dah lama tak menulis..
entah kenapa hari ni terasa gatal jari-jari nak menekan papan kekunci komputer riba ni.
pertama dan terutamanya, alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan kepada Illahi kerana telah mengizinkan aku untuk terus bernafas melewati tahun ke dua puluh satu usai kelahiranku. Syukur kerana aku masih dikurniakan ruang dan waktu untuk terus hidup atas muka bumi-Nya yang penuh kepelbagaian ini.
lengkap usiaku dua puluh satu, aku terfikir sendiri. apa yang dah aku lakukan sepanjang aku lahir hingga saat ini? adakah dunia menjadi lebih baik setelah aku menjadi salah seorang penghuninya? atau adakah dunia menjadi lebih rosak dek wujudnya aku di atasnya? ataukah kewujudan aku tidak bermanfaat serta tidak pula merugikan dan hanya bersifat lengai semata-mata.
aku renung kembali apa yang telah aku lakukan. betapa banyaknya waktu yang telah aku bazirkan dan berapa banyak pula masa yang kuluangkan untuk kebaikan. nyata aku bukan seorang yang boleh digolongkan dalam kalangan yang bermanfaat jika itu ukurannya. aku akui banyak masa yang telah aku gunakan untuk tujuan yang tidak bermanfaat. tapi jika ditanya adakah aku menyesal? barangkali aku akan menjawab aku tidak pernah menyesal dengan masa lepas.
mungkin akan ada yang bertanya kenapa. bagiku, penyesalan adalah satu proses yang tidak bermanfaat jika padanya akan hanya ada kekecewaan, kepiluan, remuk redamnya hati, dan kesedihan. apa guna aku menyesal kalau yang akan aku dapat hanyalah kesedihan dan sakit hati yang merencatkan perjalanan kehidupan. kemudian nanti mungkin aku akan merasa kesal kerana menyesali penyesalan. dan ini akan menjadi satu lingkaran ganas (vicious circle) yang pada akhirnya tidak berkesudahan.
namun, itu cuma retorik dan persepsi yang cuba aku timbulkan untuk mengeraskan hati sendiri. hakikatnya aku insan biasa yang tak lepas dari rasa penyesalan. hati ini sering sakit dan tertekan kerana kecewakan masa lalu. ayat-ayat seperti "andai dapatku putar semula waktu" lebih bergema dalam benakku berbanding "demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian". betapa berharapnya aku untuk kembali ke masa lampau dan memperbetul segala khilaf yang telah aku lakukan. tapi aku insaf, masa yang pergi takkan mungkin berpatah kembali.
setelah dua puluh satu tahun aku bernafas, aku mula cuba mengenali makna hidup. adakah cuma bernafas, makan, minum, tidur dan sebagainya itu bererti aku hidup? bagi aku, ada makna yang lebih mendalam bagi kehidupan. tuanya jasmani perlu seiring dengan matangnya rohani. dan matangnya rohani kerana tahu yang mana salah yang mana betul. dan untuk tahu yang mana salah dan yang mana betul, kita perlu belajar. belajar tidak hanya di kelas semata-mata. apabila kita melakukan kesilapan dan kita menyesal, ini turut bererti kita belajar.
jadi apabila kita menyesal, kita akan belajar dan apabila kita terpelajar, kita akan tahu yang mana salah dan yang mana betul, dan apabila kita tahu menilai, kita akan menjadi matang dari segi rohaniah dan apabila rohani kita matang, bererti jiwa kita hidup.
jadi penyesalan bukanlah satu kerugian tetapi satu pengajaran untuk kita ikuti. kita boleh menyesal dek kesalahan masa lampau dengan syarat kita berubah dan membetulkan kesalahan serta kekurangan diri agar perkara yang sama tidak lagi berulang. apa guna menyesal jika kita terus mengulangi kesilapan sama? dan apa guna menyesal jika kita masih di takuk lama?
bagi diri aku sendiri, aku menyesal dengan segala kesalahan lampauku. namun, aku akan cuba tebus kesilapanku dengan berusaha lebih baik pada masa depan. akan aku cuba pastikan kewujudan aku memberi manfaat pada dunia dan tidak hanya bersifat lengai atau lebih teruk, merosakkan dunia. insyaAllah.
terima kasih atas segala ucapan. :)
0 comments:
Post a Comment