6.4.04

Cerpen: Stokin


AL-ABROR Mohd Yusuf, penulis kelahiran Kampung Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. Beliau menulis sejak 1987, lebih cenderung dalam penulisan puisi berbanding cerpen. Al-Abror pernah bertugas di beberapa penerbitan sejak 1991 dan kini wartawan di Metro Ahad.

SESUNGGUHNYA bukan dia tidak pernah rasa malu atau janggal.Cuma apabila duduk di bangku kecil di depan surau, dia sesekali melirik ke kiri dan kanan sebelum membuka kasutnya. Kalau tak ada sesiapa, dia rasa lega. Kalau ada ramai orang, dia akan tunggu hingga reda. Tapi kalau sudah tunggu lama tetapi orang masih ada, dia nekadkan juga. Apa nak jadi, apa orang nak kata – biarlah.

Kakinya bukan cacat, pekung, cekam atau sopak hingga kini belum pernah bertapak di kakinya. Cuma dia rasa sesekali malu apabila orang melihat stokinnya yang berlubang di kiri dan kanan jari. Nampak ibu jari dan anak jari. Agaknya kalau masa di sekolah rendah dulu, orang akan panggil dia Manzoor Stokin Lubang.

Mula-mulanya, dia memang rasa mual apabila melihat ibu jari dan anak jari kakinya – kiri dan kanan – tersembul dari koyakan stokin. Mula-mula koyakan itu cuma kecil. Manzoor pun tukar stokin kanan ke kiri dan sebaliknya. Tahanlah dua tiga minggu, tapi koyakan baru pula muncul. Lama-lama, asyik diasak kuku ibu jari dan anak jari, koyakan itu melebar. Tersembullah ibu jari dan anak jarinya setiap kali dia membuka kasut.

Di rumah, isterinya entah berapa kali membebel dan berleter. Katanya, dia malu kalau orang lain tengok lakinya berstokin koyak ke pejabat. Macam bangsat sangat isteri kalau laki tak terjaga pakaiannya. Setiap pagi, Najwa singsing lengan menggosok pakaian Manzoor. Habis pakaian laki, Najwa kesat peluh dan sambung dengan gosok pakaian Nuri dan Fadhil. Berpeluh-peluh.

Semuanya direlakan supaya laki dan anak-anak nampak kemas ketika keluar dari rumah. Kalau tidak, malu Najwa. Bila Manzoor, Nuri dan Fadhil keluar setiap pagi dengan pakaian serba kemas dan rambut tersikat rapi, Najwa rasa bangga dan bahagia. Lapang dadanya dan tinggi pula harapannya terhadap mereka.

Nuri dan Fadhil boleh diharapkan di sekolah. Setiap kali peperiksaan, jarang sangat mereka dapat tempat lebih sepuluh. Selalunya dapat tempat lima teratas. Tahun depan, Fadhil akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Nuri baru tahun tiga. Insya-Allah, jika kena gayanya dan diperkuat doa setiap selepas solat, kedua-dua anak Najwa boleh diharapkan membela mereka jika ditakdirkan umur panjang.

Tapi, dalam keadaan begitu, bangsat sangatlah kalau stokin untuk laki pun tidak bertukar selepas koyak! Tercabarlah maruah isteri kalau orang asyik bersangka dia hanya tahu berkemban di rumah. Orang ramai bukan nak tahu berapa banyak buih dan air liurnya yang tersembur membebelkan betapa liatnya Manzoor menukar stokin baru.

Kasut pun Manzoor cukup payah nak bertukar. Selepas bernikah, kasut yang melekat pada kaki Manzoor setiap hari ke pejabat adalah yang kedua selepas Najwa menghadiahkan sepasang kasut kulit sebagai sebahagian daripada hantaran balas perkahwinan.

Memanglah kasut itu belum rabak. Hanya tapaknya yang menipis dan lubang talinya berbulu sebab besi pengemasnya tertanggal. Dalam keadaan begitu, jika Manzoor tetap memakainya hingga hari ini, sahih orang akan kata keluarganya sebagai kedekut.

"Abang ni, janganlah buat saya malu...," Najwa merungut lagi pagi itu.

Manzoor asyik memasukkan baju ke dalam seluar supaya nampak kemas. Najwa menghulurkan stokin biru tua kepada suaminya dengan muka berkerut. Peluh tersekat pada kulit muka yang berlapis di dahi.

"Bukannya mahal sangat stokin tu. Malu saya, bang!"

Manzoor tetap diam. Bukan dia marah, tapi sekadar malas berhujah.

