Showing posts with label Ehwal Nasional. Show all posts
Showing posts with label Ehwal Nasional. Show all posts

Tuesday, July 14, 2009

PPSMI: Kemelut antara Jati diri dan Realiti

PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 ketika Dr. Mahathir masih Perdana Menteri. Memang tidak ramai yang berani untuk menukar Bahasa penyampaian dari BM kepada BI kerana ia merupakan isu sensitif dan boleh dianggap sebagai penghianat bangsa. Bahasa adalah jiwa bangsa. Tetapi Dr. M lebih mengutamakan bangsa dari bahasa. Bangsa yang maju dengan sendirinya bahasanya akan dihormati. Melayu akan tetap Melayu, Cina akan tetap Cina, begitu juga India akan tetap India walaupun meggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan mendapatkan ilmu yang banyak sumber rujukanya dalam bahasa Inggeris.
Semua bangsa bangga dengan bahasanya sendiri. Kita mahu Bahasa Melayu yang telah dijadikan Bahasa Malaysia menjadi bahasa ilmu, dan itulah peranan UKM semasa ditubuhkan. Tetapi, untuk sumber ilmu terdapat bahasa-bahasa yang sudah menjadi media utama, tanpa menguasai bahasa tersebut kita menjadi sukar untuk menguasai bidang tersebut.
Saya yang dididik sejak dari darjah satu hinggalah tahun akhir universiti dalam Bahasa Melayu. Pada masa zaman saya bersekolah, terdapat dua aliran, aliran Inggeris dan aliran Melayu sehinggalah dua lairan ini dijadikan hanya satu aliran sahaja iaitu aliran kebangsaan, selepas tahun 1974 (kalau tidak silap). Ketika itu, sekolah aliran Melayu memang mempunyai masalah untuk mengajar matematik dan sains kerana ketiadaan guru yang boleh mengajar dalam Bahasa Melayu sehingga terpaksa meminta bantuan Kerajaan Indonesia meminjamkan guru bagi mengajar matematik dan sains. Saya belajar dari guru Indonesia, saya masih ingat guru yang mengajar fizik namanya pak Tomi, biologi pak Alfred Manurung, dan matematik pak Sogianto. Sekolah aliran sains tidak banyak seperti sekarang, iaitu kurang dari 10 sekolah di seluruh Negara. Buku teks yang digunakan masih dalam Bahasa Inggeris dan beberapa buku yang diterjemah dengan bahasa Melayu yang sukar difahami oleh pelajar Melayu sendiri.
Di peringkat awal pengunaan BM memang terdapat banyak masalah dari segi istilah sains dan matematik. Buku rujukan kesemuanya dalam BI. Ahli-ahli bahasa termasuk dari dalam bidang sains dan kejuruteraan telah bertungkus lumus menggubal istilah. Saya pun sempat menjadi ahli jawatkuasa istilah sains UKM dan juga DBP. Pada masa itu penyelidikan tidak banyak atau boleh dikatakan tiada, jadi aktiviti perbincangan peristilahan merupakan aktiviti yang agak utama kepada pensyarah-pensyarah sains dan matematik. Hasilnya banyak istilah telah dicipta walaupun maknanya kurang tepat. Memberi kuliah diwajibkan menggunakan BM dengan istilah yang telah dicipta atau dicipta sendiri. Masa banyak digunakan untuk menulis nota dalam BM dengan sumber rujukan buku berbahasa Inggeris, mencari istilah lebih sukar daripada memahami buku dirujuk. Saya pernah mempertikaikan beberapa istilah yang kurang tepat dan berbeza untuk bidang sains dan kejuruteraan. Ahli istilah bidang kejuruteraan kebanyakannya terdiri dari ramai pensyarah muda dan telah mendapat pendidikan dari England. Ahli istilah yang mewakili bidang disebut pakar bidang, yang duduk bersama dengan ahli bahasa. Kekhairahan mencari istilah Melayu kadang-kang membawa kepada terjemhan yang kurang tepat dan sukar difahami sehingga orang Melayu sendiri tidak faham dan terpaksa merujuk kepada sumber asalnya dalam Bahasa Inggeris. Jadi, masalahnya ketika itu bukan tak faham Bahasa Inggeris tetapi masalah untuk menyampaikannya dalam Bahasa Melayu dengan istilah yang difahami.
Pada masa itu sumber rujukan hanyalah dari buku-buku yang terdapat di perpustakaan. Usaha telah dilakukan untuk menambah bilangan buku teks dalam BM, saya sendiri telah menulis 5 buah buku universiti dalam Bahasa Malaysia dan digunakan di UKM. Tetapi perkembangan teknologi dan buku yang terhasil dalam BI terlalu cepat sehingga tidak mampu diterjemah. Dahulu sesuatu maklumat itu agak lambat untuk dicari atau disebarkan berbanding zaman ICT sekarang yang maklumat boleh dicapai dengan pantas melalui berbagai search engine seperti google dan sebagainya. Berikut saya turunkan contoh carian Google yang dilakukan dengan BM dan BI,

Istilah BM =Carian Google ,Istilah Inggeris = Carian Google
Pemalar = 11,100, Constant =161,000,000
Sains = 14,100,000, Science = 1,010,000,000
Separuh pengalir = 936, Semiconductor =38,800,000
Pengalir =18,600, Conductor = 37,000,000
Pearuh = 237, Inductor = 2,670,000
Penebat =10,400, Insulator =5,290,000
Litar Terkamir = 1,620, Integrated circuits = 8,650,000
Pemberbilang getar = 50, Multivabrator = 500,000
Perintang = 28,400, Resistor = 9,250,000
Pemuat = 29,700, Capacitor = 12,200,000
Penguat = 2,070,000, Amplifier = 28,600,000
Pengayun = 1,880, Oscilator = 493,000
Perkakasan = 337,000, Hardware = 412,000,000
Perisian = 943,000, Software = 1,190,000,000
Cakra keras = 133,000, Hard disk = 80,400,000
Jangka suhu = 681,000, Thermometer = 16,600,000
Keberintangan = 191, Resistivity = 4,140,000

