04 March, 2015

ANWAR KESAL MASUK LORONG SALAH?




Permohonan untuk membolehkan Anwar hadir ke Persidangan Dewan Rakyat pada 9hb Mac ini ditolak oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Sudah tentu puak pencacai telah bersedia dengan tindakan tunjuk perasaan serta roadshow ceramah cerca untuk menyebarkan fitnah kepada Kerajaan.

Anwar dah dijatuhkan hukuman dan mahkamah dah putuskan Anwar bersalah kerana meliwat. Mahkamah rayuan juga telah memutuskan Anwar tetap bersalah. Ini mengenai kes liwat.. salah laku seks luar tabii. Anwar bukan pesalah atau tahanan politik. Beliau tidak wajar dibenarkan untuk hadir ke Parlimen dan mencemari Parlimen kita.

Kenapakah rayuan pengampunan kepada Yang Di Pertuan Agong dipohon oleh isteri dan anaknya, dan bukan olehnya sendiri? Apakah kerana malu bahawa selama ini beliau telah mencerca sistem raja berpelembagaan kita dan tidak menghormatinya sama sekali?

Konon ada pihak yang mengugut untuk adakan demo jika permohonan untuk Anwar hadir ke Parlimen ditolak. Apakah mereka ingin mendengar dan melihat bagaimana Anwar akan mencerca Parlimen kita pula nanti setelah beliau diberi kesempatan berkata-kata sebagaimana apa yang dilakukan di Mahkamah baru-baru ini?

Kehadiran Anwar ke Parlimen tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada rakyat sama sekali. Sebagaimana sebelum ini, Anwar tidak hadir dengan cadangan dan idea untuk kebaikan, melainkan hanya mencerca dan mengeji apa yang Kerajaan lakukan. Memburuk-burukkan pemimpin terutama DS Najib. Yang ada pada Anwar sekarang hanyalah dendam yang membara dan tidak akan berakhir.

Rakyat didesak untuk bersama dalam perjuangan membela Anwar. Yang rakyat dapat hanyalah janji-janji kosong belaka. Yang riuh rendah hanyalah pencacai-pencacainya saja. Namun akhir-akhir ini sudah semakin ramai yang sedar dan tidak peduli lagi. Tunjuk perasaan sudah tidak dihiraukan dan tidak mendapat sambutan. Anwar akan dilupakan.

Wan Azizah dan Nurul serta Nuha akan berusaha meraih simpati rakyat. Namun penyokong pembangkang khususnya PKR sudah berbelah bahagi. Kebanyakannya sudah lebih mesra dengan Azmin yang sedang berada dipuncak kuasa. Mungkin itu lebih bermakna.

Anwar akan dilupakan. Anwar akan menghabiskan 5 tahunnya di Sungai Buluh. Anwar akan mencatatkan kisah cita-cita politiknya didinding sel penjara. Mungkin juga Anwar akan menyesal terhadap apa yang telah dilakukan; memasuki lorong yang salah!




17 January, 2015

BANJIR DAN PEMBALAKAN; PANDANGAN MENTERI CAP AYAM




Selepas membuat kenyataan jangan tebang balak dan cadang Kerajaan Negeri tarik balik semua lesen pembalakan yang dibuat di Kuala Tahan, Jerantut Pahang, yang bagaikan menyindir kerajaan Negeri, terbaru menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan yang hampir sama di Segamat.

Perlukah menteri bercakap terlalu banyak pada perkara sama tetapi berbuat terlalu sedikit seperti apa yang dicakapkannya? Bukankah lebih baik bercakap sedikit tetapi disusuli dengan tindakan? Tetapi mungkin beginilah caranya 'menteri kitarsemula' menonjolkan dirinya ... yang benar-benar cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh.

Sama ada hentikan sepenuhnya pembalakan atau berhenti selama 10 tahun, kedua-duanya mendatangkan impak kepada industri dan ekonomi negara. Pemotong kayu dan derebar lori akan kehilangan pekerjaan, demikian juga dengan pekerja-pekerja di kilang papan yang ditutup itu.

Jika pembalakan diharamkan sepenuhnya, lori balak terpaksa dijual kerana tidak akan berguna lagi kepada syarikat pemiliknya. Begitu juga kilang papan akan ditutup. Mungkin untuk pembinaan bangunan dan sebagainya kita sudah boleh beralih dari kayu kepada menggunakan 'metal'. Namun dalam sesetengah hal. kayu ,masih diperlukan dalam kehidupan kita.

Mungkin pada masa itu Malaysia bukan lagi negara pengeluar balak sebaiknya kita akan jadi negara pengimpot kayu dan hasil kayu. Mungkin masa itu 'menteri cap ayam' sudah berpencen tetapi mudah-mudahan kita dan dia tidak akan melupakan sumbangan terbesarnya kepada negara dengan menghalang pembalakan di Malaysia. Mungkin ketika itu pembalak Malaysia terpaksa berhijrah di Canada untuk membalak.

