assyakirah.blogspot.com

Mencari Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Rindu Perantau..


Gambar Aidilfitri 1429 H
(kami takde dalam gambar ni, jangan cari!)









Pengantin baru
(Adikku Najmi & isteri, Mazniza)












Sedang merindu keluarga di tanah air, tiba-tiba terbaca entri Abu Saif ini. Saya amat bersetuju sekali. Menuntut ilmu ini benar-benar suatu jihad !

Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan.

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.


Entri penuh di : Nafar Ke Medan Juang

BAGAIMANA MENYERU KEPADA ISLAM (1)

(Sedutan e-buku Bagaimana Menyeru Kepada Islam karangan Fathi Yakan)

BAB 1: PRINSIP-PRINSIP DAKWAH ISLAMIAH

A. PARA DA’IE YANG BERADA DI PINGGIR DAKWAH

Ramai di kalangan para da’ie masa kini belum benar-benar memahami tentang selok-belok dan tujuan yang harus mereka ikuti; memahami berapa jauhkah jarak yang akan mereka tempuh. Mereka belum insaf bahawa dakwah adalah pengorbanan. Mereka belum mengerti tentang apa yang harus mereka korbankan dalam melaksanakan tugasnya itu, baik yang berupa harta dan jiwa raganya. Hal ini menyebabkan para da’ie sering menjadi contoh yang tidak baik terhadap ajaran Islam yang mereka sampaikan kepada masyarakat. Mereka menjadi contoh yang tidak mulia terhadap perbuatan baik yang mereka seru orang melakukannya. Dengan demikian mereka menjadi beban yang berat bagi dakwah. Mereka menjadi batu penghalang yang memperlambatkan kelancaran dakwah.

Di antara mereka ada yang menyangka bahawa suruhan Islam itu gugur dari pundak mereka kalau mereka sudah menulis buku tentang Islam, atau menulis artikel yang dimuatkan dalam surat khabar atau majalah, atau menyampaikan khutbah yang jitu di masjid, atau mengisi
pengajian tetap. Ada pula yang menyangka bahawa puncak kemuliaan dan kedudukan yang dicita-citakan ialah tertulis namanya sebagai pengurus yang aktif dalam sesuatu organisasi Islam dan menghadiri program-program yang bertujuan memajukan jama’ah itu!

Kita tidak ragu lagi bahawa mereka ini dan mereka itu adalah para petugas yang baru berada di pinggir dakwah, di tepi ‘amal Islami. Mereka belum turut terjun ke bidang dakwah. Mereka malahan belum turut masuk ke RUANG LINGKUP agama Islam yang sebenamya, malah masih belum turut menghirup udaranya yang segar!

Pengertian yang sebenar tentang tugas ber’amal dalam Islam, seharusnya mendarah daging dalam fikiran mereka yang bertugas di lapangan dakwah. Mereka sedang mengajak masyarakat dan memberi contoh untuk mengerjakan sesuatu yang bernama “PENGORBANAN”. Pengorbanan dalam ertinya yang luas, melewati batas-batas jenisnya dan sifatnya. Pengorbanan mencakupi segala aspek roda-roda Islam, walau betapa hangatnya keadaan dan beratnya tugas yang harus dilaksanakan!

‘Amal dalam Islam merupakan usaha, yang bertujuan merombak masyarakat Jahiliyyah dalam segala seginya; kemudian membangun masyarakat Islam dalam segala aspek kehidupan! Jadi, mencabut kebudayaan Jahiliyyah sampai ke akar-akarnya, baik Jahiliyyah cara berfikir, atau
susunan masyarakat, atau budi pekerti! Ini bererti, para da’ie harus berhadapan dengan mereka yang menyebarkan dan mempertahankan kebudayaan, cara berfikir, budi pekerti, dan segala ajaran jahiliyyah itu, kerana tujuan terakhir dakwah ialah menegakkan agama Allah di bumi ini, dan meruntuhkan kekuasaan thaghut.

Jalan yang begini sukar menempuhnya, dengan tujuan yang agung dan tugas yang berat, tentu saja sukar untuk dipikul oleh petugas yang lemah imannya. Yang sanggup mengerjakan tugas itu hanyalah para pendakwah yang telah mewaqafkan hidupnya untuk berjuang menegakkan agama Allah, mereka yang tiada yang lebih dicintainya selain Allah dan Rasul-Nya. Mereka bersedia melepaskan dirinya dari kesenangan hidup dunia.

