Monday, December 24, 2012

Pelangi: Fenomena Alam Tercantik

Seumpama Warna Warni Kehidupan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Mengapa pelangi muncul? Pelangi atau 'rainbow' ialah ilusi optik dan fenomena meteorologi yang menyebabkan spektrum cahaya muncul di langit ketika matahari bersinar ke titisan wap air di atmosfera bumi.

Ia berlaku biasanya kala mentari muncul selepas hujan atau ketika hujan panas. Mengapa? Penjelasannya kerana selepas hujan, titisan air masih tertinggal di ruang angkasa, maka suluhan cahaya mentari itulah yang membiaskan cahayanya ke ruang alam maya kita ciptaan Allah SWT ini.

Makngah cukup teruja / obses dengan ciptaan Allah yang satu ini. Seingat Makngah, pelangi yang paling indah pernah Makngah lihat ialah pada suatu petang perkelahan di tebing Sungai Tendong. Ia kira-kira 20 tahun lalu. Seketika selepas hujan, sang mentari segera menunjukkan diri dan Allahhuakhbar...... muncullah warna warni yang melengkung dari hujung tebing sungai di sebelah kanan ke hujung kampung di sebelah kiri. Terpegun, takjub dan hilang seketika kata-kata Makngah yang ketika itu sedang berbicara dengan pelajar-pelajar. Tangan hanya mampu menunjukkannya kepada mereka itu.

Pada petang 22 September 2012 jam 6.50 petang, Makngah berada di luar rumah. Ketika itu hujan baru lepas turun. Tiba-tiba....masya Allah, muncullah warna warna yang sudah lama tidak Makngah tatapi di langit nan biru. Kebetulan ada kamera di tangan maka kamerapun terus berfungsi. Lihatlah....
Nampak? talian telefon tu.
Tatapan dari sudut lain
 Semasa di Korea November lalu, sekali lagi Makngah berpeluang melihat pelangi. Yang mahalnya ia berlaku di negara orang. Makngah dapat menyaksikannya sebanyak dua kali (pagi dan tengah hari) selama enam hari di Seoul itu.

Dirakam dari dalam bas dengan Nikon D3100

Ini yang dirakam pada waktu tengah hari ketika di Everland Theme Park, Seoul. Walau bagaimanapun rupa pelanginya kurang jelas apabila dirakam tetapi masih dapat dilihat.


Ini pula gambar pelangi yang tercantik daripada google imej.

Apabila memerhatikan warna-warna pelangi ini maka terfikirlah kita perkaitannya dengan liku-liku perjalanan hidup seorang manusia.
Pelangi, sebagai lambang keindahan yang sering menampakkan diri setelah hujan dan panas membaur. Tujuh warna khasnya itu terdiri dari ~ Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Nila dan Ungu memiliki maknanya yang tersendiri. Apakah perkaitan makna-maknanya itu dengan kehidupan kita?

  • Merah: Lambang keberanian dan perjuangan yang membara.
    Warna merah pada pelangi diadaptasikan sebagai warna darah muda dengan semangat menggelora. Merah pelangi boleh juga diertikan sebagai lambang kasih dan cinta murni hakiki.
  • Jingga: Lambang Kesihatan dan Kekuatan
    Warna jingga pada pelangi menampakkan kesejahteraan dalam kesihatan. Keseimbangan antara kesihatan dan kekuatan. Warna jingga juga dimiliki oleh buah dan sayur pembawa sihat, seperti lobak merah dan labu.
  • Kuning: Lambang Keceriaan
    Warna kuning mengertikan warna keceriaan, kegembiraan, dan kesenangan abadi serta pembawa suasana yang hangat.
  • Hijau: Lambang KesuburanWarna hijau mengertikan sebagai sumber kehidupan. Hijau juga dapat diertikan sebagai simbol kelestarian, pengharapan dan permintaan yang tulus.
  • Biru: Lambang Ruang Kedamaian ~ Warna biru mengertikan akan suatu objek berupa lautan. Biru menandakan air, sumber kehidupan serta menuturkan tentang sebuah ruang kedamaian.
  • Nila: Lambang Kesederhanaan
    Warna nila mengertikan sebuah dasar dengan seluruh kesederhanaan yang nampak padanya. warna yang menurut / pasrah, berserah diri, dan menerima apapun yang terjadi.
  • Ungu: Lambang Kemewahan
    Warna ungu banyak disimbolkan sebagai keagungan seorang raja yang bijaksana. Tingkat kemewahan yang tinggi, dan aristokrat. Penuh aksesoris dan serba lengkap.
Akhirnya, warna pelangi yang manakah menjadi pilihan dan kebanggaan kita? Makngah pilih semuanya sebagai rencah perasa kehidupan menuju hidup abadi, boleh ke?

No comments:

Post a Comment