Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Saturday, December 18, 2010

Peringatan buat diriku...




Seorang insan telah dijemput pergi, awal pagi malam semalam....salah seorang sahabat baik anak lelaki saya sendiri..

Seorang anak yang baik, sekeping hati yang suci murni...seorang anak muda yang tidak mempersia-siakan masa muda dan remajanya serta melaksanakan tugasnya sebaik mungkin sebagai seorang dai' semasa pengajian di universiti (University of Sheffield - tempat lama saya dan suami lewat 70'an dan awal 80'an...) Namun Allah lebih menyayanginya...

Salam Takziah bagi ibumu, juga kaum keluargamu...(Klik di sini)

Semoga Allah menerima segala amalanmu, mengampunkan segala silap salahmu serta meletakkan ruh mu di kalangan mereka yang berbakti, yang beramal saleh serta mereka yang diredhaiNya...Amin Ya Rabbul Alamin...

Al Fatihah...

Ini juga adalah peringatan yang sangat baik buat diri ini sendiri..Sudahkah cukup amalan sebagai bekalan? Seandainya Allah mengirim utusanNya bagi menjemput pergi? Iaitu masa bagi diri ini membiasi cahaya sudah sampai ke garisan penamatnya?

PS. Saya memohon berbanyak maaf. Kediaman 'maya' ini sudah bersawang. Begitu banyak perkara yang mahu dikongsi...namun detik masa yang terluang amat sedikit sekali... Insya Allah, akan saya cuba ikhtiar dan atasi...

Friday, November 19, 2010

Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha






Diucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha…

Semoga kita dapat menghayati pengorbanan sepertimana yang dilalui oleh Nabi Ibrahim a.s., anaknya Nabi Ismail a.s. serta tidak kurang hebatnya, ibu Nabi Ismail a.s iaitu Siti Hajar.

Selain daripada darjah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, mari juga kita lihat betapa tingginya darjat seorang wanita mulia, menjadi pelopor sebuah kota, yang kini menjadi kota suci tempat tumpuan umat Islam seluruh pelusuk dunia bagi menunaikan ibadah haji dan juga umrah.

Tindakannya berlari-lari anak tatkala mencari air dalam duka dan cemas ketika ditinggalkan di tanah gersang itu bersama anaknya Ismail yang masih merah dan menyusu - di antara ritual yang diabadikan dalam kerja haji.

Bagi membaca bagaimana tingginya ketaqwaan wanita tabah ini, jemput layarinya di sini.

Gambar diambil dari sumber ini.

Monday, June 14, 2010

Piala Dunia, Dahulu dan Kini…



Ketika itu, musim panas tahun 1978. Saya sudah jelak membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan A-Levels menjelang beberapa hari lagi pada waktu itu. Saya telah ditempatkan di Chesterfield College of Technology (kini dikenali sebagai Chesterfield College), Chesterfield, bandar kecil yang terkenal dengan pasar perkampungan, di wilayah Derbyshire. Sekiranya anda berpeluang menaiki tren dari arah selatan ke utara menuju ke Sheffield, maka anda akan dapat melihat mercu tanda pekan kecil itu di tingkap sebelah kiri gerabak – sebuah menara bengkok pada bumbung gereja di tengah bandar.

Kedua-dua teman serumah saya pula asyik duduk terperap membisu dalam bilik masing-masing, di tingkat paling atas. Rumah yang kami sewa beralamat 10, Queen Street itu mempunyai tiga aras. Sebenarnya, saya sudahpun melakukan apa yang sepatutnya bagi mempersiapkan diri. Cuma perlu mengulangkaji dan melihat sekali sekala balik semula bahan-bahan yang ada. Apabila kita melihat orang lain begitu tekun mentelaah, kadangkala diri kita rasa tercabar dan hati akan bertanya, “Mengapa awak tidak sama-sama mengulangkaji?” Mungkin anda dapat memahami apa yang saya maksudkan…

Sehinggalah hati saya tidak tertahan lagi menanggung beban tekanan lalu duduklah saya di ruang tamu di tingkat paling bawah, bersila di atas sofa, mengadap TV, menonton perlawanan demi perlawanan bagi Piala Dunia pada tahun itu. Setiap hari, buat beberapa waktu, terjerit pekik sekali sekala dan melakukan perkara lain selain daripada mentelaah seumpama sajian minda dan rohani. Tekanan dalam diri mula terpadam sedikit demi sedikit. Minda terasa segar semula mengingati segala formula, persamaan dan fakta yang perlu dihafal bagi peperiksaan yang kian berlangsung. Argentina memenangi perlawanan akhir dengan cemerlang sekali menghadapi pasukan Netherlands (3-1) dengan 2 gol disumbangkan oleh pemainnya bernama Mario Kempes. Permainan sungguh menakjubkan. Malah saya sungguh teruja sekali, menonton seorang diri, memekik, menggigit jari, menarik rambut, memulas pergelangan tangan, kadangkala menerjah tangan ke udara atau memukul kusyen atau apa sahaja yang dapat dicapai…beruntung juga teman-teman serumah saya berada di tingkat atas sekali…suasana hingar sudah tentu menjengkelkan mereka…

Kini, masa itu berulang lagi..buat tahun ini..bertempat di Afrika Selatan. Cuma kali ini, permainan antara USA dan England tercemar sedikit dengan suatu kesilapan. Sudah tentunya, aksi penjaga gol pasukan England itu tidak disengajakan.

Sekonyong-konyong, saya terbaca sepintas lalu kandungan di salah sebuah sesawang kegemaran saya iaitu Idris Tawfiq (entri terdahulu dalam blog ini mengenai Sdr. Idris Tawfiq terdapat di sini dan kemaskinian dihantar kepada saya melalui emel setelah saya mendaftar di sesawang itu) membuatkan saya terfikir dan terkedu (baca di sini)….

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Sdr. Idris Tawfiq itu… Tidak akan berlaku sesuatu tanpa izinNya..

Walau apapun, hati saya masih direntap sesuatu…persoalan terbesar masih bermain dalam kepala…isu Palestin dan nasib malang rakyatnya…adakah suara tangisan dan jeritan mereka tidak akan lagi diendahkan dek ditenggelami sorak sorai penonton setiap kali sumbatan gol, semasa musim Piala Dunia yang sedang berlangsung ini?

Thursday, May 20, 2010

Sehebat-hebat manusia…






Kesibukan sepanjang sebulan dua ini menghambat saya ke sana ke mari. Blog ini juga seakan terabai. Namun, segala tenaga yang diperah, detik masa diperuntukkan seakan berbaloi apabila menempa sedikit kejayaan. Walaupun hanya sekadar menerima pingat perak di ITEX 2010 bagi ciptaan pasukan kami, itu sudah cukup menggembirakan hati kami sebagai kumpulan penyelidik.

Yang pentingnya adalah memperkenalkan produk kami yang berpotensi digunapakai dalam berbagai aplikasi. Dan begitu ramai yang menunjukkan minat dalam melanjutkan dan memperkembangkan ide kegunaan. Contohnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menangani kegiatan mencuri pasir sungai.

Hari ini dalam akhbar the STAR telah tersiar kenyataan media yang telah kami laksanakan semalam bertempat di tasik kampus induk, Pulau Pinang, di salah sebuah ruangannya. (Boleh baca di sini).

Ciptaan kumpulan kami yang diberi nama Drosobot (Drosophila Robot) mampu membuat pemetaan di dasar tasik, sungai dan empangan. Kosnya jauh lebih murah, tanpa perlu tenaga manusia yang ramai manakala hasil pemetaan dapat dilihat dalam kadar segera. Berbanding dengan peralatan yang sedia ada dalam pasaran (berasal dari negara barat) yang melibatkan kos melangit tingginya, (jika mahu dibeli - berharga sekitar RM200,000, kalau disewa - kadarnya RM 8,000 bagi satu kilometer, juga memerlukan sekurang-kurangnya 4 orang bagi mengendalikan alat sedia ada itu) memerlukan tenaga manusia, dan hasil keputusan pemetaan hanya dapat dilihat setelah 2 minggu.

Yang menariknya adalah fakta ini - pemetaan bagi dasar tasik dan empangan masih belum wujud lagi. (Perkara ini tidakpun kami ketahui tatkala mula melakukan kerja penyelidikan ini).Yang wujud ketika ini hanyalah pemetaan daratan dan lautan (bagi pekapal). Memandangkan di Malaysia sahaja ada begitu banyak tasik yang belum dipetakan maka sudah tentu kerja pemetaan dapat dilaksanakan dengan begitu mudah. Seorang pengunjung ke tapak kami semasa ITEX 2010 baru ini melahirkan kegembiraan kerana dia memang melakukan tugas pemetaan empangan secara manual.

"Amat meletihkan!" katanya, menggelengkan kepalanya.

Kami mendapat ilham menggunakan pergerakan lalat buah (nama saintifiknya Drosophila Melanogaster) sebagai algoritma kecerdikan yang diintegrasikan pada robot permukaan air kami itu. Dengan itu, pergerakan sekawan robot itu menjadi lebih pantas dan cepat mencapai optimum dalam kerja pemetaan.

Bukankah Allah telah memberi manusia itu akal bagi berfikir? Kejadian alam boleh dijadikan asas sumber inspirasi bagi sesuatu penciptaan. Malah setiap binatang halus dan kecil seperti semut, lebah ada kelebihannya masing-masing bagi manusia yang berfikir. Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya:

“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Organisma lalat yang sering kita lihat dengan pandangan ‘hina’ itu juga boleh kita ambil sebagai sesuatu yang menguntungkan. Binatang-binatang kecil itu bertindak dan menjalani kehidupan mereka dengan bimbingan dan ketetapan Yang Maha Pencipta. Namun mereka tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu.