“Dan adapun orang yang takut memikirkan kedudukannya di sisi Tuhan-Nya, dan ia melarang dirinya dari memperturutkan kemahuannya, maka syurga itulah kelak yang akan menjadi tempat menetap"
(Surah Al-Nazi’at: Ayat 40-41)

Ber’amal untuk Islam belum dapat dijangkau oleh para pendakwah yang berdakwah hanya dengan lisan saja, hanya berbicara menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada masyarakat! Kata-kata yang diucapkannya itu harus disertainya dengan niat yang ikhlas, hidup untuk Islam, dan mati kerana Islam.Dia juga tidak pernah lupa untuk mengingati Allah, dan berjuang untuk menegakkan agama Allah!

“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberi mereka syurga. Mereka berjuang untuk menegakkan agama Allah; akhimya mereka membunuh musuh kemudian terbunuh itulah janji Tuhan yang benar, yang telah termaktub dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan tidak ada siapa pun yang lebih sempurna menepati janjinya dari Allah. Oleh sebab itu bergembiralah kamu dengan perdaganganmu yang telah kamu iqrarkan. Dan itulah kemenangan yang besar.”
(Surah Al-Taubah: Ayat 111)

“Dan mereka yang bejuang untuk menegakkan agama Kami, tentu akan Kami tunjuki ke jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah selalu bersama-sama dengan orangorang yang berbuat baik.”
(Surah Al-’Ankabut: Ayat 69)
B.KEWAJIPAN MENYERU KEPADA ISLAM

Mengajak masyarakat untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam, menyuruh mereka melakukan ma'ruf (yang baik) dan melarang mereka berbuat yang mungkar adalah merupakan suatu kewajipan dalam agama Islam. Maka kita sebagai warga yang berada dalam lingkungan medan Islam, seharusnya memikul tugas ini dengan segala kesungguhan, mengerahkan tenaga, serta waktu dan pemikiran kita. Dan inilah tugas utama bag setiap da’ie. Dalam Al-Qur’an, banyak ayat-ayat yang mendorong setiap Muslim untuk melaksanakan tugas ini; di antaranya Firman Allah Ta’ ala:

“Dan hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang mengajak orang berbuat baik, menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka dari berbuat yang mungkar dan hanya mereka itulah orang-orang yang betul-betul beruntung”
(Surah Ali-’Imran: Ayat 104)
“Oleh sebab itu, ajaklah mereka itu ke jalan Allah, dan tetaplah pendirianmu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau mengikuti kemahuan mereka.”
(Surah Al-Syura: Ayat 15)
“Dan ajaklah ummat manusia ke jalan Tuhanmu; sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas petunjuk yang lurus.”
(Surah Al-Hajj: Ayat 67)
“Wahai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika
tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanahNya."
(Surah Al-Maidah :Ayat 67)

Itulah sekelumit ayat yang mendorong kita untuk berdakwah. Ayat yang belum disebutkan masih banyak lagi. Demikian juga, Sunnah yang suci, padat berisikan sabda dan pesan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menerangkan bahawa usaha memikul tugas berdakwah, mengajak umat ke jalan Allah, itu adalah kewajipan yang agung; berjuang meratakan kemakmuran luaran dan dalaman, dan membanteras segala kemungkaran. Kita ketengahkan sekadar contoh-contohnya, di antaranya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda;

“Barangsiapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; kalau tidak sanggup maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya; dan kalau tidak sanggup maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya; dan itulah keimanan yang selemah-lemahnya. Dan tidak ada lagi keimanan selepas itu, walaupun hanya sebesar biji sawi.”
(H.R. Muslim)
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu: “Suruhlah orang mengerjakan kebaikan, dan laranglah mereka mengerjakan kejahatan,sebelum kamu berdo’a tetapi Aku tidak mengabulkannya, dan kamu minta apa-apa kepadaKu tetapi Aku tidak memberikannya, dan kamu meminta pertolongan kepadaKu tetapi Aku tidak menolong kamu.”
(H.R. Tirmidzi)

“Barangsiapa menyembunyikan sesuatu ilmu, pada hal dengan ilmu itu Allah memberi manfaat kepada manusia dalam masalah agama, maka kelak di hari qiamat ia akan dikekang oleh Allah dengan kekangan dari api neraka.
(H.R. Ibnu Majah)
Dalam melaksanakan tugas Da’wah itu, perlu diperhatikan TIGA perkara sebagai renungan, iaitu:

1) Sesuatu tugas yang menyebabkan suatu yang wajib tidak dapat disempurnakan tanpa melakukannya, hukumnya menjadi wajib:

Solat tidak dapat dikerjakan tanpa bersuci; maka bersuci menjadi wajib. Demikian juga, berdakwah, mengajak orang menghayati dan melaksanakan ajaran-ajaran Islam, menyakinkan mereka tentang kebenaran Islam, mempersiapkan mereka untuk merealisasikan dasar-dasar dan hukum-hukum Islam, itu semuanya termasuk jalan yang harus ditempuh untuk menegakkan masyarakat Islam, dan memulai kehidupan secara Islam. Kalau kita sudah tahu, bahawa mewujudkan masyarakat Islam dan merombak masyarakat Jahiliyyah itu hukumnya wajib, maka tentulah segala jalan yang harus ditempuh untuk membentuk masyarakat itu hukumnya menjadi wajib juga.

