Showing posts with label santai. Show all posts
Showing posts with label santai. Show all posts

Wednesday, October 23, 2019

Tips menaikkan mood di tempat kerja

بسم الله الرحمن الرحيم

Pejam celik pejam celik kita sudah di pertengahan tahun 2019.

Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia kita untuk terus beribadat kepadaNya.

Adakalanya kita rasa lemau, tak semangat di tempat kerja.

Antara perkara yang sering saya lakukan untuk kembali segar dan bersemangat ialah dengan menghidu bau haruman yang menyegarkan..

MasyaAllah...

Senyuman terukir bila bau haruman yang indah apabila masuk ke pejabat.

Wangian kegemaran buat masa ini.

Tidak pakai di pakaian.

Hanya untuk sembur dalam pejabat sahaja.

Membangkitkan semangat.

Kerja sambil senyum, insyaAllah


MasyaAllah syukur kepada Allah yang memberikan rasa bahagia dengan mudah.

Walau dengan sekadar haruman sahaja.



Wednesday, July 31, 2019

Hikmah di sebalik paksaan ibu bapa (Siri 1)

بسم الله الرحمن الرحيم


***Entri ini ditulis pada 26/5/2018

Bila difikirkan semula, sungguh banyak yang kita bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa kita yang mencorakkan hidup kita semasa kecil.

Alhamdulillah berkat paksaan mak ayah semasa kita kecil dulu, banyak memberi manfaat untuk zaman dewasa kita walaupun semasa kecil dulu kita memberontak dengan keputusan mak abah.

Antara beberapa perkara yang saya rasa amat bersyukur ialah:

1- Mak abah menunjukkan kami jalan untuk menghafaz Al-Quran sehingga habis.

MasyaAllah, sungguh ia amat membentuk diri, sentiasa membuatkan diri dekat dengan Allah apabila Al-Quran sentiasa perlu diulang.

2- Berusaha dan memberi semangat untuk kami menyertai pertandingan hafazan Al-Quran.

Masya Allah....

Bila difikirkan, manfaatnya ketika dewasa, ialah ia adalah latihan agar kami berani di hadapan masyarakat.

Bersambung.....

Wednesday, June 19, 2019

Pembakar semangat untuk terus menulis blog

بسم الله الرحمن الرحيم

Sungguh..


Kelmarin saya berasa lemau, tak ada semangat untuk menulis blog.

Saya adukan kepada adik saya dan minta pandangannya.. Dijah yang mempunyai peranan lebih baik dari Google.

Alhamdulillah.. selepas itu kembali bersemangat untuk menulis blog. Saya kembali menulis.

Ketika Google gambar abah untuk menulis tentang didikan abah tentang masa, saya terjumpa kembali blog abah.... Bertahun-tahun yang lalu...

Abah mula menulis blog pada zaman blogger pun tak wujud lagi.

14 tahun yang lalu, ketika saya membaca blog abah, masya-Allah, sungguh memberikan inspirasi...Saya menanam cita-cita untuk menulis seperti abah.


Tulisan abah sempena hari kelahiran Abang Abbudey yang membuatkan status abah berubah..

Cucu sulung

Abah menulis memori pertama kami menjejakkan kaki ke Syria.

Saya baca setiap tulisan abah.

Sungguh adakalanya tulisan itu lebih baik dari berkata-kata.

Ia adakalanya cara yang lebih mudah untuk menzahirkan isi hati.

MasyaAllah.

Betapa Allah As Sami' Yang Maha Mendengar hasrat hati hambaNya yang ingin menulis seperti abah. Tak lama pun selepas itu, kira-kira setahun selepas itu, ketika kami pulang ke Malaysia Allah lorongkan kami untuk belajar membuka blog dari abang ipar.

Ia perkara yang remeh, tetapi ia ada permulaan untuk saya menulis seperti abah... Menulis dengan istiqamah hingga hampir 13 tahun..

Dan ketika saya berputus asa untuk menulis, Allah ingatkan semula hasrat hati saya bertahun-tahun yang lalu malahan sejak dari kecil ingin menjadi penulis.  Allah telah perkenankan hasrat hati itu maka janganlah dipersiakan.

