RASULULLAH SAW pernah memberi amaran: “Tidak
selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak
dua kali” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Apakah Perang yang paling membinasakan selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dunia Pertama dalam sejarah umat manusia?
Jawapannya ialah Perang Iran-Iraq 1980-1988 di Teluk. Hampir 30 tahun
kemudian, skrip yang hampir sama kini berulang, dengan watak yang
sedikit berbeza.
Lawatan Presiden Amerika Donald Trump ke Arab Saudi bersempena Sidang
Kemuncak Riyadh 2017 telah membuka kemungkinan sebuah lagi krisis besar
di Rantau Teluk itu. Apa yang telah beliau lakukan?
Trump telah menyokong usaha mewujudkan pakatan ketenteraan
negara-negara Arab di mana Arab Saudi, Mesir, UAE, dan Jordan dikatakan
bakal membentuk ‘NATO Arab’.
Mengapa NATO Arab ini diwujudkan? Jawapanya ialah sistem pakatan baharu
ini bertujuan untuk mengkoordinasi usaha ‘melawan keganasan dan
memerangi pengaruh Iran di rantau Asia Barat’.
Bagaimana ia mampu membawa kepada ledakan krisis berskala besar persis Perang Iran-Iraq hampir 30 tahun lalu?
Perhatikan lima aspek utama berikut: Pertama, NATO Arab ini
meningkatkan kelancaran buat tentera Amerika untuk beroperasi di rantau
berkenaan.
Kedua, pemerkasaan angkatan tentera laut Arab Saudi hasil bantuan
Amerika adalah bertujuan untuk membendung kekuatan angkatan laut Iran di
Teluk Parsi.
Hal ini berkait dengan pengalaman lalu apabila Tentera Laut Iran
berupaya memusnahkan tentera laut Iraq dalam Operasi Morvarid.
Ketiga dari aspek teknologi perisikan dan pertukaran maklumat antara
negara-negara Teluk menerusi penubuhan Pusat Pencegahan Ekstremisme
Global di Arab Saudi.
Keempat ialah pemerkasaan sistem pertahanan udara Arab Saudi menerusi
THAAD sepertimana yang diberikan Amerika kepada Korea Selatan.
Kelima pula ialah merapatkan kelancaran operasi ketenteraan bersama
Arab Saudi dengan para sekutu NATO Arabnya sepertimana latihan
ketenteraan ‘North Thunder’ yang menyaksikan penyertaan sekitar 20 buah
negara Islam, termasuklah ketiga-tiga negara Arab yang bakal membentuk
NATO Arab iaitu Mesir, UAE, dan Jordan.
Hakikatnya skrip terkini ini mengulangi sejarah perit permulaan peperangan yang membinasakan.
Lebih 30 tahun lalu Revolusi Iran juga pernah menghadirkan dilema keselamatan dalam kalangan negara-negara Arab.
Maka apabila Iraq ketika itu dipimpin Saddam Hussein mengambil langkah
menyerang Iran, ia telah memperoleh sokongan negara-negara Arab dan juga
Amerika. Ibarat habis madu sepah dibuang, Saddam pula kemudiannya telah
dua kali diserang oleh Amerika pada 1991 dan 2003.
Namun faktor Iran bukan satu-satunya penyumbang kepada kebimbangan
berulangnya skrip bencana ini, sebaliknya ditambah dengan dua faktor
lain iaitu personaliti Menteri Pertahanan Arab Saudi iaitu Putera
Mohammed bin Salman (digelar MBS di Amerika) dan juga faktor kepentingan
para kontraktor ketenteraan Amerika (dikenali sebagai
‘military-industrial complex’ MIC).
Putera Mohammed bin Salman pernah mengejutkan dunia apabila menyatakan bahawa “peperangan harus dimulakan di bumi Iran”.
Kenyataan beliau telah mengundang jawapan balas yang keras daripada
Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan yang memberi amaran bahawa
hanya Mekah dan Madinah sahaja yang akan terselamat jika Arab Saudi
bertindak memulakan peperangan ke atas Iran.
Sosok Putera Mohammed Bin Salman ini diketahui cukup agresif dalam
menghubungkan Amerika dengan Saudi dalam membangunkan profil beliau
selaku Putera Mahkota Saudi yang bakal mewarisi takhta kelak.
Tidak hairanlah, nasib Arab Saudi berkemungkinan ‘lebih baik’
berbanding nasib rejim Saddam di Iraq dahulu. Hal ini demikian kerana
kebanyakan kontrak pembangunan industri ketenteraan Arab Saudi kini
adalah dikurniakan kepada kontraktor Amerika, selain kesetiaan
berterusan Saudi dengan mata wang Dollar.
Kurniaan kontrak-kontrak ketenteraan sebegini seterusnya bakal memenuhi
manifesto Trump bagi mewujudkan faedah besar kepada pihak
berkepentingan Amerika, sekali gus mengurangkan beban pembiayaan
ketenteraan Amerika di Asia Barat.
Maka kedua-dua Putera Mohammed Bin Salman dan Donald Trump bakal meraih
keuntungan politik di negara masing-masing menerusi kerjasama sebegini.
Namun pembentukan NATO Arab ini tetap menyumbang kepada ketidakstabilan
rantau berkenaan di mana risikonya terletak pada ‘doktrin keselamatan
kolektif’.
Maka jika salah satu negara berkenaan mendakwa bahawa ia diserang Iran,
maka keseluruhan negara NATO Arab lain perlu mengerahkan serangan
ketenteraan ke atas Iran.
Berdasarkan sejarah kebinasaan Perang Iran-Iraq dahulu, ditambah dengan
realiti perang tidak berkesudahan di Syria, Iraq, dan Yaman, serta
dalam keadaan Palestin yang masih terjajah, wajarkah keutamaan diberikan
untuk membina pakatan NATO Arab bagi persediaan memerangi Iran pada
hari ini?
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)