Followers

Friday, December 21, 2012

zaman kanak-kanak



Sudah hampir 50 tahun saya meniti hidup.
Perjalanan yang sudah terlalu panjang.
Jika umur saya menjangkau ke angka 60, bermakna sudah lebih 2/3 daripada hayat saya sudah saya lalui.
Dan tiba-tiba berbalam-balam kisah zaman  kanak-kanak saya di depan mata. Kisah yang biasa-biasa di zaman itu... zaman 60an dan 70an.
Tidak banyak memori saya di zaman sebelum masuk alam persekolahan . Apa yang sempat masuk ke dalam ingatan hanya riang ria hidup bersama emak, ayah dan adik-adik di sebuah rumah kayu di kampung Bukit Payung, Ulu Besut, Terengganu. Tok ( Ibu kepada emak saya )  juga tinggal bersama-sama kami, walaupun kadang kala dia juga bertandang ke rumah anaknya yang kedua, iaitu mak saudara saya yang di panggil mak ngah.
Kakak-kakak yang telah bersekolah semuanya dihantar ke rumah Wa ( ibu kepada ayah ) yang tinggal di kampung Darau. Jarak antara kedua-dua kampung itu tidak sampai pun 10 km, tetapi ayah tetap menghantar anak-anaknya ke SK Darau, bukan ke SK Bukit Payung. Kata ayah Prestasi SK Darau lebih baik.
Tidak ada yang menarik di kampung halaman saya. Sebuah kampung yang mundur tanpa bekalan letrik dan air paip. Setiap petang selepas mandi, sementara menunggu tanah gelap dibayangi waktu malam, kami adik beradik akan berkumpul di tangga rumah... melihat awan yang berbalam-balam yang menyerupai berbagai bentuk. Itulah permainan yang kami ada ketika itu, berteka-teki tentang bentuk awan. Bila ada seorang daripada kami yang menemui awan berbentuk kambing, maka semuanya akan meneka yang mana satukah kambing putih di atas langit yang dimaksudkan. Begitulah seterusnya.
Kami akan naik setelah pelita di pasang di atas rumah, iaitu selepas matahari betul-betul menyembunyikan dirinya.
Selepas ayah menghabiskan solat maghrib kami akan berkumpul mengelilingi ayah. Dengan disinari cahaya pelita ayan, kami bersedia untuk membaca mukaddam. Dan biasanya selepas selesai membaca mukaddam, ayah akan meneruskan solat isya. Dan kami semua akan bersiap untuk tidur.

Tidak ada kenangan yang indah... tetapi ia tetap terpahat di memori.. Jauhnya perbezaan hidup sekarang dengan hidup dulu-dulu!!


No comments:

Post a Comment