Jumlah carian dengan istilah BM 18,367,114 iaitu bersamaan dengan ~1% berbanding dengan jumlah carian dengan istilah Inggeris ialah 3,017,593,000. Maknanya, maklumat yang diperolehi hanaya 1% sahaja jika dicari dengan istilah BM, dan ini akan meningglkan kita jauh ke belakang kecuali mereka yang sudah tahu istilah BI, iaitu kebanyakan pejuang bahasa sekarang. Anak-anak kita khususnya orang Melayu akan kerugian. Tetapi, sumber maklumat dalam Bahasa China adalah banyak, mereka tidak rugi menggunakan bahasa ibunda malah memudahkan untuk mendapat ilmu dari China dan Inggeris. Orang Melayu tidak ada sumber rujukan dalam Bahasa Melayu. Orang Melayu akan tertinggal dalam mencari maklumat ilmu sains.
Setelah lebih 30 tahun iaitu sejak 1970 hingga 2003, BM digunakan sebagai bahasa penyampaian dalam mengajar sains dan matematik di sekolah dan juga universiti. Masalah penyampaian mungkin tidak menjadi masalah, cuma istilah yang digunakan agak mengelirukan dan tidak pun digunakan diluar universiti.
Hampir kesemua industri kita adalah industri multinasional, dan mereka menggunakan istilah Inggeris. Kerajaan tidak boleh memaksa mereka menggunakan istilah Melayu, hatta syarikat tempatan pun tidak mahu mengunakan istilah Melayu kerana katanya mereka juga berhubung dengan syarikat antarabangsa. Jadi keluaran universiti apabila keluar tidak langsung menggunakan istilah BM semasa belajar. Perkara ini adalah berbeza dengan kes di Korea dan Jepun, mereka mempunyai syarikat mereka sendiri, maka mereka memang menggunakan bahasa Korea atau Jepun. Jikalau syarikat mereka buka cawangan di Malaysia, mereka akan menggunakan bahasa Inggeris bukan Korea atau Jepun. Adakah syarikat kita yang sama tarafnya dengan mereka, jawapannya tiada. Saya pernah disangkutkan di Jepun dan pernah menjadi Profesor Pelawat di Korea. Semasa di Jepun, memang sukar untuk berbincang dengan pelajar di sana kerana mereka tidak fasih Bahasa Inggeris kecuali Bahasa Jepun, tetapi mereka tahu istilah saintifik dalam Bahasa Inggeris. Kalau saya gunakan istilah BM mereka langsung tak faham. Masalah orang Jepun dan Korea, mereka tidak boleh mengungkapkan sesuatu dengan mudah dalam Bahasa Inggeris. Orang Melayu atau Malaysia tidak mempunyai masalah tersebut, sehingga di rumah pun guna Bahasa Inggeris walaupun tak tepat nahunya. Isteri tidak suka jika suaminya minta "madu" tetapi "honey" untuk makan roti(contoh sahaja). Maknanya Bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang sangat asing bagi orang Malaysia, berbanding orang Jepun dan Korea.
Saya rasa Kerajaan memang sedar perkara ini, tetapi sebagai suatu bangsa memang kita rasa tidak mempunyai jati diri jika kita menggunakan bahasa lain selain bahasa kita walaupun realitinya tidak. Saya bersetuju bahasa ibunda digunakan di sekolah-sekolah sebagai bahasa komunikasi untuk memudahkan pemahaman terutama untuk mereka di pendalaman, tetapi untuk peringkat pengajian tinggi saya menyokong menggunakan Bahasa Inggeris demi kemajuan bangsa. Mengikut Tan Sri Muhyiddin pemansuhan PPSMI hanyalah untuk sekolah bukan untuk peringkat tinggi. Kerajaan terpaksa akur dengan kehendak pejuang bahasa yang mewakili rakyat. Oleh kerana rakyat harus didahulukan (1 Malaysia) PPSMI dimansuhkan, walaupun realiti sekarang untuk maju di zaman ICT sebenarnya tidak...Semasa saya di Korea terdapat profesor menggalakkan pelajarnya menulis tesis dalam BI untuk kebaikkan pelajar tersebut. Di Holand yang saya telah pergi juga telah membenarkan penulisan tesis dalam BI. Telah berlaku perubahan sikap terhadap BI di sesetengah negara kerana tuntutan globalisasi dengan tidak begitu rigid dalam perlaksanaan bahasa.
Saya rasa Dr. M telah berfikiran jauh dan berdasarkan kesan globalisasi di mana maklumat tersebar begitu pantas, tidak seperti dahulu. Pendekatan Kerajaan sekarang saya rasa tidak menolak 100% PPSMI tetapi bertolak ansur untuk memenuhi dua kepentingan atau tuntutan, rakyat (jati diri) dan realiti.

Thursday, June 4, 2009

Chin Peng mahu balik ke Perak?

Generasi sekarang banyak yang tidak mengenali siapakah Chin Peng, malah saya sendiri tidak pernah berjumpa dengannya kecuali melihat gambarnya dalam buku sejarah semasa Tunku Abdul Rahman berunding dengannya di Baling, Kedah. Chin Peng ialah ketua Parti Komunis Malaya.
Beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di sebuah kedai kecil Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau dilantik untuk memimpin Parti Komunis Malaya(PKM) iaitu cawangan Parti Komunis China, dan bercita-cita mengkomuniskan Tanah Melayu.