Pembalakan bukanlah satu-satunya punca dan penyebab banjir. Banyak perkara lain yang juga memberi kesan kepada berlakunya banjir yang juga kita boleh perbaiki, antaranya memastikan sistem saliran dalam keadaan baik dan cukup sesuai untuk mengalirkan air ke sungai-sungai, serta mengekalkan kolam dan paya dalam keadaan asal sebagai tempat takungan sementara sebelum air melimpah dan mengalir ke sungai-sungai.

Dan, bukankah lebih baik mendidik dan menguatkuasakan pembalakan berhemah lebih baik dari menghentikan aktiviti berkenaan? 'Ayam mahal... jangan makan ayam"..... kahkahkah.... satu lagi menteri cap ayam.



11 January, 2015

BANJIR DISEBABKAN HUJAN - 'MENTERI KITARSEMULA' PERLU HATI-HATI BUAT KENYATAAN

Gambar hiasan - Kemusnahan akibat banjir di Kuala Tahan


Seorang menteri (menteri kitarsemula) meminta kerajaan semua negeri mengkaji semula pemberian lesen pembalakan. beliau berkata demikian ketika lawatannya ke Negeri Pahang khususnya dalam lawatannya ke Taman Negara ketika banjir mula reda baru-baru ini. (Rujuk Sini)

Mungkin 'menteri kitarsemula' ini patut dibertahu bahawa banjir berlaku adalah akibat dari hujan dan hujan kali ini lebatnya adalah yang terbanyak dan luar biasa akibat dari perubahan cuaca dunia. 'Menteri Kitarsemula' itu boleh rujuk laman ini dan juga ini supaya lebih tahu berapa jumlah hujan yang diterima yang mengakibatkan bencana banjir kali ini.

Memang penerokaan hutan adalah salah satu (SALAH SATU) punca berlakunya banjir apabila lebih kurang 70% hujan yang sepatutnya diserapkan oleh lapisan 'span' hutan gagal berbuat demikian kerana lapisan berkenaan musnah akibat pembalakan sebaliknya mengalir terus ke sungai-sungai.

Untuk catatan, ketika bencana banjir melanda Kelantan baru-baru ini, jumlah hujan direkodkan sebanyak 129mm yang sememangnya luar biasa banyaknya. 

'Menteri Kitarsemula' ini mesti juga faham prosedur pembalakan di negara kita, iaitu hanya pokok-pokok yang berukuran tertentu serta dari species tertentu sahaja yang dibenarkan ditebang, Ini bertujuan untuk menjaga agar hutan tropika masih kekal ada pembalakan semula boleh dilakukan beberapa tahun selepas itu.

Bagaimanapun, untuk pengetahuan 'menteri kitarsemula' berkenaan, dalam kes-kes tertentu keseluruhan hutan digondolkan dengan tujuan penanaman semula sama ada bagi penanaman sawit, getah atau lainnya.

Perkara sebegini telah berlaku lama dahulu seawal tahun 60an ketika kerajaan dalam usaha membina ladang sawit terbesar yang kini dinamakan 'Felda'. Ketika itu seluruh dunia mengecam pembalakan Malaysia namun kita ada alasan tersendiri yang bukan sahaja untuk menjual hasil hutan sebagai kayu balak, namun untuk membina 'ladang rakyat' terbesar 'Felda' tapi tidak pula berlaku banjir besar seperti apa yang berlaku kini.

Saya bukan berniat mengecam 'menteri kitarsemula' yang juga merupakan mantan Menteri Besar dari utara, namun sebagai Menteri yang dilantik sebagai membalas budi beliau harus berhati-hati dengan kenyataannya agar akhirnya tidak jadi senjata kepada pembangkang untuk menghentam semula kerajaan 

Yang lebih penting (kerana sayangkan beliau) adalah supaya beliau juga tidak digolongkan dalam kalangan menteri-menteri yang memberikan kenyataan yang boleh membuatkan rakyat ketawa berdekah-dekah dan berguling-guling sebagaimana ada menteri yang menyatakan 'jika harga ayam naik, jangan makan ayam' dan lain-lain kenyataan seumpamanya. 



26 December, 2014

KETIKA DILANDA BENCANAPUN PEMBANGKANG MASIH TETAP MEMFITNAH


 
 
Ini isu yang dimainkan oleh pencacai pembangkang yang kononnya PM DS Najib tidak melakukan apa-apa ketika negeri-negeri dilanda banjir yang dahsyat.
 
Dalam kehidupan kita ada 24 jam untuk sehari samalam. Jika 1.. 2 jam DS Najib bermain golf, apa kita tahu apa yang dilakukan oleh PM dalam masa 22..23 jam selebihnya?  Ketika DS Najib melakukan lawatan dibeberapa kawasan yang dilanda banjir kenapakah pembangkang mendiamkan diri?
 