Hanya manusia yang punya akal mampu menjangkau lebih jauh, menggunakan minda sehingga dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan berguna dari setiap penelitian. Cumanya kita sebagai manusia harus selalu sedar dan ingat yang sehebat manapun kita, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Allah s.w.t., yang mencipta dan menganugerahkan akal bagi kita umat manusia di antara makhluk-makhlukNya yang lain.

Al Isra’:85
“…dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit".

Milik Allah segala Puji-pujian…

Wednesday, March 31, 2010

Air Mata Penuh Keinsafan…




Mata ini tertumpu pada petak kaca TV. Siaran TV9 yang menampilkan Dr. Danial Zainal Abidin serta Saudara Muhammad Alexander. Membicarakan tentang Yakjuj dan Makjuj serta tanda-tanda hari kiamat. Secara kebetulan, saya baru sahaja selesai membaca dua buah buku karya Saudara Muhammad Alexander yang bertajuk Yakjuj dan Makjuj: Bencana Dari Sebalik Gunung (yang saya pinjam daripada seseorang dan kemudian saya beli) beserta bukunya yang kedua iaitu Alexander Adalah Zulqarnain semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada minggu lepas. Siap ditanda tangani oleh si penulisnya. Alangkah seronoknya!

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah begitu ramainya lahir anak-anak di luar nikah,” kata Dr. Danial, lalu hati ini terus seakan tersentap, teringatkan sesuatu.

Pada hujung minggu yang baru berlalu, saya memenuhi jemputan Raudhatus Sakinah (RS) bagi mengendalikan Bengkel Penulisan bagi warga RS cawangan Pulau Pinang.

Suasana pada mulanya kekok dan kaku. Anak-anak RS itu belum cair lagi minda mereka. Oleh itu, perlu bagi saya menjentik minda mereka dengan beberapa siri permainan yang mempunyai matlamat tertentu. Menjelang tengahari, kelihatan mereka sudah selesa dan asyik menulis, matapena di tangan mereka menari laju di atas kertas putih. Mungkin ide sudah datang mencurah-curah akibat digeletek dengan terjahan saya dalam permainan demi permainan. Pada sesi petang, air mata suci meleleh. Ada yang berjuraian tanpa henti walaupun puas mereka menahan, menyeka air mata itu dengan hujung lengan baju. Dipenuhi rasa keinsafan teramat sangat dari lubuk hati yang mula terusik, tatkala saya memandu mereka mengimbau kembali wajah-wajah tersayang iaitu ibu dan ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kita sebagai manusia sejak mula tahu bernafas di muka bumi ini.

Sememangnya itu adalah salah satu daripada hasrat saya. Menyulam bahan bengkel dengan kata-kata nasihat. Supaya hati-hati mereka terus terketuk dan kian cair, mengingatkan segala akibat dari perbuatan mereka.

Tatkala peserta sedang asyik melakukan latihan mengikut permainan dalam sesi bengkel, kami jawatankuasa penganjur sempat berbual-berbual.

“Nampaknya, semua muka-muka baru belaka,” kata saya kepada Puan I, pengurus pusat perlindungan itu. Saya sudah lama tidak mengunjungi RS. Kesibukan menghambat saya ke sana dan ke mari. Mata saya merenung dan merakam setiap wajah baru anak-anak hingusan kelompok kedua itu.

“Ya! Yang dahulu itu semuanya sudah keluar semula ke pangkuan masyarakat,” katanya, senyuman sumbing di bibirnya.

Melihat senyuman peliknya, lantas saya terus bertanya, “Bagaimana keadaan mereka yang sudah keluar itu?”

Tangan saya menarik kerusi dan duduk rapat dengannya beserta dengan warden-warden serta N. N adalah bekas warden yang kini bahagia bergelar isteri dan ibu kepada seorang bayi lelaki. N jugalah yang menganjurkan sesi bengkel penulisan pertama RS suatu masa dahulu. Dia yang bersusah payah datang jauh dari Tanjung Malim menaiki kereta api tengah malam sebelumnya dan sampai ke Nibong Tebal pada pukul 4 pagi, bersama bayi kecilnya itu. Sungguh dahsyat semangat dan pengorbanannya! Semoga Allah membalas dengan ganjaran besar baginya…

“Ada yang tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli keluarga masing-masing sehingga menelefon kami mahu kembali ke RS semula,sebab tidak tahan dengan dugaan dan asakan masyarakat yang tidak mahu memberi peluang dan memaafkan,” kata salah seorang warden.

“Mengapa?” kata saya, kebingungan.

“Sebab mereka terasa begitu kosong dan tercabar. Bimbang segala nilai yang telah kita canai dalam diri mereka tatkala di sini akan terhakis sedikit demi sedikit,” kata warden yang seorang lagi.

“Pengaruh kawan lama juga amat dibimbangi. Itupun sudah jenuh kami peringatkan,” kata Puan I.

“Namun ada juga yang sudah menyambung semula pengajian baik di peringkat sekolah mahupun di kolej,” kata N.

“Masih ingat lagi kepada M?” kata Puan I.

“Ya! Sudah tentu,” kata saya spontan.

“Dia kini mengambil diploma psikologi di salah sebuah kolej di utara, dibiayai sepenuhnya oleh ibunya,” kata salah seorang warden, tersenyum bangga.

“Syukur Alhamdulillah,” kata saya menepuk bahunya.

Begitulah keadaan penghuni RS yang sudah pulang semula ke pangkuan masyarakat. Ada yang sedang bertahan. Ada yang meneruskan kehidupan. Bagi kita, seharusnya kita membimbing semula mereka yang telah tersasar ini balik semula ke pangkal jalan.

Ini adalah kali kedua bengkel penulisan yang serupa diadakan, iaitu bagi golongan kedua yang sedang menghuni pusat RS di Pulau Pinang itu. Kami berhasrat membukukan karya mereka dan juga golongan pertama yang sudah diperolehi dalam bengkel yang dahulu. Karya yang mengisahkan pengalaman mereka sehingga terjebak dalam situasi yang tidak diingini oleh sesiapapun. Semoga buku itu nanti akan dapat membuka mata dan dijadikan iktibar bagi remaja di kala ini akan hakikat, “Anda Bijak Jauhi Zina”.

Semoga Allah menerima segala niat baik, usaha dan amalan kami ini…Amin

00000000000000000

Ini adalah sebahagian daripada komen yang telah saya perolehi daripada borang maklum balas sebaik selesai bengkel penulisan itu:-

“Alhamdulillah, dapat peluang pupuk bakat bagi menulis.”

“Saya mendapat ilmu baru.”

“Dapat menyedarkan diri saya dan menginsafkan diri saya tentang apa yang telah saya lakukan.”

“Ini kali pertama saya hadir bengkel penulisan, saya telah dapat banyak manfaat.”

“Dapat memberi kesedaran kepada diri saya supaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.”

“Saya mendapat beberapa nasihat yang baik.”

“Dapat jana ide bagi menulis pada masa hadapan.”

“Dapat menghilangkan rasa tertekan melalui penulisan.”


Bagi mendapatkan entri terdahulu mengenai RS, klik di sini dan di sini.

Friday, February 19, 2010

Kian mengering…


Suasana tatkala itu kelam dan menekan. Sedang saya mempengerusikan sesi viva siswazah lanjutan itu di sebuah pusat pengajian lain di kampus kejuruteraan, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu bilik mesyuarat.

Disebabkan dia adalah yang paling dekat dengan pintu, salah seorang ahli panel bernama Dr. B yang juga pengerusi rancangan dari pusat pengajian itu, segera bangun menjawab panggilan. Dia terus menghilangkan diri di balik pintu manakala saya meneruskan sesi perbincangan yang semakin hampir ke garisan penamat.

Dr. B masuk semula. Air mukanya kelihatan keruh dan dahinya berkerut. Tiba-tiba sahaja, beliau berkata, “Maafkan saya banyak-banyak. Saya tidak boleh menumpukan perhatian lagi.”

Saya mengerutkan dahi memberikan imbasan pandangan kurang senang dengannya. Begitu juga mereka yang lain.

“Kemalangan baru sahaja berlaku. Mengakibatkan kematian salah seorang pelajar ijazah tinggi kami. Baru sebentar tadi. Betul-betul di hadapan pintu utama. Saya terpaksa minta diri sebab perlu uruskan hal ehwal jenazah.”

Kami semuanya seperti terkena kejutan elektrik.

Sejurus sedar kembali, saya berkata, “Tidak mengapa Dr. B, silakan. Kitapun sudah hampir ke penghujung.” Mata mengimbas kepada semua yang berada di situ. Wajah-wajah terhangguk-angguk.

Sebaik saya kembali semula ke pusat pengajian sendiri, berita sedih itu telah melata. Pelajar perempuan yang terkenal dengan sifat rajinnya itu sedang menunggang motosikal tatkala ia dilanggar sebuah kereta. Pemandunya merempuh laju lampu isyarat yang sedang menyala merah. Bertambah parah lagi luka kesedihan di hati ini…

Apa yang bermain dalam kepala teman sebilik pelajar itu? Agaknya mereka mesti terkenang-kenangkan sehari sebelum itu, mereka senyum tawa bersamanya sambil berjenaka, makan minum bersama. Kemudian keesokannya, dia lenyap dari bumi, dibawa pergi dan tidak kembali…

Apa perasaan ibunya pula? Sebaik selepas kejadian, ibunya hanya diberitahu yang anaknya kemalangan dan berada di hospital, tidak pula diberitahu keadaan sebenar sebab ibunya pengidap sakit jantung. Anaknya pergi dan tidak akan kembali secara tiba-tiba…

Ajalnya sudah sampai...

