Selasa, 29 April 2014

Selero Nogori Pulak!

Alang-alang sudah berada di Setapak, tidak sah rasanya jika tidak menjamu selera masakan ala nogori di kedai makan biras penulis yang berhadapan dengan Rumah Pangsa Seri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur.
Gerai Kak Liza
Sebelum penulis ke Setapak, penulis bertanya terlebih dahulu kepada saudara mara di mana hendak mencari warung, gerai atau kedai makan yang menyediakan Makanan Masakan ala Negeri Sembilan yang sedap di sekitar Setapak ini. Mereka sepakat mencadangkan agar penulis mencuba makan di Kedai Makan Kak Liza yang terletak di hadapan Rumah Pangsa Seri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur.
Kak Liza sedang melayan pelanggannya.
Rupa-rupanya Kak Liza yang mereka maksudkan adalah saudara mara kami juga. Kak Liza yang mereka cadangkan adalah isteri kepada abang isteri penulis yang berasal dari Negeri Sembilan. Penulis baharu sahaja mendapat tahu bahawa Kak liza seorang pengusaha kedai makanan di sini. Tetapi, penulis sudah lama mengatahui bahawa Kak Liza memang seorang yang teror dalam bidang masak-memasak ni.
Abang ipar, Abang Lan sedang mengisi lauk untuk pelanggannnya..
Akhirnya penulis sampai juga di gerai Kak Liza ini. Penulis sampai sebelum lunch time jadi, lauk pauknya belum banyak yang siap lagi. Tetapi, bagi penulis kira banyak juga lauknya sebab hendak memilih lauk pun sudah menjadi rambang mata dibuat nya.. hehehe.
Masak lemak cili api.
Tempat pertama yang penulis tuju ialah mencari lauk tempat masak lemak cili padi. Terkejut juga penulis melihatnya apabila ada pelbagai jenis lauk masak lemak yang berasaskan masak lemak cili api iaitu ada ikan, ada ayam, ada telur dan bermacam-macam lagi. Sekejap hendak pilih ikan dan sekejap hendak ayam.. Hurmmm... akhirnya untuk masak lemak ini penulis pilih ayam sahaja.
Ikan keli berlada dan ayam goreng berempah pun ada.
Penulis terpaksakan mengurangkan nasi sebab penulis hendak mengambil banyak lauk. Selain masak lemak cili padi ayam, penulis juga ambil ikan keli berlada, kari daging lembu, sayur rendang kacang panjang dan ayam goreng berempah. Alhamdulillah kesemua lauk yang penulis ambil memang sedap-sedap belaka.
Antara lauk pauk yang ada.
Kedai makan Kak Liza ini tidaklah besar, tetapi memang penulis cadangkan makan di Kedai Makan Kak Liza ini jika anda berada di Setapak kerana masakan dia semuanya sedap dan masak lemak cili padi yang dibuat memang betul-betul citarasa orang-orang Negeri Sembilan.

Isnin, 28 April 2014

Pekena Sate Minang di Restoran Rose

Malam tadi penulis pekena Sate Minang. Penulis teringin sangat kerana sudah lama tidak menikmati Sate Minang. Lagipun sudah lama penulis tidak ke Kampung Baru atau Pasar Chow Kit. Jika di Kampung Baru, selalunya penulis akan makan Sate Minang di Restoran Rose.
Restoran Rose di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Restoran yang menyediakan masakkan Minang di Kampung Baru.
Sate Minang ini, ada 5 cucuk sate dan nasi impit berserta kuah. Kuahnya yang pedas dicampur pula dengan ramuan rempah ratusnya, ramuan ini menyebabkan sate ini menjadi lebih sedap dan amat menyelerakan. Sate Minang ini selain menggunakan daging ayam, mereka menggunakan daging lembu yang telah di salai...
Pekerja sedang membakar sate Minang.
Pekerja restoran sedang membuat kuah pecal.
Jika anda memesan set Sate Minang Special, anda akan mendapat 5 cucuk sate ayam dan 5 cucuk sate daging berserta nasi impit bersama kuah yang ditabur bawang goreng di atasnya. Set ini cuma berharga RM7.50 sahaja. Ada set-set sate yang lain seperti Sate Minang Biasa Rm5.50, Sate Kacang Special RM7.50 dan Sate Kacang Biasa RN5.50.
Sate Minang.
Set Sate Minang Special berharga RM7.50.
Jika anak dan isteri penulis, mereka berdua boleh makan 4 set (2 set setiap sorang lah) Sate Minang ini dalam satu-satu masa sahaja. Wah, dasyatnya perut mereka, nampak sahaja kecil tetapi ada ruang untuk makan Sate Minang ini banyak-banyak....
Hanya tinggal nasi impit.
Nasi Padang.
Restoran Rose ini bukan sahaja menyediakan menu Sate Ala Minang, malah menyediakan pelbagai menu masakan dari Indonesia terutamanya dari daerah Padang, Samutera iaitu masakan ala Minangkabau. Antara menu lain yang menjadi tumpuan pelanggan ialah sate kacang, nasi padang, nasi gurih, bakso, pecal, soto, gado-gado dan lotex.
Macam-macam masakkan Minang ada di sini.
Semakin malam semakin meriah di Restoran Rose.
Restoran Rose ini berhampiran dengan Masjid Jamek Kampug Baru, di sebelah dengan bangunan Zikray.. Alamat kedai ini, disertakan sekali. Restoran Rose, No. 49A Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, WP Kuala Lumpur 50300. Restoran ini berhadapan dengan Restoran Garuda.

