VAT 69 Komando
- Warisan Darah Perwira -VAT 69 atau 69 Komando merupakan pasukan Operasi khas Polis Diraja Malaysia berpengkalan di Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak .
69 Komando telah dilatih khusus oleh pasukan United Kingdom Special Air Service Regiment pada tahun 1969 untuk membanteras sebarang kegiatan insurgensi oleh Parti Komunis Malaya. Nama 69 Komando ini diambil bersempena tahun 1969 ditubuhkan sebagai unit tempur khas untuk menghapuskan sebarang bentuk teknik pertempuran dan taktik gerila oleh pengganas komunis. Penubuhan unit ini bermula apabila Menteri Pembangunan dan Keselamatan Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengemukakan cadangan untuk menubuhkan satu pasukan elit untuk menentang sebarang bentuk ancaman insurgensi komunis pada tahun 1969.
Pada bulan Oktober 1969, lebih kurang 60 daripada 1600 pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am, PGA) telah dipilih dalam sesi latihan 69 Komando dan akan menjalani latihan asas komando. Sepasukan jurulatih dari United Kingdom Special Air Service Regiment telah dihantar ke Fort Kemar Grik , Perak untuk melatih platun percubaan 69 Komando. Diakhir latihan ini, hanya 30 orang sahaja yang berjaya dan merupakan trup nukleus pertama 69 Komando. Pada tahun 1970an, unit ini memulakan operasi komandonya dan telah dihantar untuk menghapuskan pengganas komunis di hutan.
Keputusannya, ramai di antara pengganas komunis telah dibunuh, dicederakan dan lain-lain berjaya ditangkap serta jumlah senjata dan kelengkapan komunis berjaya dirampas. Pada tahun 1977, skuadron 69 Komando telah pertingkatkan kepada 3 pasukan dan telah dilatih oleh New Zealand Special Air Service serta mengadakan kursus khas untuk melatih para jurulatih 69 Komando yang terdiri daripada anak watan Malaysia sendiri. Program ini berjaya pada tahun 1980 dan unit ini mempunyai sebarang kelengkapan khas dan keperluan logistiknya sendiri.
69 Komando Adalah Sebuah Batalion yang dibahagikan kepada empat skuadron dan beberapa cawangan, manakala kekuatan anggota tidak melebihi 1000 anggota. Kepakaran dan unit atau elemen khusus yang terdapat dalam setiap skuadron merupakan maklumat yang tidak boleh dihebahkan sewenang - wenangya, Seperti unit - unit khas lain, 69 Komando dilatih agar mampu menyerang dan memusnahkan musuh dari semua dimensi iaitu, darat, udara dan air.
Latihan asas 69 Komando terdiri daripada 3 fasa;
Fasa Pertama
Setiap pelatih akan diberi latihan khusus dalam teknik rondaan khas.
Fasa Kedua
Setiap pelatih akan diberi latihan dan teknik seperti penyusupan khas, komunikasi, perubatan perang dan penggunaan bahan letupan. Para pelatih diajar memasang jerangkap samar, mematikan bahan letupan dan pelbagai teknik pertempuran.
Fasa Ketiga
Latihan yang terakhir, para pelatih akan diuji dengan pelbagai aspek berkaitan teknik-teknik yang telah dipelajari. Diakhir latihan, perhatian khusus akan diberi kepada pelatih-pelatih untuk menentukan siapa diantara yang mempunyai potensi sebagai anggota unit ini.
Payung Terjun
Pasukan payung terjun 69 Komando bermula pada 1978 dimana 65 pegawai dan anggota dihantar ke Hua Hin, Thailand untuk dilatih oleh tenaga pengajar dari Pusat Latihan Payung Terjun Pasukan Polis Sempadan Polis Diraja Thailand. Latihan asas payung terjun dijalankan selama sebulan dimana setiap pelatih dikehendaki melakukan terjun statik. Setiap peserta hendaklah melakukan 10 kali penerjunan termasuk sekali di permukaan air. Setelah mendapatkan sayap penerjunan, semua pelatih akan dilatih dengan penerjunan bebas atau kursus lanjut (HALO / HAHO).
Cawangan Latihan Payung Terjun (PARA) 69 Komando bertanggung jawab untuk mempertingkatkan latihan payung terjun dari asas hingga ke peringkat lanjutan, termasuk rappelling & abseiling dari helikopter. Secara fakta, 69 komando juga turut melatih kemampuan mereka tersendiri.
Tempur Jarak Dekat (CQB) dan Menyelamat Tebusan
Latihan tempur jarak dekat dijalankan oleh jurulatih 69 Komando sendiri. Kursus ini dikhaskan untuk taktik dan teknik operasi anti-pengganas. Antaranya adalah menyelamat tebusan di dalam bangunan, pesawat dan kereta api.
Selam Tempur/Combat Diving
Keanggotaan lain yang diterapkan dalam 69 Komando adalah selam tempur, separuh dari anggota 69 Komando mampu melaksanakan misi penyelaman. Latihan selama sebulan dilanjutkan dengan kursus ’Dive Master’ dengan kemampuan menyelam sedalam 150 kaki (50 meter). Mereka mampu dikerahkan dari pesawat helikopter.
Umumnya, kemampuan anggota 69 Komando berkemungkinan mengikuti kursus peringkat master untuk pertempuran gerila/hutan, FIBUA / OBUA / MOUT, penembak tepat, mencari dan menyelamat, payung terjun, tempur jarak dekat, tempur tanpa senjata, komunikasi, selam tempur, perubatan, kawalan rapat dan juga serbuan kapal.
Keputusan 69 Komando untuk menjadikan kemampuan cross-training dibuat bagi semua anggota untuk memiliki lebih dari satu keanggotaan. Setiap tahun beberapa anggota 69 Komando juga turut dihantar untuk mengikuti kursus di luar negara.
Kelengkapan
Pasukan 69 Komando dengan peralatan khas sepertimana pasukan khas SAS, SWAT dan SEAL.