Ya Allah.

Puji dan syukur selayaknya buatMu.

Sunday, June 16, 2019

Kata-kata yang baik penawar hati

بسم الله الرحمن الرحيم

MasyaAllah...

Sungguh terasa di hati bahawa kata-kata yang baik itu dapat menenangkan fikiran dan menjadi penawar ketika duka.



Begitulah yang dirasakan.

Tatkala lelah seharian, ada ketikanya saya ambil surat dan kad yang ditulis ikhlas oleh para pelajar dan baca semula...


Senyuman terukir di bibir.

Alhamdulillah...



Bagaimana air yang sejuk dapat menghilangkan dahaga dan memberi kenikmatan kepada insan yang dahaga, begitu jugalah kata-kata yang baik menjadi penawar dan penyejuk hati.

Moga Allah sentiasa rezekikan kita untuk sentiasa berkata-kata yang baik-baik sahaja.

Ya Rabb

Thursday, June 13, 2019

Perubahan seiring dengan bertambahnya usia

بسم الله الرحمن الرحيم

MasyaAllah...

Sungguh manusia itu berubah sejajar dengan pertambahan usia, perubahan masa tempat dan keadaan.

Menjadi lebih dewasa membuatkan kita lebih peka, prihatin, disiplin dan ehsan kepada mereka yang sentiasa bersama dengan kita setiap hari.

Nama-nama mereka disebut dalam doa dipenghujung malam moga Allah permudahkan segala urusan mereka dalam naungan rahmatNya.



Juga yang sentiasa didoakan agar kita semua dapat bekerjasama dengan baik, harmoni dan penuh mahabbah.

Moga keberkatan Allah sentiasa bersama kita.

Kayu?!

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada kalanya ada saja momen-momen santai yang kelakar yang menjadi kenangan kita sekeluarga.

Seperti ketika kami bercuti di Penang pada bulan 3 yang lalu, anak-anak menjumpai sekotak kecil mancis yang disediakan dalam bilik hotel.

"Mama, mama tengok ada kayu."

"Kayu?"


Gelak besar kami bila anak-anak namakan mancis itu sebagai kayu..

Tak sangka.

Begitulah apabila mancis pun sudah dikira barangan sejarah yang kini tidak dikenali oleh anak-anak zaman sekarang.

Kami ajar kepada anak-anak kegunaan mancis.

Alhamdulillah ilmu yang baru untuk anak-anak walaupun remeh pada pandangan mata orang dewasa.

Friday, June 7, 2019

Bertukar juadah

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara nikmat anugerah Allah menjadikan kita dari pelbagai bangsa yang berbeza agar kita dapat saling belajar antara satu sama lain.

Alhamdulillah kami yang tinggal dalam kawasan Maahad mempunyai pelbagai bangsa.

Antara yang saling bertukar-tukar ilmu pengetahuan tentang masakan dan makanan.

Alhamdulillah ada yang sudi berkongsi juadah mereka.

Seperti puding dadih susu ( Di Syria di panggil Muhallabiyyah) diberikan.


Istimewa berbentuk seperti smiley
😊


Comel saja.

Alhamdulillah habis anak-anak makan. Kena dengan selera mereka.

Pada hari yang lain pula, jiran yang sama juga menghantar mahsyi (kubis yang direbus kemudian diisi dengan nasi seperti nasi goreng dan dibalut).

Alhamdulillah sedap.

Kena dengan selera kami.


Mahsyi yang lazat.

Alhamdulillah


Alhamdulillah nikmat ukhuwah sesama manusia.

Monday, April 22, 2019

Jam cantik untuk si dia

بسم الله الرحمن الرحيم


Jam ini ditempah dengan hasrat di hati semoga kedukaan di hati si dia sedikit terubat.

Sungguh tidak sanggup nak melihat duka di wajah si dia...

Mungkin sekadar ingin memasukkan sedikit kebahagiaan di hatinya.
Jam cantik untuk si dia...

Dengan ingatan:
Allah with u

Moga tiada sedih lagi.
Allah bersamamu.