Lantas saya teringatkan kisah sahabat anak lelaki saya yang baru sahaja dipanggil pulang ke tanah air oleh ibu ayahnya. Beliau sedang dalam proses menjadi doktor pelatih di hospital di sana, setelah menamatkan pengajian jurusan perubatan di Universiti Sheffield, (tempat lama saya dan suami, kira-kira lebih 30 tahun yang lalu). Tatkala dia sedang dalam pengajian, beliau telah disahkan mengidap lymphoma , sejenis barah berkaitan darah. Siri kemoterapi telah dilaluinya beberapa kali namun kanser itu datang kembali. Doktor mengesahkan mereka telah mencuba sedaya yang mereka mampu. Oleh itu, ibu dan ayahnya memanggilnya untuk pulang. Melihat rakaman mesejnya kepada sahabat-sahabat di tempatnya sejurus sebelum berangkat pulang, saya berendam air mata…

Petang itu, saya memandu bagi pulang ke rumah. Di persimpangan lampu isyarat betul-betul di pintu utama kampus, saya memberhentikan kereta sambil menunggu lampu bertukar rona hijau. Wajah dipusingkan ke kiri. Kelihatan cebisan asalnya daripada topi keledar seseorang. Bersepai di tepi bahagian jalan…mata ini berkaca semula diselubungi gerimis…sungguh mendalam sayu di hati…

Sebagai Muslim, kita memang selalu diminta supaya mengingati kembali hadis ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." ~Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi~.

Saya sedang mengingatkan diri saya sendiri. Saya berharap anda juga sedemikian rupa…

Friday, February 5, 2010

KPI...

‘Hujan’ KPI mencurah hampir setiap hari . Seakan tiga huruf itu adalah perkataan paling popular merata-rata. Di kaca TV, di muka surat khabar, dari bibir para pembesar negara…di tempat kerja…

Sejak tahun sudah, apabila dipanggil supaya menganggotai jawatankuasa KPI pusat pengajian, terpaksalah dikejar dan mengejar. Ke sana ke mari. Mencari dan mengumpul maklumat. Dihimpit urusan kerja berkait kertas yang menggunung (jelaslah mengapa ruangan kecil ini tidak terkemaskini). Tambahan terpaksa berhadapan dengan ahli jabatan yang mempunyai masalah sikap contohnya “Ah…tidak mengapa..mengapa mahu ribut-ribut?” Tidak termasuk mereka yang menghamburkan perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut seorang ilmuan…Aduhai… Sehingga rimas jadinya. Mendengar perkataan ‘keramat’ bermula dengan ‘K’ itu bikin kepala ini pening…

Hujung minggu yang lalu, diri ini dijemput syarikat penerbitan bersama para penulis lain membincangkan projek terkini dan bagaimana merancang peranan kami sebagai penulis. Kemudian, perkataan itu timbul lagi…perut ini terus terasa mual...

Terlampau banyak penekanan, kertas berkajang-kajang, begitu banyak masa digunakan, segala tenaga diperah…

Hujung minggu (Ya! Hari Ahad, sementara yang lainnya seronok bersantai dengan keluarga masing-masing) kami berempat terpaksa pula berhadapan dengan pihak tertinggi universiti. Tanggungjawab bagi mempertahankan KPI pusat pengajian kami terbeban di atas bahu kami yang berempat (Prof. L, Dr. W, Encik M dan saya). Semoga ada yang sudi mengiringi kami dengan doa…

Kesibukan ini membuatkan hati ini terfikir sejenak. Bagaimana dengan KPI yang satu lagi itu? Yang lebih lagi pentingnya? KPI kita dengan Yang Maha Agung? Tiba-tiba diri ini terasa cuak…

Anda bagaimana?

Sunday, December 27, 2009

Rumah putih itu, di tepi pantai Kuala Terengganu…




Bayu lembut menghembus dari arah lautan, ombak menderu di tepi pantai. Namun mata ini tercari-cari akan sesuatu. Meneliti dan meninjau, takut terlepas sebuah persimpangan…

“Pastikan yang kamu ikut betul-betul jalan di persisiran pantai; akan sampai ke suatu simpang yang menghala ke Pantai Batu Rakit. Kira-kira 4 hingga 5 kilometer ke dalam nanti akan dapat dilihat sebuah rumah dua tingkat, berwarna putih, betul-betul bersebelahan pantai,” lembut dan bersahaja bunyi suaranya dari talian sebelah sana.

Kira-kira beberapa bulan sebelum itu, dia datang menjengah ke blog ini, meninggalkan beberapa bait ayat. Saya menyusul ke blognya pula dan hati ini terus tertambat. Membaca komen yang dititipkan oleh anak-anak kampung, terhimpit dalam kesusahan namun akhirnya berjaya mengukir nama di institusi pengajian tinggi, membuatkan air mataku berjujuran.

“Bagaimana sekiranya kita luangkan masa, bertemu dan belajar dari orang yang banyak pengalaman ini? Semestinya kita akan dapat menimba sesuatu yang boleh dicontohi,” kata saya.

“Terpulanglah,” kata suami, “pilih saja satu tarikh. Lagipun, Abang perlu juga sedikit ruang, mencari sebuah kedamaian,” matanya membias serba sedikit kecelaruan dan kekusutan yang terpaksa dihadapinya hari demi hari, urusan yang mencabar di pejabat.

Disebabkan itu, kami berada di Pantai Timur, bermalam di KT di tepi pantai. Esok harinya, meluncur ke arah utara sedikit menghala ke Batu Rakit. Tidak lama kemudian, rumah itupun muncul di hadapan kami. Kediaman simpel, berpagar ala kediaman perkampungan Inggeris.

“Mari masuk lekas, hari sudah hendak hujan,” kata seorang lelaki berwajah budiman, keramahannya terserlah.

Isterinya juga turut menegur, sibuk menyiapkan hidangan makan tengahari. Ketika menjamu selera, kami tidak putus-putus berbicara, seolah-olah sudah kenal lama. Selesai itu, perbualan kami terus laju, menikmati pula juadah minum petang, pai epal hasil tangan Makcik, lengkap dengan sos kustardnya. Sungguh lazat!

Pakcik Hassan dan Makcik Salma, (panggilan buat mereka dan yang mereka mahu) bersungguh-sungguh mahu kami menginap di kediaman mereka itu. Lalu kami menjdai tetamu istimewa, bermalam di salah sebuah bilik lengkap seperti sebuah chalet, di tepi pantai, kepunyaan salah seorang anak lelakinya yang dikasihi. Begitu indah…kedengaran desiran ombak dan air laut pantai memecah pantai…

Dua jiwa pemurah ini berusaha sedaya upaya membantu orang lain. Terutamanya anak-anak nelayan miskin yang dihimpit realiti kehidupan, memberi mereka kesedaran akan perlunya mereka merubah masa depan, memotivasi mereka dalam pengajian mereka. Anak-anak ini sebahagian besarnya berasal dari keluarga yang tinggal di persekitaran pantai. Ayah mereka dan nenek moyang mereka yang sesetengahnya mengenali laut sebagai satu-satunya sumber mendapatkan sesuap nasi. Betapa besar usaha yang perlu dilakukan bagi menyedarkan mereka (anak-anak ini) akan keluasan alam di luar sana.

Begitu banyak kisah. Berturutan pula cerita, ada kalanya menyayat hati, ada ketikanya menyentuh perasaan yang kami dengar mulut lelaki berpengalaman ini. Pakcik Hassan mengimbau kembali saat beliau menerima tawaran ke U.K. tatkala Malaysia belum lagi lahir. Siapa sangka bekas pelajar sekolah Arab, yang tidak memahami sebarang patah perkataan Inggeris dan terpaksa belajar kendiri bagi memahirkan dirinya dalam bahasa itu. Juga bergelut sendirian menguasai Matematik Tambahan (siapalah yang pernah dengar akan Matematik Tambahan di kala tahun-tahun itu?) dan beliau berjaya melakukannya dengan cemerlang. Beliau membuktikan sesuatu itu mampu diperolehi berkat kesungguhan, ketabahan serta kerja keras.

Qada’ dan Qadar menentukan segalanya. Di antara calon asal yang ditawarkan, salah seorang telah menarik diri dan nama Pakcik Hassan adalah yang berikutnya dalam senarai. Berada nun jauh di perantuan di bawah tajaan sebuah syarikat minyak dan gas di mata dunia ketika tiada kemudahan canggih seperti sekarang, berpenat lelah mengejar ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Loughborough Institute of Technology (sepertimana yang dikenali di kala itu, kini di panggil Loughborough University) di tengah kesunyian sebagai perantau. Pada tahun-tahun lewat 1950'an begitu, berapa sangatlah bilangan pelajar dari Malaya... Tatkala Malaya meraih kemerdekaan, Pakcik membuat catatan saat-saat itu dalam buku peribadinya yang kini sudah usang di makan usia namun masih utuh…

Pada sebelah malam itu, kami ke seberang jalan, ke Al Manar (bermaksud 'Cahaya Penyuluh' dalam Bahasa Arab), meninjau keadaan fizikal pusat yang menjadi tempat tumpuan pelajar-pelajar yang datang bagi mendapat tunjuk ajar. Ada yang bermalam di situ, bagi mendapatkan suasana keselesaan bagi mentelaah (yang tidak dapat diperolehi mereka dari rumah sendiri). Pusat ini bukannya pusat tuisyen; malah ia lebih daripada itu, ia adalah gedung ilmu dan pengajian. Membaca blog Pakcik Hassan, akan didapati betapa banyak komen yang ditinggalkan oleh anak-anak didik Al Manar. Testimoni demi testimoni. Kata-kata keinsafan serta ucapan terima kasih bagi dua orang insan, wira tidak berlagu. Berpusat di sebuah kediaman, di tengah perkampungan, di tepi pantai nelayan Kuala Terengganu.

