4/30/2012

Ya Allah hidupkan lah aku seperti kehidupan para alim ulama dan matikanlah aku seperti kematian para syuhada!

4/20/2012

Khutbah Keagungan Solat



الحمد لله القائل ((  وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة وذلك دين القيمة )) أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،
أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan berusaha melaksanakan setiap perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,
Hari ini kita akan membicarakan soal kewajipan menunaikan Solat. Tajuk ini dipilih kerana masih lagi kedapatan di kalangan umat Islam yang meremehkan solat malah meninggalkannya tanpa sebarang sebab. Malah di waktu kita menunaikan solat Jumaat pada hari ini ada di kalangan kaum lelaki yang mukallaf meninggalkan solat Jumaat tanpa rasa malu dan segan.
Solat adalah merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah Syahadah. Solat sangat penting kerana ia adalah lambang dan identiti bagi seorang yang mendakwa dirinya sebagai Muslim, justeru Allah SWT telah menfardhukan solat lima waktu sehari semalam, yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang mukallaf sebagai satu tanda dan bukti keIslaman seseorang lantas membezakan diri mereka dengan golongan yang kafir. Oleh itu Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya beza antara sesorang dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat”.
Sabda Baginda lagi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: Janji antara kita dan mereka ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkannya ia adalah kafir!)).
Oleh itu jika kedapat di waktu ini seorang muslim lelaki yang mukallaf tetapi tidak solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran maka mereka tiada bezanya dengan orang kafir dan syirik yang turut tidak solat pada waktu ini.

Sidang Jumaat sekelian,
Dalam kehidupan seorang muslim, solat sepatutnya menjadi agenda utama dan perlu diberikan perhatian dalam apa jua keadaan sekalipun kerana seorang muslim itu tidak harus meninggalkan solat sehinggalah ia meninggal dunia kerana ketika itu ia pula yang akan disolatkan.
Solat dalam kehidupan seorang muslim adalah merupakan kaedah paling berkesan di dalam membangunkan nilai-nilai mulia seperti kebersihan diri, taat kepada pemimpinan, menjernihkan hati, menepati waktu dan sebagainya.
Mengenai kebersihan diri, Islam mensyaratkan ‘taharah’ atau bersuci sebagai syarat utama keharusan atau kesahan seorang untuk menunaikan solat. Syariat Islam telah menjadikan wudhu sebagai syarat sah solat dan begitu juga dengan kebersihan diri dan pakaian serta tempat solat daripada najis. Ini secara tidak lansung mendidik umat Islam bahawa betapa pentingnya menjaga kebersihan malah ia merupakan sebahagian dari indikator keimanan seseorang.
Berkenaan dengan kepimpinan pula, melalui solat, khususnya solat secara berjamaah di Masjid seseorang itu akan terdidik bagaimanakah pentingnya mengikut pergerakan dan tingkah laku Imam yang memimpin kerana Imam adalah lambang kepimpinan yang mesti ditaati selagimana ia berada pada landasan yang betul. Sebaliknya jika Imam dalam solat tersalah atau tersilap maka wajib bagi makmun atau pengikut menegurnya dan ada ketikanya boleh bagi makmum bermufaraqah yakni keluar dari mengikut Imam jika sekiranya Imam tidak membetulkan kesilapannya dalam solat. Amalan inilah yang mesti dipraktikkan dalam kehidupan manusia samada dalam organisasi atau dalam soal bernegara. Mengikut pemimpin adalah wajib selagi dia taat kepada Allah dan RasulNya, tetapi sekiranya dia melanggar perintah Allah dan melakukan kezaliman maka pemimpin seperti ini wajib ditegur dan sekiranya tidak berubah maka wajib ditolak.
Berkenaan dengan kejernihan hati pula, melalui solat hati akan terdidik dengan sifat-sifat mahmudah seperti tenang, damai, merendah diri, sabar, benar dan lain-lain. Semua sifat-sifat ini akan tercerna apabila solat dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan ia boleh diperolehi melalui cara memandang ke tempat sujud ketika solat dan memahami makna-makna zikir dalam solat. Firman Allah Taala dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: ((Telah berjaya orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solat)).
Seterusnya mengenai menjaga masa pula, melalui solat seseorang itu akan sentiasa terdidik dengan budaya menghormati masa. Solat yang paling afdhal ialah dilaksanakan di awal waktu dan bukannya di hujung waktu kerana orang yang melaksanakan solat di hujung waktu adalah dianggap orang yang cuai dan lalai. Dengan solat seseorang itu sentiasa dapat membahagikan masanya dengan teratur dan sentiasa mengawasi masanya agar tidak terbiar begitu sahaja.

