Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Tun Dr Mahathir Mohamad kemungkinan ditahan di bawah Akta Sosma 012

Tun M mungkin ditahan di bawah Sosma

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tolak kemungkinan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana kelantangannya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau saya didapati bersalah, saya akan dipenjarakan walaupun orang kata saya nyanyuk. Undang-undang tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan turut ditahan seperti bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas dakwaan cuba mensabotaj negara.


Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata, Sosma merupakan undang-undang baharu yang  perlu dipatuhi.


“Jika saya bersalah, saya mungkin menghabiskan sisa hidup saya di dalam penjara,” katanya.


Sementara itu, ketika mengulas mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu, Mahathir berkata, perhimpunan tersebut tidak hanya disertai kaum Cina sahaja malah turut disertai Melayu.


“Mereka (kaum Cina) tidak meminta apa-apa untuk diri mereka. Tetapi, mereka hanya meminta Najib supaya berundur dan meminta supaya ada mekanisme pilihan raya lebih baik,'' katanya.

Tindakan DAP dan PKR memberi mesej mereka juga menjadi zalim


Henti bantuan sekolah agama, Pas mahu DAP jawab

 Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali



SHAH ALAM - Pas menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan dakwaan berhubung penarikan balik bantuan tahunan kepada beberapa sekolah agama milik ahli-ahli Pas di negeri itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali turut mendakwa surat tawaran bantuan yang telah dihantar juga ditarik balik.


"Kami ingin meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang ditarik balik daripada beberapa buah sekolah rakyat milik persendirian ahli-ahli Pas.


"Beberapa buah sekolah agama persendirian ini telah mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun yang lalu.


"Tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan. Bahkan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau juga menyifatkan, tindakan DAP dan PKR itu seolah-olah memberi mesej bahawa apabila berkuasa, mereka juga menjadi zalim dengan sesiapa yang berbeza ideologi politik.


"Dewan Ulama Pas Pusat mengingatkan kerajaan DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah sebelum ini yang menyekat dan tidak memberi bantuan kepada sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli-ahli Pas kerana sentimen politik.


"Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka," katanya

BERERTI MIMBER MASJID TAK BOLEH BERDAKWAH, BISIK-BISIK SAHAJA DAH LA !

PULAU PINANG DEPA PUNYAAAA ! - Pak Karamu
 
 
Pembesar suara di P.Pinang hanya untuk azan iqamat

azan
Gambar hiasan
 
GEORGETOWN - Selepas ini pembesar suara di bahagian luar masjid dan surau di Pulau Pinang hanya boleh digunakan untuk azan dan iqamat.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada 1 dan 2 Julai lalu dan disahkan sekali lagi menerusi mesyuarat sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selari dengan hasil mesyuarat sama pada 7 April 2011 berhubung larangan membaca al-Quran sebelum waktu subuh menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau.

Bagaimanapun, keputusan itu ditambah baik dengan memasukkan larangan bagi semua program di masjid dan surau seperti qiamullail, solat tahajud, kuliah, mesyuarat dan sebagainya yang hanya dibenarkan menggunakan pembesar suara di bahagian dalam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas dipertimbangkan dari pelbagai sudut.

Menurutnya, isu berkenaan dibangkitkan selepas pihaknya menerima beberapa aduan dari masyarakat Islam sendiri yang tidak tahan dengan pembesar suara di luar masjid serta surau yang dipasang terlalu kuat.

"Persekitaran hidup umat Islam hari ini juga sudah berubah dengan ramai yang tinggal di kawasan perumahan dengan jarak sangat hampir dengan masjid.

“Jika kita ingin beribadat, tidaklah sewajarnya kita mengganggu orang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, surat perkeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti neger ikepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP) bertarikh 1 September lalu menjadi viral di laman sosial.

Kebanyakan pengguna laman sosial tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan selain mendakwa keputusan itu dipengaruhi desakan politik.

Wan Salim berkata, JHEAINPP  akan memanggil ahli jawatankuasa dan pegawai masjid di seluruh negeri ini untuk sesi penerangan mengenai larangan tersebut.

Menurutnya, usaha itu perlu bagi membolehkan mereka menjelaskan kepada masyarakat Islam di kariah masing-masing.