Termasuk pagi itu, sudah tidak terhitung berapa kali Najwa menarik muka dan merajuk hanya kerana sepasang stokin koyak. Namun sayang Manzoor kepada Najwa tidak pernah bertukar akibat stokin itu. Sekian lama Najwa banyak berkorban untuknya. Sejak mula berkenalan hinggalah tinggal serumah, Najwa tidak pernah terlepas daripada berkorban demi Manzoor.

Cuma Manzoor terkilan. Salahnya juga sebab tidak pernah membuat penjelasan dengan betul. Sesekali Manzoor cuma berdiam diri, mengeluh, mendengus atau cuba-cuba buat lawak. Kadang-kadang Najwa ketawa, kadang-kadang dia bungkam saja.

Sesungguhnya Manzoor bukanlah sebaik-baik manusia tapi dia rasa tak ada salahnya berstokin koyak. Kalau tidak ditanggalkan kasut, tidak ada sesiapa yang tahu bagaimana koyakan pada stokinnya. Malah dia sendiri pun tidak terasa ibu jari dan anak jarinya terjojol keluar dari stokin.

Selalunya Manzoor diperingatkan bahawa stokinnya koyak apabila dia duduk di bangku depan surau pejabat, ketika bersiap untuk bertugas, atau ketika tiba di rumah setiap petang. Hajat hati, dia lebih suka kalau deria rasa pada ibu jari dan anak jarinya sentiasa memberi tahu bahawa stokinnya memang koyak.

Manzoor tidak tahu berfalsafah. Sungguh-sungguh tidak tahu dan tidak pernah mahu tahu. Dia sekadar mahu hidup seadanya. Dulu Almarhum tok guru muqaddamnya pernah mengajar, riak itu adalah syirik kecil yang sangat bahaya. Ia bagaikan seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam ketika malam kelam.

Jadi, apa salahnya jika ibu jari dan anak jarinya terbonjol keluar dari balutan stokin dan itu mengingatkannya kembali kepada keadaannya?

Tapi Najwa masih tidak faham. Bukanlah Najwa bebal atau naif, cuma kadang-kadang dia susah untuk menghayati jiwa Manzoor.

Itulah, kadang-kadang Manzoor sedikit kecewa. Andainya yang tidak faham itu orang di surau pejabatnya, mungkin dia boleh buat pekak telinga dan buta mata. Tapi ini Najwa, isterinya sendiri yang kini sudah bertahun-tahun tidur serumah, sebilik dan setilam dengannya.

Sebenarnya sikap Manzoor itu berlaku secara kebetulan. Suatu hari, dia membaca akhbar di pejabat ketika waktu makan tengah hari. Itu berlaku sejurus sebelum dia membuka kasut dan memakai selipar Jepun. Sambil membelek-belek helaian akhbar, pandangan matanya terhenti kepada halaman hiburan.

Manzoor tertarik melihat gambar yang dirakam papparazzi di Baverly Hills menunjukkan wajah selebriti Barat ketika wajah mereka tidak ditempek solekan. Hodohnya Cameron Diaz, janggalnya Britney Spears dan boroinya John Travolta. Ada pula berita bintang Bollywood sombong ketika bertemu dengan peminat walaupun dalam filem mereka selalu memainkan peranan wira bangsa. Mereka sesungguhnya aktor dan aktres tulen. Bermuka-muka dan bermain wayang di depan kamera untuk menipu jutaan manusia. Dalam bahasa mudah, mereka adalah hipokrit. Mengikut bahasa kasar, mereka itu melanjutkan sikap munafik zaman jahiliah.

Namun Najwa belum memahami sepenuhnya apa yang dilihat Manzoor. Najwa peminat Aishwarya Rai dan Rani Mukherjee. Dia juga kagum dengan kecantikan Liz Hurley dan kehebatan Kevin Costner yang masing-masing ada anak luar nikah.

Sejak itu, Manzoor macam mual melihat sesiapa saja yang bergaya berlebih-lebihan. Bedak dan gincu menggoda dan betis padi bunting melintas jalan, atau jejaka berjaket kulit ratusan ringgit menunggang motosikal dua tiga ratus ribu ringgit. Tapi siapa tahu bagaimana mereka di rumah? Mungkin lelaki yang berseluar dan baju mahal itu hanya berseluar pendek lelong di pasar malam saja.

"Sekurang-kurangnya lubang dan koyakan pada stokin menyebabkan aku tidak perlu hipokrit," Manzoor pernah berkata kepada Najwa, tapi suaranya hanya perlahan. Hanya dengungan sampai ke telinga isterinya.