Sidang Jumaat sekelian,
Dalam konteks pembangunan insan solat sepatutnya dijadikan kayu ukur dan wasilah terpenting dalam membina keperibadian manusia. Manusia adalah ciptaan Allah dan pastinya Allah Taala lebih Mengetahui bagaimana kaedah terbaik membangun insan dan kaedah itu ialah melalui kefardhuan Solat. Justeru tidak hairanlah Allah Taala menegaskan bahawa melalui solat segala masalah keruntuhan nilai dan kerosakan akhlak akan dapat di atasi. FirmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 45:
(( إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر ))
Maksudnya: (( Sesungguhnya Solat dapat mencegah daripada perkara keji dan mungkar)).
Oleh itu bagi mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti latihan dan kursus samada melibatkan golongan dewasa seperti kakitangan kerajaan ataupun golongan remaja seperti para pelajar, hendaklah menjadikan solat dan solat berjemaah sebagai agenda utama yang dimasukkan dalam tentatif aktiviti yang hendak dijalankan. Ini adalah kerana melalui aktiviti solat dan solat berjamaah akan dapat memupuk nilai-nilai positif di kalangan mereka sepertimana yang telah dinyatakan tadi.

Sidang Jumaat sekelian,
Dewasa ini terdapat umat Islam yang meringan-ringankan solat hingga sanggup melambat-lambatkannya di hujung waktu malah ada yang meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Terdapat juga umat Islam yang sanggup meninggalkan solat semata-mata kerana bersukan, membeli belah, bermesyuarat, berkursus ataupun urusan-urusan dunia yang lain. Persoalannya apakah urusan dunia berkenaan terlalu penting bagi kita sehingga lupa kepada perintah Allah SWT?

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Mudathir ayat 42-43:

Maksudnya:  "Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

4/10/2012

Istimewanya Sistem Perundangan Islam

Istimewanya Sistem Perundangan Islam
Susunan: Zuridan Mohd Daud

Antara ciri-ciri keistimewaan syariat Islam ialah kesyumulannya yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Dalam situasi pergolakan sesama manusia yang menjadi lumrah kehidupan, Allah SWT telah menyediakan jalan penyelesaian bagi meleraikan sebarang pergolakan dan sengketa yang berlaku. Maka wujudlah satu sistem perundangan yang merupakan kaedah terbaik penyelesaian sengketa manusia yang bersifat adil dan saksama.
Sistem perundangan ini dibentuk melalui pensyariatan hukum yang begitu adil dan realistik dengan tempat dan masa bagi memastikan ia sentiasa memenuhi keperluan manusia dalam memelihara nyawa daripada penganiayaan , memelihara harta daripada pencerobohan dan memelihara maruah diri daripada fitnah. Sistem perundangan ini adalah bersumberkan ilahi dan berbeza dengan perundangan manusia yang bersifat lemah dan terhad.

Peranan Qadhi

Bagi memastikan perundangan ini dilaksanakan para fuqaha telah memutuskan bahawa perlantikan seorang qadhi adalah merupakan fardhu kifayah kerana perlaksanaanya tidak akan sempurna tanpanya. Hidup manusia tidak akan tenteram tanpa adanya peleraian terhadap sengketa yang berlaku dan qadhilah yang menjadi pemandunya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 49:

Maksudnya:  Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 105:

Maksud: Sesungguhnya kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang Telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penantang (orang yang tidak bersalah), Karena (membela) orang-orang yang khianat.

