Assalamualaikum… alhamdulillah kepada Allah swt tuhan
sekalian alam yang telah menganugerahkan kita iman. Semoga Allah swt menerima
segala amalan kita dan menempatkan kita ke dalam syurgaNya. Pada kali ini, saya
akan berkongsi sedikit kepada antum semua mengenai sesuatu yang sangat menarik.
Dengan izin Dia yang maha agung, saya akan menulis mengenai perbahasan para
ulama’ mengenai I’rab fawatih as-suwar (فواتح السور ) pembuka-pembuka
surah iaitu ( الم ) dan kawan – kawannya. Huruf – huruf ini
sering kita jumpai dan membacanya dalam al-Quran al-Karim tetapi adakah kita pernah memikirkan apakah I’rabnya?
Mungkin para pembaca agak pelik kenapa huruf sebegitu pun perlu dibahaskan dan perlu dii’rab. Saya menjawab Ya, kerana setiap huruf hatta baris sekalipun yang terkandung dalam al-Quran mempunyai I’jaz dan kecantikan. Justeru itu, tidak hairanlah sesuatu yang kecil dibahaskan oleh ulama’ secara mendalam agar emas yang tertanam dalam al-Quran dapat dikorek keluar dan dapat dihiasi dalam dada manusia.
Mungkin para pembaca agak pelik kenapa huruf sebegitu pun perlu dibahaskan dan perlu dii’rab. Saya menjawab Ya, kerana setiap huruf hatta baris sekalipun yang terkandung dalam al-Quran mempunyai I’jaz dan kecantikan. Justeru itu, tidak hairanlah sesuatu yang kecil dibahaskan oleh ulama’ secara mendalam agar emas yang tertanam dalam al-Quran dapat dikorek keluar dan dapat dihiasi dalam dada manusia.
Sekiranya
kita menelaah ilmu nahu, maka kita akan dapati bahawa perkataan yang dii’rab
itu bergantung pada kefahaman pembaca dalam ayat berdasarkan kaedah - kaedah
nahu yang telah digariskan oleh para ulama’. Tidak hairanlah kadang – kadang
kita dapati dalam sesuatu jumlah terdapat banyak I’rab yang berbeza. Tetapi
mestilah ia tidak keluar daripada kaedah nahu. Sekiranya ia menyimpang dari
kaedah dan tidak menepati syarat, maka I’rabnya tidak diterima dan salah. Saya
beri misal :
رأيتُ زيدًا مبتسمًا
Maka kita
akan dapati perbezaan I’rab pada ayat di atas mengikut kefahaman pembaca.
Sekarang pada perkataan (مبتسما) di situ kita I’rabkan (حال). Tetapi siapakah (صاحب الحال) bagi (مبتسما)? Adakah Zaid atau dhomir (أنا) menjadi (صاحب الحال) bagi (مبتسما)? Nampak kah perbezaan di
situ. Bagi mereka yang memahami ayat di atas bahawa “aku melihat Zaid dalam
keadaan dia tersenyum” maka (صاحب الحال) kembali pada Zaid. Bagi
mereka yang faham “aku melihat Zaid dalam keadaan aku tersenyum”, maka (صاحب الحال) kembali kepada dhomir (أنا). Selain itu, ada juga mereka
yang berpendapat bahawa perkataan (مبتسما) menjadi (مفعول به ثان) bagi feel (رأى) kerana mereka faham feel (رأى) itu bukan memberi maksud
“melihat” tetapi membawa maksud “berpendapat”. Semuanya adalah betul kerana
tidak menyalahi hukum ahkam nahu walaupun berbeza mengikut kefahaman pembaca.
Tetapi sekiranya ada yang mengi’rab perkataan (مبتسما) menjadi (نعت), maka I’rabnya adalah salah
kerana telah menyalahi hukum (نعت) yang diwajibkan untuk
mengikut (منعوت) dari segi makrifah dan sebagainya.
Perkataan Zaid adalah makrifah, maka tidak boleh dii’rab (مبتسما) sebagai (نعت) bagi Zaid kerana (مبتسما) adalah nakirah.
Ilmu
nahu ini sama seperti ilmu feqh, ianya sangat terperinci dan luas. Justeru itu,
bukan semuanya perlu dii’rab. Seperti huruf, maka ianya tidak perlu dii’rab
sama ada huruf mabniyah ataupun huruf maknawiyah. Dalam ilmu
nahu, sekiranya sesuatu yang tidak perlu dii’rab, maka ia tidak mempunyai makna
tetapi mungkin mempunyai fungsi seperti sebagai penguat, seruan, sumpahan dan
sebagainya. Bagi sesuatu yang boleh di’irab maka ianya mempunyai makna. Saya
beri satu contoh supaya antum semua boleh nampak dengan jelas. Cuba lihat
himpunan huruf di bawah :
ر ع ف ق
Apakah
anggapan pertama bagi apa yang antum lihat? Maka mungkin ada terlintas
sebahagian daripada antum bahawa ianya hanya huruf ra, ain, fa, dan qof.