Jumaat, 25 April 2014

Hari Jumaat dan Perniagaan... Mencari Rezeki yang Halal!

Semasa dalam perjalanan pulang dari sembayang Jumaat di Masjid Albukhary tadi, tiba-tiba penulis teringat ada sebuah blogs yang menulis bertajuk “Etika Perniagaan Dalam Islam”. Izinkan penulis copy paste isi kandungan di blogs tersebut yang menulis mengenai etika perniagaan terutamanya berkait dengan urusan niaga di hari Jumaat. Semoga ia memberikan kebaikan dan bimbingan untuk kita semua.
Berniaga songkok di pintu pagar masjid.
Berniaga wallet.
Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala hari ini.
Menikmati  nasi beriani ayam atau kambing sebelum Azan Jumaat berkumandang.
Bungkus nasi campur untuk dimakan di pejabat.atau di rumah.
Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9, yang bermaksud: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”
Mencari rezeki halal di hari Jumaat.
Berniaga makanan menjadi tumpuan ramai.
Ayat di atas menjelaskan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan URUSAN JUAL BELI ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan.
Tinggalkan urusan jual beli ketika Sembahyang Jumaat.
Masjid Al'Bukhary
Kita semua, sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat tentang isu yang melibatkan hukum halal haram ini. Allah swt telahpun memberikan peringatanNya yang jelas dalam Al Quran. Dalam menangani isu ini, beberapa pendekatan telah dicadangkan: 
  1. Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang. 
  2. Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja. 
  3. Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah . 
 Wallahua’lam.

Khamis, 24 April 2014

Hujan

Hujan - Sudirman

Lirik Lagu Hujan – Sudirman 

 Hujan yang turun bagaikan mutiara 
Berkilau bersinar berkerdipan 
Subur menghijau bumi terbentang 
Dan bayu berpuput lembut 

 Cinta yang bersemi 
Diwaktu hujan turun 
Menyirami ketandusan hati 
Dan hujan turut mengiringi 
Engkau pergi 

 Selembut hujan bercurahan 
Begitulah cinta ini 
Semesra bumi yang disirami 
Begitulah hati ini 

 Hujan yang turun bersama air mata 
Bersama pedih, bersama rindu 
Kau datang dan kau pergi jua 
Rindu lagi