Allah SWT berfirman dalam surah Shaad ayat 26:

Maksudnya:  Hai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.


Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 135:

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu Kerana ingin menyimpang dari kebenaran dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.

Menurut Imam al-Qurtubi kesemua ayat di atas adalah menjadi asas kepada perlaksanaan sistem perundangan Islam.

Mengenai tanggungjawab qadhi, Nabi SAW telah memuji mereka yang terlibat dalam urusan menegakkan keadilan dengan menjanjikan mereka ganjaran pahala, tetapi dengan syarat hukuman yang ditetapkan dan keputusan yang dibuat adalah berpaksikan kepada keadilan.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
"لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا"
Maksudnya: “Janganlah berdengki kecuali dalam dua perkara: (Iaitu terhadap) seorang yang dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan kepada kebenaran dan seorang yang dikurniakan hikmah (pengetahuan) lalu dia menghukum dengannya dan dia mengajarkannya”.

Ibnu Hajar al-Asqallani berkata: “Dalam hadis tersebut di atas ada galakan kepada mereka yang memenuhi syarat untuk menjadi qadhi atau hakim, juga memiliki kekuatan dalam menegakkan kebenaran dan mempunyai penolong-penolong, kerana ia adalah kerja amar makruf, membantu orang yang dizalimi, mengembalikan hak kepada yang berhak, menghalang tangan yang zalim dan mendamaikan antara manusia. Semua itu adalah sebahagian dari amal kebaikan taqorrub kepada Allah. Kerja ini telah dilaksanakan oleh para Nabi, kemudian diikuti oleh para khulafa al-Rasyidin, kemudian (para fuqaha) sepakat bahawa ia adalah fardhu kifayah, kerana urusan hidup manusia tidak akan sempurna tanpanya….”. (Maktabah Syamilah:Juz 20 hal 158).

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
"إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ"
Maksudnya: “Apabila hakim menetapkan hukuman lalu berijtihad kemudian ijtihadnya betul maka baginya dua ganjaran pahala, dan apabila dia menghukum lalu berijtihad kemudian salah, maka baginya satu ganjaran pahala”.

Dalam pada itu tugas qadhi atau hakim juga adalah terdedah kepada ancaman daripada Allah SWT sekiranya tidak melaksanakan hukuman berdasarkan hukuma Allah Taala. Di dalam surah al-Maidah ayat 47, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.
Oleh itu adalah wajib bagi seorang qadhi melengkapkan diri dengan persiapan ilmu dan kemahiran berijtihad agar keputusan yang dibuat adalah tepat, benar dan adil. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwiyatkan oleh Ibnu Majah (Maktabah Syamilah:7/104):
الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ اثْنَانِ فِي النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ رَجُلٌ عَلِمَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ جَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Qadhi itu ada tiga jenis: Dua (dimasukkan) dalam neraka dan satu dalam syurga. Qadhi yang mengetahui tentang kebenaran dan berhukum dengannya maka dia (dimasukkan) dalam syurga, qadhi yang menghukum di kalangan manusia di atas kejahilan adalah dalam neraka dan qadhi yang zalim pada hukuman maka dia juga dalam neraka”.

Oleh itu bagi memastikan amanah melaksanakan keadilan dalam undang-undang dan menentukan hukuman dapat dilaksanakan dengan betul dan adil, para ulama telah menetapkan beberapa syarat kepada seorang qadhi, iaitu seperti berikut:
1)    Beragama Islam.
2)    Hendaklah dia seorang lelaki, baligh dan berakal.
3)    Memiliki kebijaksanaan.
4)    Merdeka, bukan hamba.
5)    Berlaku Adil.
6)    Baik pendengaran, penglihatan dan percakapan.
7)    Mempunyai pengetahuan mengenai hukum syarak.