Persoalannya malah menjadi lebih jauh kerana sebenarnya Islam sekarang ini tidak mempunyai negara, tempat melaksanakan hukum dalam segala persoalannya. Hukum-hukum Islam sekarang banyak yang seolah-olah “menganggur,” tidak dilaksanakan. Maka kalau menetapkan hukum berdasarkan Syari’ah Allah itu hukumnya wajib, tentulah mewujudkan kewajipan ini erat hubungannya dengan usaha membentuk suatu masyarakat Islam yang sebenarnya. Maka untuk selanjutnya, segala usaha untuk membentuk masyarakat Islam itu hukumnya wajib, fardhu ’ain, yang ditugaskan kepada setiap individu yang beragama Islam. Dan jalan yang paling tepat untuk menegakkan masyarakat Islam itu ialah Dakwah. Maka jelaslah bahawa da’wah itu hukumnya wajib, fardhu ’ain dan orang-orang yang meninggalkan Da’wah itu berdosa, kerana meninggalkan kewajiban yang dituntut oleh Islam. Dan dosa ini tidak dapat ditebus, kecuali dengan bangun memikul beban dakwah. Semua umat Islam berkewajipan turut mempunyai saham dalam usaha ini, sesuai dengan kemampuan masing-masing supaya sama- sama berusaha melaksanakan segala aktiviti yang bertujuan membangun masyarakat Islam yang sebenar-benarnya.

2) ‘Amal adalah cabang dari Iman dan hasil keimanan:

Belumlah betul-betul dinamakan beriman jika orang itu tidak terdorong bekerja terus-menerus menyampaikan ajaran-ajaran Islam itu kepada orang lain, yang belum turut menikmatinya. Iman merupakan keyakinan tentang kebenaran sesuatu, ketenangan hati menikmatinya, dan keinginan jiwa untuk berjuang menyampaikannya kepada orang lain. Dalam Al Qur’an diterangkan:

“Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu, agar Kami mengetahui siapa yang berjuang dan yang bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan baik buruknya hal ehwal kamu.”
(Surah Muhammad: Ayat 31)

Dan sungguh tepatlah peringatan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam:

“Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan perhiasan: tetapi Iman itu adalah
sesuatu yang menetap di dalam hati, dan dibenarkan dengan amal.”
(H.R. Ad Dailami)
Para daie sepatutnya berkorban danbersusah payah menegakkan ajaran-ajaran Islam dan melaksanakan tuntutan dakwah. Daie sajalah yang bertugas menyampaikan ajaran Islam itu kepada umat manusia, dan menjelaskannya sesuai dengan taraf pemikiran masyarakat yang mereka hadapi. Itulah amanah yang diserahkan kepada para daie agar mereka menjadi pewaris dari para Nabi. Dalam melaksanakan tugasnya itu, daie perlu merenungkan pesan Rasulullah Sallallahu ’alaihi Wasallam.

“Tidak ada seorang pun di antara Nabi-nabi, yang dibangkitkan oleh Allah sebelum aku, yang tidak mempunyai Hawari, iaitu sahabat-sahabat yang terdekat kepada beliau dari kalangan umatnya, dan yang secara langsung menerima Sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian kelak akan muncul satu generasi, yang mengatakan sesuatu yang tidak mereka perbuat, dan suka membuat sesuatu yang tidak diperintahkan kepada mereka. Maka barangsiapa yang berjuang menghadapi mereka dengan tangannya, maka dialah orang yang beriman. Dan barangsiapa yang berjuang menghadapi mereka dengan lidahnya, maka dialah orang yang beriman. Dan barangsiapa yang berjuang menghadapi mereka dengan hatinya, maka dialah orang yang beriman. Dan di bawah tingkatan itu, tidak ada lagi suatu keimanan, walaupun hanya sebesar sebiji sawi.”
Hadith riwayat Muslim

3) Allah lebih berhak untuk kamu takuti:

Sering terjadi, para daie mengelakkan diri untuk berbicara di tempat-tempat yang seharusnya ia berbicara! Sebenarnya, sepatah kata yang benar sangat diperlukan di saat itu, tetapi para daie merasa segan untuk mencetuskannya. Mungkin kerana khuatir, kalau-kalau kata-katanya itu ,
menyebabkan ia ditimpa bencana kemarahan dan kebencian orang! Sebenarnya, Allah lebih berhak untuk kita takuti dan kita segani.