Pakcik Hassan memperkuatkan keyakinan diri ini akan sesuatu. Hayat kita ini bukanlah semata-mata mengenai mencari keselesaan hidup di dunia. Bagi diri kita, mahupun orang yang kita sayangi. Hidup kita akan lebih bermakna sekiranya kita memikirkan hak dan nasib orang lain, dan diisi dengan usaha bagaimana mereka yang susah ini akan dapat dibantu.

Dalam bukunya, “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness” (buku susulan bagi “7 Habits of Highly Effective People”), Stephen Covey menyeru supaya setiap daripada diri kita, “mencari nada suara menyeru dan kemudian memberi ilham kepada orang lain bagi melakukan perkara yang serupa…”

Pakcik Hassan telah melakukan ini bagi diri saya. Beliau telah memberi ilham bagi diri ini…

Beliau juga adalah bukti:

You make a living by earning,
You make a life by giving
…”

Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. Quran, An Nahl: 97


Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda,:”Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Tuesday, December 15, 2009

Terengganu....










“Itu! Di sana!” jari telunjuk ini menuding ke arah sebuah bangunan tersergam di celah pohon ru yang memagari sebatang jalan di tepi pantai.

Senja sedang melabuhkan sayapnya. Ombak mengalun di persisir. Pasir halus mula bergemerlapan dalam cahaya yang sudah mula samar-samar.

Kali ini, hanya kami berdua. Saya dan teman setia. Kami pernah ke sana. Lebih 20 tahun yang lampau. Ketika itu, anak-anak masih kecil. Gambarnya masih tersimpan. Sekali sekala, jari ini akan menyelak helaian album. Sengaja mahu mengimbau kembali segala kenangan manis…

Di kala itu, anak sulung kami berusia dalam 7 tahun manakala adiknya dua tahun. Kami mencecahkan kaki ke Pantai Batu Buruk, menikmati angin laut yang bertiup lembut. Di bawah bayangan pohon ru, mata terpandang akan satu sudut menarik. Lalu butang kamera mahu dipetik. Kakaknya elok berposing tetapi aahh…budak lelaki…Mana mahunya duduk diam walau seminit? Sesuatu di permukaan pasir menambat pandangannya lalu terakamlah gambar itu. Wajah si adik tertunduk dengan jari tangannya menguis kayu buruk …

Saat itu paling indah. Kami gagahi juga ke Pantai Timur menggunakan kereta terpakai buruk kami (Nissan 120Y bernombor plet PAE…), bersyukur kerana akhirnya kami tiba ke persisiran pantai timur itu dengan selamat. Pada masa itu, belum lagi ada lebuhraya seperti sekarang. Sengaja kami pilih bagi menginap di tempat berdekatan pantai, bermain air, berlari ‘aci-lut-cak’. Anak-anak bergelak ketawa, riang ria...

Tiba waktu, kami meluncur ke Dungun, bermalam di sebuah tempat yang sangat sederhana. Tiada TV, pendingin hawa mahupun air panas. Hanya sekadar keperluan penting. Bilik comel namun bersih sekali. Pada awal pagi, kami ke pantai lagi, menikmati pemandangan matahari sedang menaik, gigi ombak yang memutih dari kedalaman yang membiru.

Tiba-tiba, bunyi riuh. Anak kecil kami yang mungkin tidak faham apa-apa turut terkesan dengan kekecohan. Dia turut berlari ke tepi pantai bersama kakaknya. Wajah dua beradik menyeringai.

Nun jauh di kebiruan sana, kelihatan sekumpulan manusia; air sehingga ke paras pinggang mereka, membentuk dua lengkung yang di tengahnya terumbang ambing sebuah bot. Perlahan-lahan, mereka mendekat ke pantai, gelung mereka semakin mengecil. Seketika kemudian, kami dapat melihat sesuatu. Di tengah gelung itu, ikan melompat-lompat dengan banyak. Ya! Segar dan hidup! Warna jernih dan berkilat terkena biasan matahari seakan pelangi. Menerjah ke langit, kemudian jatuh semula ke air mencetek. Rungkaian jala mula kelihatan sebaik sebilangan lelaki yang mengelilingi ikan mula menarik tebaran ke pasir pantai. Senario lazim bagi penduduk tempatan tatkala kaum nelayan membawa masuk muatan mereka. Tetapi tidak bagi kami warga kota, yang seakan terpukau.

Tatkala itu, anak-anak kami sudah melompat-lompat kegirangan. Seiring dengan nada anak-anak dan kaum wanita yang sudah lama menunggu di pantai itu. Mereka turut terkinja-kinja. Keseronokan terpalit pada setiap wajah.

Pengalaman ini sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Paling dekat pengalaman anak-anak kami dengan ikan hidup adalah sekadar melihat yang berada di akuarium. Sekali sekala, kami ada membawa mereka ke Pasar Besar Ipoh bagi melihat ikan yang akhirnya terhidang di meja makan, namun ianya tidak serupa pengalaman sebenar.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan anak cucu dan generasi kita yang terkemudian...Sungguhpun mereka dapat membeli ikan yang sudah dalam keadaan bersih di hypermarket namun mereka terlepas satu peluang. Peluang yang memperkayakan erti hidup. Ada pula kajian yang menunjukkan segala ikan di laut akan pupus dan manusia tidak akan dapat lagi memakan ikan dalam masa 40 tahun.

Lalu..siapakah yang harus dipersalahkan?

Tuesday, November 10, 2009

Hancurkan tembok itu!

Di awal pagi, TV di ruang tamu terpasang dengan berita dari BBC. Saya pula sedang cuba menggagahkan diri bagi mula menyemak sebuah tesis ijazah lanjutan dari sebuah universiti selatan tanah air. Pandangan mata ini tiba-tiba terheret kepada sebuah rangkap mesej yang tertayang di layar TV:

“MENGAPA TEMBOK INI DI SINI?”

Seorang pemberita sedang melaporkan kegembiraan yang seakan dikongsi seluruh dunia semalam (9 November 2009) - tarikh itu merakamkan detik jatuhnya tembok Berlin 20 tahun yang lampau. Gerimis tiba-tiba sahaja mengaburi mata ini apabila hati teringatkan sahabat serta saudara sedarah sedaging kita yang terkepung secara kejam dalam tembok binaan Sang Durjana Zionis.

Suatu email dari Dr. Hafidzi menyedarkan diri ini. Betapa diri ini juga mampu mengorak langkah melakukan sesuatu. Memberitahu serta memanjangkan maklumat kepada orang lain mengenai Tembok Apartheid itu.

Ini adalah antara fakta yang jelas dan nyata:

1. Tembok Apartheid Israel adalah lebih 3 kali ganda daripada Tembok Berlin.

2. Tembok Israel diwartakan sebagai TIDAK SAH oleh Mahkamah Pengadilan Antarabangsa, bahkan sebahagian tembok itu juga diisytiharkan sebagai TIDAK SAH oleh Mahkamah Tinggi Israel.

3. Tembok Israel memisahkan penduduk Palestin dari penduduk Palestin yang lain, bukannya penduduk Palestin daripada penduduk Israel.

4. Tembok Palestin merampas hak penduduk Palestine dari tanah ladang dan sumber air; dengan jelas ini melanggar Undang-Undang Antarabangsa.

5. Tembok Palestin menyekat penduduk Palestin dari sanak saudara mereka, menghalang hak mereka kepada punca sara hidup, hak melanjutkan pengajian, malah hak mendapatkan rawatan di hospital.

Dengan itu, sepertimana mesej yang tonjolkan oleh BBC pagi tadi, saya pula mahu bertanya kepada pihak Israel dan mereka yang bersekongkol dengan negara haprak itu soalan yang sama:

“MENGAPA ADA TEMBOK DI PALESTINE ITU?”

Saya mendesak dan mahukan jawapan!

PS. Masih ingatkah kisah si burung pipit yang cuba membawa air dari sungai berhampiran berulang kali di paruhnya tatkala Nabi Ibrahim dibakar pada tiang oleh Sang Raja yang durjana. Sungguhpun si burung itu tersangat kecil namun jiwanya besar kerana meneruskan usahanya walaupun diejek oleh rakan-rakannya seperti Si Helang akan kerjanya yang dianggap “sia-sia” itu. Jawab si burung pipit, “Sekurang-kurangnya aku dapat menjawab kepada Allah swt apabila Allah bertanya kepadaku apa yang telah aku lakukan dalam menolong Nabi Ibrahim a.s.”

Jadi, mengapa tidak anda juga melakukan sesuatu?

Bagi mendapatkan sumber bahan menyebar maklumat, klik di sini:
http://www.endtheoccupation.org/article.php?list=type&type=317

Tahukan anda yang Syarikat Caterpillar meraih keuntungan berlipat ganda sebagai pembekal peralatan bagi memusnahkan kediaman dan kebun tanaman penduduk Palestin yang berada di relung tembok dan juga terlibat dalam kerja pembinaan tembok tiada kasihan belas itu? Nyatakan perbuatan mereka itu SALAH di sini:


Sumber tambahan:

http://tinyurl.com/stopthewall
http://www.endtheoccupation.org/downloads/09wall.pdf
<http://www.endtheoccupation.org/article.php?id=2380>
<http://www.endtheoccupation.org/calendar.php>

Wednesday, October 14, 2009

Gempa, Binasa….