Pihak British mengunakan Chin Peng untuk bersama menentang Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah. Namun demikian penjajah British mulai sedar dengan pergerakan PKM ini, lalu pihak British mengatur langkah untuk menghapuskannya. Parti Komunis Malaya semakin berani bertindak dengan memperkuatkan lagi pasukan gerilanya bukan sahaja untuk berperang dengan tentera British malah telah mengancam keselamatan orang awam yang tidak mengikut telunjuknya. Orang Melayu dan oarang Islam tidak dapat menerima perjuangan PKM yang militan dengan fahaman Karl Marx dan Leninisme. Chin Peng menyedari betapa perjuangan komunisme agak sukar diterapkan di kalangan orang Melayu pada masa itu, kerana orang Melayu begitu kuat dengan pegangan agama Islam yang dianggap sebagai bertentangan dengan fahaman 'Marxisme'. Penolakan orang-orang Melayu terhadap komunisme telah menyulitkan lagi PKM untuk diterima sebagai pejuang kemerdekaan. Orang Melayu tidak boleh menerima Chin Peng yang begitu kuat untuk membawa fahaman komunis di negara ini. Chin Peng gagal untuk meyakinkan orang Melayu, malah rejim Chin Peng telah melakukan tindakan ganas yang melampaui batas dengan melakukan pencerobohan terhadap anak-anak gadis Melayu, memusnahkan prasarana awam termasuk menyerang balai-balai polis yang menjadi tempat perlindungan orang awam. Ramai anggota polis dan askar yang telah terbunuh akibat serang hendap yang dilakukan oleh pengganas komunis yang diketuai Chin Peng. Sejarah hitam penyerangan Balai Polis Bukit Kepong merupakan peristiwwa hitam yang sukar dilupakan. Peristiwa tersebut telah difilemkan oleh Dato' Jins Shamsudin, "Bukit Kepong" dan memenangi Filem Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-3, 1982, diterbitkan oleh syarikat Jins Shamsudin Productions. Perajurit-perajurit ini dibunuh kerana mereka dikatakan menjadi anjing kepada British yang menjajah negara ini. Tindakan ganas ini telah menyebabkan perjuangan mereka ditolak oleh rakyat.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

Selepas kemerdekaan sehingga kejatyhan PKM pada 1989 acaman terbesar kepada Malaysia ialah pengganas komunis yang dipimpin oleh Chin Peng. Pengganas komunis telah menyusup ke kampung-kampung Cina dan bandar untuk meminta makanan dan bahan keperluan lain untuk digunakan di hutan. Pada masa itu agak sukar untuk mengenali seseorang itu komunis, penyokong komunis dan orang awam terutamanya orang Cina. Orang Cina yang tidak memberi kerjasama akan diseksa dan dibunuh. Itulah sebabnya masa itu Orang Melayu ketika itu selalu menganggap orang Cina adalah komunis teutama di kawasan hitam seperti kampung baru, dan bandar-bandar lama yang memang majoritinya orang Cina.

Masa itu banyak serangan hendap dilanccarkan oleh komunis di bandar dan di jalan-jalan yang lengang. Dahulu apabila disebut pekan Karak orang akan bayang kawasan bahaya di mana terdapat banyak polis dan tentera, kerana di situ adalah tempat yang selalu pengganas komunis. Di utara Perak seperti Grik dan utara Kelantan, di Betong dan banyak lagi. Jalan raya sentiasa ada rondaan tentera. Tugu Pahlawan pernah diletupkan pada tahun 1976 semasa saya adalah pelajar UKM. Letupan di sana sini berlaku hampir setiap hari. Angota keselamatan kita telah bertungkus lumus berperang dengan komunis, banyak yang terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis sehingga mati atau putus kaki. Adik saya yang memasukan angkatan tentera pernah bertempur selama satu jam dengan komunis ketika membuat operasi di Sarawak sekitar tahun 1980.

Bersama beliau ialah Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Rashid Maidin ialah pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya. Rashid dilahirkan di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak pada 10 Oktober 1917. Rashid dikatakan mempunyai keistimewaan boleh menghilangkan diri jika diburu oleh pasukan keselamatan. Beliau juga dikatakan selalu mengunjungi adiknya di Kampung Sungai Itik, Simpang Pulai, Perak. Rumah itu daripada papan dan bertiang tinggi. Pasukan tentera mengepung rumah itu tetapi tidak dapat menemui Rashid yang dikatakan berada di situ. Tuan Haji Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, Selatan Thailand pada 1 September 2006 kerana sakit tua pada usia 89 tahun.

Abdullah C.D. atau nama sebenarnya Che Dat bin Anjang Abdullah. Lahir di Lambor Kanan, Parit , Perak Darul Ridzuan pada tahun 1916. Abdullah C.D dilantik menjadi Komander Regimen ke-10 PKM mengetuai pasukan komunis Melayu bergerak di sekitar kawasan Narathiwat di sempadan Malaysia - Thailand dan di dalam hutan Kelantan. Kedua-duanya berkahwin dengan gadis Cina dan tinggal di Thailand.

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

Sekarang terdapat usaha untuk membawa pulang ketua pengganas ini ke Malaysia kerana mereka beranggapan rakyat banyak terutamanya orang Melayu sudah melupakan perbuatannya. Chin Peng yang sekarang berusia 85 tahun bukanlah pejuang kemerdekaan tetapi adalah ketua pengganas yang telah banyak menyusahkan rakyat. Adakah Chin Peng akan balik ke Sitiawan, Perak, tempat kelahirannya yang sekarang ini kawasan tersebut diwakili oleh Datuk Ngeh Koo Ham, ketua DAP Perak.
Oleh yang demikian biarlah CHIN PENG menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam buangan di Thailand, daripada dia terus dicerca sebagai pejahat komunis yang telah membunuh wira bangsa dan mewujudkan suasana tidak aman dan kesangsaraan di kalangan rakyat umum.

