Friday, February 11, 2011

Valentine: Berita Ini, Bukti Ada Kesamaan Islam-Kristian.


KL 11 Feb 11: Berita ini membuktikan ada persamaan, boleh dicari titik-titik pertemuan antara Islam dan Kristian. Dan perbincangan antara Pemuda PAS-PKR (AMK) dengan Pemuda DAP dan Pemuda CCM (Majlis Gereja-gereja Malaysia) boleh dilanjutkan. Demi kesepaduan rakyat... agama bukan punca untuk bertelagah, tetapi punca mencari kebenaran.

Begini beritanya seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini...

Sebuah majlis gabungan gereja hari ini menuntut seorang selebriti meminta maaf atas dakwaan mengaitkan penganut Kristian dengan amalan maksiat.

Tuntutan itu disuarakan oleh Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) hari ini yang mempertikaikan satu kenyataan oleh selebriti berkenaan, Siti Nor Bahyah Mahamood.

Dalam rancangan berkenaan, Siti Nor Bahyah didakwa telah berkata: “Maksiat, disko, 'couple-couple', bersunyi-sunyian, inilah tradisi bagi masyarakat yang beragama Kristian."

NONESiti Nor Bahyah didakwa telah berkata demikian melalui satu rancangan yang membincangkan hukum sambutan Hari Valentine melalui sebuah televisyen tempatan sebelum ini. Pemuda CCM menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak bertanggungjawab", "mengaibkan" dan "amat menyakitkan hati" masyarakat Kristian melalui "serangan terbuka ke atas kepercayaan masyarakat lain tanpa fakta yang dikaji dengan teliti."

Menurut kenyataan itu lagi, Siti Nor Bahyah juga telah melandaskan hujahnya dalam rancangan itu "dengan legenda dan kisah dongeng yang tidak disokong (fakta)."

"(Siti Nor Bahyah) juga telah memilih untuk menggunakan ruang awam untuk mencerca ajaran masyarakat lain dengan pandangan yang salah (dan) diperolok-olokkan sebagai fakta," kenyataan itu dipetik. Tiada asas dalam Kristian

Selebriti berkenaan juga antara lainnya telah menyebut beberapa versi latar belakang sambutan Hari Valentine dalam program berkenaan yang turut disiarkan dalam laman Youtube. Versi pertama yang disebut oleh Siti Nor Bahyah itu membabitkan amalan penyembahan seorang "dewi cinta" oleh masyarakat Rom kuno.

Salah satu lagi versi yang disebut itu membabitkan sambutan bagi memperingati seorang paderi bernama Saint Valentine yang dibunuh kerana menyebarkan ajaran Kristian.

"Saint Valentine inilah yang memainkan peranan besar menjatuhkan kerajaan Islam di Cordoba, Sepanyol. Jadi kalau kita sambut Valentine's Day, maknanya kita sokong Kristian. Kita sokong Inggeris. Kita masuk sebahagian daripada mereka."

"Yang keempatnya sebab kita tak boleh sambut Valentine ini sebab meraikan burung yang suka mengawan pada 14 Februari. Ini ialah tradisi orang Inggeris," kata Nor Bahyah lagi dalam rancangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Pemuda CCM berkata selebriti itu sepatutnya menasihati masyarakat muda supaya bertindak dengan bijak dan tidak dieksploitasi oleh sambutan yang dikomersilkan secara terang-terangan.

Kenyataan itu juga menyebut, Pemuda CCM telah menjelaskan sebelum ini bahawa Hari Valentine dan juga Santa Claus tidak mempunyai asas dalam ajaran Kristian.

Komen Weblog Ibn Hasyim lagi: Pemuda Majlis Gereja menolak kenyataan ....

  • ''Maksiat, disko, 'couple-couple', bersunyi-sunyian, inilah tradisi bagi masyarakat yang beragama Kristian.'
  • 'Hari Valentine dan juga Santa Claus tidak mempunyai asas dalam ajaran Kristian.'

Inilah titik-titik pertemuan antara agama. Benda-benda yang tidak fakta dan tidak ada dalam agama perlu ditolak, apalagi jika ianya mengundang perpecahan. Jangan dikaitkan dengan agama. Maka perlu dicari kejernihan. Contohnya, isu orang bukan Islam sebut nama 'Allah', masalah azan guna pembesar suara dan orang bukan Islam masuk masjid, semuanya ada jalan selesai.

Jadi perbedaan pendapat adalah suatu perkembangan keilmuan yang baik dan sihat, jika diuruskan dengan baik. Ianya mampu membawa perpaduan. Wallahu aklam.

Ada kaitan...

1 comment:

Anonymous said...

lol pelik mengapa di promote sangat 14 feb nie, yang tak tau jd tau, yang dah tau almaklumlah, heran bin ajaib aku...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails