Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.
Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.
Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).
Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?
Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.
Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib – polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.
Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?
DR.MUHAMMAD NUR MANUTY
Pengerusi, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama
Parti Keadilan Rakyat
KENYATAAN MEDIA: KEADILAN Mengutuk Tindakan Kumpulan Menghina Agama Hindu - 28 Ogos 2009
PARTI KEADILAN RAKYAT MENGUTUK TINDAKAN KUMPULAN MENGHINA AGAMA HINDU
Parti Keadilan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu.
Tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci.
Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian.
Keadilan juga percaya bahawa tindakan ini berupa satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana yang tegang di Selangor lantas memberi peluang untuk UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama.
Keadilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga keamanan dan keharmonian dan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang jelasnya salah disisi undnag-undang dan berbentuk provokasi dan menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum/agama.
Keadilan juga kesal kerana pihak polis Selangor gagal menghalang kejadian ini dari berlaku dan sebaliknya Ketua Polis Selangor menyatakan bahawa tindakan boleh diambil hanya sekiranya terdapat laporan polis. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini.
Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.