Hakikatnya adalah, mereka hanya mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Segala kebaikan tidak akan mereka pandang atau mereka akan pejamkan mata. Semoga Allah membutakan mata mereka itu yang sengaja tidak melihat sebarang kebaikan yang dilakukan dan sentiasa berniat buruk.
 
DS Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Dia akan sentiasa dirujuk sebagai Kerajaan. Pembangkang akan sentiasa memburukkan Kerajaan untuk meburukkan DS Najib dan mereka juga akan memburukkan DS Najib untuk mengambarkan Kerajaan ini buruk dan gagal membela nasib rakyat.
 
Tetapi Kerajaan Malaysia bukanlah DS Najib seorang. Kita ada TPM dan Menteri-Menteri dengan portfolio terentu. Di Negeri-Negeri kita ada Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta Ecxo-Exconya. Di Daerah-Daerah kita ada Pegawai-Pegawai Daerah. Di Mukim-mukim kita ada Penghulu-penghulu dan di Kampong-kampong kita ada Ketua Kampong. Semuanya bertanggung-jawab kepadnya Negara dan mewakili Kerajaan serta Perdana Menteri.
 
Mereka inilah semua yang memikul dan menjalankan tugas yang digariskan dan dirancang oleh Kerajaan. Apakah mata pembangkang semuanya telah dibutakan dan akalnya telah dibuntukan selama ini?
 
Malaysia mempunyai lebih 24 juta penduduk, apakah mungkin DS Najib berada rapat dengan semua orang dalam setiap masa? Bahkan di Pantai Timur sekalipun, bahkan di Pekan sekalipun, DS Najib tidak mungkin akan dapat berada disamping semua orang dalam setiap masa. Sudah tentulah amat mustahil bagi DS Najib untuk memuaskan hati semua orang terutama dalam semua masa.
 
Kenapa pula pihak pembangkang tidak menanyakan soalan sama kepada Anwar Ibrahim? Apakah yang dilakukannya ketika banjir melanda? Bahkan kepada Hj Hadi sendiri, berapa tempatkan yang dilawatinya dan apakah bantuan yang diberikannya?
 
Kelantan yang sudah hampir tenggelam, apa yang pemimpin-pemimpin Pas lakukan selain dari masih berkepentingan politik semata-mata. Hakikatnya sebanyak mana yang Hj Hadi lakukan, beribu kali lebih banyak yang DS Najib dan Kerajaan lakukan untuk kebaikan rakyat. Cuma, rakyat perlulah mmbuka mata lebih luas serta buka juga minda dan jangan terpengaruh dengan infografik seperti diatas yang sememangnya berniat jahat untuk meburukkan Kerajaan.
 
 
 
 
Sebentar tadi saya sempat mengikuti sidang akhbar mengenai bencana banjir di Pahang ketika lawatan TPM ke Kuantan. Apakah pembangkang tidak nampak bahawa ini juga usaha kerajaan dibawah kepimpinan DS Najib dan kerjasama dalam satu pasukan dan bersepadu?
 
TPM TS Muhyiddin Yassin serta MB Pahang DSD Adnan Yaakob berusaha keras untuk membantu mangsa-mangsa banjir namun janganlah kita bersangkakan bahawa mereka hanya akan melayan kehendak kita seorang sahaja. Kita juga mesti selalu ingat bahawa jikalau kita dalam kesusahan, masih ada orang yang lebih susah dari kita ketika itu.
 
Jadilah rakyat dan manusia yang bijak dan berfikiran waras, serta janganlah mudah percaya kepada fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan PM dan Kerajaan kerana mungkin keadaan kita sebenarnya jauh lebih baik dari nasib kebanyakan rakyat di negara-negara lain di dunia. Bersyukurlah!
 
 
 




09 December, 2014

BLOGGER PRO UMNO; BERUK, GOBLOK ATAU BANGANG?




1. Sebagaimana kenyataan OutSyed The Box, gambar ini juga hanyalah hiasan semata-mata. Bagaimanapun pembaca bebas membuat tanggapan dan persepsi mereka sendiri.

2. Malang dan sedih sungguh bila OutSyed The Box hanya menerima RM300.00 sebagai duit minyak dari Tun Faisal kerana kesediaannya memberikan ceramah di sebuah bukit yang tinggi, Selain itu beliau hanya dibelanja 'secawan teh' sekali sahaja di 'Dome' (bukan kedai mamak).

3, Outsyed The Box tidak pula menyatakan sebanyak mana peruntukkan yang diterima oleh Tun Faisal selaku pengendali media sosial UMNO yang gah dengan nama UMB (Unit Media Baru) yang kini entah hilang kemana. Tapi tentunya cukup banyak... blogger di Pahang juga dijanjikan untuk diberikan imbuhan, kononnya... tetapi habuk pun 'tarak'.

4. Rupanmya bukan seorang dua sahaja bogger menyokong UMNO merasa hati tertusuk sembilu apabila Presiden UMNO dalam ucapan penangguhan di Perhimpunan UMNO 2014 lalu 'menggelar' blogger pro UMNO sebagai bangang.