“Semoga dengan cara ini, isu itu tidak disalahfaham oleh orang ramai dan tidak menimbulkan kekecohan yang berpanjangan,” katanya.

TUGAS JABATAN AGAMA ADALAH MEMPERKATAKAN PERATURAN AGAMA YANG HAK


Khutbah beri nasihat bukan hukuman‎

Khutbah beri nasihat bukan hukuman‎
Syed Ibrahim (dua kiri) sewaktu menziarahi keluarga kaum Cina di perkampungan Cina di Kerdau semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, meragui kredibiliti alim ulama dan cendekiawan Islam yang menggubal teks khutbah tersebut adalah seperti juga mempunyai kefahaman agama yang lemah.

Menurutnya, pengisian khutbah adalah berupa nasihat serta bukan suatu hukuman dan adalah sesuatu yang menghairankan jika nasihat yang baik seperti itu tidak dapat diterima.


“Saya sendiri hanya mengetahui teks khutbah itu apabila dibacakan pada khutbah Hari Raya Aidiladha lalu, dan mengambil pendirian untuk menerima dengan hati yang terbuka di atas teguran yang dibuat mufti.


“Memahami khutbah adalah satu nasihat maka tindakan untuk muhasabah diri amat perlu sesuai dengan seruan ALLAH SWT dan Rasulullah SAW supaya umat Islam bersatu padu.


“Sekiranya DAP bertegas mahu saman Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) tiada siapa boleh menahan, negara kita mengamalkan keterbukaan dan kebebasan bersuara berteraskan demokrasi,” katanya.


Syed Ibrahim ditemui pada program ziarah ke perkampungan Cina di Kerdau, semalam.

Syed Ibrahim berkata, jika diteliti teks khutbah Aidiladha tersebut, teguran yang dibuat merangkumi semua pihak dan tidak hanya menjurus kepada DAP tetapi mungkin teguran kepada DAP itu agak keras berbanding kepada parti atau pihak lain.


Beliau berkata, penggubalan teks yang agak politikal kali ini berkait rapat dengan kebimbangan Mufti dan Institusi Mimbar di atas pergeseran dan jurang perpisahan yang semakin ketara dalam umat Islam.


“Nasihat melalui khutbah yang bernada agresif kali ini menunjukkan bahawa Institusi Mimbar tidak lemah dan tidak goyah dalam menyatakan kebenaran.


“Nasihat yang agak tegas dan agresif kali ini tidak sama sekali merupakan pandangan dan kebencian kepada mana-mana agama atau bangsa,” katanya.


Syed Ibrahim berkata, semua masjid-masjid di seluruh Pahang perlu kekal dan tetap menggunakan teks khutbah yang disediakan dan tidak sama sekali mengambil kesempatan dengan memanipulasi demi kepentingan politik kepartian di atas mimbar.

ISLAM PERLU BERTEGAS WALAUPUN PAHIT

Khutbah bukan pentas politik, kata Abim




khutbah
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Khutbah dan masjid tidak sewajarnya dijadikan sebagai pentas politik kepada mana-mana parti politik untuk berdebat dan bercakaran antara semasa mereka.

Demikian kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang baharu, Mohamad Raimi Ab Rahim yang melahirkan kebimbangan itu kerana ia boleh mengundang kepada isu agama yang lain.


"Kita tak nak jadikan khutbah dan masjid sebagai tempat untuk menyalahkan mana-mana parti politik walaupun Islam dan politik itu tak boleh dipisahkan.


"Khutbah untuk tujuan keharmonian agama, kemaslahatan masyarakat, kita harap isu-isu menyalahkan parti politik yang kemudiannya ada reaksi balas merupakan satu perkara yang tidak perlu berulang," katanya kepada Sinar Online.


Beliau mengulas isu ancaman DAP Pahang pada 26 September lalu yang menggesa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf berhubung teks khutbah sempena Aidiladha mendakwa mereka menentang Islam.


Pengerusinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri memberi masa lima hari bermula hari itu untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.


Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha dikeluarkan JAIP, umat Islam dinasihati bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu.


