Isu Kerajaan Perpaduan semakin hari semakin heboh diperkatakan. Dan kini ia menjadi lebih sensasi dengan tajaan dari media-media pro UMNO/BN. Sebelum ini aku mengambil sikap berdiam diri kerana ingin melihat samada isu ini akan reda seperti hangat-hangat tahi ayam.
Namun tekaan aku meleset sama sekali. Makin berdiam makin menjadi-jadi pula. Sebenarnya kita perlu lihat isu ini dari dua aspek. Yang pertama aspek mainan UMNO/BN untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Kedua aspek yang kompleks iaitu penerangan ikhlas pemimpin-pemimpin PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz, seluruh dewan PAS dan ahli-ahli. Yang menjadi punca kepada masalah ini ialah sikap berdiam diri untuk bersemuka dengan Tuan Guru Nik Aziz.
Aku pernah terbaca yang isu kerajaan perpaduan ini sebenarnya bukannya kerjasama Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan. Presiden dan kepimpinan PAS ada menyatakan komitmen untuk memperkasakan Pakatan Rakyat dan tidak akan ada kerjasama dengan Umno. Jadi jika benar teori ini maka UMNO/BN lah yang menjadikan isu ini sebagai propaganda mereka untuk melemahkan PAS. Wallahualam.
Aku ingatkan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan SU PAS supaya kenali sejarah dan matlamat PAS ditubuhkan. Bagaimanakah rasanya luka yang berparut jika aku ulangkan kembali sejarah yang PAS pernah menyertai UMNO dan akhirnya ditendang keluar. PAS pernah membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) namun Semangat 46 dengan selesanya meninggalkan PAS kerana gilanya kuasa Menteri. Wahai pemimpin-pemimpin PAS, sedarlah niat kita menyertai Pakatan Rakyat adalah untuk menumbangkan kezaliman UMNO/BN di bumi Malaysia. Bukan beerti PAS menggadai prinsip agama kerana bekerjasama dengan DAP. Dalam satu blog pro UMNO lantang mengutuk Tuan Guru Nik Aziz kerana bersetuju bekerjasama dengan DAP tetapi tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. Blogger yang menulis dalam blog itu sebenarnya buta sejarah. Aku dah sebut tadi PAS pernah bekerjasama dengan UMNO tetapi apa hasilnya yang PAS dapat? Jadi PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan rakyat kerana berasakan DAP dan PKR lebih realistik dan ikhlas daripada UMNO.
Sedarlah wahai pemimpin-pemimpin PAS yang dalam senyap-senyap membuat perjanjian dengan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan. Pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa ini tidak akan diterima rakyat. Kerana tergila-gilakan TPM2, Menteri Besar dan menteri kabinet ada yang sanggup menggadai maruah diri dan parti. Sebab itu aku katakan Kerajaan Perpaduan itu mengarut.
Rupanya ada pemimpin yang tidak sehebat Mat Sabu hidup dan mati dengan PAS insyaAllah. Namun pemimpin ini tidak dilantik dalam Majlis Tertinggi. Yang dilantik ialah kroni yang sekepala ingin menubuhkan kerajaan perpaduan. Biar Perak jatuh kepada UMNO asalkan PAS merampas kerusi MB Selangor dengan menganiaya PKR. Biar TPM2 milik PAS yang hanya menjaga institusi keagamaan. Tuan Guru Hj. Hadi seronok ke portfolio tersebut?
PRU yang lepas bukanlah kemuncak kepada kemarahan rakyat kepada UMNO/BN. PRU yang lepas bukannya beerti PAS telah kuat dari segenap sudut walaupun menang di Kelantan dan Kedah dan MB Pakatan Perak orang PAS. Rupa-rupanya ada pemimpin-pemimpin PAS yang tidak percaya kepada janji DS Anwar untuk membentuk kerajaan.
DS Anwar tidak hairan jika PAS ingin keluar dari Pakatan kerana beliau tidak tergesa-gesa membentuk kerajaan. Beliau pernah menjadi TPM dahulu dan itu adalah sejarah. Namun Tuan Guru Hj. Hadi belum pernah memegang jawatan itu. Mungkin hendak rasa kerusi itu sebelum tutup mata. Sepatutnya Tuan Guru Hj. Hadi memperkukuhkan PAS dengan Pakatan Rakyat bukan hendak memecahbelahkannya.
Setelah lebih 50 tahun usia PAS dalam politik Malaysia sepatutnya pemimpin-pemimpin PAS telah matang sematang usia PAS. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis UMNO kerana UMNO kini sudah tidak diterima rakyat. Jadi UMNO ingin kukuhkan parti mereka dengan menarik seramai mungkin ahli PKR yang tidak berpuas hati masuk parti mereka. Inilah yang dikatakan bijaknya putar belit Najib Mongolia. Tidak ingatkan apa yang telah UMNO lakukan di Perak? Tidakkah pemimpin-pemimpin PAS ini sedar?
PAS pula akan gunakan alasan kes liwat DS Anwar dan DAP yang keras menentang hudud untuk menyertai UMNO. Tidak terfikirkah yang UMNO pun bergabung dengan MCA dan MIC dan segala parti di Sabah dan Sarawak yang bukan dari parti Islam. UMNO akan menggunakan perpaduan untuk mengembalikan Ketuanan Melayu walaupun MB UMNO Perak Zambry diragui kemelayuannya.
Tuan Guru Nik Aziz sahaja yang tidak sanggup melacurkan maruah demi mengejar kuasa. Bagi Tuan Guru Nik Aziz, sifat-sifat terpuji di dalam Islam itu lebih bermakna dari mengembalikan Ketuanan Melayu.
(Artikel sumbangan: http://www.anakcucunabiadam.blogspot.com/)