Piala Dunia: Brazil mula langkah kanan
Juara dunia lima kali Brazil mengurangkan tekanan yang memuncak sebelum kejohanan bermula dengan kemenangan penting 3-1 ke atas Croatia dalam saingan pembukaan Kumpulan A, Piala Dunia 2014 di Stadium Corinthians Arena, sebentar tadi.
Dua jaringan daripada bintang Barcelona, Neymar dan satu daripada Oscar mengesahkan tiga mata untuk anak didik Luiz Felipe Scolari.
Terdahulu, Croatia berjaya mengejutkan Brazil hasil jaringan menerusi gol sendiri pertahanan, Marcelo seawal minit ke-11.
VIDEO Brazil 3-1 Croatia [KLIK]
Selain menjadi gol pertama Piala Dunia kali ini, Marcelo yang juga tonggak gergasi Sepanyol, Real Madrid turut merakamkan rekod apabila bergelar pemain pertama dari Brazil yang meledak jaringan sendiri sepanjang kempen Piala Dunia.
Jentera pertahanan Brazil nampak goyah apabila Ivica Olic mudah berjaya melepasi beberapa pertahanan lawan termasuk kapten, Thiago Silva, sebelum melepaskan sepakan lintang rendah yang dikuis Nikica Jelavic sebelum Marcelo menampannya ke gawang sendiri membuatkan penjaga gol, Julio Cesar sekadar terpaku.
Namun, hasil gerakan cantik bersama Oscar, Neymar kembali mencetus riuh penyokong juara dunia lima kali itu menerusi gol pertamanya apabila rembatan rendah dari jarak 25 meter gagal dibaca penjaga gol, Stipe Pletikosa.
Dan ketika Croatia terdesak memburu jaringan penyamaan, Oscar yang juga bintang Chelsea menampilkan magisnya apabila dengan mudah memperdaya tiga pemain lawan sebelum melepaskan rembatan yang tepat ke gawang lawan pada minit terakhir perlawanan.
Luahan Perasaan