5. Dulu ada seorang politikus muda yang menggelar blogger 'Beruk', sekarang beliau sudah berjawatan dan ada memelihara beberapa ekor 'Beruk' bagi membantunya di media sosial, beliau dah jadi 'Bapak Beruk'.

6. Dulu ada juga seorang Menteri Penerangan yang menggelar blogger sebagai 'Goblok'. Akhirnya riwayat beliau sebagai menteri tidak lama. Kini beliau juga aktif berblog... mungkin sudah jadi 'goblok'.

7. Siapa dan apa sebenarnya blogger pro UMNO? Beruk? Goblok? atau Bangang? Inikah penghargaan yang diberikan, terutama kepada yang tidak berbayar?

8. Blogger PR mendapat imbuhan lumayan dan diberikan penghargaan untuk menumbangkan sedangkan kita dicerca untuk mempertahankan. (Baca disini .. penghargaan kepada blogger pembangkang), Kita ada?

9. Ada yang masih peduli kepada amaran Friendly Fire? Jika 'Bangang' turun, apakah 'Bapak Beruk' berpeluang untuk naik?

10. Outsyed The Box membongkar skandal apakah itu diblognya?  Malaysia’s Investment Fund Disaster By Asia Sentinel.


01 December, 2014

BLOGGER PRO UMNO BANGANG: TERIMA KASIH @NajibRazak, HATI KAMI TERGURIS!

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, blogger pro Umno perlu menyerang pemimpin pembangkang kerana mereka perlu tahu pihak mana yang membiayai mereka. – Gambar The Malaysian Insider, 29 November, 2014.


Datuk Seri Najib Razak menyelar sikap blogger pro Umno yang menyerang kembali pemimpin parti Melayu itu dan kononnya bersifat “friendly fire”.

Presiden Umno itu berkata, blogger pro Umno perlu melakukan tindakan sebaliknya dengan menyerang pemimpin pembangkang kerana mereka perlu tahu pihak mana yang membiayai mereka. 

“Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly," kata Najib merujuk kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.





(Sila rujuk minit 42:16 - 42:55)


Saya mengambil masa panjang sebelum membuat keputusan untuk menulis posting ini kerana mempertimbangkan kewajarannya. Menanya diri sendiri apakah saya juga tergolong dalam blogger bangang yang dimaksudkan oleh presiden UMNO? Atau apakah semua blogger pro UMNO memang wajar digelar bangang?

Ucapan penangguhan oleh Presiden UMNO yang dirujuk telah jadi kontroversi dikalangan blogger. Akhbar arus perdana serta portal blog pro pembangkang serta merta mainkan isu berkenaan, demikian juga blogger pro pembangkang mengambil peluang untuk turut menghina blogger pro UMNO.

Bukan sedikit hati blogger pro UMNO yang terguris dengan kata-kata Presiden parti. Mereka rasa sungguh terhina apabila usaha pertahankan parti dan kerajaan selama ini ibarat diberi madu dibalas tuba.

Bukan semua blogger pro UMNO yang cari makan dengan UMNO. Ramai dikalangan kami yang tidak mendapat apa-apa bahkan jika mendapat imbuhanpun hanya sekadar mendapat 'kerak' nasi sahaja atau dengan kata lain; 'mereka makan daging dan blogger pro UMNO bagai anjing makan tulang'. Namun atas nama perjuangan, usaha tetap diteruskan.

Siapa selepas PRU 12 siapa yang berjuang di alam maya pertahankan UMNO ketika pemimpin-pemimpin UMNO masih 'buta' media sosial? Bahkan juga kami sudah biasa digelar 'beruk' oleh pemimpin yang merasakan bahawa blog serta media sosial tidak penting ketika itu.

Blogger generasi pertama menulis bukan kerana imbuhan dan nama. Kerana itulah kami tidak menampilkan diri untuk menunjukkan wajah kerana bukan publisiti yang dicari. Silapnya ialah bila UMNO merasakan bahawa mereka ingin membina tentera mayanya sendiri dengan meminggirkan blogger yang berjuang berlandaskan semangat dan mengantikan dengan blogger upahan. Apa jadi dengan UMB pemuda UMNO? 

Mungkin ucapan Presiden mensasarkan seseorang atau sesuatu kumpulan, namun apabila hanya menyebut  blogger pro UMNO sahaja, ianya dianggap ditujukan kepada semua. Ianya memang menguris hati kami. Kenapa ucapan itu tidak ditujukan kepada Zaharin atau yang seumpamanya yang bukan sedikit menghentam pemimpin di blog dan facebook? Apakah presiden takut kehilangan satu undi itu sehingga lebih rela sakiti hari puluhan atau ratusan blogger yang selama ini menyokong UMNO?