Dalam pada itu, Mohamad Raimi juga berkata, pemimpin parti politik sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya platform untuk berdebat dan berpolitik sedia ada dan tidak mencampuri institusi agama.


"Ya (jika dibiarkan), masing-masing akan menggunakan khutbah untuk berdebat, politik ada medan perdebatan masing-masing, ada Dewan Undangan Negeri, Parlimen atau di media.


"Saya fikir gunakan khutbah untuk perkara yang makruf kepada masyarakat..khususnya isu melibatkan kepentingan negara dan umat Islam seperti isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang dapat menyatupadukan daripada perbalahan," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau berkata lagi, kedua-dua pihak harus menangani isu tersebut dengan matang dan tidak tergesa-gesa.


"Kita menggesa DAP supaya tidak tergesa-gesa mengambil tindakan undang-undang sehingga memperoleh penjelasan.


"Kita berharap agar isu-isu sebegini dan penyertaan mana-mana parti politik dalam khutbah yang akan datang dapat dielakkan," katanya lagi.

Buletin Sinar Rabu 30 September 2015


Hangpa dah kasi roboh rumah PAS, so tnggu lain kali la

 
PAS TAK LEH JEMPUT PASAI HANGPA DAH KASI ROBOH RUMAH PEH, ITU PANEH MASIH MEMBARA

BIAQ PI LA, SERAH JE KEPADA PKR

Isu YDP MAIPP: Pendirian AMK P Pinang mengelirukan
Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden
 
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas Pulau Pinang berkata, desakan AMK supaya wakil parti Islam itu mengosongkan kerusi dalam Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bertentangan dengan pendirian Presiden PKR sebelum ini.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan AMK itu agak mengelirukan sedangkan PKR masih meneruskan kerjasama politik dengan Pas termasuk di negeri itu.

Beliau menegaskan, jawatan Yang Dipertua (YDP) dan ahli-ahli MAIPP adalah di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang.

"Kami menasihatkan supaya semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong selaku ketua agama Islam bagi negeri Pulau Pinang.

"Walaupun pihak MMKN mempunyai kuasa untuk mencadangkan nama, namun ia perlu tertakluk kepada kuasa prerogatif YDPA untuk menerima atau menolak cadangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak dan Ketua Wanita PKR, Nur Zarina Zakaria mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan kerusi jawatan YDP MAIPP.

[ ARTIKEL BERKAITAN: AMK, Wanita desak Salleh Man letak jawatan ]

Asrol Sani berkata, desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri itu seperti yang diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, baru-baru ini.

Manakala Nur Zarina pula berkata, jawatan YDP MAIPP itu wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar dengan 10 Adun di negeri itu.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi juga berkata, pihaknya akan meneruskan tugas dalam kerajaan negeri seperti biasa sebagai amanah rakyat pada PRU13 lalu.

"Jawatan dalam kerajaan adalah amanah daripada ALLAH SWT dan rakyat, bukannya tempat untuk melunaskan kehendak politik kepartian semata-mata.

"Individu yang dilantik untuk membangunkan MAINPP dan Islam di Pulau Pinang mengikut acuan pembangunan ALLAH SWT, bukan mengikut acuan nafsu manusia," katanya lagi.

JANGAN, JANGAN, JANGAN JEMPUT DOSAAA !

Amanah belum terima jemputan H60K
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
 
PETALING JAYA - Parti Amanah Rakyat (Amanah) mengesahkan belum menerima sebarang jemputan rasmi bagi menghadiri Himpunan Fastaqim atau 60 Ribu (H60K) di Kota Bharu, Kelantan, bulan depan.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, jika pihaknya dijemput, mere akan meneliti objektif penganjuran himpunan tersebut terlebih dahulu.

"Setakat ini belum dijemput lagi secara rasmi. (Kalau dijemput akan pergi?) Kita kena lihat dahulu objektifnya. Kita libatkan diri dengan Bersih (Bersih 4.0) jelas isu dan objektifnya.

"Kita tak pergi Himpunan Baju Merah pun jelas objektifnya. Jadi kita sangat objektif. Kita akan lihat dulu apa objektif program itu," katanya pada sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pas memberitahu pihaknya akan menjemput semua parti politik pembangkang dan kerajaan serta NGO menyertai himpunan itu.

Pas menganjurkan Himpunan Fastaqim atau 60,000 (H60K) yang turut dikenali sebagai Himpunan Hijau akan berlangsung di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Oktober ini.

Pengarah H60K, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, matlamat dan objektif himpunan itu berkait rapat dengan krisis yang melanda politik negara ketika ini.

Nik Abduh yang juga Ketua Pemuda Pas berkata himpunan itu bagi membangkitkan semangat akar umbi parti.

TU PENDIRIAN ORANG PKR, BUKAN PARTI, ERTINYA PKR TAK IKUT PARTI


Gesa Salleh Man letak jawatan bukan pendirian PKR

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail


PETALING JAYA - Kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Pulau Pinang yang mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) semalam, bukan pendirian parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan tersebut hanyalah kenyataan peribadi pimpinan AMK dan Wanita PKR negeri itu.


"Itu adalah pandangan peribadi mereka bukan pendirian parti," demikian maklum balas ringkas Wan Azizah ketika diminta mengulas desakan tersebut pada sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.


Ketika diminta mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya masih 'meletakkan' Mohd Salleh Man di kedudukannya tanpa ada yang terjejas.


"Mereka (PKR Pulau Pinang) ini 'isolated' jadi, ia hanya kenyataan mereka. Tapi ia tidak menjejaskan (hubungan PKR dengan Pas) kerana kita masih lagi meletakkan Datuk Salleh Man di tempatnya...tidak menjejaskan apa-apa.


"(Kenyataan seperti itu memburukkan keadaan?) Kitakan parti terbuka, bolehlah jika nak cakap luahkan isi hati," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media.


Semalam, Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.


"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi menggantikan wakil Pas apabila penggalnya tamat akhir tahun ini," katanya.


Sementara Ketua Wanita PKRnya, Nur Zarina Zakaria berkata, jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Adun.

SEMUA SAMALAH !

Wednesday, September 30, 2015

MCA dan GERAKAN minta DAP bertaubat


Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MCA mahu parti DAP bertaubat dan meminta maaf kerana menjadi dalang mencetuskan api perkauman semasa perhimpunan BERSIH 4.0.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, perhimpunan itu jelas dirampas sepenuhnya oleh DAP dengan niat buruk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi BERSIH 1, 2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam BERSIH 4.0 yang didalangi DAP para penyokongnya memijak gambar pemimpin Melayu (Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Selain itu, mereka (penyokong DAP) buat istiadat pengebumian, memukul gambar guna penyapu dan ia menyinggung emosi orang Melayu," ujarnya pada sidang media bersama Ketua Biro Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker di sini hari ini.

Menurut Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tindakan itu mencetuskan tindak balas berbau perkauman iaitu perhimpunan baju merah pada 16 September lalu.

Malah ada peserta dalam Himpunan Melayu Bersatu itu memegang sepanduk supaya menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang padanya juga akan mencetuskan rasa kurang senang kaum Cina.

"Kami juga ingin menegur pelampau demonstrasi baju merah kerana ada dalam kalangan mereka juga membuat perkara yang berbau perkauman seperti kes Petaling Street," jelasnya.

Dalam pada itu, Lian Ker memuji tindakan Polis Diraja Malaysia kerana bertindak tegas ke atas dalang kedua-dua perhimpunan sama ada BERSIH 4.0 dan baju merah.

"Kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan baju merah supaya menghentikan tindakan negatif mereka dengan segera dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas," katanya.--MalaysiaGazette

JEREBU MENYERANG LABIH BANYAK TEMPAT

Lebih banyak kawasan catat IPU tidak sihat
Jerebu
Gambar hiasan.
 
 
KUALA LUMPUR - Kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berikutan keadaan jerebu meningkat kepada 18 setakat 9 pagi ini berbanding 11 kawasan pada 7 malam tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan yang mencatatkan bacaan IPU paling tinggi adalah di Bukit Rambai, Melaka iaitu 150, diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (142).