Jam ini ditempah melalui seorang sahabat lama.

Istimewa jam ini saya pilih kerana boleh ditulis padanya.

Tulisan rumi atau jawi dan juga boleh diletakkan gambar juga.



Pelbagai pilihan warna yang ada








Sebelum ini si dia memakai jam bertulisan inggeris berwarna hitam, dihadiahkan jam bertulisan Arab berwarna putih.

Kepada saya pula dia hadiahkan jam putih bertulisan inggeris

Jam comel hadiah darinya

Sedangkan sebelum ini saya memakai jam hitam bertulisan Arab.


Moga dia terus kuat, tiada duka dan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.


Sesiapa yang berminat untuk membeli jam ini, boleh wassap sahabat saya ini:


Sunday, March 17, 2019

Sticker nama yang comel dan cepat

بسم الله الرحمن الرحيم

"Mama, dekat kedai kat Kulim tu ada jual sticker nama kartun yang mama selalu buat online tu. Siap dalam masa sat ja" Abbudey mula bercerita.

"Kenapa tak beli?"

"Tak sempat nak beli. Kami nak cepat." 

Alhamdulillah beberapa hari selepas itu, ketika kami ke Kuala Lumpur, kami ternampak kiosk mencertak dan menjual sticker kartun seperti itu.

Siap dalam masa 5 minit.

Seronok pula tengok kakak penjual itu mencetak nama atas sticker.

Membelek gambar yang dihajatinya
Seronoknya Abbudey bila Allah perkenankan keinginannya.


Sticker pilihan Abbudey yang telah dicetak namanya
Untuk hadiah untuk kawan di sekolah


Comel je sticker kartun ni

Dulu pernah buat custom sticker melalui online, namun apabila ada pengalaman pesanan yang ditempah tidak dihantar, mula rasa menyesal dan takut untuk order lagi.


Sticker nama custom made online dulu.

Sticker nama Abdullah masih banyak lagi, sebab tu tak buat lagi.

Buat untuk Abdul Rahman sahaja.

Abdullah faham.

Custom made, online

Kali ke-2 order, tak sampai pula...

sedih


Ini kali pertama order sendiri di kiosk sticker, biasanya minta kawan tolong belikan kerana tak lalu di kiosk seperti ini.

Alhamdulillah, pertama kecil yang menggembirakan hati.

Ia kurniaan ALLAH.

Saturday, February 9, 2019

Seronok dan takjub dengan teknologi masakini

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika saya menulis dan mereka plan untuk Abdul Rahman untuk tampal di biliknya menggunakan microsoft word dalam handphone dan terus print wireless, saya rasa takjub dan seronok dengan teknologi masakini.


MasyaALLAH. Begitu mudah dan canggih sekali apabila memiliki ilmu.

Saya teringat semula bahawa semua ini dahulu tidak boleh dilakukan kecuali jika on komputer.

Sekarang ini, semua mudah sahaja.

MasyaALLAH.

Poster ringkas yang saya buat untuk tampal di bilik Abdul Rahman menggunakan Microsoft Word dalam handphone, tentang plan selepas Abdul Rahman khatam Al-Quran.

Ada ditulis dalam entri sebelum ini..

Kemudian terus klik print (wireless), dalam ia akan terus dicetak.


MasyaALLAH...


Friday, January 25, 2019

Lekatnya ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم

Makin dewasa, makin saya yakini bahawa sesuatu ilmu itu bukan perolehi  dengan belajar sahaja, tetapi ada cara yang lebih efektif untuk sesuatu ilmu lebih lekat di hati dan akal.

Itulah dengan mengajar.



Sungguh apabila kita mengajarkan semula ilmu yang kita pernah pelajari, ia menjadi lebih lekat di fikiran, lebih difahami, malahan ketika kita belajar mungkin tidak terlintas soalan-soalan yang akan terdetik apabila kita mengajar.

Begitulah berkatnya ilmu apabila diamalkan dan diajarkan semula.

Cubalah dan anda pasti akan rasakannya.