Di samping itu seorang qadhi hendaklah bersikap saksama dalam muamalahnya dengan kedua-dua belah pihak yang bersengketa. Dia hendaklah memberikan peluang yang sama kepada keduanya untuk bertemu dengannya, mendengar penjelasan secara adil dari kedua belah pihak dan hendaklah melayan kedua-duanya secara adil tanpa pilih kasih, meskipun dia mengenali salah seorang darinya. Jika sebaliknya berlaku ia akan meruntuhkan kepercayaan sebelah pihak terhadap qadhi dan mengikis keyakinan kepada keadilan perundangan Islam. Justeru Allah SWT sangat menekankan soal keadilan dalam setiap urusan sepertimana firmanNya dalam surah al-Nisa ayat 135:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu, jika ia kaya ataupun miskin, Maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran, dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.

Seorang qadhi juga harus berada dalam keadaan terbaik ketika melakukan sesuatu penghakiman iaitu dia tidak terganggu fikiran dengan urusan lain, tidak terlalu lapar dan dahaga dan tidak dalam keadaan emosi atau marah yang boleh mengganggunya dalam memahami situasi sebenar sesuatu kes dan mempengaruhinya dalam membuat keputusan.

Keistimewaan Perundangan Islam.

Islam telah menetapkan bahawa hukuman ke atas manusia berlaku di dunia dan juga di akhirat. Di dunia bagi menjamin ketenteraman hidup manusia manakala di akhirat sebagai balasan abadi kerana engkar kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Meskipun secara umumnya semua manusia mengakui keperluan wujudnya peraturan dalam hidup, namun masih ramai juga yang tidak berpuas hati dengan perundangan yang ada.

Manusia secara umumnya boleh diketegorikan kepada dua kelompok dari sudut kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Pertama mereka yang percaya dan taat kepada undang-undang Islam kerana yakin ia adalah satu kewajipan dan membawa kebaikan. Kedua mereka engkar dan melanggar undang-undang samada kerana jahil atau tahu tetapi enggan patuh. Bagi golongan kedua, tiada cara lain untuk memberikan kesedaran kepada mereka melainkan dengan dikenakan hukuman dan hukuman tersebut pula mestilah setimpal dan benar-benar mampu memberi bekas kepada mereka.

Disyariatkan hukuman di dunia pada hakikatnya dalah satu rahmat kepada manusia, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (Maktabah Syamilah:8/414) :

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seorang hamba akan disegerakan hukuman ke atasnya di dunia dan apabila Allah menghendaki keburukan kepada seorang hamba akan ditangguhkan baginya hukuman atas dosanya hingga disempurnakan pada hari Kiamat kelak”.
Hukuman terhadap mereka yang melanggar hukum syarak adalah umpama ubat yang diberikan buat anggota tubuh badan yang sakit bagi menyekatnya dari merebak kepada anggota tubuh yang lain. Begitulah hukuman kepada pelaku jenayah dalam Islam, ia bukan sahaja bertujuan menghukum tetapi ia lebih kepada memelihara maslahah masyarakat umum.

Sistem hukuman dalam Islam juga dibentuk tanpa membezakan setiap individu dalam masyarakat, kerana manusia adalah sama berdepan dengan undang-undang Islam, malah Islam menganggap bahawa membezakan golongan tertentu dalam perlaksanaan undang-undang adalah penyebab utama kehancuran kepada sesebuah Negara Islam. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (Maktabah Syamilah:11/294):

"إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا".

Maksudnya: “Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu, bahawa apabila ada di kalangan orang ternama di kalangan mereka mencuri mereka biarkan, manakala jika ada orang yang lemah mencuri, mereka kenakan hudud ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Rasulullah mencuri nescaya ku potong tangannya.”

Para pemerintah Negara Islam pula tidak seharusnya mencipta seribu alasan untuk tidak melaksanakan undang-undang jenayah Islam seperti hudud, kerana keengganan melaksanakan hukum Allah SWT adalah penyebab kepada berkurangnya rezeki dan tercabutnya nikmat keamanan dalam sesebuah Negara Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (Maktabah syamilah:7/431) :
حَدٌّ يُعْمَلُ بِهِ فِي الْأَرْضِ خَيْرٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا
Maksudnya: “Hukum had (hudud) dilaksanakan di muka bumi lebih baik bagi penghuni bumi daripada diturunkan hujan kepada mereka selama 40 pagi.”