Beberapa kawasan di Johor yang mencatatkan tahap IPU tidak sihat adalah Kota Tinggi dengan bacaan 106, Larkin Lama (120), Muar (119) dan Pasir Gudang (131).

Bandaraya Melaka pula mencatat bacaan 141, manakala dua lagi kawasan di Negeri Sembilan turut mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Nilai (115) dan Seremban (117).

Di Pahang, bacaan IPU di kawasan Indera Mahkota dan Balok Baru, Kuantan pula masing-masing 105 dan 135, manakala di Jerantut (102).

Di Selangor, kawasan Banting mencatatkan bacaan 125, Pelabuhan Klang (102) dan Shah Alam (105), manakala di Terengganu, kawasan Kemaman dan Paka masing-masing mencatatkan bacaan 126 dan 112.

Sementara itu, Putrajaya turut mencatatkan tahap IPU tidak sihat dengan bacaan 111.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
  
Orang ramai boleh merujuk portal  http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

TRAGEDI DUNGUN

Saya 'call' dia, tapi tidak berjawab...
Saya 'call' dia, tapi tidak berjawab...
DUNGUN - Tragedi meragut tiga nyawa di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa2, Kemaman, kelmarin, turut menjadikan seorang bayi berusia dua bulan, Muhammad Saif Danial Rosli, anak yatim.

Ibu bayi itu, Nur Alifah Md Yusuf, 27, seorang kakitangan Public Bank Dungun, terbunuh bersama rakan sekerjanya, Tan Lee Lee, 47, dan seorang lagi, Azuddin Deraman @ Muda, 45, apabila dirempuh sebuah kereta ketika berada di lorong kecemasan.

Ibu mangsa, Wan Norasyikin Wan Mohd Amin, 53, berkata, cucunya itu sememangnya tidak faham apa-apa tentang erti kehilangan, tetapi ahli keluarga yang melihatnya terasa amat sedih dan sayu.

Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya yang baru sahaja dua hari memulakan kerja selepas habis tempoh berpantang, sudah pergi buat selama-lamanya.

“Arwah berpantang di rumah saya, tetapi apabila sudah mula bekerja dia bagi anaknya untuk dijaga ibu mertua kerana saya juga bekerja.

“Kali terakhir saya bertemunya pada Sabtu lalu, iaitu sehari sebelum dia bekerja. Sebelum itu dia sudah beritahu akan hadir mesyuarat di Kuantan pada Isnin.

“Bagaimanapun, dia kelihatan agak gelisah dan runsing kerana terpaksa meninggalkan anaknya yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Pulut, di sini, semalam.

Talian terputus

Kata Wan Norasyikin, pada malam sebelum kejadian, Nur Alifah ada menghubunginya tetapi mereka tidak sempat berbual panjang kerana tiba-tiba talian terputus.

“Dia tidak menghubungi saya semula dan apabila teringatkan dia, saya terus menghubunginya kira-kira jam 8.15 pagi, tetapi tidak berjawab.

“Naluri keibuan saya mengatakan bagai ada sesuatu yang tidak kena dan kira-kira jam 9 pagi, salah seorang menantu menghubungi saya mengatakan Ifah kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia tidak mempercayai berita itu dan bergegas ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan pengesahan.

“Sampai di hospital, saya melihat sendiri mayatnya. ALLAH....! Berat menerima kenyataan itu, tetapi itulah ketentuan Ilahi,” ujarnya.


Arwah sering kelihatan pucat

Wan Norasyikin berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu seorang yang periang dan ceria, tetapi sejak kebelakangan ini wajahnya kelihatan pucat sahaja.

“Saya sangka dia kurang makan ubat ketika berpantang sehingga menyebabkan wajahnya nampak pucat.

“Mungkin itu juga petanda yang dia akan pergi buat selamanya. Memang nampak dia agak susah hati untuk meninggalkan bayinya ketika keluar bekerja,” katanya.Menurutnya, kemalangan berlaku pada hari kedua anaknya itu bekerja selepas bercuti lama, dan tiada siapa pun menduga perkara itu akan berlaku.

“Dia kelihatan ceria bersama adik-beradik lain ketika Aidiladha baru-baru ini, dan jika berdepan masalah pun dia seorang yang tenang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bayi mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah tidak merengek walaupun tidak dapat menyusu susu ibunya.