Saya gemar menonton Saluran Sejarah (History Channel 555) di Astro. Pengisiannya yang kaya dengan maklumat, pembuka mata serta menginsafkan, membuatkan saya mampu mengatasi tekanan ketika tugas sebagai ahli akademik menjadi berat dan begitu membebankan.

Saya baru sahaja mengikuti kisah Kota Atlantis yang wujud beberapa ribu tahun yang lalu. Kajian terkini telah menyimpulkan, kedudukan kota yang samar-samar diketahui lokasinya itu kemungkinan besar di sebelah timur iaitu di sekitar Pulau Crete, Greece. Dipercayai yang pada zaman keagungannya, tamadun Atlantis menyamai kecanggihan pada masakini, dengan wujudnya bangunan pencakar langit, lengkap dengan sistem tandas dalam rumah, perairan dan pembetungan, senibena mengkagumkan, undang-undang yang memberi hak sama rata bagi lelaki dan wanita serta pelbagai kekayaan khazanah. Namun, tamadun itu lenyap dalam sekelip mata, ditelan gegak gempa.

Kemusnahan yang dialami ketika itu jauh lebih buruk daripada yang dilalui semasa gegaran Pulau Krakatoa dalam tahun 1833. Itupun, meletusnya Gunong Krakatoa telah mengakibatkan Tsunami setinggi 120 kaki dan terkorbannya 36,000 nyawa. Langit gelap umpama malam selama 3 hari. Bunyi gegaran kedengaran sehingga sejauh 3,000 batu. Gegaran di Atlantis adalah 4 kali ganda di Krakatoa. Bayangkan? (Sumber bacaan yang bagus terdapat di sini dan di sini).

Tiba-tiba muncul berita mengenai gegaran di Samoa diikuti di Padang, Indonesia. Persoalan timbul. Adakah kedua-dua gegaran itu saling berkait? (Baca di sini).

Apa juga pun, berita seumpama itu pasti membuat hati ini menjadi sayu. Sungguh nipis garisan hayat bumi kita ini. Betapa nyawa kita ini sangat rapuh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa lama lagi bumi kita akan dapat bertahan. Berapa lama lagikah jangka hayat yang masih dipinjamkan Allah kepada kita?

Benar seperti kata-kata pujangga Socrates:
"Hayat manusia seumpama titisan embun pada helaian daun.”

Sementara jantung kita masih berdegup kencang, mengapa kita tidak mengambil peluang menghulurkan sumbangan daripada sedikit kesenangan yang Allah masih bermurah hati meminjamkan kepada kita?

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 148)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah melancarkan misi bergelar Misi Kasih Padang (MKP) bagi membantu mangsa bencana di Padang. (Klik bagi maklumat lanjut).

Kita di Malaysia amat bertuah kerana dijauhkan Allah dari bencana. Akan tetapi, siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa-masa akan datang? Nauzubillah…

Sama-sama kita renungi ayat-ayat Al Quran ini bagi menginsafkan diri kita (Surah Rum: 41-43) yang bermaksud:

"Dan telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan disebab kerana perbuatan tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

"Dan apabila manusia ditimpa oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali (bertaubat) kepada-Nya, kemudian apabila Dia memberikan sedikit rahmat-Nya kepada mereka, tiba-tiba sebahagian mereka mempersekutukan Allah."

"Biarkan mereka mengingkari rahmat yang telah Kami berikan. Dan bersenang-senanglah kamu, maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu)."


Adakah kita juga peka dan mengetahui bahawa gegaran susulan bagi kedua-kedua lokasi yang saya maksudkan itu (iaitu di Crete dan juga Krakatoa) akan berulang pada bila-bila masa sahaja? (Baca sini dan sini).

Sehingga itu, kita hanya mampu berdoa dijauhi bencana serta bersegera melakukan kebaikan sementara nyawa masih dikandung badan. Diri ini akan terus mengikuti Saluran Sejarah 555, bagi mengingatkan diri sendiri akan kekerdilan kuasa manusia, juga sebagai sumber santapan minda.

Anda juga suka menontonnya? Atau sekiranya ada sumber maklumat lain, sudilah berkongsi dengan saya. Saya akan amat menghargainya…

Monday, August 31, 2009

Erti sebenar kemerdekaan…

Merdeka bukannya terbatas kepada bebas dari penjajahan secara fizikal malah menjangkaui batas pemikiran dan rohani. Sebagai umat Islam, apakah seseorang atau bangsa itu dikira merdeka sekiranya masih mengagungkan sesuatu yang bukan bersumberkan Al Quran dan Hadis. Iaitu baik dari pengaruh barat mahupun terbelenggu dengan anggapan yang sesuatu dari timur itu seharusnya dijadikan ikutan? Segala yang dari barat dikategori sebagai bagus mahupun perkara yang berkaitan dengan sesuatu adat dan ketuanan sesuatu bangsa maka menghalalkan seseorang itu melakukan perkara sewenang-wenangnya? Sehingga menyebabkan seseorang itu menolak kebenaran dan berlaku zalim terhadap orang lain?

Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.

Kedatangan Islam bertujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan anggapan. Perhatikan jawapan Ruba’ei bin Umair ketika berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei, “Mengapa engkau datang kepada kami?”

Maka jawab Ruba’ei, “Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.”

Tatkala manusia tunduk patuh hanya kepada Allah Yang Maha Penciptanya semata-mata, maka ketika itulah seseorang itu memiliki jiwa kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya…

Wallahualam..

Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke-52!

Entri dicuplik daripada sini hasil tulisan Hasnan bin Kassan dan Ramadhan di Ambang Merdeka

Tuesday, August 4, 2009

Musibah namun indah…














“Kita perlu keluar dari kereta ini! Lekas! Sekarang!” jerit suami saya, wajahnya memusing ke arah tempat duduk belakang. Asap berkepulan dari enjin kereta yang sudah remuk di bahagian hadapan.

“Tengkuk sakit!” kata anak perempuan kami,berhempas pulas menanggalkan tali pinggang keledar.

“Apa yang sudah terjadi ini?” kata anak lelaki kami, mamai kerana terbangun dari lena.

Saya terlalu terperanjat sehingga tergamam tidak bersuara.

Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang, “Kami paramedik 911. Awak semua tidak apa-apa?” Tangan-tangan ke sana ke mari, memujuk, memeriksa disertai kata-kata lunak dan mendamaikan hati-hati yang cemas dan penuh trauma.

“Semuanya seperti elok belaka. Walauapapun, kami nasihatkan encik sekeluarga ke hospital terdekat, jalani pemeriksaan. Hanya langkah berjaga-jaga,” kata salah seorang pasukan berunifom itu, mengumpulkan segala peralatan mereka semula.

“Tidak mengapa, rasanya kami tidak apa-apa. Cuma terperanjat,” kata suami saya.

Ahli paramedik itu mengangkat topi tanda hormat dan berlalu pergi.

“Seseorang telah memanggil pasukan 911 itu agaknya. Cepat sungguh sampai!” kata salah seorang daripada orang ramai yang mula berkerumun secara kecilan di keliling kami.

“Awak cedera?” kata seorang anak gadis, wajahnya berkerut penuh rasa empati, lalu menyambung kata-kata, “Adik! Panggil ibu, ayah!”

“Sudah! Mereka sedang dalam perjalanan,” kata seorang anak muda. Mereka berdua dalam van yang kami rempuh. Kakaknya yang memandu.

“Lesen masing-masing?” tiba-tiba keluar kata-kata dari seorang pegawai polis trafik, memandang ke arah wajah suami saya dan juga si anak gadis. Mereka berdua mengunjukkan lesen memandu kepadanya.

“Bagus juga encik membayar insuran bagi perlindungan kemalangan kereta sewa encik itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya keadaan encik sekeluarga sekiranya encik tidak berbuat demikian. Ini laporannya. Pergi ke agen kereta sewa terdekat dan encik akan mendapat kereta sewa ganti,” kata pegawai polis trafik. Sebelum pergi, beliau mempastikan keadaan lalu lintas terkawal dan semua urusan selesai seperti pengambilan gambar. Semuanya selesai dalam tidak sampai beberapa minit.

(Kala itu tahun 1993. Saya telah ditindikkan ke University of Calgary dan terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan selama 3 bulan di bawah tajaan Asian Development Bank . Keluarga saya menyertai saya pada dua minggu terakhir saya di sana. Buat beberapa hari, kami merancang perjalanan jelajah dua negeri di barat Canada itu iaitu Alberta dan British Columbia, bermula dengan menuju ke arah utara dari Calgary iaitu ke Edmonton. Perjalanan penuh pemandangan menakjubkan melalui kawasan penanaman gandum sekitar Canadian Prairies merentas Sungai Saskatchewan, kemudian ke Jasper , bermalam di kabin balak Pocahontas; dan singgah ke Columbia Icefields yang amat menarik. Sempat kami merasa menaiki Snowmobil, mengambil foto Lake Moraine (tasik di dunia yang paling kerap diambil gambarnya oleh jurugambar). Bermalam di Lake Louise dan Bandar Banff. Seterusnya menuju arah barat ke Kelowna, selanjutnya ke Vancouver, beserta kereta sewa menaiki feri British Columbia (BC Ferries) ke Vancouver Island. Dari situ, kami mahu kembali semula ke Calgary, singgah bermalam di Penticton, di samping menikmati pemandangan yang amat terkesan di hati, Lake Okanagan di sepanjang jalan. Setting indah ini telah saya rakamkan dan kongsi dalam novel saya “Seindah Dafodil). Bagi menjimatkan belanja penginapan, kami tinggal di Asrama Belia Antarabangsa (International Youth Hostels ) dengan mendaftar sebagai ahli selama setahun.)

