandingan dengan fitrah manusia yang dikemukakan secara langsung (percakapan) atau secara tidak langsung (qudwah atau ikutan) . Atas dasar itu jugalah kita lihat bagaimana tarbiyah telah memainkan peranan yang begitu besar dan penting dalam generasi yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W iaitu generasi para sahabat.

Harakah Islamiyyah sedunia juga berpandangan bahawa syarat utama untuk mencapai kemenangan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T adalah dengan memantapkan tarbiyah dari beberapa sudut atau elemen. Sudut-sudut atau elemen-elemen tersebut sebagaimana berikut:-

1) Tarbiyah Ruhiyyah

Didiklah jiwa supaya melazimi diri dengan ibadat sehingga merasa kelazatan dalam beribadat serta mencapai kekuatan hati melaluinya. Senantiasa muhasabah dan muraqabah dalam gerak kerja yang baik,sensitif dengan isu-isu dosa dan mungkar serta sabar menghadapi ujian dan kekalahan.

Natijah: Istilah futur (kecewa) tidak akan sesekali merajai jiwa bagi seorang pendakwah.

2) Tarbiyah Thaqafiyyah

Tanamlah diri dengan budaya membaca dengan tidak dihadkan kepada bentuk bahan-bahan haraki semata. Lazimi diri untuk menghadiri dan mendekati para ilmuwan serta cendiakawan dengan tidak dihadkan kepada perbincangan dan persidangan berbentuk Islam semata. Biasakan diri untuk turut mendalami tamadun dan agama selain Islam.

Natijah: Bila pendakwah dihadapkan dengan sesuatu isu di luar lingkup pengajian Islam,dia tidak mudah menggelabah dan tenang menjawab sesuatu persoalan yang dikemukakan.

3) Tarbiyah Harakiyyah

Lengkapkanlah diri dengan ilmu teknik pengurusan Islam. Dalamilah juga ilmu teknik pengurusan moden selagi ianya tidak melanggari batas-batas yang telah ditetapkan syariat. Lalu sulamilah ia dengan adab-adab berjamaah dan bermasyarakat.

Natijah: Orang yang bidangnya agama tidak akan dicop sebagai tidak berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus dengan baik bertambahan jika dalam komuniti yang besar.

4) Tarbiyah Siyasiyyah

Tingkatkanlah pengetahuan dan pembacaan dalam perkembangan bidang politik Islam juga selain Islam. Dalamilah konsep khilafah islamiyyah dan kepimpinan ulama' yang lebih fleksibel dan praktikal kepada dunia semasa.

Natijah: Konsep kerajaan Islam mampu diperjelas dan dilaksanakan dengan lebih mudah.

5) Tarbiyah Jam'ieyyah

Kenal pasti dan kembangkanlah potensi ahli-ahli supaya lebih matang dalam sikap,tindakan dan keputusan. Ransanglah ahli untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis,berkeyakinan dengan diri dan berfikiran terbuka dalam setiap situasi.

Natijah: Sesuatu perkara akan mudah untuk diperbincang dan diselesaikan walau di dalam keadaan genting sekalipun.

6) Tarbiyah Badaniyyah

Latihlah diri untuk lebih kental dan tahan lasak,kerana jasmani yang lemah mampu mencacat dan membataskan tugas dakwah. Biasakanlah diri untuk mengikuti tamrin-tamrin dan kem-kem yang mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan minda.

Natijah: Diri pendakwah sudah bersedia dan dipersiapkan jika diserang oleh musuh dengan kekuatan. Tempat yang aman,tidak mungkin selamanya aman.

7) Tarbiyah Usrah Islamiyyah

Carilah pasangan hidup yang selari dengan kehendak Islam. Pastikanlah dia yang dipilih sanggup susah dan senang dalam perjuangan si pendakwah. Dialah juga yang akan menjadi pencorak generasi pendakwah yang akan datang. Kerana dari keluarga Islam akan terbentuklah komuniti masyarakat Islam yang dikehendaki.

Natijah: Pendakwah akan lebih bersemangat jika disisinya seorang yang memahami,menyokongnya dan membantunya. Ingatlah benih yang baik akan menumbuhkan pohon yang lebat buahnya.

Demikian secara ringkas beberapa elemen yang perlu diperkasakan dalam memantapkan diri dengan tarbiyah untuk tugas dakwah. Jadi usah biarkan salah satu elemen ini terlepas pandang dari mata kita untuk ditarbiahkan dengan sebaik mungkin. Kerana bila elemen itu lemah pada penguasaannya,akan lebih mudah digunakan oleh musuh sebagai senjata untuk melawan kita.

Renung-renungkanlah untuk kebaikan dan manfaat bersama...

Sumber asal : SINI

Wednesday, June 29, 2011

'Ibadul Rahman

Firman Allah Taala dalam surah al-Isra' ayat 1 yang bermaksud :

" Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".

Hamba merupakan semulia-mulia perkataan sehingga Allah S.W.T memanggil Nabi Muhammad S.A.W dengan panggilan itu sepertimana maksud ayat di atas.

Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada sehingga kita layak dipanggil dengan hamba Allah?

Dalam surah al-furqan ayat 63 sehingga 74 telah dirakamkan yang demikian itu. Dan ringkasnya ciri-ciri itu ialah :

>> Bersopan-santun dan apabila berhadapan dengan orang yang kurang beradab menanganinya pula dengan baik.

>> Mendirikan malam dengan beribadat kepada Allah S.W.T. dan selalu berdoa meminta dijauhkan daripada azab siksaan neraka jahannam.

>> Tidak boros juga tidak kedekut iaitu sederhana dalam berbelanja.

>> Tidak mempersekutukan Allah Azza Wa Jalla dengan sesuatu.

>> Senantiasa bertaubat serta beramal soleh.

>> Tidak pergi ke tempat-tempat yang dilarang (maksiat), dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia.

>> Tunduk serta patuh apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Allah Taala.

>> Selalu berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan dikurniakan isteri dan anak-anak yang soleh.

Wallahu'alam.

Monday, June 27, 2011

10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T iaitu :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri (Medan jihad).
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim (menganiaya).
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan menjauhkannya
dari Allah
."
PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...