“Sekarang kami terpaksa memberikan susu formula sepenuhnya. Selepas ini mungkin anaknya akan dijaga keluarga mertua tetapi kami akan sama-sama menjaga dan memberikan kasih sayang kepadanya.

“Kami harap Muhammad Saif dapat membesar dengan baik walaupun sudah kehilangan ibu,” katanya.

'Dia pergi dengan cara baik'

Sementara itu di Kuala Terengganu, Jannah Zaleha Nik, 68, ibu Azuddin, memberitahu, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan menganggap pemergian Allahyarham sebagai seorang perwira.

“Saya bangga dengan arwah kerana dia pergi dengan cara yang baik, iaitu dalam keadaan ingin membantu orang lain, malah saya dimaklumkan dia sempat meminta maaf kepada pemandu kereta yang terlibat dengan kemalangan itu, sebelum dirempuh," katanya.

Azuddin, bapa kepada dua anak itu maut ketika membantu Nur Alifah dan Tan Lee Lee yang duduk di bahu jalan selepas kereta mereka terbabas akibat terlanggar lopak air di LPT2, sebelum sebuah lagi kereta terbabas dan merempuh ketiga-tiga mereka.

Jannah Zaleha, bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu mengakui, pemergian anak lelakinya itu cukup meninggalkan kesan dalam hidupnya.

Menurutnya, anaknya itu berubah menjadi kurang bercakap dengan adik beradik lain, sedangkan sebelum itu, dia dianggap penyeri dalam keluarga.

“Sejurus menerima berita ini daripada anak bongsu, hati saya terus terdetik, patutlah Zuddin (arwah) berperangai pelik sejak akhir-akhir ini. Rupanya Zuddin nak tinggalkan ummi buat selamanya.

“Walaupun saya masih bersedih dan amat terkejut dengan pemergiannya, saya reda kerana tahu dia milik ALLAH walaupun saya ini ibunya,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Intan, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak suaminya, Draman @ Muda Abdullah meninggal dunia November tahun lalu, Azuddin banyak mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradiknya.

“Sejak ayah dia meninggal, Zuddin banyak berubah. Dia lebih cakna tentang adik beradiknya berbanding sebelum ini.

“Setiap kali dia berjumpa mereka, dia akan tanya perkembangan sama ada dari segi kesihatan dan aktiviti harian mereka sedangkan sebelum ini dia jarang berbuat demikian,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Ibrahim, iaitu bersebelahan kubur bapanya, kira-kira jam 10 malam.

Semalam, akhbar melaporkan tiga kakitangan bank maut selepas terlibat dalam nahas tragik membabitkan empat kereta akibat terlanggar lopak air dalam kejadian di Kilometer 313.9 LPT2 dekat Seri Bandi, Kijal, Kemaman.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan Siti Nur Alifah Md Yusuf, 27, dan Tan Lee Lee, 47, yang merupakan kakitangan Public Bank Cawangan Dungun serta Azuddin, pegawai bank di Maybank meninggal dunia di lokasi kejadian.

DUDUK DIAM-DIAM KAT DALAM TUH

PARAH!!! 'Jika Tidak Korup, Kenapa Saya Didapati Bersalah?' : Bekas MB Selangor, Jom Terjah!!!




ULASAN Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.
Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.
Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.
Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin Umno mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana.
Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara yang terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.
Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan, pendakwa raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin (Haryoni, pengarah Ditamas Sdn Bhd).
Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.
Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.
Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum dua tahun penjara.
Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.
Demikianlah kesungguhan peguam negara terdahulu yang mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.
Adilkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.
Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk perdana menteri, setiausaha kerajaan negeri dan pihak SPRM sendiri.
Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (Baca: Fakta dan angka tidak boleh menipu).
Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.
Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.
Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus sudah harapan?]
Dilanyak akhbar The Sun
Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.
The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor diisytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.
Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.
Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?
Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada menteri besar selepas saya.
Malah ada ketika mereka mempertahankan menteri besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.
Kes roboh kuil
Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi.
Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM40 ribu dan juga diberi tapak baru.
Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.
Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.
Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai menteri besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar.
Di bawah pentadbiran saya juga kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.
Isu anugerah penyapu
Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah penyapu atau padah sikap kita?]
Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.
Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan Tukiman Nail, bekas presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.
Masalah setinggan
Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan.
Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan:
(i) Memberi penempatan yang lebih baik
(ii) Menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan
(iii) Memberi subsidi RM7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.
Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor. Jika ada hayat dikandung badan, insha-Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.
Wassalam.


