Selamat Tahun Baharu 2014.
Rasanya belum terlewat untuk menitipkan ucapan selamat buat semua pembaca setia. Sudah seminggu kita melewati tahun baharu walaupun hakikatnya semuanya masih sama. Mungkin hanya sebahagian sahaja yang merasai suasana dan persekitaran baharu, bersama teman yang baharu dan mungkin kerjaya yang baharu.
-Perbaiki azam setiap hari ^^ |
Hakikatnya, tahun baharu cumalah garis pemisah waktu; yang menjauhkan kita dengan kenangan dan mendekatkan kita dengan kematian. Ya, tahun baharu juga hanyalah satu tingkat waktu untuk kita menilai diri dan mentafsir kembali sejauh mana kita melangkah dan sebanyak mana kita berbakti.
Sedang masa berganti, kita masih membawa diri kita seadanya. Dan pastinya hanya diri kita yang menemukan jawapan di persimpangan pilihan; antara hitam atau putih, antara kotor atau bersih, juga pastinya antara syurga dan neraka. Kita yang punyai jawapan untuk setiap pilihan!
Maka apalah makna tahun baharu; hijriah atau masihi? Adakah kita masih menjadi orang yang terus leka dengan setiap nikmat dan kejayaan? Atau kita memilih untuk menjadi orang yang lebih bererti daripada semalam yang telah dilalui? Cuma kita juga yang mampu dan berhak mentafsir makna diri.
Alhamdulillah, laman Menjejak Dewasa sudah berwajah baharu. Doakan moga saya terus semangat dan diberikan kekuatan untuk mencatat sesuatu di sini. Sama-sama menasihati dan memperbaiki diri. Teringat lagu keramat Ibu Kandung Suluh Budiman; selagi hayat dikandung badan, kami tetap berbakti. Ya, kami akan terus berbakti!
No comments:
Post a Comment