Saturday, January 12, 2019

Kisah Tasbih Digital

بسم الله الرحمن الرحيم
Beberapa bulan lalu saya ada membeli 4 buah tasbih digital untuk kami sekeluarga.

Tasbih digital yang dibeli dari Shopee
Comel betul dalam kotak dia.
Rasa macam sesuai untuk hadiahkan kepada orang lain

Tasbih digital siap dengan lampu LED.
Harga tak mahal mana




Saya beli dengan harga rm4.50 untuk tasbih digital beserta dengan kotak dan ada lampu LED


Kisah tasbih digital ini bermula apabila melihat keluarga Sheikh Mahir Al Munajjid yang menggunakan jam ini.


Berkayak di kawasan tasik maahad

Abdul Rahman juga sempat tasmik Al-Quran sepanjang 3 minggu Sheikh berada di maahad

Kisah keluarga Sheikh Mahir banyak diceritakan dalam blog ini seperti di sini:

https://cinta-rasul.blogspot.com/2017/02/ziarah-sheikh-di-cianjur-indonesia.html


https://cinta-rasul.blogspot.com/2017/03/terasa-seperti-berada-di-syurga-dunia.html


https://cinta-rasul.blogspot.com/2014/12/percutian-di-cianjur-indonesia-2014.html

https://cinta-rasul.blogspot.com/2017/02/video-membaca-at-taawwuz-dengan-tajwid.html

https://cinta-rasul.blogspot.com/2017/03/video-kesabaran-menuntut-ilmu.html


Sungguh, amal baik dapat memberi persona agar orang lain turut mengikuti kita

Selain itu, apabila kita memakai cincin tasbih digital ini, secara tidak langsung kita akan sentiasa ingat untuk berzikir berbanding apabila tidak memakainya.

Keadaan yang sesuai apabila menaiki kenderaan dan berjalan-jalan di luar kerana kita tidak sibuk dengan aktiviti lain berbanding ketika di rumah dan tempat kerja.

Sunday, July 22, 2018

Berdosa !

بسم الله الرحمن الرحيم

Lama sudah tidak mengajar kanak-kanak darjah 1, tahun ini kembali mengajar pelajar darjah 1, membuatkan saya kembali tersedar ada beberapa perkara yang saya terlupa tentang kanak-kanak ini.

Mengajar setiap peringkat kanak-kanak memang berbeza tindak balasnya.

Kanak-kanak sekecil pelajar darjah 1, mengajar pelajarannya mudah, namun perlu kemahiran mengawal kelas agar tidak bising. Perlu pandai tarik perhatian mereka untuk fokus.

Mengajar pelajar remaja pula perlu bersedia dengan soalan-soalan yang mencabar minda dan subjek pelajaran yang lebih sukar. Dan perlu tarik perhatian mereka agar tidak tidur dalam keals.

Antara perkara yang 'unik dan menarik' apabila mengajar kanak-kanak ini yang saya perasan semula ialah:

"Berdosa."

MasyaALLAH.. anak-anak ini apabila kita tanyakan apa yang akan terjadi apabila buat perkara buruk sekian, sekian...

Jawapan yang selalu mereka jawab ialah: berdosa.

Contoh:

"Kalau kita ambil barang kawan jadi apa?"

"Berdosa." Jawab anak-anak pelajar.

Bagai rasa lama tak dengar pekataan berdosa itu.

Mengajar anak darjah 1 juga perlu kreatif menarik perhatian mereka untuk fokus dan rajin membuat kerja.


Monday, July 16, 2018

Kenangan lalu tentang makanan

بسم الله الرحمن الرحيم

Bila dah berkeluarga dan anak-anak pun kian membesar, seringkali kita teringat kenangan lalu bersama ibu ayah dan ibu.

Adakalanya apabila makan.

Seperti yang pernah ditulis dalam entri 5 tahun lalu di sini:


Begitu juga apabila baba membeli donat bagi meraikan dan menghargai usaha anak-anak yang berusaha untuk menghafaz Al-Quran.