Rabu, 23 April 2014

Catatan kehidupan – Catuan air

Sabtu, 19 April 2014 
Pagi cuaca memang baik, amat sesuai menjemur pakaian. Malangnya air tiada. Air ada menjelang tengah hari, selesai isteri membasuh pakaian, hujan pun turun dengan lebatnya hingga ke petang.
Di Ampang, hujan turun dengan lebatnya dari pagi hinggalah ke petang.
Ahad, 20 April 2014 
Air ada, cuaca tidak menentu hujan sekali-sekala, aku berkejar-kejar menjemur dan mengangkat pakaian (pakaian tidak juga kering), sedangkan aku ada kerja yang “urgent” untuk disiapkan iaitu pembetulan reka bentuk buku teks.
Menadah air hujan ditempayan.
Isnin, 21 April 2014 
Hujan turun dengan lebatnya, sehingga air longkang di hadapan rumah melimpah. Itu tandanya hujan memang lebat. Air di luar rumah turun mencurah-curah, tetapi air di dalam rumah masih dicatu. Aku terus menanti kununnya ada Bonus Air untuk hari ini. Pada tanggal ini aku diberitahu ada beberapa tempat mengalami “Banjir Kilat”. Apakah empangan di negeri Selangor tidak mengalaminya?!!.
Di Kuala Lumpur juga hujan setiap hari.
Allah telah memberikan air kepada aku melalui hujan, kerana aku seperti Sang Kodok sering memanggil-manggil hujan. Aku ingin seperti Sang Kodok juga untuk memanggil-manggil supaya Lidah Keramat MB Selangor untuk menyatakan “Berkuat kuasa hari ini di Selangor tiada lagi catuan air” Sebagai pengguna aku bukanlah suka membazir, kerana bil air aku paling mahal hanya 65 sen sebulan.

Selasa, 22 April 2014

Niat di Hati Hendak Makan Nasi Arab di Masjid Negara Tetapi...

Hari Jumaat minggu lepas, penulis sempat bersolat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Sebelum waktu sembahyang Jumaat tiba, penulis sempat merayau-rayau di sekitar bazar di sebelah Masjid Negara sambil menyaksikan kerenah para pembeli dan peniaga di situ. Jika sempat, penulis hendak menjamu selera nasi beriani atau nasi arab di situ... Insyallah..
Apabila azan berkumandang, orang ramai pun menuju ke Masjid Negara.
Suasana bazar di sebelah Masjid Negara.
Penulis dapati, ramai yang berniaga makanan dan tidak kurang juga yang berniaga pakaian, minyak wangi, cermin mata, dvd ceramah agama, kasut dan ubat-ubatan tradisional. Penulis dapati bazar ini sungguh meriah sekali kerana ramai pelanggan yang membeli belah sambil menikmati makanan di situ. Didapati ada pelancung tempatan dan luar negara yang turut serta membeli belah di sini untuk memeriahkan lagi suasana.
Ada gerai yang menjual madu dan minuman kesihatan.
Gerai yang menjual Minyak Angin Serai dan Jus Mungkudu.
Penulis cuma berehat sekejap dan sempat merakamkan beberapa keping gambar yang menarik di sekitar bazar tersebut. Niat dihati hendak makan nasi beriani yang terjual disitu tetapi terpaksa dibatalkan kerana terlalu ramai pelanggan yang berbaris di gerai tersebut dan tempat duduknya pula sudah dipenuhi dengan pelanggan. Penulis dapati di bawah pokok juga ramai para pelanggan sedang menikmati makan tengahari yang hanya duduk beralaskan akar-akar pokok sahaja. Lagipun pada masa itu Azan Jumaat sedang berkumandang. Penulispun terus menuju ke Masjid Negara.
Antara gerai-gerai yang berniaga di bazar Masjid Negara.
Kopi Panggung Ambiak pun ada dijual di bazar Masjid Negara.
Setibanya di bangunan masjid, penulis berada di bahagian luar, kebetulan penulis tidak berapa sihat dan kepenatan dan tidak larat hendak memanjat anak-anak tangga untuk naik ke atas untuk masuk ke ruang utama masjid. Penulis hanya bersembahyang di luar sahaja. Sayang sekali, sistem pembesar suara tidak begitu baik dan khutbah Jumaat hanya kedengaran sayup-sayup sahaja.
Orang ramai sedang makan nasi beriani...
Orang ramai semakin ramai.
Diharap masalah sound system nya sebagai antara keutamaan untuk diperbaiki agar segala penyampaian maklumat dapat diikuti oleh semua jamaah, di bahagian dalam atau luar masjid. Selain daripada itu, seperti bacaan imam yang merdu, ruang wudhu’ yang selesa dan lain-lain rasa tiada masalah sangat.
Gerai makanan kering dari Timur Tengah.
Gerai mee rebus dan laksa.
Selesai sahaja bersolat Jumaat, penulis singgah ke bazar sekali lagi. Di bazar tersebut, rupa-rupanya ada peniaga yang menjual nasi arab. Penulis sendiri memang teringin sangat menikmati nasi arab tersebut tetapi tidak sanggup beratur panjang dan berebut-rebut pula untuk mencari tempat duduk. Walaupun penulis penggemar tegar nasi arab, tetapi terpaksa dibatalkan juga niat tersebut. Tetapi tidak mengapalah, mungkin next time bolehlah mencuba nasi arab ini. Minggu depan, penulis kena datang seawal mungkin untuk membeli nasi arab ini dan makan dengan selesa.
Orang ramai berbaris panjang untuk memesan Nasi Beriani Kambing.
Nasi campur juga menjadi tumpuan ramai.
Kelihatan nasi arab tersebut memang sedap dan penulis sendiri ternampak di dalam periuk, mereka tanak nasi arab itu dengan ayam dan daging sekali. Ada daging ayam, daging kambing dan daging lembu. Penulis ada terdengar ada pelangan yang membeli nasi arab kambing bersama air, cuma berharga RM12.00 sahaja. Biasalah, harga nasi arab memang mahal sedikit kerana rasanya sedap dan menggunakan beras Basmathi.
Gerai makanan memang jadi tumpuan ramai.
Ruang tempat duduk telah dipenuhi pelanggan Nasi Beriani/Arab Kambing.
Ada air akar kayu percuma yang peniaga berikan kepada pelanggan yang hendak mencuba. Akar kayu yang telah diproses khas untuk lelaki, perempuan dan juga keluarga. Rasanya tidaklah pahit dan sangat sesuai untuk buang angin dan bermacam-macam khasiat lagi. Amalan meminum air akar kayu ini adalah amalan orang zaman dahulu cuma ianya telah diinovasikan dalam bentuk kodial. Kini akar kayu ini tidak perlu direbus lagi. Jika hendak mencuba datanglah ke Masjid Negara. Gerai-gerai di sini hanya beroperasi sempena solat Jumaat sahaja.

