Sudah 4 bulan Ahmad menjadi ketua kelas 3 Cemerlang. Ahmad ingatkan bila dia masuk darjah 3, dia boleh berlari-lari keliling kelas semasa cikgu pergi mesyuarat. Dia ingatkan dia boleh menyertai liga lawan pemadam yang dianjurkan oleh Ramzul semasa darjah 2 dahulu. Dia ingatkan dia boleh melepak di bawah pokok pisang sebelah kantin dan bersembang pasal wrestling yang dia tidak minat pun.
Tetapi sekarang, Ahmad tidak boleh lagi.
Ahmad sudah menjadi ketua kelas. Entah mengapa Cikgu Kamariah terus melantiknya menjadi ketua kelas tanpa proses demokrasi. Ahmad terasa hak-haknya sebagai seorang kanak-kanak dicabul oleh seorang wanita tua.
Setiap pagi, Ahmad tiba di kelasnya pada pukul 7 pagi. Setibanya dia di kelas, dia akan memadam papan hitam dan menepuk-nepuk pemadam papan hitam di dinding luar kelasnya untuk menyingkirkan habuk kapur.
Kalau ada orang yang tak sapu sampah mengikut jadual tugas yang ditampal di belakang kelas, Ahmad kena menjadi garang kepada orang tersebut. Pada usia 9 tahun, memarahi kawan supaya mereka berbuat kebaikan adalah sangat tak cool. Mengajak mereka curi pemadam di kedai buku adalah cool.
Sepertimana biasa pada hari Isnin, semua murid berhimpun di dataran untuk perhimpunan. Tetapi kerana Ahmad ketua kelas, dia kena duduk paling hadapan barisan sekali. Ahmad sedih. Dia tidak dapat main baling-baling batu kecil ke tudung budak perempuan. Dia tidak dapat menyanyikan parodi lagu Negeri Selangor dimana dalam satu liriknya berbunyi "Rakyat baling batu, bawah duli Tuanku".
Tetapi perhimpunan pagi hari itu lain sikit. Cikgu Fauziah Ibun mengumumkan bahawa hari ini ada pertandingan keceriaan dan kebersihan kelas. Kelas yang menang akan dapat hadiah. Ahmad berhenti mendengar selepas perkataan 'hadiah'. Ahmad membayangkan yang liar-liar. Kelas 3 Cemerlang ada carpet. Kelas 3 Cemerlang cuti seminggu. Kelas 3 Cemerlang dapat pergi rombongan ke Cameron Higland percuma.
Sejam sebelum waktu rehat, semua guru berada di bilik mesyuarat. Mungkin itulah sebabnya Cikgu Fauziah Ibun membuat pertandingan tersebut fikir Ahmad 15 tahun kemudian.
Semasa cikgu-cikgu bermesyuarat, Ahmad perhatikan tiada siapa pun yang ambil port pasal pertandingan itu. Kelas 3 Maju tengah huru-hara. Kelas 3 Rajin tengah battle Digimon. Budak darjah 5 berlari-lari sepanjang koridor. Budak darjah 6 lepak di tandas ramai-ramai.
Ahmad memerhatikan kelas pimpinannya. Lantai tak bersapu. Langsir herot-berot. Meja cikgu senget. Meja murid berterabur bila Ramzul dikejar Syafikah yang hanya mahukan bekas penselnya balik. Ahmad tidak pandai menjerit. Jadi Ahmad cuba menyelesaikan hal itu dengan tangannya sendiri. Literally.
Ahmad tidak marah apabila budak-budak kelasnya tak tiow dengan pertandingan tersebut. Tetapi Ahmad marah apabila tiada budak-budak kelasnya yang mahukan hadiah tersebut. Ahmad menghalakan kemarahannya dengan mencapai sebatang penyapu di belakang sudut kanan kelas.
Disapunya kelas sehingga tiada habuk dan sampah kelihatan di lantai. Dengan kaki-kaki orang disapunya sekali. Kemudian, Ahmad mengelap tingkap pula sebelum mengemaskan meja cikgu. Disusunnya bunga di atas meja cikgu seperti yang dia lihat maknya selalu buat. Selepas itu, Ahmad menyusun satu demi satu meja budak-budak kelasnya. Disusunnya buku mereka kemas-kemas di bawah meja. Susunan meja juga diperkemaskannya. Zarina yang conscience nya tinggi tak macam budak-budak kelas lain membantunya menyapu lantai kelas yang kembali kotor selepas Radhiatun membuat sampah pemadam.
Sampai waktu rehat, Ahmad puas hati melihat keadaan kelasnya. Kemas, bersih dan teratur. Ahmad dan Zarina menyusun kerusi cantik-cantik sebelum keluar rehat.
***
"Tak. Ahmad sorang yang sapu kelas semua" balas Zarina kepada Cikgu Kamariah.
Ahmad menikmati Apollo Chocolate Wafer seperti tidak mendengar apa yang Cikgu Kamariah tanya. Budak-budak 3 Cemerlang yang gampang tidak menolong Ahmad juga turut menikmati Apollo Chocolate Wafer yang dimenangi kelas 3 Cemerlang.