(Ada ditulis dalam entri di sini:


Apabila melihat donat ini teringat masa zaman kami kanak-kanak dulu, kalau abah balik dari Brunei (Abah dulu kerja 2 minggu di Brunei dan 2 minggu di Malaysia, tiap-tiap bulan abah naik kapal terbang ke Brunei)  dan bawa donat ini, mak akan potong 4 atau 2 supaya semua orang dapat rasa pelbagai jenis donat.

Begitulah apabila mempunyai adik beradik yang ramai dalam keluarga.

Perlu dididik berkongsi dan sama rata.

Makanan yang direbut-rebut itulah yang dirasakan sangat sedap.

Begitulah kenangan lalu yang mendidik kita.

Tuesday, April 17, 2018

Kemahiran berkomunikasi di khalayak ramai

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu ketika dulu, ketika zaman U, amat tertarik dan kagum dengan kebolehan rakan-rakan sepengajian yang mampu mengatur tutur, mempunyai keberanian dan kemahiran mengatur ayat di khalayak ramai.

Kelihatan MasyaALLAH, "WOW!", hebatnya, terernya orang yang dikurniakan ALLAH kemahiran begitu...

Teringinnya nak jadi orang yang bijak berbicara di khalayak.

Bercakap di hadapan ramai dan dapat mengatur idea dengan kata-kata yang bernas dan tersusun juga adalah satu cara utama untuk menyampaikan dakwah.


Kata-kata yang mampu menambat hati dan mempengaruhi pemikiran orang. 


إن من البيان لسحرا

“Sesungguhnya sebagian dari bayan (penjelasan dengan kata-kata yang indah) adalah sihir (memukau orang)”
.


Sekadar bercakap sahaja tidak boleh, malah idea dan kata-kata perlu disusun indah dan bernas.

Kerana itu juga amat mengkagumi Sheikh Rotib An Nabulsi yang sentiasa tersusun kata-kata pada setiap percakapannya.

Namun, apabila tiba masanya terpaksa untuk berbicara di khalayak ramai, timbul rasa ragu-ragu dan kurang keyakinan diri.

Platform untuk menulis lebih selesa digunakan berbanding berkata-kata kerana lebih mudah menyusun ayat dan idea.

Apabila berkata-kata, terasa bagai idea menderu-deru dalam fikiran hingga menyebabkan percakapan menjadi laju.

Perasan gementar juga perlu dikawal sebaik mungkin pada masa awal percakapan.

Malahan juga jika kita tersalah cakap, semua orang akan perasan (Malunya....!), berbanding jika tersalah tulis, boleh lagi dipadam dan diubah.




Kata-kata mampu menaikkan semangat orang.

Kata-kata juga mampu menjatuhkan semangat orang.

Kata-kata mampu membuatkan orang lain sedih atau gembira, marah, suka, dan macam-macam lagi.


Begitulah bertuahnya jika mahir berkomunikasi

Monday, April 2, 2018

Masa Boleh Mengubah Prinsip

بسم الله الرحمن الرحيم


"Dulu masa kau jaga aku kat Syria dulu, kau tak bagi pun aku masuk dapur. Sampai kawan-kawan kau kata, kalau tak masuk dapur, macammana nak pandai buat kerja-kerja rumah?." Kata Dijah apabila melihat Abdul Rahman dan Abdullah membuat kerja-kerja dapur dan memasak.

Mak Teh Dijah menemani kami di rumah pada penghujung tahun lalu.

"Anak-anak kau, kau bagi je diorang buat kerja-kerja dapur." Tambah Mak Teh Dijah lagi.


Ke Kedai bersama Mak Teh Dijah dan Mumu


Antara hidangan yang sempat anak-anak buat ketika Mak Teh Dijah di rumah ialah:

Japanese Cotton Cheese Cake

Puding Krim Karamel

Jelly

Tat Telur

Ada tulis entri tentang ini di sini:

Japanese Cotton Cheese Cake yang anak-anak buat sendiri

Puding Krim Karamel bersama resepi yang anak-anak salin

Menggoreng keropok

"Yelah... manusia boleh je berubah prinsip. Aku dah dapat pengajaran dari pengalaman dulu. Kalau tak ajar masuk dapur dari kecik, nanti dah besar tak pandai buat kerja-kerja rumah. Sebab tu anak-anak aku, aku bagi buat kerja-kerja rumah dari kecik."