Maka ianya tidak terdapat makna yang tersurat, hanya huruf sahaja. Jadi huruf –
huruf ini tiada I’rab (لا محل له من الإعراب) kerana ianya hanyalah huruf
yang tidak membawa makna di mata pembaca. Tetapi mungkin ada yang melihat
bahawa huruf ra, ain, fa dan qof adalah (خبر) bagi (مبتدأ) yang dibuang (محذوف) iaitu (هذه) kerana dia faham seperti
mana di bawah:
هذه ر هذه ع هذه ف هذه ق
Ini adalah
huruf ra ini adalah huruf ain ini adalah huruf fa ini adalah huruf qof
Justeru, di
mata pembaca itu tadi, huruf itu sebenarnya adalah sebahagian daripada jumlah
yang ingin memberitahu kepada sesiapa yang membacanya bahawa ini adalah huruf ra,
ain, fa dan qof. Ada juga mereka yang membaca dan memahami huruf –
huruf di atas bukannya huruf tetapi ianya adalah feel amar (فعل الأمر) iaitu :
رأى يرى رَ = lihatlah
وعى يعي عِ = sedarlah
وفى يفي فِ = tepatilah
وقى يقي قِ = peliharalah
Jadi pembaca
ini memahami himpunan huruf di atas seperti mana berikut :
Lihatlah sedarlah tepatilah peliharalah
Maka setiap
apa yang terlintas di minda pembaca pada himpunan huruf tersebut adalah betul
selagi mana dia tidak melanggari hukum ahkam nahu. Inilah bukti yang saya boleh
berikan kepada antum bahawa I’rab itu bergantung kepada pemahaman pembaca dan
pemikiran manusia berbeza mengikut tahap kefahaman mereka pada konteks ayat.
Baiklah,
kembali kepada tajuk utama yang ingin kita bincangkan iaitu I’rab (الم) dan kawan – kawannya yang
terdapat pada awal surah – surah tertentu. Pada himpunan huruf ini, saya
bahagikan kepada dua bahagian.
1)
Bagi mereka yang berpendapat
bahawa himpunan huruf itu tidak mempunyai makna yang tersirat.
Ini adalah
pendapat kebanyakkan ulama’ iaitu huruf tersebut hanyalah (حروف مقطعة) potongan huruf dan
tidak membawa makna yang tersurat. Maka (الم) ini di sisi mereka (لا محل له من الإعراب) tiada kedudukan I’rab
baginya. Meskipun ianya tidak mempunyai I’rab, tetapi mempunyai fungsi di mata
ulama’ seperti mana yang saya telah terangkan di atas. Ada mereka yang
berpendapat yang Allah swt ingin menunjukkan kepada manusia bahawa al-Quran
iaitu kalamullah terdiri daripada huruf – huruf hijaiyah yang apabila
digabungkan ianya membentuk perkataan arab. Ada juga berpendapat bahawa huruf –
huruf ini berfungsi untuk mengambil perhatian para pembaca atau pendengar
supaya mereka sedar dan tidak lalai serta mengetahui bahawa ini memang benar
adalah kalam daripada tuhan yang maha esa dan kita wajib beriman padaNya. Bagi
pendapat saya yang lemah ini, huruf – huruf ini merupakan rahsia Allah swt
tiada seorang pun yang mengetahui akannya melainkan Dia yang maha mengetahui. Di
mana huruf – huruf ini mempunyai keistimewaan dan I’jaznya kerana tidak pernah
kita mendengar dan melihat sesuatu syiir yang dimulai dengan potongan huruf –
huruf pada zaman sebelum al-Quran diturunkan. Dalam syiir arab pada zaman
jahiliyah , kebiasaannya mereka akan menceritakan mengenai tapak kediaman
mereka (أطلال) ataupun mereka bercerita mengenai wanita
(غزل) dan sebagainya. Tetapi Allah swt telah
membuka sesuatu surah dengan potongan huruf. Ini adalah satu kelainan di sisi
arab ketika itu dan menunjukkan bahawa ini bukannya kalam manusia, tetapi
adalah kalam tuhan sekalian alam yang menyebabkan mereka menoleh pada al-Quran
kerana mukjizatnya yang agung.
2)
Bagi mereka yang berpendapat
bahawa himpunan huruf ini mempunyai makna yang tersurat dan tersirat.
Dalam pendapat
ini, saya bahagiakan kepada tiga bahagian :
a)
Kedudukan I’rabnya adalah rafa’
(رفع).
Bagi mereka
yang menjadikan hukum I’rabnya sebagai marfu’ (مرفوع) terdapat banyak pendapat. Jadi
memadailah saya menyebutkan yang masyhur sahaja supaya tidak panjang penulisan
saya ^^. Segelitir ulama’ mengatakan bahawa (الم) merupakan nama surah
tersebut kerana mereka berdalilkan dengan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh
imam Muslim dalam bab (ما يقرأ في يوم الجمعة) :
حدثنى زهير بن حرب حدثنا وكيع عن سفيان عن سعد
بن إبراهيم عن عبد الرحمن الأعرج عن أبى هريرة عن النبى -صلى الله عليه وسلم أنه كان
يقرأ فى الفجر يوم الجمعة ( الم تنزيل) و (هل أتى).