Pada hari kemalangan yang sedikitpun tidak kami duga itu, kami telahpun sampai ke bandaraya Vernon lebih kurang 7 jam memandu bagi perjalanan terakhir kembali semula ke Calgary. Aktiviti memandu jarak begitu memang meletihkan. Agaknya suami saya sudah terlalu lesu. Masakan tidak? Sudah lebih 38 jam terkumpul dalam pemanduan secara berterusan, sepanjang masa 8 hari, sejauh melebihi 3,109 km merentas Canadian Rockies “Tidak masuk akal. Awak kurang siuman!” tegur teman serumah saya tatkala kami awal mahu mula bertolak. Mereka hanya pernah berkereta sejauh Waterton Lake Parks . Itupun setelah mereka menetap di Calgary itu selama lebih dua tahun. Inikan pula suami saya yang hanya sampai dalam beberapa hari. Namun kami tidak ambil pusing sebab mahu ‘beradventure’.

Kembali kepada cerita asal. Si anak gadis itu sedang sibuk melayani kedua-dua anak kami, asyik bertanya sama ada mereka sakit ataupun selesa. Menghulurkan minuman serta makanan ringan.

Mata saya pula tertumpu kepada kereta sewa kami yang ranap teruk di bahagian hadapan kerana menghentam van di hadapan kami itu. Van yang dipandu anak gadis itu pula hanya calar sedikit manakala lekuknya tidak seberapa.

“Itupun mereka!” kata si anak muda, menunjuk tangannya ke arah sebuah kereta lain yang sedang membeluk ke tempat kami tersadai.

“Hai! Saya mohon maaf di atas apa yang terjadi!” kata si bapa, keluar dari kereta.

“Saya yang patut memohon maaf. Saya keletihan dan hilang tumpuan hanya beberapa saat,” kata suami saya menyambut tangan yang dihulur si bapa.

“Awak semestinya sedang bercuti. Sudah tentunya awak rasa kurang seronok,” kata pula si ibu, yang turut menghulurkan tangannya ke arah saya.

“Mari kami hantarkan ke agen kereta sewa terdekat,” kata si bapa.

Dan tidak beberapa minit kemudian, kami sudah mendapat kereta sewa yang baru.

“Kami pernah ke Malaysia. Negara yang indah. Harap awak terus menikmati keseronokan bercuti ke Canada, negara kami ini!” kata lelaki separuh usia itu. Wajahnya tersenyum ceria, setelah mendapat tahu kami dari Malaysia. Begitu juga ahli keluarganya yang lain, tersenyum memanjang.

“Saya ada satu cadangan. Mari kita semua bergambar!” kata si bapa.

Lalu, saya mengeluarkan kamera saya manakala anak muda keluarga itu juga memetik kameranya.

Alangkah berbezanya? Seperti langit dengan bumi peristiwa berpuluh tahun ini dengan yang satu lagi. Akan saya kongsikan satu peristiwa kemalangan yang suami saya lihat dengan mata kepalanya sendiri ketika kami berada berdekatan kediaman sahabat kami kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dalam entri yang bakal menyusul. Apakah perasaan anda pembaca setelah membaca entri ini dan akan datang. Kongsikan dengan saya, ya?

Saturday, June 27, 2009

Demi ukhuwah fillah...

“Mak sihat?” kedengaran suara yang amat dikenali dari hujung talian sana.

“Sihat! A*** bagaimana?” kata saya, hati seperti dapat menangkap sesuatu yang tidak berapa kena pada nada suara anak lelaki saya itu.

“Sajalah…Ada cerita sikit,” suaranya agak perlahan dan memanjang sahaja dengusannya.

“Ya?”

“Semalam, sewaktu sembahyang jamaah di masjid, kaca mata saya pecah dipijak seorang kanak-kanak yang berlari ke sana ke mari. Sedangkan kaca mata itu telah saya letakkan elok sahaja atas sejadah, separas dada sewaktu sujud,” katanya menarik nafas panjang.


Diam seketika.

“Mak sedang mendengar ini,” kata saya, memberinya galakan supaya meneruskan ceritanya.

“Selesai solat berjamaah, saya lihat seorang lelaki sepertinya berasal dari sebuah negara benua Afrika datang mendekati. Dia memohon maaf dan mahu menanggung ongkos apabila diperbaiki. Kemudian, dia bertanya berapa harga kaca mata saya itu. Saya berterus terang dan menyatakanlah sahaja, harganya lebih RM 1000.”

“Apa yang terjadi? Suara seperti tidak begitu seronok,” kata saya memberi kata balas.

“Setelah lelaki itu mendengar jawapan saya, tiba-tiba sahaja dia seperti mahu menyerang dan berceramah sakan kepada saya akan perlu percaya dan yakin kepada Qada’ dan Qadar. Siapakah yang tidak berdesing telinganya?”

“Hmm..” Saya tahu sesuatu tidak baik pasti telah berlaku kerana saya kenal sangat dengan hati budi anak muda yang mudah terusik dan cepat naik semangat apabila diganggu-gugat.

“Saya terus melenting. Saya kata padanya jangan memperkecilkan diri saya. Saya tahu apa itu Qada’ dan Qadar. Sebaik saya melangkah ke arah pintu masjid, saya lihat semua mata jamaah dalam masjid tertumpu kepada kami berdua. Jamaah yang terdiri dari pelbagai bangsa dari seluruh dunia.”

Persekitaran tempat tinggal anak kami itu di sekitar Amapang (kediaman hinggap bagi suami saya dan saya semasa selangan hujung minggu ataupun menghadiri urusan tatkala di ibu negara) dihuni oleh pelbagai bangsa dari seluruh, dari negara Timur Tengah dan warga Korea terutamanya.

Saya berdiam diri, memberi ruang baginya menyusun kata.

“Saya tidak dapat tidur sepanjang malam semalam Mak! Memikirkan berbagai perkara. Bayangkan, tatkala solat, kami berdiri sama tegak dan kemudian sujud, bersatu hati, kepada Tuhan yang Maha Esa. Kemudian, sebaik selesai memberi salam, masing-masing suara meninggi. Dengan orang yang sedarah sedaging.”

Saya masih mendiamkan diri, membiarkan dia meluahkan perasaannya.

“Pagi, tadi, saya ke kedai cermin mata. Kena RM 300. Tadi, semasa selesai solat zuhur berjamaah di masjid, lelaki itu datang lagi. Dia bertanya berapa kos perbaik cermin mata. Saya beritahunya. Kemudian, dia mancapai dompetnya dan mengeluarkan wang sebanyak itu. Namun, saya kata kepadanya, “Ambil semula RM 100 ini,” Apabila dia bertanyakan mengapa, saya katakan padanya, “Sebab saya hilang pertimbangan dan mahu menebus kesalahan hanya kerana disebabkan perkara sekecil itu.” ”

Tanpa disedari, bibir saya menguntum sebuah senyum.

Kemudian si anak muda saya itu menyambung kata-katanya, “Kami berdua berpelukan sesudah itu, saling memaafkan dan menepuk-nepuk bahu. Semua yang di dalam masjid tersenyum gembira.”

“Baguslah!” kata saya dalam nada perlahan.

“Ya! Dada ini terasa begitu lapang sekali,” kata anak muda saya itu.

Saya tidak lagi berkata apa-apa mengenai perkara itu. Kami berbual mengenai hal lain selama beberapa lama lagi.

Jauh di sudut hati, saya amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana anak muda saya itu telah dapat mempelajari sesuatu. Nilai persahabatan dan ukhuwah serta kecintaan antara satu sama lain (terutamanya dari kalangan seagama) adalah tidak ternilai harganya, jauh lebih tinggi harganya daripada perkara remeh-temeh yang kononnya kita anggap milik kita di dunia ini.


Monday, June 15, 2009

Gugurnya sebutir bintang bergemerlapan...

“Mak, Syekh Fathi Yakan sudah dijemput pergi,” kata anak saya ketika jari-jari ini sedang sibuk mengisi butir-butir lawatan ke industri tempat pelajar saya ditindik sepanjang 2 minggu terakhir ini.

Mendengar itu, tangan ini terhenti seketika lalu matapena diletakkan ke tepi. Hati terasa sayu lalu dibacakan doa buat ulama sanjungan yang telah pergi.

Dr. Fathi Yakan – profesionnya sebagai jurutera elektrik dan elektronik, juga memegang ijazah dalam bidang pengajian Islam. Seorang ulama, ahli politik, penulis buku, telah pergi menemui Yang Maha Pencipta pada Ahad 14 Jun 2009.
Hasil penulisannya berjudul “Apa Ertinya Aku Menganut Islam" menjadi teman dan merubah persepsi diri ini mengenai iman dan tuntutan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Bukunya ini, yang di antara lebih 35 buku yang lain (seperti Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah) juga menjadi bahan rujukan dan dijadikan bahan tazkirah dalam majlis-majlis usrah sewaktu belajar mahupun ketika aktif dalam aktiviti kemasyarakatan hatta hingga ke hari ini.