Isnin, 21 April 2014

Lebuhraya Sambungan Sungai Besi Kini Telah dibuka

Pembinaan Lebuhraya Sungai Besi atau Besraya Eastern Extension (BEE) sepanjang 12.3 kilometer kini sudah siap sepenuhnya. Lebuhraya ini dibuka dengan secara rasminya pada hari Rabu yang lalu.
Jejambat di Pandan Mewah berhampiran dengan Hospital Ampang.
Jejambat di Pandan Indah. Dahulu jalan ini sentiasa sesak.
Kini, penulis sangat happy kerana memandu dengan lancar dan tidak lagi menempuh kesesakkan lalulintas yang teruk setiap kali ke tempat kerja. Biasanya penulis mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke tempat kerja. Tetapi kini hanya mengambil masa hanya 20 minit sahaja.
Lebuhraya di Pandan Indah yang lenggang.
Jejambat di Pandan Indah.
Walaupun sudah seminggu lebuhraya ini sudah dibuka untuk orang ramai, namun lebuhraya ini masih lagi lengang. Kemungkinan besar orang ramai masih tidak mengatahui sambungan Lebuhraya Sungai Besi ini dari arah mana ke mana. Bagi penulis, setakat ini lebuhraya dari Bandar Baru Ampang hingga ke Taman Maluri Cheras, jalannya begitu lancar sekali.
Jejambat di Cheras Indah
Lebuhraya Cheras Indah.
Penulis hanya menempuh kesesakkan lalulintas apabila terpaksa melalui Jalan Cheras Lama iaitu di Taman Maluri sehinggalah ke Jalan Loke Yew untuk ke tempat kerja di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Rasa-rasanya kesesakkan di lebuhraya ini tidak dapat dielakkan buat masa ini kerana di Taman Maluri sedang dalam pembinaan keretapi MRT dan jalan tersebut juga adalah pintu masuk ke Pusat Bandaraya..
Lebuhraya di Taman Shemelin.
Jejambat di hadapan PGRM Cheras.
Sambungan lebuh raya Sambungan Sungai Besi ini menghubungkan secara langsung Lebuhraya Sungai Besi, Jalan Istana, Jalan Lingkaran Tengah Satu (MRR1) dan Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).
Plaza tol Jalan Loke Yew.
Jejambat di PGRM, Cheras
Penulis difahamkan, pengguna akan dikecualikan daripada kutipan tol di Plaza Tol Loke Yew selama satu bulan bermula hari Rabu minggu lepas sehingga 14 Mei depan.