Neymar, Oscar menyinar aksi pembukaan Piala Dunia
NEYMAR menyelamatkan Brazil daripada dimalukan Croatia pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2014 dengan menjaringkan dua gol sebelum Oscar melengkapkan jaringan ketiga untuk mencatatkan kemenangan dramatik 3-1 di Corinthians Arena, awal pagi Jumaat.
Namun, jaringan kedua penyerang Barcelona itu menerusi sepakan penalti dianggap penuh kontroversi apabila pengadil Jepun, Yuichi Nishimura menyalahkan kapten Croatia, Dejan Lovren kerana menjatuhkan Fred sekalipun ulang tayang menunjukkan tindakan Lovren adalah minimum.
Jaringan pertama Neymar pada minit ke-29 jelas menjadi pencetus utama kebangkitan Brazil selepas Croatia terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan sendiri Marcelo pada minit ke-11.
Jentera pertahanan Brazil nampak goyah apabila Ivica Olic mudah berjaya melepasi beberapa pertahanan lawan termasuk kapten, Thiago Silva, sebelum melepaskan sepakan lintang rendah yang dikuis Nikica Jelavic sebelum Marcelo menampannya ke gawang sendiri membuatkan penjaga gol, Julio Cesar sekadar terpaku.
Namun, hasil gerakan cantik bersama Oscar, Neymar kembali mencetus riuh penyokong juara dunia lima kali itu menerusi gol pertamanya apabila rembatan rendah dari jarak 25 meter gagal ditampan penjaga gol, Stipe Pletikosa.
Oscar berjaya melepasi kepungan tiga pemain Croatia di tengah padang sebelum melorongkan bola kepada bintang Barcelona itu.
Dua gol Neymar pada perlawanan kali ini menambah jumlah jaringannya buat Brazil kepada 33 gol dalam 50 penampilan.
Ia juga adalah gol keenam Neymar dalam empat aksi terakhir bersama skuad kebangsaan Brazil.
Sementara itu Oscar yang bekerja keras sejak awal, menutup permainan sebagai penjaring hasil usaha solonya untuk menewaskan Stipe Pletikosa buat kali ketiga.
Luahan Perasaan