Fathi Yakan dilahirkan di Tripoli pada tahun 1933. Aktif dalam kerja-kerja dakwah Islam di Lubnan pada pertengahan 1950’an dan juga perintis penubuhan Gerakan Islam di sana. Beliau dilantik sebagai ahli Parlimen dalam tahun 1992.

Pemergiannya amat terasa sekali…sebutir bintang mungkin telah gugur namun cahaya dan gemerlapannya tidak mungkin hilang dari pandangan mata dan akan sentiasa berbekas di hati...

Moga Allah merahmatinya, segala jasa dan pengorbanannya dalam menegakkan Islam dibalas dengan Jannah..Amin

Moga akan lahirnya lebih ramai lagi Fathi Yakan dari kalangan kita dan juga generasi yang akan datang…Amin..

PS. Masa ulama agung itu telah diputuskan. Bagaimana dengan ruang masa bagi kita? Pasti akan tiba juga saat bagi ‘embun-embun pada diri kita’ kian mengering, tidak bisa membias lagi…..Sudah cukupkah persiapan kita bagi menghadapi saat itu?

Wednesday, May 13, 2009

Pabila Politikus Menggoyangkan Lidahnya yang Bercabang

Entri ini telah dimuat naik lebih daripada setahun yang lalu. Namun saya mahu ulangi isinya di sini pada kali ini. Semoga dapat memberi beberapa peringatan dan pengajaran bagi diri saya sendiri dan juga pembaca semua...Perkara ini adalah peristiwa benar cuma nama dan tempat telah diubah. Tolong amati dan fikirkan...Selamat membaca!

---------------------------------------------

“Sudah lama berkerja dengan syarikat sekarang?” bertanya suami saya.


“Ya! Sejak lewat tujuh puluhan,“ kata lelaki berpakaian seragam siap dengan logo syarikat perkhidmatan swasta terjahit di dadanya.Kabel dan talian elektrik ditarik-tarik dan disambung pada lubang di dinding.

“Berbagai ragam dan manusia yang telah saya temui,” dia yang bernama J menyambung kata-kata, “malahan wakil rakyat beberapa penggal dahulu selalu meminta pertolongan saya.”

“Begitukah?” suami saya terhangguk-hangguk.

Kagum saya melihat betapa cekapnya jari-jari J melaksanakan tugasnya membuat kerja pendawaian di kediaman persinggahan comel yang baru beberapa bulan kami miliki di sekitar Kuala Lumpur itu.

“Bercakap mengenai wakil rakyat ini. Saya mahu berkongsi sedikit cerita,” kata J lagi.

Saya bersandar ke dinding manakala suami saya mengemaskan silanya berdekatan si pencerita.

“Bekas wakil rakyat kawasan ini dahulunya adalah kawan saya sekampung. Kami sama-sama bekerja satu tempat di syarikat swasta. Pangkatnya lebih corot daripada saya disebabkan kelulusannya yang jauh lebih rendah. Namun tiba-tiba dalam beberapa tahun, dia sudah dinaikkan ke jawatan penolong pengurus disebabkan penglibatannya dalam sebuah parti politik yang dominan dan berpengaruh musim pilihanraya yang dahulu-dahulu. Saya menganggap itu sudah menjadi rezeki dia.”

“Suatu hari, kawan yang saya panggil Mat itu datang menemui saya. Katanya mahu bertanding jadi wakil rakyat. Dan sekiranya dia menang, mahu sahaja dia dikenali sebagai wakil rakyat yang kekal tinggal di kawasan rumah setinggannya itu. Kereta buruknya juga tidak mahu ditukar dan dia berjanji mahu berbakti kepada orang di sekeliling. Tiba pilihanraya, diapun menang kerusi di kawasan kami itu. Saya turut tumpang gembira dengan kejayaannya itu.”

Suami saya dan saya diam membisu. Masing-masing tekun mendengar cerita dari mulut J.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada Mat meminta pertolongan saya membaiki pendawaian dan kemudahan di sekitar rumah banglo yang baru didudukinya sebaik memenangi kerusi dalam pilihanraya tahun itu. Saya tergamam teringatkan janji manisnya. Namun disebabkan kawan punya hal maka saya tolongkanlah juga. Saya juga kaget melihat sebuah Mercedes baru di ruang ‘istana’nya itu. Cuma saya terfikir, kemana perginya hasrat murni yang diperkatakannya di depan saya sebelum itu?”

“Suatu hari, saya pergi membayar bil di sebuah pusat membeli belah. Sebaik sahaja saya keluar dari berurusan, saya telah dapati yang kereta saya telah ditarik oleh Majlis Perbandaran. Oleh itu, saya pergi ke kaunter Majlis membuat rayuan sebab kompaun yang dikenakan amat mahal. Cumanya, saya diberitahu yang rayuan minta dikurangkan itu hanya akan dapat dipertimbangkan setelah mendapat bantuan dan tandatangan daripada sama ada Yang di Pertua Majlis ataupun Yang Berhormat wakil rakyat. Lantas saya teringatkan kawan saya YB Mat itu dan sayapun pergi ke pejabatnya. Saya diberitahu oleh pembantu peribadinya yang YB baru sahaja keluar bermesyuarat di suatu tempat berdekatan tidak sampaipun lima minit yang lalu. Saya kata, tidak mengapa jika begitu. Dalam hati saya, saya berniat menghubungi sahaja kawan saya Mat itu melalui panggilan telefon, memohon bantuannya.”

“Apakah yang terjadi?” tanya suami saya.

“Itulah yang menyebabkan saya kecewa dan juga sakit hati.”

“Mengapa pula?” suami saya bertanya lagi.

“Biasanya di hadapan orang awam, saya membahasakannya sebagai YB Mat tetapi apabila berhubungan secara peribadi, saya hanya panggilnya Mat sahaja. Adakah patut Mat mengatakan yang dia tidak boleh membantu sebab buat masa itu dia sedang berada di luar negara!’

“Apa benarkah begitu?” suami saya bertanya secara spontan.

“Inilah yang saya ingin kongsikan! Allah itu Maha Berkuasa dan mahu menunjuk sesuatu. Pada malam itu juga, semasa saya pulang dari surau dan melewati sebuah deretan rumah kedai, saya terserempak dengan YB Mat yang sedang berjalan menuju ke arah setentang dengan saya. Terus saya bertanya, “Awak baru kembali dari luar negara?”

“Saya dapat membaca dari riak wajahnya yang dia serba salah dan tidak senang terserempak dengan saya begitu, langsung dia menjawab, “Ya! Baru sebentar tadi, saya tiba. Pesawat saya baru sahaja mendarat!” katanya dengan nada suara teragak-agak.”

“Saya mengikut langkahnya jauh dari belakang, mahu meninjau ke mana dia mahu pergi malam-malam begitu. Lalu saya melangkah naik anak tangga ke salah sebuah rumah kedai di situ mengikut jejaknya. Tiba di kaunter, saya bertanya dengan penyambut tetamu, “Itu YB tadi itu, buat apa di sini?”

J menyambung jalan cerita, “Perempuan di kaunter itu menjawab, “Mana ada YB?”"

”“Tadi itu, yang memakai baju batik dan membawa beg?”

“Itu YBkah? Tidak pula saya tahu! Dia baru mula belajar bahasa inggeris di sini!”“

"”Begitukah?” kata saya pula.”

“Jauh di dalam, saya tidak berpuas hati dan sakit hati saya sedang memuncak. Saya tidak akan kesal jika dia berterus terang mengatakan sahaja yang dia tidak dapat membantu saya. Tetapi saya terkilan dan marah sebab dia bercakap bohong. Saya nekad pergi mencari kereta YB Mat itu sehingga dapat lalu saya pancitkan dua tayar keretanya. Saya fikir, jika satu tayar sahaja, maka sudah tentu dia boleh saja gantikan dengan tayar spare. "Biar dua tayar, supaya puas hati saya ini!" Kata saya dalam hati. Sayapun pulang ke rumah.””

Dalam lewat malam sedikit, saya menerima panggilan telefon. Memang sah daripada Mat. “Kereta saya pancit kedua-dua tayarnya. Awak boleh datang sini, bantu saya?” katanya.”

“Saya membaling paku buah keras dengan berkata, “Oh maaf! Sebaik sahaja saya berjumpa awak tadi, saya menaiki penerbangan ke luar negara! Saya berada di Singapura sekarang ini!” kata saya dengan selamba!”

Saya dan suami saya tersenyum simpul mendengar cerita J.

“Itulah! Saya sudah lama tidak suka dengan cara sesetengah orang yang mudah lupa diri, bersikap angkuh apabila menjadi wakil rakyat. Terutamanya mereka yang naik bukan sebab kekuatan peribadi mahupun ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi dengan cara mengampu dan membodek. Saya kecewa sangat-sangat. Saya cukup kenal kawan saya itu serta keluarganya, anak serta bekas isterinya. Ya! Bekas! Tidak cukup dengan berkata dusta, tidak berpegang pada janjinya pada awal-awal dahulu. Berpindah rumah, tukar kereta...yang paling buruk, tukar isteri baru! Jika dengan saya sahabat lamanya boleh sahaja dia berbohong dan perkotak-katikkan, apatah lagi orang lain!” kata J melepaskan geramnya.

Kami berdua lantas tergamam dan saling berpandangan!

PS. Situasi di kampung halaman saya membuatkan saya melugai (bahasa orang Perak bagi ‘mual’).

Monday, April 6, 2009

Perang hijau biru…




“Mari kita menjamu selera di luar? Malas masak!” kata saya kepada suami pada petang Ahad tadi.