Seharusnya kita sebagai orang-orang beriman, selamanya berusaha keras untuk mencari keredhaan Allah! Keredhaan Allah itulah yang kita harapkan sekalipun akan menyebabkan timbulnya kemarahan dan kebencian umat manusia ini seluruhnya! Daie perlu merenungkan doa Rasulullah Sallallahu ’alaihi Wasallam:

“Ya Allah! Jika kamu dalam hal ini tidak ada kemarahan kepadaku, maka aku tidak peduli.”

Allah Subhanahu Wata’ala sudah mewajibkan kepada para da’ie supaya mereka menerima warisan kenabian, dan supaya mereka memikul beban itu! Dan warisan yang paling penting dari kenabian itu ialah menghadapi Jahiliyyah dengan segala macam bentuk dan ragamnya! Da’ie wajib berjuang merombak kemungkaran, walau bagaimanapun bentuk dan luas wilayahnya. Itu adalah tugas daie sedangkan kejayaan usaha itu tidak termasuk dalam kekuasaannya. Da’ie perlu mengingati Firman Allah Subhanahu Wata’ala:

“Katakanlah “Kebenaran telah datang dari Tuhan kamu. Maka barangsiapa yang mahu beriman, biarlah dia beriman. Dan barangsiapa yang ingin kafir, maka biarlah dia kafir”
(Surah AI-Kahfi: Ayat 29)
Dan sahabat ‘Ubadah ibn Shamith berkata:
“Kami telah bersumpah di hadapan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam untuk
mengatakan yang benar, di mana saja Kami berada. Kami tidak takut kepada celaan
orang yang mencela, demi menegakkan agama Allah.”
(H.R. Abu Daud dan Tirmidzi; dan Tirmidzi mengatakan; Hadits ini Hasan).
Jadi, seharusnya para da’ie berhati-hati, agar jangan sampai mereka bertindak pengecut di tempat yang seharusnya mereka menunjukkan keberanian, bersikap penakut di saat mereka diharapkan untuk memberi nasihat Hendaklah mereka merenungkan lagi Hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi dan ‘Abdullah ibn Mas’ud r.a, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya kekurangan pertama yang menyusup ke tengah-tengah bangsa Israel ialah apabila salah seorang di antara mereka menemui temannya sedang
mengerjakan dosa, lalu ia berkata: “Sahabatku, bertaqwalah kepada Allah, dan
tinggalkanlah apa yang anda perbuat itu. Itu tidak boleh!” Kemudian keesokan
harinya mereka bertemu lagi dalam suasana yang sama, lalu orang pertama tadi tidak merasa janggal lagi untuk makan dan minum, dan duduk bersama-sama dengan orang yang dilarangnya kelmarin itu. Dan setelah keadaannya demikian, maka Allah memukulkan hati mereka satu sama lain, sehingga mereka saling bertengkar dan saling mempersalahkan antara satu sama lain.”

Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam membacakan Ayat Al-Qur’an:

“Telah dilaknat orang-orang kafir dan bangsa Israel, dengan ucapan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu adalah disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas. Mereka tidak saling melarang perbuatan mungkar yang sesama mereka. Sungguh amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan”
(Surah AI-Ma’idah: Ayat 78-79)

Zulhijjah dan Lambaian Baitullah

Islamic Greeting Card by Alhabib. Visit al-habib.tripod.com for more greeting cards like this!



Kedatangan Zulhijjah menggamit syahdu di hati. Rasa rindu kepada Rumah Allah datang tanpa diundang. Kerinduan itu merupakan suatu anugerah Allah buat orang beriman, hasil doa tulus Nabi Ibrahim kepada Allah SWT sewaktu menempatkan anaknya Ismail dan isterinya Hajar di tengah padang pasir kontang itu.

Allah SWT berfirman :

"Dan ingatlah , ketika Ibrahim berkata: "Ya Allah, jadikanlah negeri ini (Mekah) , negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ya Allah, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa mengikutku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tdak mempunyai tanaman-tanaman berdekatan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami(yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka dari buah-buahan , mudah-mudahan mereka bersyukur."
- Surah Ibrahim: ayat 35-37

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahaian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir" - Surah Al-Hajj : 27-28


Haji merupakan rukun Islam kelima, diwajibkan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Haji adalah bukti ketundukan hati dan jiwa seorang hamba buat Tuannya, membersihkan sisa-sisa mazmumah dalam diri melalui kesusahan dalam penyempurnaan ibadah itu, dengan pengorbanan harta, keselesaan hidup, dan meninggalkan orang-orang tersayang.