Sunday, May 24, 2009

Mikroelektronik di MIMOS dan IMEN untuk renungan..

Penubuhan MIMOS tidak dapat dipisahkan dengan visi Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu sekitar tahun 1984-85. Dr. Mahathir memang mahu melihat Malaysia terlibat aktif dalam teknologi tinggi. Cadangan penubuhan suatu pusat penyelidikan yang berkait dengan mikroelektronik telah dipersetujui. Idea tersebut datang dari kumpulan yang diketuai oleh Dr. Tengku Azman. Akhirnya MIMOS ditubuhkan pada tahun 1985, pejabat pertamanya di Istana Perak Kuala Lumpur diletakan di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri. Pengarah MIMOS yang petama dan juga merupakan pengarah pengasas ialah Prof. Madya Dr. Tengku Azman Sharifuddin yang sebelumnya adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan UM. Prof Dr. Mohd Zawawi Ismail dari UKM merupakan Timbalan Pengarah. Salah satu alasan penubuhan MIMOS adalah untuk menyelaraskan aktiviti mikroelektronik di Malaysia khususnya di universiti-universiti tempatan. Orang dalam bidang mikroelektronik yang sebenar, iaitu reka bentuk integrated circuit dan fabrikasi boleh dikatakan tiada ketika itu. Terdapat beberapa pensyarah dalam bidang semikonduktor dan elektronik tetapi bukan dalam bidang mikroelektronik integrated circuit fabrication. Pada masa itu pensyarah yang saya tahu mempunyai pendidikan dalam bidang mikroelektronik integrated circuit hanyalah saya yang pernah mengikut kursus lengkap sarjana mikroelektronik. Bukanlah bermakna saya pakar, tetapi yang mepunyai pengetahuan dalam bidang tersebut.
Pengasas-pengasas MIMOS merasakan dengan mempunyai Fab sendiri Malaysia akan dapat menghasilkan beberapa IC khususnya mikrokomputer sendiri. Proses fabrikasi hanya dianggap sebagai perkara yang standard dan tidak perlu kepakaran. Design merupakan perkara yang penting. Maka tiada seorang pun ketika itu yang mengepalai bidang IC fabrication. Memang tiada pun orangnya kecuali yang mempunyai asas fizik semikonduktor. Di awal penubuhan beberapa siri kursus CMOS integrated circuit diadakan. Saya masih ingat sekitar tahun 1985 ketika itu masih belum ada PhD, seminar yang diberikan oleh Dr. Ishidate dari NEC diadakan di Istana Perak(MIMOS). Ceramah beliau adalah mengenai asas CMOS dan bagaimana difabrikasi. Bagi orang litar bersepadu ceramah itu adalah terlalu asas, tetapi bagi kebanyakan peserta lain perkara itu adalah baru, dan mereka hanya perlu tahu untuk tujuan membuat rekabentuk IC sahaja. Profesor John Mavor dari University of Edinburgh yang salah satu universiti di UK yang mempunyai makmal pemprosesan CMOS juga pernah dijemput dan memberikan seminar. Beliau telah menulis buku "Introduction to MOS LSI Design". Saya ketika itu sedang mencari tempat untuk PhD dalam bidang mikroelektronik dan memang sangat berminat dengan CMOS integrated circuit atau yang berkait dengan integreted circuit fabrication. Saya telah mendapat tawaran ke Edinburgh, tetapi atas sebab-sebab tertentu saya telah ke University of Durham pada September 1985 buat PhD di bawah Dr. M.J. Morant orang yang terlibat dalam fabrikasi bipolar transistor pertama di UK. Ini kerana kursus MSc adalah dalam bidang mikroelektronik. Pada masa itu mikroelekronik merupakan satu disiplin masih baru dan tak banyak universiti yang menawarkannya.
Pada sekitar 1986 Prof. Masuri Othman telah pulang dari Southampton University dalam bidang mikroelekronik dan MIMOS sedang rancak mengkaji kemungkinan teknologi dan sebagainya, amak beliau bersam Prof Zawawi, Arif Nun dan lain telah banyak membuat tinjauan ke luar negara. Prof. Masuri memang dari dulu lagi ditawarkan ke MIMOS tetapi barangkali tawaran tersebut kurang menarik berbanding dengan universiti kerana MIMOS ketika itu adalah Jabatan Kerajaan.
MIMOS mahu membina kemudahan fabrikasi CMOS di Malaysia yang boleh mengasilkan IC untuk komputer dan sebagainya. Aktiviti semikonduktor dimulakan apabila MIMOS berpindah ke Bangunan Bursar Saham di Jalan Duta sehinggalah berpindah ke Bukit Jalil sekitar tahun 1995. Pada masa itu cleanroom di UKM sudah pun dibina menggunakan peruntukan tambagahn Bangunan Fakulti Kejuruteraan yang siap dibina pada tahun 1994. Tetapi, cleanroon UKM yang saya bina tidak mempunyai kelengkapan yang cukup, sekadar beberapa peralatan asas seperti Mini furnaces untuk diffusion, oxidation, dan annealing. PECVD, dan metal evaporator yang mudah. UKM telah membelanjakan peruntukan dari Telekom. Dengan peruntukan tersebut kita telah memperoleh sistem gas dan litografi yang terdiri dari mask aligner dan electron beam direct write system yang diperoleh dari Sophia Univesity melalui syarikatnya. Itulah sahaja alat yang terdapat di UKM ketika itu. Beberapa staf MIMOS telah sempat menggunakan kemudahan di UKM untuk latihan dan kajian mudah di bawah penyeliaan saya. Saya pernah diminta oleh pihak MIMOS untuk memasuki MIMOS dan bersama-sama menjalani latihan pemindahan teknologi CMOS di Fraunhofer Institute Germany. Tetapi setelah memikirkan beberapa ketika dan mungkin masih sayang meninggalkan cleanroom yang baru selesai dibina di UKM yang merupakan brain child saya dan sekarang ini sebahagian dari IMEN maka saya tidak
menerima permintaan tersebut. Pada masa itu orang memunyai sentimen yang universiti lebih baik dari MIMOS yang masih Jabatan Kerajaan.
Sebenarnya aktiviti di MIMOS memanglah mempunyai kaitan rapat dengan bidang minat saya terutama yang berkaiatan IC Design and fabrication. Tetapi, yang lebih penting ialah Malaysia perlu melahirkan ramai sumber manusia yang terlatih dalam bidang ini. Jika tidak kita tidak dapat merancangkan apa yang akan kitakan lakukan untuk menghasilkan sesuatu projek. Memang malaysia terkenal dan merupakan salah satu pengekspot terbesar komponen elektronik di dunia, tetapi tidak banyak malah tiada aktiviti penyelidikan untuk menyokong industri tersebut. Kita hanya merupakan melaksanakan apa yang dirancang oleh negara asal pengeluar. Tidak seperti di Korea dan Jepun, apa yang kita lakukan mungkin tidak yang diperlukan oleh pengeluar. Jadi suasana kita berbeza dengan mereka. MIMOS sepatutnya boleh melahirkan ramai ahli teknologi dalam bidang rekabentuk IC dan pembuatanya. Tetapi apa yang berlaku yang saya masih ingat pada tahun 1999 telah lahir satu syarikat yang diterajui oleh Muslim Amerika memohon kepada Kerajaan untuk membuka dan memulakan industri IC Design yang memerlukan ratusan juta dolar Amerika dari Kerajaan. Dalam permohonan, beliau menyatakan Malaysia belum ada aktiviti IC design, sedangkan kita sudah mulai sejak MIMOS ditubuhkan, malangnya tidak kelihatan. Akhirnya syarikat tersebut tutup setelah dibuat penilaian oleh pasukan yang dilantik oleh Kerajaan secara bebas.