Begitulah jawapannya.

Memang ketika remaja dahulu, ketika berusia dalam 18 tahun menjadi kakak menjaga adik darjah 3 bersekolah di Syria. Kami tinggal di rumah sewa dengan siswi-siswi Malaysia yang turut belajar di Syria.



Kenangan di Syria

Dijah dengan uniform sekolah di Syria

Kenangan main salji dengan adik beradik di Bludan, Syria

Begitulah.

Masa dan pengalaman boleh sahaja mengubah prinsip dan pendirian kita terhadap sesuatu.

Mungkin pada masa lampau kita fikirkan bahawa prinsip kita itu sudah 100% betul, namun apabila makin meningkat usia, pasti boleh sahaja kita berubah prinsip.

Semoga ALLAH sentiasa menunjukkan kepada kita pendirian yang benar.

Amin

Friday, March 30, 2018

Guru sentiasa memberi inspirasi

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika terjumpa dengan video amanah Dekan Kuliah Dakwah Islamiah, Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro seperti yang pernah dikogsikan di sini:


Terus menghantar PM kepada pensyarah-pensyarah kuliah Dakwah yang dahulu.

MasyaALLAH.

Kata-kata dari guru memang sentiasa memberi semangat dan isnpirasi walaupun kita sudah lama meninggalkan bangku kuliah.


Begitu juga kiriman Whatsapp dari pensyarah di Syria dulu yang mengirimkan doa untuk dibaca pada waktu-waktu mustajab pada Hari Arafah yang lalu.





Alhamdulillah... Syukur kepada ALLAH yang menghadirkan insan-insan hebat yang memberi semangat, nasihat, teguran dan peringatan walaupun jauh dan sakian lama tidak bertemu.

Betapa kita saling memerlukan insan yang memberi motivasi dan mendorong kita untuk membuat amal soleh.

Semoga ALLAH memberkati kita semua.

Amin.

Saturday, March 24, 2018

Berkongsi cerita anak-anak?

بسم الله الرحمن الرحيم

Soalan 1:
Kenapa asyik tulis tentang cerita anak-anak sahaja dalam blog ini?

Jawapan:

Saya percaya bahawa banyak perkara yang boleh kita pelajari dari orang lain. Dari pengalaman dan hidup mereka.

Saya juga suka membaca buku-buku travelog dan kisah benar perjalanan hidup orang.

Hinggakan apabila saya membaca buku travelog seperti hasil karya Prof Kamil Ibrahim dan Puan Roza Roslan, terselit dalam hati impian untuk menulis buku travelog seperti mereka juga, moga-moga ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Begitu juga, jika saya seorang guru, saya tidak akan tahu kisah hidup seorang doktor contohnya, atau  seorang tukang sapu sampah atau lain-lain jika dia tidak bercerita kepada saya.

Setiap orang pasti ada jalan hidup yang pasti kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

Kerana itu, saya suka berkongsi perjalanan hidup bersama anak-anak ini, moga-moga ia bermanfaat kepada orang ramai.

Begitu juga, apabila saya membaca buku, adakalanya terdetik rasa ragu-ragu terhadap kisah yang diceritakan itu jika tidak ada gambar sebagai bukti, kerana itu jugalah saya meletakkan gambar pada entri di dalam post blog ini.

Malahan, gambar-gambar ini mengembalikan memori indah kami semua, hatta ketika anak-anak membuka blog ini, mereka akan kenang kembali memori yang mereka lupa ketika mereka kecil.

Ia adalah detik berharga dalam keluarga kami.


Soalan 2:

Kenapa hanya tulis kisah tentang anak sendiri sahaja? Anak-anak orang lain pun ramai yang hebat-hebat.


Jawapan:

Teringat saya kata-kata Abdullah pada suatu hari:
"Semua orang ada kelebihan dan kekurangannya tau."

Ya Benar. Setiap orang ada ciri-ciri yang hebat.