Khir Toyo bekas MB Selangor. Tulisan ini diterbit dalam blog beliau, drkhir.com. Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atasnya selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah ditolak pada minggu lalu

DALAM POLITIK MACAM-MACAM BOLEH BERLAKU

Bukan semua pengundi Cina sokong DAP

Mohd Amar Nik Abdullah
 
 
KOTA BHARU - Bukan semua pengundi daripada masyarakat Cina menyokong DAP, dakwa Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
  
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata ini berdasarkan kaji selidik dijalankan Pas selepas parti itu mengesahkan telah memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar tahunannya Jun lepas.
  
"Jangan ada tanggapan semua orang Cina sokong DAP ... DAP juga tidak boleh menganggap dia mendapat sokongan (seratus peratus) daripada masyarakat Cina (ketika  ini)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu selepas Pas tidak menyertai Pakatan Harapan yang‎ ditubuhkan pada minggu lepas dan dianggotai PKR, DAP dan parti yang dalam proses didaftarkan Parti Amanah Negara (Amanah).
  
Mohd Amar mendakwa bukan semua masyarakat Cina marah kepada Pas selepas parti itu tidak lagi menjalin sebarang kerjasama dengan DAP.
 
"Dalam konteks masyarakat Cina di Kelantan, masih elok hubungan (masyarakat itu) dan (mereka) masih menyokong Pas. (Ia berdasarkan) kaji selidik yang kita buat.
  
"Ada (dakwaan) yang cakap bila Pas berpecah dengan DAP sekaligus menyebabkan masyarakat itu menolak Pas, itu tidak betul. Bukan semua yang marah kepada Pas," katanya.
  
Ditanya mengenai hasrat Amanah untuk bertanding di enam kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk Parlimen Kuala Krai, Mohd Amar berkata segala kenyataan yang dibuat oleh pihak penaja parti itu adalah bohong semata-mata.
  
"Dulu dia (Amanah dakwa) tidak akan ganggu Pas di Kelantan. Kalau betul-betul mereka nak bantu Pas, dia patut biar Pas (sahaja) bertanding di Kelantan," katanya. - Bernama

Khir Toyo Dihukum Penjara Setahun


Buletin Sinar Selasa 29 September 2015


PERALATAN CANGGIH TIDAK DAPAT MENGATASI TAKDIR

M’sia, China, Australia komited kesan lokasi MH370
Azharuddin Abdul Rahman
Azharuddin sewaktu mengadakan sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370, Mac lalu.
 
 
BEIJING - CHINA. Malaysia, China dan Australia masih komited untuk mengesan lokasi MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
  
Beliau berkata ketiga-tiga negara mengadakan mesyuarat di China hari ini untuk membincangkan operasi pencarian yang sedang giat dijalankan bagi mengesan pesawat Boeing 777 itu, sebagai susulan kepada mesyuarat di Canberra awal bulan ini.
  
Mesyuarat itu bermula seawal 8.30 pagi dan selesai pada 6 petang, dihadiri pegawai daripada Kementerian Pengangkutan dan Hal Ehwal Luar China, pegawai daripada Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) serta wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, DCA dan jawatankuasa waris (NOK) penumpang dan anak kapal MH370.
 
 "Saya berbesar hati untuk melaporkan bahawa ketiga-tiga negara masih amat komited dalam usaha pencarian ini. Seperti yang anda tahu, kepingan flaperon ditemukan pada 29 Julai (di Reunion Island dalam kawasan Perancis) telah disahkan adalah daripada pesawat MH370.
  
"Ini mengesahkan lakaran hanyut oleh pakar bahawa kami mencari di tempat yang betul," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Azharuddin berkata ujian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada ia dapat menghasilkan maklumat lain berhubung apa yang berlaku terhadap pesawat itu.
  