Melalui ibadah haji, para hujjaj dapat menghayati bagaimana taatnya para Malaikat yang sentiasa tawaf di Baitul Ma'mur melalui ibadah Tawaf di Baitullah. Juga menghayati bagaimana redha dan pasrah Hajar mencari air untuk Ismail di tempat yang tandus melalui ibadah Sa'ie. Bahkan turut merasai kekerdilan diri di celahan jutaan manusia ketika Wuquf di Arafah, sekaligus membayangkan dahsyatnya perhimpunan di Padang Mahsyar dengan kehadiran semua umat manusia sejak zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Alangkah mendalamnya makna ibadah yang mulia ini jika dapat dijiwai sebenar-benarnya.

Ibadah haji disyariatkan bukan untuk berbangga-bangga dengan gelaran haji atau hajjah.Bukan juga untuk pergi melancong atau membeli-belah. Haji muktamar tahunan sedunia untuk umat Islam. Di sana , terbukti keluasan rahmat Islam buat seluruh alam di mana seluruh manusia beribadah bersama tanpa mengira warna kulit, bangsa, pangkat, keturunan mahupun negara.

Banyak lagi kelebihan dan hikmah ibadah haji jika diteliti. Semoga Allah mengurniakan haji mabrur kepada kaum muslimin yang menjadi tetamuNya pada tahun ini. Sampaikan salam rindu kami buat Rasulullah SAW, moga mendapat syafaat baginda di Yaum Al-Qiamah kelak. Semoga saya dan antum yang belum menjejakkan kaki ke sana akan terpilih menjadi tetamu Allah suatu hari nanti. Allahumma Amin.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Idul Adha. Bersamalah kita menghayati roh pengorbanan di hari yang mulia ini.

(Lihat fatwa Dr Yusuf Al-Qardhawi di dalam Bahasa Arab tentang ibadah korban di sini .)

Menerobos Sempadan Diri, Merealitikan Yang Diimpi

Diri anda sebenarnya mampu melakukan ‘wonders’ lebih daripada apa yang anda sangkakan. Tetapi diri anda sering diselubungi tembok yang menghalang anda dari mencapai cita-cita tersebut. Kadang-kadang anda takut gagal. Sejarah lampau juga menghantui langkah anda. Mungkin juga anda jahil. Atau sasaran terlalu kabur untuk anda focus. Di satu segi, mungkin anda kurang sumber. Mungkin juga hati anda bersarang dengan sifat bodoh sombong atau pentingkan diri. Apa yang perlu anda lakukan ialah meruntuhkan tembok itu dan menerobos sempadan diri. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

BAGAIMANA MENEROBOS SEMPADAN DIRI ?
1. Patuh perintah Allah
2. Doa yang konsisten
3. Bijak mengeksploitasi kehebatan diri
4. Membentuk matlamat yang jelas
5. Kerja berkualiti
6. Baiki diri dan seru orang lain
7. Bentuk suasana yang memberangsangkan
8. Memotivasikan orang lain
9. Hormati orang lain
10. Tingkatkan produktiviti
11. Luaskan persahabatan
12. Positif dan bersangka baik
13. Berinteraksi dengan mantap
14. Kreatif
15. Bekerja secara tersusun
16. Bijak menggunakan peluang
17. Redha dan ceria
18. Pemaaf
19. Muhasabah diri
20. Jangan paksa orang lain menerima pendapat
21. Membentuk karisma
22. Yakin dengan Allah


BAGAIMANA ALLAH KABULKAN DOA ANDA?

- Hajat yang dipohon dikabulkan pada waktu yang kita perlukan
- Tempoh yang agak lambat tetapi hasil berlipat ganda
- Pada hari akhirat dengan menggantikan kebaikan padanya
- Rezeki berubah dalam bentuk lain
- Rezeki disalur melalui anak-anak

Ingat firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf, melarang dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri”

“Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah”


( Sedutan dari buku motivasi Dr. Fadzilah Kamsah : Menerobos Sempadan Diri )

Selamat maju jaya...

Cari

Demi Masa

Waktu Solat

Doa Nabi Daud a.s.

"Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk."

Improving Your English

Match Up
Match each word in the left column with its synonym on the right. When finished, click Answer to see the results. Good luck!

 

Pengikut

Powered By Blogger