Teknologi CMOS dan MEMS

Di Bukit Jalil, 1996, MIMOS telah membina kemudahan fabrikasi CMOS berasaskan wafer 6" dan teknologi 1 mikron yang dikenali dengan Fab1. Seterusnya MIMOS telah mempunyai Fab2 untuk wafer 8" dan teknologi 0.3 mikron. Dari segi peralatan MIMOS sudah mempunyai kemampuan yang boleh dibanggakan. Telah banyak tenaga manusia yang telah dilatih, tetapi malangnya banyak juga yang meninggalkan MIMOS atas sebab masing-masing. Untuk melatih tenaga manusia dalam bidang ini bukanlah mudah. Sekarang MIMOS menumpukan pula kepada MEMS dan NEMS serta nanoteknologi, di samping bidang-bidang lain yang tidak ada kaitan dengan kemudahan atau kemampuan atau aset utamanya ialah submicron wafer fabrication. Penutupan Fab1 kerana teknologi yang berasaskan wafer 6" dan kos penyelenggaraan yang tinggi, sedangkan masih boleh digunakan terutama untuk penyelidikan dan beberapa proses MEMS agak mendukacitakan orang-orang seperti saya. Penggantian dengan peralatan proses MEMS berasaskan wafer 8" adalah mahal dan tidak perlu, kerana MEMS tidak seperti CMOS IC. MEMS devices dan IC (ASIC) boleh diproses secara berasingan (two die system). Integrasi MEMS dan CMOS pada satu wafer adalah boleh tetapi dalam kebanyakan kegunaan ianya tidak perlu. Semasa membangunkan kemudahan MEMS di IMEN, saya telah upgrade kepada wafer 6" untuk tujuan kerjasama dengan MIMOS dan MEMSTECH. Tetapi nampaknya kerjasama proses tidak dapat dilakukan sekarang kerana MIMOS sudah menukarkan ke 8". Oleh itu kerjasama dalam proses fabrikasi di antara MIMOS dan IMEN tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kerana proses yang dilakukan di IMEN tidak dapat disambung di MIMOS atau sebaliknya. Tidak banyak foundry di dunia yang menggunakan wafer 8" untuk MEMS, dan masih banyak penyelidikan dan penghasilan produk menggunakan wafer 6". Memang idea yang baik untuk menggunakan 8" tetapi kita sebenarnya tidak ketinggalan jika menggunakan wafer 6" untuk MEMS kerana teknologi MEMS tidak diukur dari saiz wafer seperti IC. Adalah penting memulakan aktiviti dengan peralatan sedia ada atau mengubah dari CMOS ke MEMS daripada menggantikan dengan peralatan baru untuk 8" yang akan mengambil masa, tetapi sudah tentu pengurusan MIMOS mempunyai visi tesendiri yang lebih baik agaknya. Dari dulu lagi MIMOS mahu memonopoli terlalu banyak bidang yang berkait dengan ICT dan elektronik tetapi tidak memfokuskan kepada kekuatan asalnya, tidak seperti yang terdapat di Korea, Taiwan, Thailand dan Singapura. Mereka hanya menumpukan kepada penyelidikan mikroelktronik dan semikonduktor yang menjadi tunjang industri di Malaysia.
Ini cuma pandangan saya dari luar yang melihat dari sudut penyelidikan mikroelektronik dan MEMS
Nanoteknologi masih banyak penyelidikannya yang bersifat asas, jadi agak bertentangan dengan hasrat penyelidikan gunaan MIMOS.