Memang kadang-kadang ada kalangan blogger yang membuat teguran terhadap pemimpin. Mungkin bermula dengan halus, namun apabila tidak diendahkan maka mereka akan berteriak lebih lantang. Tidak wajarkah blogger yang digelar bangang itu menegur pemimpin apabila mereka membuat kenyataan yang juga bangang.... umpamanya; ".....ayam mahal, jangan makan ayam" dan banyak lagi...

Saya tidak menyokong setelah dihina namun saya tidak akan derhaka kepada bangsa dan perjuangan. Mungkin lebih baik berdiam diri dan melihat parti yang gelar keramat ini ... untung sabut timbul, untung batu tenggelam.... tenggelamlah bahtera yang karam.

Mungkin tiba masanya untuk 'Farhana' dan seangkatan dengannya pula perjuangkan parti mengantikan angkatan 'beruk' dan 'blogger bangang'.


(Lepas Farhana, PM Pula Tegur Blogger Bangang) dan (Panglima Perang Yang Tembak Laskarnya Sendiri)


27 November, 2014

ZAHARIN 'PARIA' POLITIK ?

Zaharin sebagaimana yang digambarkan 
oleh seorang facebooker


Zaharin Mohd Yasin aka blogger Sang Kelembai bolehlah dianggap sebagai blogger kontroversi. Selalu menonjolkan diri dengan isu-isu panas terutama menghentam pemimpin UMNO. Kita faham bahawa ada sesuatu yang dia mahukan selain dari perhatian.

Yang menghairankan kenapa pemimpin dan UMNO sahaja yang jadi sasaran? Apakah pihak pembangkang tidak ada melakukan sebarang kesalahan? Ya, mungkin beliau ada alasan... untuk membetulkan kesilapan ... namun menegur di media sosial dengan kata-kata yang tidak wajar dimana bukanlah satu cara yang terpuji. Melakukan perkara yang benar dengan cara yang salah juga umpama melakukan kesalahan.

Saya tidak mengenali beliau secara dekat, namun saya sangat faham bahawa beliau dambakan jawatan didalam UMNO bahkan didalam kerajaan jika berpeluang. Tetapi mungkin beliau sendiri sedar bahawa harapan itu tidak akan tercapai dan beliau ibarat sudah ketinggalan kapal untuk membawanya belayar jauh.

Sabarlah Zaharin! Simpanlah gelisah dan gundah! Jika kail panjang sejengkal, sia-sia dalam lautan diduga!

Zaharin memilih jalannya sendiri dalam mengejar populariti. Kerana itu tidak hairanlah bila beliau seronok jadi bahan perbualan biarpun dengan keburukan. Beberapa laman blog sejak dulu lagi menghentamnya, demikian juga di laman facebook.

Tetapi itulah Zaharin sebagai 'paria' politik. Baca The Unspinners, Mat Kilau Penang, Media Tempur Kedah, Kulaan Niring, Rezqeen Hill dan banyak lagi.

Terbaru, di laman facebook, Zaharin 'mengata' puteri yang kebanyakkannya gemuk. Saya boleh bersetuju dengan kenyataannya itu. Namun Zaharin bernasib baik kerana di PWTC semalam saya tidak sempat merakam gambarnya ketika berjalan dengan seseorang yang juga 'gemuk' sebagaimana gambaran yang diberikan kepada Puteri UMNO. Hahahaha!

Kadang-kadang, jika kita selalu meludah ke langit, pasti suatu waktu akan terpercik ke muka sendiri.


26 November, 2014

'ZAMKATA' PERLU RASIONAL BANDINGKAN MENTERI BESAR PAHANG DENGAN KETUA MENTERI SARAWAK



Saya ingin 'response' kepada tulisan TS Zainuddin Maidin diblog 'ZamKata' posting bertajuk 'Beranikah MB Pahang ikut langkah Ketua Menteri Sarawak?

Namun terlebih dahulu ingin saya jelaskan bahawa saya adalah seorang blogger bebas dan tidak terikat dengan sesiapa, justeru tulisan dan pandangan saya juga adalah bebas dan tidak mewakili sesiapa. Jika pun saya dilihat mempertahankan Menteri Besar Pahang, ianya bukanlah atas sifatnya sebagai individu melainkan atas jawatan sebagai pemimpin negeri.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan TS Zainuddin Maidin  apabila mencontohkan keberanian Ketua Menteri Sarawak dalam menangani isu pembalakan di Sarawak. Memang ianya sangat patut dipuji, dan memang bukan senang untuk kita mengubah sesuatu diluar dari kebiasaan. 

Tan Sri Adenan Satem sememangnya berani untuk mengambil langkah yang tidak popular bahkan berani berhadapan dengan pegawa-pegawai tinggi kerajaan dalam menangani isu berkenaan. Pastinya beliau sudah mengambil kira kekuatan dirinya sendiri dalam menghadapi sebarang keadaan yang bakal dihadapinya kemudian hari.

