Selasa, 11 Oktober 2011
T-Team Menang,Terengganu Menang
JUARA Piala FA, Terengganu memperoleh bekalan selesa menjelang pertemuan timbal balik kedua suku akhir Piala Malaysia apabila menang 3-1 ke atas juara bertahan, Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Lima kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab dengan tiga menjadi milik Kelantan melalui Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Daudsu Jamaludin dan Mohd. Aziz Ismail sementara dua kepada pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha’ri dan Mohd. Zubir Mohd. Azmi.
Ismail Faruqi meletakkan skuad Penyu mendahului pada minit ke-43 ketika Kelantan bermain dengan sembilan pemain, selepas Shakir dan Daudsu menerima kad merah pada minit ke-31 dan 34.
Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pengadil menghadiahkan kad merah kepada penjaring gol pertama Terengganu, Ismail Faruqi pada penghujung separuh masa pertama akibat menerima dua kad kuning.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi kembali memastikan Kelantan berada pada landasan apabila menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-78.
Namun, Terengganu memastikan Kelantan pulang hampa apabila Abdul Manaf Mamat memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-88, sebelum tonggak pertahanan Peteh, Mohd. Marzuki Yusof menambah derita Red Warriors pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Dua lagi kad merah dilayangkan oleh pengadil sebelum perlawanan berakhir apabila pertahanan Terengganu, Mohd. Zubir dan pertahanan Kelantan, Mohd. Aziz Ismail bergaduh sebelum perlawanan berakhir.
Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.
Sementara itu, di Stadium Likas, Sabah gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada pasukan T-Team.
Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayudin meletakkan T-Team di hadapan pada minit ke-34, sebelum Alto Linus kembali menghidupkan harapan Sabah dengan gol penyamaan pada minit ke-46.
Namun, lima minit sebelum permainan tamat, Indra Putra muncul wira T-Team dengan menjaringkan gol kemenangan bagi memastikan pasukan berstatus kelab itu pulang ke gelanggan sendiri dengan membawa kelebihan satu gol.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan