Setiap insan yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang muslim menginginkan agar mereka ditempatkan di syurga Allah Taala setelah berakhirnya kehidupan mereka di dunia yang fana ini. Tapi pernahkah kita terfikir adakah layak untuk kita mendiami syurga Allah dengan maksiat-maksiat yang telah kita kerjakan.
Banyak manakah amalan kebaikan yang telah kita persiapkan untuk menjadi bekalan kita di akhirat nanti.
Allah Taala berfirman “Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafiq). Dan di hari itu didekatkanlah syurga kepada orang-orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan dengan jelas neraka jahim kepada orang-orang yang sesat” (As-Syu'araa' ayat 88-91).
Walaupun pada hakikatnya bukanlah amalan kita yang akan menjamin untuk kita mendapatkan syurga tetapi tanpa amalan kebaikan yang kita ada mana mungkin Allah akan memberikan rahmatNya kepada kita sebagai tiket untuk ditunjukkan kepada Malaikat Ridhuan penjaga pintu syurga Allah. Untuk kita melakukan amal kebaikan kita memerlukan hati yang bersih agar ianya dapat mendorong untuk kita melakukan amal tersebut. Kerana Rasulullah bersabda “Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada seketul daging yang apabila ia baik akan baiklah seluruh tubuh manusia, dan apabila ia rosak akan rosaklah seluruh anggota tubuh manusia. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati”. Berdasarkan hadis ini fahamlah kita bahawa hati memainkan peranan yang penting bagi seseorang manusia. Hatilah yang akan mengatur kehidupan kita seluruhnya.
Jasmani atau lebih dikenali sebagai tubuh badan akan dihinggapi virus jika tidak menjaganya dengan baik. Sama ada sedar ataupun tidak, rohani juga akan dihinggapi virus. Antara virus-virus rohani (hati) ialah riyak, ujub, dengki, tamak, bakhil, sombong dan lain-lain. Virus jasmani (tubuh badan) kesannya hanya di dunia jika tidak dirawat. Berlainan pula dengan rohani (hati), ia akan berlarutan hinggalah kita bertemu dengan Allah di akhirat nanti jika dibiarkan terus berpenyakit. Dan ia sudah tentu menjauhkan diri kita dengan Allah Taala. Kerana setiap kali kejahatan yang kita lakukan akan tumbuh satu bintik hitam di dalam hati. Cuba bayangkan berapa banyakkah bintik hitam yang akan tumbuh jika kita terus menerus melakukan kejahatan tanpa kita merawatnya. Dan perkara ini sudah tentu akan menjauhkan lagi diri kita dengan Allah. Bagaimanakah kita akan masuk syurga sedangkan kita jauh dengan Allah.
Oleh yang demikian, bukanlah jasmani sahaja yang perlu diisi dengan makanan yang sedap-sedap tetapi rohani (hati) juga perlu diisi dengan selalu mengingati Allah seperti berzikir membaca al-quran dan lain-lain. Firman Allah “Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Ar-Ra'd ayat 28). Dan selalulah menghadiri majlis-majlis ilmu kerana di situ ada barakah dan hikmahnya seperti kata Luqman al-Hakim “Hai anakku ambil beratlah untuk duduk di dalam majlis ulama' (majlis ilmu) dan dengarilah kata-kata para hukama', kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati-hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan”. Dengan ilmu yang kita dapat dari majlis itu mudah-mudahan dapat merawat dan menghindarkan diri kita dari virus (penyakit-penyakit) rohani (hati) ini.
Juga penulis ingin mengingatkan kepada diri kita semua agar selalu berdoa kepada Allah supaya menetapkan hati kita ini di dalam menunaikan perintah dan meninggalkan laranganNya. Dan tidak memesongkan hati kita setelah Dia beri hidayah kepada kita.
Firman Allah lagi “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturaNya), dan memberi petunjuk ke jalan agamaNya, sesiapa yang rujuk kepadaNya. Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. (Ar-Ra'd ayat 27-28).
Sekiranya penyakit-penyakit rohani (hati) ini masih ada di dalam diri kita, sama-samalah kita merawatnya kerana ia lebih berbahaya dari penyakit jasmani. Mudah-mudahan dengan usaha kita ini, Allah memberi peluang untuk kita menduduki syurgaNya kelak. Amin Ya Rabb al-‘Alamin."
Sumber Dari
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=1202
Support US!
Search This Blog
Label
As-Sunnah
Ilmu
Artikel Pilihan
Wahabi
bid'ah
Tuntutan al-Sunnah dalam bulan-bulan Islam
Kebenaran
Pesanan
Amal Salleh
Panduan
Puasa
Kesabaran
Ramadan
Ibadah
Iman
Adab
Akidah
Fitnah
Istiqamah
Matlamat Kita dalam Bulan Ramadhan
Al-Quran
Download
Jihad
Menyambut Kedatangan Ramadan
Mudahkan Pendekatan Islam
Perintah Allah Dan Rasul
Rujukan
Video Bida'ah
Cadangan
Dakwah
Dalil
Doa
Fakta
Fatwa
Haram
Hiburan
Kematian
Kesimpulan
Maulid
Pendapat
Pendirian Umat Islam
Pengertian Sunnah
Penjagaan Lidah
Penyakit Hati
Rejab
Syiah
Taqwa
06 Januari 2009
Langgan:
Catatan (Atom)