Daripada Abu
Hurairah ra daripada nabi saw bahawa baginda membaca dalam solat subuh pada
hari Jumaat alim lam mim tanzil dan hal ata.
Jadi
para sahabat menyebut surah sajadah sebagai alif lam mim dan kerana itu
segelintir ulama’ berpendapat bahawa alif lam mim itu adalah nama surah.
Bagi keadaan begini mereka menjadikan (الم) sebagai khabar (خبر) bagi mubtada’ yang
dibuang (مبتدأ محذوف) iaitu (هذه). Jadi mereka faham seperti
berikut :
هذه الم
Ini adalah
(surah) aliff lam mim
Ada juga
ulama’ yang berpendapat bahawa (الم) merupakan nama lain bagi
al-Quran kerana Allah swt berfirman :
Justeru itu,
mereka berpendapat bahawa (الم) itu adalah mubtada’ (مبتدأ) dan khabarnya adalah isim
isyarah (ذلك) dan perkataan (الكتاب) merupakan badal (بدل) bagi (ذلك) yang membawa maksud :
Alif lam mim
adalah kitab itu yang tiada keraguan padanya…
Terdapat
juga ulama’ yang berpendapat bahawa setiap huruf (الم) merupakan kunci bagi nama –
nama Allah swt. Maka huruf alif adalah kunci bagi perkataan (الله), lam bagi perkataan (اللطيف) dan mim bagi
perkataan (المجيد). Mereka berdalilkan pada syiir :
قلت لها قفي فقالت قَ
Aku berkata kepadanya : “berhentilah”,
maka dia berkata : “qa”
Iaitu huruf (قَ) itu adalah salah satu huruf
daripada perkataan (وقفتُ) aku telah berhenti. Maka maksud sebenar
syiir tersebut adalah :
Aku berkata
kepadanya : “berhentilah”, maka dia berkata : “aku telah berhenti”
Bagi keadaan
begini I’rab (الم) menjadi khabar (خبر) bagi mubtada’ yang
dibuang (مبتدأ محذوف) iaitu dhomir (أنا). Maka mereka faham (الم) seperti berikut :
أنا الم = أنا الله اللطيف المجيد
Selain
itu, ada juga ulama’ yang mengatakan bahawa (الم) adalah mubtada’ (مبتدأ) dan khabarnya (خبر) adalah ayat (ذلك الكتاب) sehinggalah akhir surah
al-Baqarah.
b)
Kedudukan I’rabnya adalah nasab
(نصب).
Bagi mereka
yang berpendapat bahawa (الم) merupakan mansub (منصوب) atas mafu’lu bih (مفعول به) bagi feel yang wajid
dibuang iaitu (اقرؤوا) kerana mereka faham seperti mana di bawah
:
اقرؤوا الم
Bacalah alif
lam mim
Maka pendapat
ini, mereka faham bahawa (الم) terdiri daripada jumlah
fi’liyah kerana terdapat feel yang mahzuf.
c)
Kedudukan I’rabnya adalah jar
(جر).
Golongan ini
mengatakan bahawa (الم) itu merupakan (مقسم به) yang dibuang huruf qasamnya
kerana sebahagian mereka menggunakan qasam yang dibuang huruf qasamnya contoh :
اللهِ لأفعلنَّ
Iaitu dibuang
huruf qasam sepertimana asal ayat : واللهِ لأفعلنَّ. Justeru itu, mereka faham (الم) seperti di bawah:
Demi alif lam
mim
Jadi
inilah perbahasan ulama’ mengenai I’rab fawatih as-suwar (فواتح السور) yang sangat terperinci dan
panjang. Secara keseluruhannya sesuatu I’rab itu berbeza mengikut kefahaman
pembaca atau pendengar seperti mana yang saya terangkan di atas walaupun ianya
huruf atau simbol mahupun equation math sekalipun berbeza I’rabnya mengikut
kefahaman. Contohnya 3x + 5 = 12. Apakah kedudukan I’rab bagi nombor 12. Ada
yang mengambil remeh mengatakan 12 tiada I’rab kerana ia adalah nombor tetapi
bagi mereka yang faham, maka akan mengatakan bahawa 12 itu adalah khabar (خبر) bagi jumlah 3x + 5. Maka inilah
dinamakan ilmu nahu yang sangat terperinci dan luas. Tidak hairanlah para ulama’
berbeza pendapat dalam bab wudhuk kerana berbezanya kefahaman dalam I’rab.
Secara
kesuluruhannya, Allah swt tuhan yang maha kuat, maka makhlukNya adalah lemah
dan kecil. Allah tuhan yang maha mengetahui segala apa yang tersurat dan
tersirat. Mari kita memohon kepada Allah swt supaya menjadikan kita golongan
yang sentiasa bersyukur kepada segala nikmatNya..
Wassalam J
No comments:
Post a Comment