"Untuk apa berbaju mahal, bertali leher sutera dan berkasut kulit dua tiga ratus kalau rumah kau bersepah hinggakan anak-anak tak boleh tidur berlunjur?" pernah dia berhujah dengan Razat.

Razat kerut muka dan goyang-goyang bahu kanan yang tak sakit. Memang kalau Razat ‘tension’ atau rimas, dia suka goyang bahu.

Itu jugalah sebabnya dia suka tukar kereta setiap tahun. Biar orang tidak nampak betapa lekehnya Razat. Biar seluruh orang kagum kepadanya walaupun hidup sentiasa dibayangi sumpahan hutang.

"Rumah lain, penampilan diri lain!" Razat masih enggan mengalah.

"Memanglah, tapi kalau kau nampak hebat pun, apa yang boleh kau dapat?"

"Sekurang-kurangnya aku boleh bangga bahawa bangsa kita tidaklah semiskin mana. Orang lain tak boleh pandang rendah kepada kita."

"Betul, tapi buat apa kita bergaya kalau hidup sentiasa dibelenggu hutang?"

Manzoor teringat betapa setiap kali selepas solat selalu imam baca doa untuk hindarkan beban hutang. Jemaah pun `aminkan' saja. Sungguh-sungguh nabi ajar supaya jangan terkena sumpahan hutang, tapi ada manusia yang suka berhutang.

Razat malas melayan Manzoor. Lagi dilawan, lagi susah dia, semakin kerap goyangan bahunya.

Macam yang dikatakan tadi, dia tidak tahu berfalsafah dan tidak pernah mahu begitu. Cuma entah mengapa dia rasa tidak ada salahnya berstokin berlubang.

Malah kalau janggal atau aneh yang dihujahkan, ia sebenarnya bersifat subjektif. Keanehan hanya muncul jika sesuatu itu tidak diterima sebagai suatu norma dalam masyarakat. Macam seorang lelaki yang berseluar singkat sebelah – pasti dianggap aneh atau janggal. Tetapi bagaimana jika suatu hari nanti timbul fesyen seluar singkat sebelah yang digilai ramai? Kejanggalan akan terlerai dan berseluar singkat sebelah diserap menjadi sebahagian daripada corak hidup masyarakat.

"Bayangkan kalau semua manusia ditakdirkan berkepala botak. Sejak lahir, dewasa atau tua, tidak pernah ada bulu yang tumbuh di kepala," kata Manzoor suatu pagi ketika memandu bersama Najwa.

Isterinya hanya mendengar dengan hati yang membatu. Baru sebentar tadi mereka berbalas hujah tentang stokin koyak. Akhirnya Najwa malas bercakap dan membiarkan suaminya yang melakukan tugas memecah sunyi dalam kereta.

"Kalau begitulah takdirnya, tentu seseorang yang ada tumbuh rambut di kepala akan dianggap cacat, kan?"

Najwa masih diam.

Laluan di Hulu Langat kelihatan agak sunyi daripada kenderaan. Terik pancaran matahari menggigit kulit tangan Manzoor yang memegang stereng.

Tengah hari itu Manzoor tidak memakai stokin sama sekali. Dia hanya berselipar, sama seperti Najwa yang bungkam di tengah hari Ahad itu. Menikmati pemandangan dari jalan di pinggir bukit melekakan Manzoor seketika daripada masalah stokin berlubangnya.

Ketika itulah tiba-tiba dia ternampak buntut lori batu berhenti di tepi jalan. Tanpa lampu atau tanda kecemasan, muncung Proton Wiranya merempuh belakang lori yang pejal. Najwa menjerit dan memegang tangan Manzoor. Manzoor menolak kakinya menekan brek sekuat hati sebelum terdengar dentuman kuat di jalan sunyi itu.

Kelam.

Akhirnya, Manzoor lama terbaring di katil hospital. Sesekali dia melirik ke arah Najwa yang setia menanti di sisi. Darah beku masih berkeruping di pipi kanan Najwa.

Mujur Manzoor masih hidup. Untung Najwa masih diberi nyawa. Cuma kini Manzoor atau Najwa tidak perlu lagi bertengkar tentang stokin berlubang. Manzoor tidak ada lagi kaki untuk disarungkan stokin koyaknya. Najwa memang tidak berstokin, tapi sebelah kakinya juga sudah tiada. inilah dia hasil dr Cu Ab, pak cu ku yg amat rapat dengan ku.......diharap
kalian menikmatinya......