Hatta pada anak-anak murid di sekolah juga, ramai mereka yang mempunyai ciri-ciri yang lebih hebat dari anak-anak saya.

Masing-masing kita mempunyai kelebihan agar kita saling tolong menolong dan menyempurnakan orang lain.

Tapi, saya tidak boleh menulis tentang orang lain-lain. Ada orang yang suka simpan sendiri dan tidak suka untuk berkongsi cerita kisah hidupnya kepada orang lain.

Baginya itu adalah hak peribadinya.

Hatta ada orang yang tidak suka jika kita kongsikan gambar anak mereka di laman maya.

Itu adalah hak mereka.

Kerana itu, sebagai langkah berjaga-jaga dari mengecilkan hati orang lain, jarang sekali saya kongsikan kisah orang lain dan gambar-gambar orang lain kecuali jika diizinkan.

Semoga catatan blog yang hampir 12 tahun ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Amin..

Friday, March 9, 2018

Tanda tanya dan impian zaman kanak-kanak

بسم الله الرحمن الرحيم

"Masa kecik dulu, selalu lalu depan De Palma Ampang, mesti tertanya-tanya macammana agaknya suasana dan persekitaran  dalam Hotel De Palma Ampang ni kan? Teringin nak masuk tengok kat dalam hotel tu" Sembang-sembang  bersama adik saya bermula.

"Aah. aku pun selalu terpikir macam tu masa kecik." Dijah turut bersetuju.

Begitulah, zaman kanak-kanak kami yang berada sekitar Ampang ini yang  sering terfikir suasana di dalam Hotel De Palma Ampang. 


Dalam fikiran anak kecil kelihatan seperti gah dan seronok sahaja di dalam bangunan hotel tersebut. Apatah lagi apabila sering lalu lalang di hadapannya.

Kini setelah lama masa berlalu, impian anak kecil tersebut diperkenankan ALLAH.

Dah banyak kali sangat kami menetap di hotel De Palma.

"Mudah. Nak solat kat surau dia senang. Nak Solat Jumaat dan Solat Raya di surau dia pun senang. Cari makanan pun senang. Kedai banyak dekat situ. Kalau makan kat hotel pun, kita yakin insyaALLAH halal. Anak-anak pun boleh main kat kolam sana. Kita booking De palma Ampang sahajalah." Baba memberi banyak sebab untuk menetap di sana.

Berpagi raya di Hotel De Palma Ampang

Bersiap-siap untuk Solat Raya di Surau Hotel De Palma Ampang

Bersedia di lobi hotel De Palma Ampang untuk keluar berziarah


Akhirnya, itulah tempat yang sering kami tujui jika ke Kuala Lumpur sejak lama dulu hingga sekarang.

Banyak catatan entri blog yang pernah ditulis berlatar belakangkan Hotel De Palma Ampang, seperti:



Hinggakan temuramah untuk akhbar Harian Metro pada tahun 2015 bersama kami pun dibuat di Hotel De Palma Ampang. Boleh baca di sini:


Temuramah akhbar yang dilakukan di Hotel De Palma Ampang


Begitu juga video reaksi Ahmad Zaid terhadap flash card hijaiyyah yang dirakam di Hotel De Palma Ampang:




Bilik di Hotel De Palma Ampang




Ahmad Zaid dengan alat permainannya di Hotel De Palma Ampang

Kesukaan Ahmad Zaid terhadap Lego turut dibawa bersama ke Hotel De Palma Ampang


Bersama sepupu dan adik beradik yang menetap di Hotel De Palma Ampang
 
Harap-harap Hotel De Palma Ampang terus menjaga kualitinya.

Hotel De Palma Ampang yang menjadi tanda tanya kepada kanak-kanak satu masa dahulu apabila melihatnya dari luar dan lalu di hadapannya

Impian yang remeh dan kecil seorang kanak-kanak, namun ia diperkenankan ALLAH Yang Maha Pemurah.

Alhamdulillah.

ALLAH perkenankanlah impian-impian besar kita.

Ganerasi yang soleh, bertaqwa dan bermanfaat buat insan lain.

Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...