Friday, March 13, 2009

Raja Dr. Nazrin lancar buku 'The Malay' karya Anthony Milner

Pada 10 Mac 2009 Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin melancarkan buku "The Malays" karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Apa yang menariknya ialah buku tentang Melayu ditulis oleh seorang bukan Melalu dan bukan warga negara. Buku tersebut duitulis turut mengambil pandangan beberapa sarjana UKM.
Prof. Anthony Milner telah memilih UKM sebagai tempat untyuk melancarkan buku beliau. Majlis tersebut dianjurkan oleh Institut Kajian Etnik(KITA), UKM.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan orang Melayu tentang kewujudan usaha radikal oleh pihak-pihak tertentu untuk mengubah resipi kekuatan bangsa Melayu.
Baginda bertitah, resipi yang mahu diubah itu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya di bawah naungan dan perlindungan raja-raja Melayu serta termaktub dalam Perlembagaan.
Baginda menegaskan, dalam konteks bangsa Melayu di negara ini, resipi kekuatan itu merujuk kepada elemen utama penyatuan dan kekuatan bangsa.
"Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut,'' titah baginda.
Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan

buku The Malays karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Raja Muda Perak bertitah, keterusan hidup atau survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung beberapa faktor yang selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya.
Titah baginda, ia termasuk budaya bernegara dan berkerajaan yang berpegang kepada prinsip rakyat beraja dan negeri bersultan.
Baginda bertitah, betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.
"Betapa terancam survival bangsa apabila tradisi dan institusi tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, permodenan dan sains.
"Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, dalam mengharungi gelombang globalisasi dan menghadapi dinamik politik yang sedang melanda, bangsa Melayu kini di persimpangan jalan dan menghadapi dua kemungkinan.
Titah baginda, kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus bertahan, berkembang dan kuat serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.
Kemungkinan kedua, titah baginda, ialah bangsa Melayu hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut malah pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan.
Sehingga akhirnya, baginda bertitah, Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Pada ketika itu, Raja Nazrin bertitah, tiada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik.
Baginda bertitah, kalau masih ada pun yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan atau lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah.
"Untuk itu, perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok, memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan oleh pihak lawan.
"Akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabung kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai," titah baginda.

(dipetik dari Utusan Malaysia 11 Mac 2009)

Bergambar selepas majlis pelancaran, di hadapan Bangunan Canselori UKM. Saya dan Prof. Dr. Kamaruzzaman Sopian yang kedua-duanya dari Parit, Perak berdiri di belakang Raja Nazrin dan Tuanku Zara Salim. Duduk bersebelahan dengan Tuanku Zara Salim ialah Prof Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbuddin (Naib Canselor UKM), di kanan sekali, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin Pengarah KITA, nombor tiga dari kanan ialah Prof. Anthony Milner. Sebelah kanan Raja Nazrin ialah Tan Sri Mazlan Pengerusi Lebaga Pengarah UKM, Raja Datuk Ashman Shah (Raja Kechil Tengah, Perak), Dato' Dr. Mahmood(suami NC), Prof. Dato' Dr. Mohamad Razak(TNC HEP), Prof. Dr. Rahmah Mohammad (TNC HEPI).

Thursday, February 5, 2009

Perak negeri paling popular tahun 2009

Saya tidak akan membincangkan soal politik kepartian dalam blog ini. Tetapi, saya hanya menyebut soal Kerajaan yang dibentuk tanpa melihat dari mana parti yang diwakili. Kenapa soal ini saya ingin sentuh, kerana Perak adalah negeri asal saya dan perkara yang berlaku sekarang agak menarik perhatian bukan sahaja dari segi politik.
Selepas apa yang berlaku dalam tempoh seminggu ini, Kerajaan Negeri Perak mencatat sejarah kerana akan dipimping oleh orang yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu adalah seorang bekas Hakim Negara yang menjadi Sultan Perak selepas kemangkatan Sultan Idris Almutawakkil Alallahi Shah II pada tahun 1983. Anakanda baginda Raja Dr. Nazrin yang merupakan Raja Muda Perak mempunyai ijazah PhD. Raja Dr. Nazrin mempunyai ijazah bacelor dalam bidang Philosophy, Politics and Economics dari Oxford University, ijazah Master dalam Public Administration dari Kennedy School of government, Harvard; and Ph.D in Political Economy and Government from Harvard University.
Perak akan mempunyai seorang Menteri Besar yang juga mempunyai kelayakan akademik yang tinggi apabila Dato Dr. Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada 3.30 petang hari Jumaat 6 Februari 2009 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Dato' Dr. Zambry mempunyai ijazah bacelor ekonomi, Master dalam pengajian Islam dan PhD dalam bidang ekonomi politik. Dato Dr. Zambry merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor tempat di mana perjanjian Pangkor ditanda tangani.
Perak merupakan negeri pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia dan adalah negeri terkaya sebelum kejatuhan harga bijih timah di awal 1960han. Ipoh adalah bandar terbersih ketika itu. Perak juga mempunyai sekolah-sekolah yang terkenal sebelum kewujudan Sekolah Menengah Sains di seluruh negara, yang terkenal termasuk pusat pengajian tinggi iaiti Maktab Perguruan Sultan Idris(MPSI, sekarang UPSI) yang banyak melahirkan pemimpin negara di zaman itu. Bolehlah dikatakan pusat pengajian tinggi yang pertama di Malaysia adalah di Perak sebelum Universiti Malaya.
Tetapi, kebelakangan ini Perak seolah-olah tertinggal berbanding Negeri-Negeri lain di Malaysia kerana untuk memajukan negeri-negeri lain memandangkan Perak ketika itu sudah dianggap maju kerana mempunyai lombong bijih dan ladang getah.
Diharap dapat dibangunkan semula Negeri Perak untuk kembali bangkit.
Orang Perak tidak sangat mempunyai sifat kenegerian, mungkin kerana tiada loghat negeri kecuali loghat daerah Parit, itupun tidak dituturkan dalam perbualan serius apabila orang Perak berjumpa. Orang Perak juga adalah yang membunuh Residen British J.W.W. Birch di Pasir Salak. Di UKM misalnya orang Perak tidak bertutur loghat Perak antara mereka kecuali nak buat jenaka. Terdapat banyak orang Perak di UKM tetapi tidak diketahui kecuali jika bersoreh. Pernah suatu ketika Fakulti Kejuruteraan dipimpin oleh tiga orang Perak (Dekan dan dua Timbalannya) tanpa disedari. Prof. Dr. Halim Shamsuddin, Prof. Dr. Ir. Hj. Wan Ramli Wan Daud dan saya sendiri adalah orang Perak ketika memimpin Fakulti Kejuruteraan pada tahu 1994-1997.