Memang bukan mudah untuk berhadapan dengan mereka yang berkuasa yang seringkali menutup mata mereka dalam hal kegagalan penguatkuasaan sehinggakan pencerobohan hutan boleh berlaku dihadapan mata dan berleluasa.

Mungkin itu tindakan yang tidak popular dikalangan pegawai tinggi kerajaan namun tindakan itu juga sudah tentu akan mendapat sokongan dikalangan masyarakat terutamanya bagi generasi muda yang sangat mudah menerima maklumat melalui media sosial.

Bagaimanapun untuk membandingkan Menteri Besar Pahang dengan Ketua Menteri Sarawak adalah saya anggap sebagai sesuatu yang tidak bijak tanpa melihat dan mempertimbangkang persekitarannya. Sosio-budaya diantara Pahang dengan Sarawak juga berbeza.

Apa yang boleh dilakukan di Sarawak tidak semestinya boleh juga dilakukan di Pahang atau di negeri-negeri kerana adanya kekangan kuasa tertentu yang pastinya akan menyukarkan sesuatu untuk diimplementasikan tanpa mendapat tentangan dan tekanan.

Saya berpendapat, TS Zainuddin sendiri yang sudah sangat berpengalaman luas ketika berkhidmat didalam bidang kewartawanan media arus perdana serta sebagai seorang menteri kerajaan sudah pasti adakalanya terpaksa berhadapan dengan keadaan dimana sesuatu keputusan yang diambil harus juga mengambilkira pihak lain terutamanya institusi yang sukar untuk sentuh.

TS Zainuddin Maidin juga perlu rasional apabila ingin membandingkan diantara Menteri Besar Pahang dengan Ketua Menteri Sarawak. Namun, setidak-tidaknya Menteri Besar Pahang sudah berjaya mempertahankan negeri dari ditawan pembangkang dalam beberapa siri PRU yang lalu.

Mungkin sempena PAU kali ini saya dapat bertemu dengan TS Zainuddin Maidin seketika andainya ada kesempatan dan waktu.... mana tau...?



25 November, 2014

UTUSAN - DARI 30 RIBU BANGLA KE ISU ALAM SEKITAR ....

Displaying IMG-20141125-WA0010.jpg



Utusan Malaysia memulakan fitnahnya dengan tuduhan adanya 30,000 Bangla di Cameron Highlands.  Akhirnya senyap apabila sedar bilangan yang diberikan itu tidak masuk akal dan bahkan dari operasi memburu PATI yang dijalankan tangkapan yang dibuat tidak mampu mencecah angka 5,000 orang pun. 

Maka Jika benar dakwaan 30,000 Bangla oleh Utusan itu kemanakah mereka menghilang? Apakah kerana 'warna' membuatkan mereka sukar kelihatan dan dengan mudah jadi halimunan? Utusan dan Awang Selamat mesti menjawab dan buktikan bahawa tuduhan mereka bukanlah sati fitnah.

Dengan kehendak Allah, berlaku pula banjir lumpur di Cameron Highlands yang mengakibatkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta-benda, lalu perhatian rakyat pun berubah daripada isu 30,000 Bangla kepada isu alam sekitar.

Apabila adanya campur tangan Sultan Pahang setelah campur tangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Cameron Highlands, terbaru Utusan Malaysia menyerang Tasik Chini pula. Jangan nafikan bahawa ini adalah usaha terancang pihak Utusan untuk menjatuhkan Menteri Besar Pahang.

Mungkin selepas Tasik Chini, Utusan akan memaparkan pula isu penerokaan di Tasik Bera, Taman Negeri Endau Rompin, Taman Rimba Kenong di Lipis serta projek Sturgeon di Taman Negara. Tentu kita wajar bertanya, ini agenda siapa?

Dalam isu alam sekitar Tasik Chini, siapakah sasaran Utusan Selain dari Menteri Besar Pahang? Apakah Utusan membawa agenda memburukkan Perdana Menteri kerana DS Najib adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Tasik Chini, atau ingin menyentuh institusi raja di negeri Pahang?

Dari sudut politik, tidakkah apa yang dilakukan Utusan itu boleh menghakis kepercayaan rakyat terutama pengundi muda dari terus menyokong UMNO/BN yang bakal dan mampu mengakibatkan kekalahan dalam PRU akan datang?

Apakah apabila Menteri Besar Pahang yang ada ini tidak lagi jadi Menteri Besar segala sungai-sungai akan kembali jernih serta merta dan pokok-pokok di hutan akan kembali tumbuh menghijau dalam semalaman?

Walau apapun, janganlah kita melakukan tindakan yang betul dengan dan kerana alasan yang salah!


Syahibul hikayat.  Syahadan sebermula tersebutlah kisah 'Lebai Malang' yang tamak untuk makan di dua kenduri. Satu di hilir dan satu lagi dihulu. Namun silap jua lah dia adanya kerana memilih ke hulu ketika air surut dan terpaksa menongkah arus. Maka lewat lah beliau ketika tiba dan kenduri itu pun sudah selesailah adanya.

