Tiga exco Pas menjunjung kasih titah Sultan
SHAH ALAM - Tiga anggota Exco kerajaan Selangor daripada Pas hari ini
menjunjung kasih perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
mengekalkan mereka dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),
sehingga ke tarikh pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tiga Exco Pas itu ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang
portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan,
Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul
Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan
Pertanian dan Industri Asas Tani).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga anggota exco itu
berkata, mereka akan terus mendukung dan menyokong kepimpinan Menteri
Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selain memastikan semua
program kerajaan negeri berjaya dilaksanakan.
"Kami yakin dengan limpah perkenan Sultan Selangor itu, ia akan dapat
menamatkan sebarang spekulasi negatif terhadap kedudukan exco Pas di
Selangor," menurut mereka.
Dalam titah khas semalam, Sultan Sharafuddin berkenan dengan hasrat
Mohamed Azmin untuk mengekalkan ketiga-tiga exco Pas dalam MMKN sehingga
Dun dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya dijalankan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani
berkata, ketetapan itu dibuat selepas baginda menimbang dan meneliti
segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri
Selangor demi memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi exco
yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang daripada PKR, DAP dan
Pas.
Kedudukan exco Pas dalam kerajaan Selangor menjadi topik hangat apabila
Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Mei lepas memutuskan supaya parti itu
menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui pentadbiran negeri
Selangor kerana tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka. -
Bernama
1 orang berkata:
Selamat elaun bulanan hangpa noooo
Post a Comment