Tuesday, September 16, 2008

Tiada peralihan kuasa hari ini - Sasaran Anwar meleset

Hari ini Salasa 16 September 2008 tarikh yang dijanjikan untuk mengambil alih Putrajaya oleh Anwar Ibrahim nampaknya tidak berlaku. Mungkin tarikh lain lain pula dijanjikan kerana PR belum boleh menarik seramai lebih 30 orang wakil rakyat BN berpindah parti. Beberapa alasan akan diberikan nanti. Sebenarnya kita sudah muak dengan kegiatan yang membuang masa dan merugikan rakyat. Anwar memang suka kegiatan seumpama ini sejak zaman pelajar lagi yang saya juga merupakan peminatnya ketika itu. Kelebihan beliau memang teserlah apabila berhadapan dengan lautan manusia, kata-katanya boleh memukau, itu kelebihanya. Tiada pemimpin lain yang sepertinya di Malaysia. Apa sahaja yang diperkatanya olehnya dirasakan "betul" kalau kita tidak berfikir secara kritikal. Imejnya ketika itu amat berbeza dengan sekarang. Saya menghormati dan mengkagumi beliau di zaman itu dan pernah bertugas sebagai guru di Yayasan Anda di mana beliau adalah Guru Besarnya.
Sekarang bagi saya, beliau tidak penting, yang penting adalah rakyat Malaysia seramai lebih dari 25 juta orang. Perjuangan seharusnya untuk rakyat bukan untuk beliau. Adakah beliau boleh menguruskan Malaysia dengan baik, saya rasa kurang yakin terhadapnya. Kemampuannya menguruskan Negara belum jelas, hatta semasa beliau dalam kerajaaan dulu. Apa yang berlaku sekarang amat tidak menyihatkan terutama orang Melayu yang sebetulnya belumlah maju lagi. Orang sudah semakin berani mempertikaikan perkara-perkara yang sensitif, Institusi Raja dan agama sudah berani dipertikaikan. Semuanya atas nama kebebasan dan hak asasi. Fikir-fikirkan lah...

Monday, September 8, 2008

16 September 2008

Tarikh 16 September 2008 adalah tarikh yang dijanjikan oleh Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan Pakatan rakyat memerintah. Tetapi untuk semua itu berlaku ia memerlukan 30 wakil rakyat BN melompat dari BN ke PR. Soalnya adakah wajar melompat sedangkan kemenangan mereka adalah atas kehendak pengundi yang mengundi mereka jadi wakil rakyat BN. Kalau tradisi melompat ini dibenarkan berlaku, maka tak gunakan sistem pemilihan oleh rakyat dan tak adalah demokrasi. Walaupun belum ada undang-undang untuk menyekat perkara itu berlaku, tatapi ianya adalah tidak beretika. Saya pun keliru dengan orang-orang politik ni.

Mandat rakyat mestilah diperolehi jika mahu berpindah parti. Sekarang seolah-olah rakyat diajar supaya tidak beretika. Kalau mahu tukar pemerintahan sepatutnya melalui pem,ilihan. Dan jika pemilihan sudah dibuat ianya harus dihormati. Oleh itu kalau Anwar Ibrahim nak jadi PM tunggulah piliharaya akan datang jika menang. Tapi bukan dengan minta belas kasehan wakil rakyat sedia ada untuk lompat parti.
Tak tahu apalah nak jadi,

Eloklah tak jadi oarang politik, duduk di universiti buat kerja yang jauh lebih interesting dan menjana ilmu. Tapi tak ambil tahu pun, susah juga sebab mereka yang menentukan dasar. Berubah menteri berubah dasar. Lainlah kalau menteri bukan orang politik seperti di Indonesia, Iran dan lain2.

Saturday, May 3, 2008

Suasana R&D Negara

Sejak 1985 Kerajaan sudah mula memberikan dana untuk kegiatan R&D melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE). Peruntukan disalurkan melalui IRPA yang kebanyaknya dimanfaatkan oleh universiti yang ketika itu hanya terdiri UKM, UM, USM, UPM, UTM selain dari PORIM, MARDI, PUSPATI. Sebelum dari itu R&D di universiti bolehlah dikatakan tiada langsung. Kegiatan universiti ketika itu kebanyakkannya adalah pengajaran. Penyelidikan amat kecil, makmal yang ada hanyalah untuk pengajaran. Tetapi fakulti yang lebih kepada biologi tidak banyak masalah untuk penyelidikan. Ringkasnya, bidang yang tidak memerlukan peralatan yang besar dan canggih sahaja yang dapat membuat penyelidikan.

Setelah IRPA diwujudkan, aktiviti penyelidikan sudah mula tumbuh di sana-sini, pensyarah sudah boleh menikmati kehidupan sebagai seorang ahli akademik untuk mengembangkan ilmu terutama dalam bidang S&T yang bukan hanya buka buku teks untuk menyediakan nota kuliah. Demikianlah perkembangannya sehingga RMK8 di mana kegiatan R&D sudah menjadi rancak sehinggakan IRPA dibahagikan kepada tiga kategori iaitu SR, PR dan EAR.