Adapun Lebai Malang pun cepat-cepatlah menghilir. Adapun ketika itu air sedang pasang. Maka menongkah aruslah si Lebai Malang. Arkian, maka apabila tiba, terlewat jugalah dia adanya. Maka terlepaslah beliau kedua-dua kenduri itu dan kelaparanlah beliau adanya. 





17 November, 2014

MANA HILANGNYA 30 RIBU BANGLA DI CAMERON HIGHLANDS ?

Gambar hiasan


Terdahulu, Utusan Malaysia @ Utusan Meloya melaporkan Cameron Highlands 'ditawan' dengan kehadiran 30,000 (Tiga Puluh Ribu) Bangla. Semua pihak jadi ribut dan kelam kabut dengan kenyataan berkenaan.

Tentu sekali Zahid Hamidi mengetap bibir apabila ada kenyataan yang secara tidak langsung mempertikaikan kewibawaannya. Berikutan itu beberapa operasi dijalankan bagi memburu PATI hingga 'ke lubang cacing'.

Menteri-menteri yang berjawatan dalam UMNO tentu kelam kabut kerana tidak lama lagi kewibawaan mereka akan dipersoalkan atau 'disindir' dalam PAU nanti. 

Begitulah baiknya apabila Utusan dan Awang Selamat seekali menjolok 'sarang' tebuan, lebah atau kelulut. Semua serangga-serangga itu akan berterbangan, jika tidak menyengatpun akan berkeliaran disekeliling sarang.

Cuma kita nak tanya, selepas operasi 'memburu' dijalankan, mana dia 30,000 Bangla atau PATI sebagaimana tuduhan Utusan? Mampukah beribu-ribu PATI itu menyelinap didalam hutan atau dilain-lain tempat? Jika mereka masih bebas bersembunyi, salah siapakah pula kali ini? Apa asas kepada bilangan seperti tiduhan Utusan itu?

Atau, kita hanya 'seriau' kepada berita yang tidak pasti kesahihannya serta melompat dan melatah?


Sahibul hikayat maka hujan pun mulalah turun mencurah-curah. Adapun paras air-air sungai pun pastilah akan naik dan segala kawasan-kawasan tanah pamah akan ditengglami air juga akhirnya. 

Adapun segalanya itu adalah kuasa dan kehendak Allah jugalah adanya dan tiada jugalah sesiapa dapat menahannya melainkan elok dijadikan ikhtibar semata-mata. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.. jika tak hendak dihanyyutkan banjir lumpur, jangan berumah ditepi sungai diperbukitan.





15 November, 2014

#supportmbpahang - HEBAT SANGATKAH ADNAN ?




1. Tulisan saya terdahulu menyanggah tulisan di blog Zamkata. Terima kasih kerana TS memberi perrhatian kepada tulisan dan pandangan saya diblognya.


2. Tentu masih ramai yang belum lupa cerita si buta dengan gajah. Ringkasan kisahnya begini; Sekumpulan orang buta dibawa untuk mengenali gajah. Kerana kecacatan penglihatan maka mereka ingin mengenalinya dengan cara 'meraba'.  

Yang memegang badan kata gajah itu seperti dinding tembok, yang memegang kaki kata gajah itu seperti batang pokok, yang pegang belalai pula kata gajah seperti ular, yang pegang telinga kata gajah itu seperti kipas.... akhirnya mereka bertengkar mengenai bagaimana rupa gajah itu sebenarnya.


3. Kita akan nampak seseorang atau sesuatu objek berdasarkan dari tempat dimana kita berdiri. Pembangkang yang sebeum PRU13 dengan yakin menjangka akan dapat menawan Pahang, namun gagal dan melihat  DS Adnan Yaakob sebagai kubu yang teguh. Keberanian dan kelantangannya mengagalkan usaha mereka. Jika bukan DS Adnan Yaakob Menteri Besar Pahang ketika itu tidak mustahil Pahang jadi seperti Selangor atau setidak-tidaknya menerima nasib sebagaimana Perak.

Rakyat sibuk mencerca pemimpin-pemimpin yang kononnya lemah. Beberapa menteri juga turut dilabelkan sebagai 'tidak bertelor'. Namun kepada Menteri Besar Pahang yang mereka labelkan sebagai samseng ini mereka benci juga? Apakah orang UMNO membenci beliau lebih dari pembangkang membencinya?

Utusan dalam tulisannya menyindir Menteri Besar Pahang ... 'Hebat Sangatkah Adnan'. Jawapannya adalah bergantung kepada dengan siapakah  DS Adnan Yaakob dibandingkan? Jika Utusan dan Awang Selamat bandingkannya dengan mantan Menteri Besar Selangor, mantan Menteri Besar Perak serta mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, maka jawapannya adalah:  Ya, memang hebat!