Dari aspek perlaksanaannya, undang-undang Islam menjadikan dua perkara utama sebagai terasnya iaitu keadilan dan menakutkan:

Apa yang dimaksudkan dengan teras pertama iaitu ‘keadilan’ ialah setiap hukuman yang dikenakan adalah melihat kepada ukuran jenayah yang dilakukan tanpa sebarang unsure melampau atau terlalu ringan. Ini kerana ia datang dari Allah SWT yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang sesuai untuk manusia, berbeza dengan hukuman yang dikenakan di bawah undang-undang manusia yang lemah dan terbatas.

Sebagai contoh hukuman potong tangan terhadap pencuri. Ada yang mendakwa ia kejam kerana pencuri akan hilang tangannya selama-lamanya, tetapi jika diukur dengan jenayah yang dilakukan iaitu mencuri harta orang, memecahkan rumah, membuat ugutan, menimbulkan kekacauan awam malah mengancam jiwa manusia dengan tangannya, maka hukum potong tangan adalah wajar . Ia bukan sahaja boleh memberi pengajaran berguna kepada pencuri malah masyarakat umum mendapat pendidikan bahawa perbuatan mencuri perlu dijauhi kerana hukumannya terlalu berat. Sebaliknya dengan menolak hukum potong tanganlah telah menyebabkan jenayah mencuri tidak dapat dibendung malah semakin menjadi-jadi waktu ini.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 38:

Maksudnya: “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya..”.

Ada juga yang mendakwa bahawa perlaksanaan undang-undang Islam menyebabkan hak individu terhalang seperti zina dan minum arak. Dakwaan ini secara tidak lansung terjawab apabila kita melihat kesan zina dan minum arak itu sendiri. Zina meskipun ia melibatkan individu, namun penyakit yang merebak akibat perzinaan sudah tidak dapat dibendung lagi. Perbuatan zina bukan sahaja menyebabkan penyakit berjangkit di kalangan pelakunya malah masyarakat umum terdedah dengan penyakit yang tiada penawarnya iaitu Aids. Begitu juga dengan minum arak, memanglah peminumnya adalah individu tetapi kesannya amat besar kepada mereka yang berada di sekeliling seperti anak dan isteri, jiran tetangga dan masyarakat umum. Jenayah, kemalangan jalanraya, kecurian dan pembunuhan yang berlaku hari ini adalah berpunca dari ketagihan arak. Tidak dapat disangkal lagi bahawa zina dan arak sebenarnya menjadi punca keruntuhan nilai dalam semua masyarakat dunia pada hari ini. Justeru pengharamannya bukan menyekat kebebasan tetapi sebaliknya mahu membebaskan manusia dari perbuatan terkutuk yang memusnahkan kerukunan dan keharmonian hidup.

Teras yang kedua pula ialah ‘menakutkan’ iaitu hukuman yang dikenakan di bawah undang-undang Islam seperti potong tangan, sebatan dan rejam adalah bersifat sangat keras. Ini bertujuan menakutkan jiwa penjenayah yang akan mempermainkan undang-undang jika ia tidak  keras dan menakutkan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 38:

Maksudnya: “….(sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Kesimpulan

Bagi menjamin keberkesanan undang-undang dalam mengekang jenayah yang semakin berleluasa, dua faktor utama yang perlu diberikan keutamaan iaitu pertama faktor qadhi atau hakim yang benar-benar adil dan takutkan Allah SWT, dan kedua ialah faktor undang-undang itu sendiri mestilah bersumberkan wahyu Allah SWT. Ini adalah kerana bagi membetulkan tingkah laku manusia hanya Allah SWT sahaja sebagai Tuan dan Pencipta manusia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mereka. Jika kedua-dua faktor ini tiada atau hanya salah satu sahaja yang wujud maka selama itulah keadilan untuk manusia tidak akan dapat ditegakkan.