Satu ketika di sebalik lipatan waktu
Tidak terimbau kenakalan lalu
Biarpun katamu nakalku bukanlah lazim
Cuma lain dari yang lain
Kucuba dan kucuba lagi
Tercari-cari silap dahulu di celah rimbun memori
Sebelum terbit rintik keringat lelah
Aku gagal lagi untuk kesekian kali
Nasihat seorang pendidik yang lebih terserlah seorang teman:
Usah terlalu dipaksa diri
Kerna tiada sebesar zarah pun salah yang maha berat telah dilakukan
Kusut fikiranku terlerai sedikit
Mendengar gemersik suaramu itu
Sedang langit hitam suram tanpa kerdipan bintang
Jiwaku bergelora diasak pelbagai jawapan
Jawapan kepada soalanku sendiri dalam pencarian jati diri
Bagi seorang ibu, aku terlalu terperinci
Di mata seorang sahabat, aku dikatakan rumit
Pada seorang guru, aku seorang yang cerewet
Setelah kurenung dan kukaji
Apa lagi yang hendak dikata?
Memang sudah otakku terperinci fungsinya
Memang sudah peparuku rumit pembinaannya
Memang sudah jantungku cerewet sifatnya
Kurenung dan kukaji lagi
Di mana letaknya kepercayaan dan kemaafan
Dalam diri ini?
Tiga tahun menyepi
Kini aku kembali lagi
Menyandang harapan kabur tanpa senyum suria
Bersama rasa gembira berbaur bimbang
Mencari ruang memberi kepercayaan
Memberi peluang mencari kemaafan
~27/01/2004~