Menteri Besar Pahang juga memang hebat jika dibandingkan dengan TS Zainuddin Maidin yang hanya jadi Menteri Penerangan selama 2 tahun sahaja dan tentulah tersangat hebat jika dibandingkan dengan Awang Selamat sendiri.

Sudah pasti ada pandangan berbeza dari penglihatan dari sisi yang berbeza-besa, namun usaha memburuk-burukkan seseorang untuk menjatuhkannya adalah tidak wajar sama sekali. Kenapa perlu kita melihat Menteri Besar Pahang dalam gambaran yang buruk tanpa melihat jasa yang telah beliau berikan selama ini? Melakukan perkara yang benar dengan alasan yang salah juga adalah salah.

Apa sebenarnya orang Melayu dan orang UMNO nak?

(Sila Baca)


Adapun sahaya terpaksalah meninggalkan tinta dan kalam ini kerana sahaya teringatkan akan ikan-ikan di kolam yang masih sahaya belum beri makan. Adapun segala macam ternakan dan tanaman yang sahaya perbuat itu bukanlah untuk diri sahaya sebaliknya adalah untuk anak cucu jua adanya.

Akhirulkalam, jagalah tanah air ini agar jangan hanya tinggal nama, bukan lagi untuk kita tetapi untuk warisan anak dan cuculah jua.


13 November, 2014

SIAPA ZAM YANG BOLEH TENTUKAN MENTERI BESAR PAHANG MENEMPAH' MAUT'?

Mantan Mamak Menteri


Utusan Malaysia merupakan suara UMNO dan orang Melayu sejak dahulu lagi. Utusan adalah lidah resmi UMNO dan suara para pemimpin UMNO. Namun tidak kurang juga penglibatan Utusan dalam memberi warna kepada politik UMNO dan tanah air.

Utusan Malaysia adalah musuh utama kepada pembangkang. Kerana itulah Pas memanggil Utusan Malaysia / Melayu sebagai Utusan Meloya. Pengikut Pas memang dah mengharamkan Utusan untuk dibaca bahkan mungkin tersentuhnya juga perlu disamak.

Anwar Ibrahim sendiri yang suatu ketika dahulu menggunakan Utusan sebagai penyambung lidahnya akhirnya turut melabel Utusan sebagai pembawa berita palsu dan berniat jahat.

Memang tidak kurang para pemimpin UMNO dijatuhkan oleh Utusan yang menjalankan agenda orang-orang tertentu. Saya tidak hendak memberi contoh kerana contohnya terlalu banyak. Yang ingin saya persoalkan disini adalah apakah kali ini Utusan juga membawa agenda khas untuk menjatuhkan Menteri Beasr Pahang?

Saya tidak hairan apabila Awang Selamat dan Utusan bersungguh-sungguh cuba 'mamalukan' dan menjatuhkan Menteri Besar Pahang kerana saya pasti jika diibaratkan polong, dia polong yang dipelihara dan bertuan. Pasti ada hidangan telor disediakan untuk santapannya.

Cuma saya agak terkejut apabila seorang mantan menteri yang juga bekas pengarang Utusan turut 'mengehentam' Menteri Besar Pahang didalam blognya dengan memberi tajuk 'Menteri Besar Pahang Menempah Maut'. Nampaknya mantan menteri ini masih merasakan bahawa beliau adalah sebahagian dari 'Utusan Meloya' dengan khayalan dalam zaman gemilangnya dulu.

Saya bukan antara yang taksub kepada satu-satu pemimpin bahkan pada suatu ketika saya sendiri pernah 'menghentam'. Namun, dipenghujung kariernya, berilah Menteri Besar Pahang ini sedikit 'muka' dan penghormatan dan jangan 'telanjangi' dia. Biarkan dia berundur secara terhormat sebagaimana Tun Dr. Mahathir dulu. Jika kita, (terutama yang bercita-cita besar) sanggup menunggu selama ini, kenapa tidak sabar untuk menunggu sedikit masa lagi?

Menteri Besar Pahang akan dipertahankan, bukan kerana dianya Adnan Yaakob, tetapi dianya adalah Menteri Besar Pahang, yang datangnya dijemput biarlah perginya diiring.

Baca juga Khabar Pahang  (Klik Sini)


Sahibul hikayat, sebermula adapun sahaya yang sudah tua ini hanyalah ingin duduk-duduk sahaja bermain dengan cucunda-cucunda sambil bercucuk tanam dan memelihara ayam itik.

Tidaklah lagi hendak oleh sahaya untuk berjuang dan menulis lagi adanya. Namun bagaikan perahu diair memanggil-manggil dan pendayung juga sudah ditangan... kenapa tidak untuk sekali ini sahaya berjuang untuk yang terakhir?

Akhirulkalam, tidaklah akan pedih dan luka sahaya ini oleh pisau dan keris mantan mamak menteri itu, namun akan luka jugalah hati dan jiwa oleh gurisan tinta dan kalam.


Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...