1. SR(strategic Research) ialah kegiatan R&D yang boleh membangunkan teknologi negara atau pembangumenyediakan dana untuk penyelidikan asas kepada IPTA yang dinamakan FRGS.nan kemampuan , perlaksanaa projek menggalakkan penyelidikan yang besar dan melibatkan kerjasama beberapa institusi.

2, PR(Prioritiezed Research) adalah penyelidikan yang perlu menghasilkan produk untuk commersialisation. Projek ini perlu melibatkan beberapa institusi.

3. Bagi EAR pula adalah projek penyelidikan yang kecil-kecil dan tidak perlu menghasikan produk dan boleh dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil. Penyelidikan kategori ini lebih bersifat asas.

Bagaimanapun untuk RMK9, di bawah Menteri yang baru, kerajaan telah mengubah kaedah pengagihan dana penyelidikan untuk menggantikan IRPA dan telah membenarkan industri memohon peruntukan untuk penyelidikan selain dari universiti dan institusi penyelidikan kerajaan. IRPA digantikan dengan Sciencefund dan Technofund. Sebenarnya saya tidak nampak apa rasionalnya menukarkan IRPA kepada yang baru, kerana tiada kajian yang mengatakan IRPA itu gagal. Dengan IRPA, banyak penyelidikan dilakukankan yang melibatkan multi institusi dan telah menggalakkan kerjasama seluruh IPTA. Banyak aktiviti penyelidikan yang sebelumnya tidak dapat dilakukan kerana kekuranga prasarana dan tenaga manusia telaha dapat dilakukan. Misalnya, saya telah dapat melakukan penyelidikan dalam bidang yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana IPTA di Malaysia kerana biaya untuk sarana dan ketiadaan kakitangan. Peruntukan yang besar dari MOSTI melalui IRPA-SR telah membolehkan pembinaan prasarana untuk penyelidikan tersebut di UKM. Peruntukan yang besar tersebut membolehkan penyelidikan yang bersifat hightech berjaya dilaksanakan sehingga telah mennumbuhkan banyak kegiatan yang berkaitan di kebanyakan IPTA termasuk MIMOS. UKM telah menghsailkan tenaga pakar (PhD) dalam bidang tersebut untuk bertugaskan di MIMOS dan IPTA lain untuk meneruskan penyelidikan tersebut.

Tetapi, dalam kerancakan aktiviti tersebut sehingga hampir selesai, tiba-tiba MOSTI telah menukar segalanya, seolah-olah penyelidikan yang telah dilakukan tidak begitu penting walaupun puluhan juta ringgit telah digunakan. Tiada kesambungan, semua orang perlu mohon projek baru yang dinilai oleh wakil-wakil IPTS yang tidak banyak melakukan penyelidikan. Pakar-pakar yang dilahirkan melalui IRPA seperti tidak wujud. Orang baru dari swasta dan baru pulang dari luar negara menilai di peringkat MOSTI sehingga banyak pemohonan darai pensyarah yang sudah senior dan terbukti kemampuan penyelidikannya ditolak atas sebab-sebab yang tak jelas. Amaun yang diberikan juga dipotong dengan banyak sehingga penyelidikan tidak boleh dilakukan mengikut apa yang dirancang, tetapi objektifnya mesti dicapai.

Kementerian Pengajian Tinggi juga serupa kerana tak tahu nak buat apa, lalu ikut saja apa yang MOSTI buat cuma bezanya penyelidikan mesti bersifat fundametal. Misalnya saya dapat 10% dari apa yang dipohon, tapi hasilnya mahu 100%.

Kesimpulannya, saya merasakan kerajaaan tidak mempunyai dasar yang jelas dan berubah mengikut siapa Menterinya tetapi bukan berubah berdasarkan kajian samada kaedah yang telah digunakan berjaya atau tidak. kalau dasarnya ada, tapi perlaksanaannya tidak mantap. Kerajaan tidak punya program dalam teknologi, cuma ikut arus dan tekanan politik setempat.

Kita agak ketinggalan berbanding Thailand apa lagi dengan Singapura. Dasar nanoteknologi, sekejap ada sekejap tak ada. Sedangkan negara lain di rantau ini sudah bergerak pantas. Di Malaysia cuma universiti sahaja yang bercakap, tapi tiada sokongan yang padu dan jelas dari kerajaan.

Monday, April 28, 2008

Setelah Pilihraya Umum 2008

Keputusan PRU kali ini amat tidak disangka. BN merasa begitu selesa sebelum pilihanraya dan langsung tak kempen seperti yang PLU sebelumnya. BN sebuk nak tawan Kelantan untuk menjadikan keputusan kali ini 100% BN. Tapi, tidak disedari tindak tanduk BN dan UMNO mendapat tentangan hebat dari orang ramai termasuk orang BN sendiri. Soalnya, mereka tidak puas hati dengan pemerintah, tetapi pemerintah memandang kecil kerana mungkin merasakan pemerintah sudah cukup kuat sehingga suara rakyat bawahan diangggap tidak menjadi ancaman. Tidak dinafikan juga peranan media internet melalui laman-laman blog dan youtube turut menjadi bahan kempen yang paling digemari oleh generasi ICT terutama pengundi baru, walaupun kandunganya boleh diragukan keasliannya. Generasi baru tidak melihat apa yang terdapat di negara sekarang merupakan kemajuan yang hasil dari perjuangan BN kerana mereka dlahirkan memang sudah ada kemajuan. Apa yang diperjuangkan oleh UMNO dan BN tidak begitu penting bagi mereka, kerana banyak perkara yang dibuat sebelum ini merupakan perjuangan peribadi dan kumpulan tetapi bukan parti yang memperjuangkan rakyat.