“Di mana?” kata suami, di balik surat khabar di tangannya.

“Di gerai ikan bakar. Yang di sebelah jalan utama sebelum tol Cangkat Jering itu!”

“Baik! Cepat bersiap!”

Kamipun berkereta. Menyusuri jalan lama dari Parit Buntar ke Simpang Empat, Taiping. Suasana damai dan sunyi semakin lama semakin hangat. Sehingga sampai pada suatu tahap, udara seakan terkena kejutan elektrik!

Berwarna-warni. Meriah sekali. Bendera merata-rata. Hijau putih membulat, biru muda. Biru tua dan sedikit merah dan lambang keris. Meliuk lintuk dibuai angin. Manusia berpusu-pusu. Kenderaan berasak-asak.

Begitu ramai anggota polis. Kiri kanan, belakang dan hadapan. Sepertinya mereka sudah berkampung berbulan-bulan di pekan itu. Trak biru tua, merah menyala. Motosikal berkuasa tinggi berderetan di tepi jalan dan di jalanan. Seakan mereka semuanya tertumpu dari daerah dan pelusuk masing-masing dari sekitar semenanjung. Saya tersenyum sendirian apabila terlihat kenderaan tertulis “Balai Polis Bergerak”. Sepanjang saya membesar, sebagai anak konstabel polis sekitar tahun 60’an sehingga 80’an, belumpun pernah saya melihat kenderaan sebegitu.

“Tentu seronok dapat tinggal dalam balai polis bergerak serupa itu!’ kata saya dalam hati.

Perasaan saya seperti digeletek apabila terlihat sebahagian daripada poster-poster kempen.

“Pembangkang memperalatkan kanak-kanak!” terpampang pada poster pihak biru tua, dengan gambar kanak-kanak terselit di celah poster. Kanak-kanak memegang sepanduk “Mansuhkan I.S.A.”

Di pihak hijau putih pula, tertera perkataan, “ U.*.*.O…Dahulu, kini dan selamanya serupa sahaja! RA$UAH!!”

“Itu gerainya!” kata saya, menuding ibu jari seraya memandang kepada suami yang sabar memandu.

Kereta kami letakkan di gigi jalan. Bersebelahan kereta polis yang bertanda ‘Pasukan Penyiasat Jenayah Kuala Krai’. Kuala Krai Kelantan?

“Apa sebab polis Kuala Krai berada di sini?” saya mengerutkan dahi.

“Entah!” jawab suami yang sudah berada dekat dengan peti ikan segar yang tertimbun bawah ketulan ais.

“Jenahak ada?”

“Tidak ada, abang! Hanya siakap,” kata anak muda mengambil pesanan.

“Bakar?”

“Hari ini sibuk abang, tidak sempat bakar. Tiga rasa boleh, abang?”

Suami mengangkat keningnya kepada saya.

“Tiga rasapun tiga rasalah. Apa nak buat. Tidak ada rezeki kita kali ini,” kata saya melangkah ke meja makan.

Di meja sebelah, beberapa orang anak muda sedang menunggu hidangan mereka.

“Susah sikit tahun ini!” kata salah seorang daripada mereka.

“Mengapa pula?” kata seorang lagi, lambang hijau putih membulat dijahit rapi pada belakang jaket yang dipakainya.

“Banyak betul duit yang ditaburkan. Belum lagi dikira basikal percuma, beras, kain batik dan entah-entah apa lagi!” kata pemuda pertama.

“Jangan risau! Orang zaman sekarang bukan seperti dahulu. Sudah cerdik! Orang beri, mereka ambil. Undi belum tahu lagi!” kata seorang anak muda yang lain di sebelahnya.

“Tidak mengapa! Ktia perlu bekerja lebih keras lagi. Apapun, kita makan dahulu. Tambahkan tenaga. Kemudian, kita bergerak!” kata yang berlambang di jaket, tatkala hidangan mereka sampai.

Kami berdua tersenyum mendengar perbualan anak-anak muda, pemimpin masa hadapan, harapan agama dan bangsa.

Bercakap mengenai warna, sejak sedari kecil lagi, warna kegemaran saya adalah hijau. Redup di pandang mata, menenangkan jiwa.

Hijau. Dulu, kini dan selamanya….Anda bagaimana?

Friday, February 6, 2009

Di selubungi kabus…

Kabus dan mendung…begitulah keadaan masakini. Adik lelaki yang menetap di Brighton, England memberitahu akan kebekuan menyelimut kaku, juga masa depan ekonomi yang buntu…

Kemelut melanda di mana-mana…

Di bumi Palestin, umatnya teraniaya…

Di sini juga, kadangkala berlaku, ada di antara kita yang teraniaya…di tempat kerja, politik pejabat dengan caranya. Ditikam dari belakang, difitnah, dikata nista, teraniaya oleh juak-juak yang membudayakan kipas-mengipas penguasa dan golongan berpengaruh…juga sikap mereka yang mempunyai autoriti yang tidak faham atau sengaja tidak mahu memahami apa itu keadilan….

Dalam usaha menegakkan kebenaran, menghancurkan kebatilan juga, pasti ada yang teraniaya….Begitu juga dalam kemelut politik terkini di negeri Perak, tempat tumpah darah almarhum ibu dan ayah saya sendiri (Kampung Gajah), yang secara kebetulannya berdekatan dengan tempat bersejarah Pasir Salak, merakamkan betapa beraninya Dato’ Maharaja Lela menegakkan perjuangan, menentang penjajah….


Pasti ada yang berkorban…dan terkorban.

Apalah sangat dugaan yang tertimpa jika dibandingkan dengan saudara kita nun di Palestin sana.... sudah tiada lagi harta...nyawa juga sentiasa berada di hujung tanduk. Namun semangat dan iman mereka tidak langsung luntur, malah lebih mantap dan tegar. Jadikanlah perjuangan mereka sebagai obor dalam perjuangan kita. Mantapkanlah perjuangan, suntikkan semangat yang dimulakan oleh Haji Abu Bakar Bakir (Gunung Semanggul), Dato’ Maharaja Lela dan yang seumpama mereka. Ayuh kalian!

Kepada Allah tempat kita mengadu dan berserah…


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al Ankabut: 2-3)

"Dan sungguh, Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar." (Muhammad: 31)

''Ada tiga doa yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT, yakni doa orang tua kepada anaknya, doa orang yang teraniaya, dan doa seorang musafir.'' (HR. Abu Hurairah)

Dari Mu'adz bin Jabal r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Ertinya : Takutlah kepada doa orang-orang yang teraniyaya, sebab tidak ada hijab antaranya dengan Allah (untuk mengabulkan)".(Sahih Muslim)



Wednesday, January 21, 2009

Sedarah Sedaging....








“Awak!” saya berkata, apabila terpandang akan seraut wajah yang tidak pernah kelihatan sebelum ini, sebaik selesai memberi salam kepada pelajar yang hadir ke kuliah pada pagi itu. Kening terangkat tanpa disedari.

Kuliah saya telah masuk ke minggu ketiga, dalam kursus Sistem Pintar, peringkat Sarjana pada semester kedua ini.

“Siapa? Saya?” kata seraut wajah itu, matanya melilau keliling bilik kuliah. Jarinya tertuding ke dadanya sendiri.

“Ya! Awak!” kata saya lagi, berpeluk tubuh.

Dia tersenyum tersipu-sipu.

“Awak tidak berada di sini selama dua minggu yang telah lalu. Awak ke mana sebelum ini? Dan sila beritahu nama!” saya menelengkan muka.

“Saya baru sahaja mendaftar kursus ini. Dan nama saya A*******.”

“Baik! Tetapi banyak yang awak perlu buat supaya tidak tertinggal bahan kuliah. Awak tentu tahu?” kata saya, mengetap bibir.

Seraut wajah itu mengangguk-angguk.

“Beritahu kelas, dari mana awak berasal. Kemungkinan, orang lain mahu tahu?” kata saya, menyelak bahan dan nota kuliah.

“Palestin,” katanya, suaranya amat perlahan sekali.

Tiba-tiba sunyi senyap. Wajah-wajah mengalihkan pandangan ke arah suara yang perlahan itu.

“Seperti yang saya duga,” kata saya.

“Apa berita dari kampung halaman?” kata saya, kemudian tiba-tiba menyesali lontaran pertanyaan saya itu.

Kerana dia menghela nafas panjang dan mengangkat bahunya. Matanya tiba-tiba berkaca dan wajahnya tertunduk ke arah lantai.

“Saudara! Kami bersama saudara. Semuanya. Iringan doa kami serta ingatan dalam hati kami. Allah akan membantu mereka yang berjuang untukNya.”

“Insya Allah..” perlahan sahaja nada suaranya.
-----------------------------------------------------------------------------------

Hadith riwayat Imam Ahmad...

Sabda Rasul (s.a.w.):

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barangsiapa yang cuba menghampakan mereka tidak sekali-sekali akan dapat melukakan mereka sehingga datang ketetapan Allah and mereka tetap sedemikian.

Maka para sahabatpun bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?”

Jawab Baginda, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.”

Sabda Nabi (s.a.w.) lagi dalam hadith riwayat Abu Daud, “Bahkan golongan ini akan tetap menegakkan kebenaran sehingga pejuang terakhir mereka akan berjuang menentang bersama Al Masih, Ad Dajjal..”

Dengar nasyid dan video klip Mu’adz Zulkefly mengenai perkara ini. Klik sini atau sini.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hadith Qudsi:

Allah swt akan membantu hambaNya, selagi mana hambaNya membantu saudara-saudaranya. ...