AHMAD ZAHID SEDIH ATAS KEMATIAN 4 MURID ORANG ASLI
WASHINGTON: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa dukacita ekoran kematian empat murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang sebelum ini hilang bersama tiga yang lain di Gua Musang, Kelantan.
Ahmad Zahid mengucapkan takziah kepada keluarga murid yang telah meninggal dunia selepas hilang sejak 23 Ogos lepas.
Pasukan mencari turut menemui dua murid perempuan, Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dalam keadaan tidak bermaya dan kelaparan.
Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia. Dua lagi murid yang meninggal dunia belum dikenal pasti manakala seorang lagi masih dicari.
Ahmad Zahid berkata beliau sebelum ini telah menemui ibu bapa pelajar terbabit serta mengarahkan operasi pencarian diperluaskan dengan melibatkan pasukan Senoi Praaq.
Katanya Jabatan Pendidikan juga telah diarahkan supaya semua asrama murid Orang Asli dipindahkan ke bangunan sekolah manakala asrama sedia ada dijadikan kediaman guru.
Ini bagi membolehkan murid-murid tersebut tidak berasa terasing, kata Ahmad Zahid. - BERNAMA
Comments
Post a Comment