"Malah teritip (terdapat pada flaperon) juga sedang diperiksa oleh pakar biologi marin untuk mendapatkan petunjuk," katanya.
  
Azharuddin berkata berdasarkan nasihat daripada pakar, apa juga opsyen akan terus diterokai dalam usaha pencarian itu, dengan mengambil kira sumber yang ada termasuk dana, peralatan dan kapal.
  
"Seperti biasa, kami berharap misteri MH370 akan dapat dirungkai dan keluarga akan dapat mengakhiri penantian mereka," katanya.
 
 Pada 8 Mac tahun lepas, penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada radar. - Bernama

SAMA-SAMA KITA NANTI

Kos sara hidup duduki ranking 1 dalam #Bajet2016

Kos sara hidup duduki ranking 1 dalam #Bajet2016


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini memaparkan keputusan terkini daripada kaji selidik bagi #Bajet2016 menerusi laman rasmi Facebooknya.

Menerusi paparan tersebut melaporkan bahawa Kos Sara Hidup: Perumahan dan Kehidupan di Bandar serta Pendidikan menduduki tempat teratas.


Kos Sara Hidup mendahului carta iaitu mendapat 5,042 markah; Perumahan dan Kehidupan di Bandar menduduki tempat kedua dengan 2074 markah serta Pendidikan di carta ketiga dengan 1594 markah.


"Sekiranya anda belum memberi maklum balas kepada saya, sila kunjungi https://najibrazak.com/bajet2016/survey," tulisnya.


Terdahulu, Najib  mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, 23 Oktober ini.


Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.


"Kerajaan sedang menyediakan #Bajet2016. Ada cadangan yang ingin diberikan kepada saya? Kemukakan rdihttps://najibrazak.com/bajet2016/," katanya menerusi akaun Twitternya.


Laman web najibrazak.com/bajet2016/ itu turut memaparkan beberapa kategori yang sering menjadi fokus dalam Bajet-bajet sebelum ini.


Antaranya kos sara hidup, pembangunan luar bandar, perumahan, kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keselamatan.


Selain itu, orang ramai diberi peluang mengemukakan cadangan-cadangan lain.

ALA LETAK JE LA,

AMK, Wanita desak Salleh Man letak jawatan
Mohd Salleh Man
Mohd Salleh Man
 
BUTTERWORTH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Pulau Pinang hari ini mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang disandangnya.
  
Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
  
Beliau berkata, pengumuman ketua menteri itu jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf Pas dalam pentadbiran negeri dan Salleh yang merupakan wakil rakyat Pas harus mengosongkan jawatan YDP MAIPP.
  
"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi mengantikan wakil Pas apabila penggalnya tamat akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata, pelantikan setiap YDP MAIPP adalah untuk tempoh dua tahun dan tempoh untuk Salleh dijangka tamat akhir tahun ini.
  
Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan negeri, Nur Zarina Zakaria berkata, jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Adun.
  
Pelantikan YDP MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri. - Bernama

HANYA 12 BULAN !

'Saya minta maaf kepada semua'




'Saya minta maaf kepada semua'
Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo sebelum memasuki kamar mahkamah bagi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman hari ini. Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadapnya atas kesalahan menggunakan kedudukan untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas. - Foto Bernama


SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf kepada seluruh rakyat Selangor susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan menggunakan kedudukannya memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Khir Toyo ke penjara selama 12 bulan]
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata demikian menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.


"Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.


"Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong saya yang mungkin terpalit malu kerana kes ini.


"Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya," katanya.


Sementara itu, isteri beliau, Zahrah Kechik reda dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan 12 bulan penjara ke atas suaminya.


Lapor sebuah portal, Zahrah ketika ditemui berkata, beliau menerima keputusan itu serta menganggap ia sebagai ujian ALLAH untuk dia dan suami.

"Memang tidak dinafikan saya sedih dengan keputusan ini, namun saya reda dengan perkara ini.


"Saya harap suami saya juga reda dengan keputusan yang ditetapkan ini. Ini semua adalah ujian dari ALLAH untuk kami berdua," katanya.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.