Selasa, 29 Mac 2011

Mentarang

Sesiapa yang pernah berkunjung ke kampung penulis iaitu Sungai Besar di Sabak Bernam, pastinya akan terlihat gerai-gerai menjual Mentarang di tepi jalan raya. Sejarah Mentarang di kampung penulis bermula selepas Tsunami dimana banyak Mentarang membiak disini. Sebelum ini Mentarang hanya terdapat di sekitar Sungai Berembang dan Sungai Baru di negeri Perlis sahaja. Oleh kerana itu, penulis tidak pernah melihat binatang Mentarang ini di zaman kanak-kanak dahulu.

Mentarang yang baru dinaikan dari laut.

Mentarang berada di dalam lumpur sedalam 50 cm dan biasanya didapati pada jarak 300 meter dari pesisir pantai. Untuk memperolehinya terpaksa mengorek lumpur ketika bila air laut surut. Harganya boleh mencecah RM7 sekilo. Bau dan rasanya agak berlumpur. Tetapi ramai yang gemar makan Mentarang ini. Jika anda hendak menikmati Mentarang ini kenalah berhati-hati, anda dikehendaki membuang lendir jernih pada Mentarang terlebih dahulu untuk mengelakkan perut anda yang sensitif itu meragam.

Mentarang yang akan dijual.

Sempat juga penulis melawat ke blog-blog dan forum-forum lain untuk mencari resepi yang sesuai hendak memasak Mentarang ini. Antaranya di Malaysian Fishing Net Forum. Mentarang ini dikatakan enak dimasak berkuah dengan serai, ditumis cili atau dibuat gulai lemak bersama nenas. Walaupun sukar untuk membersihkannya kerana keadaan yang berselut, keenakan rasa isi yang manis menyebabkan ramai sanggup memandu jauh untuk mendapatkan Mentarang ini.

Saudara mara penulis sedang membeli Mentarang.

Mentarang sama habitatnya dengan Lokan yang tinggal di dalam lumpur. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan merendam dalam air yang dicampurkan beberapa biji cili padi yang telah dipecahkan supaya segala lumpur dalam badannya dikeluarkan. Rebus sebentar untuk menanggalkan isinya. Untuk menikmati kelazatan Mentarang dengan masakan yang simple, hanya potong dua dan goreng dengan pepper dan bawang besar sahaja.

Mentarang yang di masak secara rebus.

Setiap kali pulang ke kampung, penulis sangat teruja untuk menikmati kelazatan masakan berasaskan Mentarang ini. Selepas ini penulis hendak mencari Lala, Kerang, Kepah dan Kupang pula. Jika ada rezeki, penulis bercadang hendak menikmati kelazatan Lobster (Udang Karang yang sangat mahal) dan bamboo clam pula.

Ahad, 27 Mac 2011

MASKARA 'AKAR' SHOWCASE

Walaupun penulis agak sibuk dengan tugasan buku teks sekarang, namun penulis masih dapat meluahkan masa untuk menghadiri Maskara "Akar" Showcase atau dikenali juga dengan malam MASKARA yang telah berlangsung di Rumah Pena pada malam semalam. Penulis amat terhibur pada malam tersebut kerana dapat menyaksikan persembahan mini konsert dari kumpulan Tri Hadzir, Amirah Ali, Sani Sudin Asmidar Ahmad dan Kumpulan Dewangga Sakti.

En. Nazri sedang merakamkan suasana majlis pada malam itu.

Penonton sangat terhibur pada malam itu.

Antara penontong yang datang.

Pentas Maskara.

Kumpulan Tri Hadzir.

Amirah Ali membuat persembahan.

Penampilan istimewa dari Sani Sudin.

Pian Habib membuat pelancaran buku.

Asmidar Ahmad.

Asmidar Ahmad menyanyikan lagu-lagu tradisional.

Dewangga Sakti.

Dewangga Sakti.

Walaupun tidak ramai yang hadir mungkin ada persembahan hiburan percuma di Dataran Merdeka, tetapi jamuan yang disediakan oleh penaja & pihak penganjur amat menyelerakan sehingga berjaya dihabiskan oleh tetamu yang hadir. Terima kasih daun keladi kepada mereka.

Tidak sabar pula menanti majlis MASKARA yang akan datang...

Sabtu, 26 Mac 2011

Kenapa Saya Pilih 1000D

Penulis ada kamera DSLR. Sudah banyak foto yang dirakamkan menggunakan kemera ini. Foto-foto yang dirakamkan boleh dikongsi untuk sama-sama kita belajar. Penulis akan kongsikan di blog ini seperti mana yang telah dilihat di dalam entry-entry yang lepas. Foto-foto yang cantik dan yang tidak cantik itu adalah hasil dari pembelajaran penulis menggunakan kamera jenis ini.

Sungguh ringan, kecil dan murah.

Jika boleh, penulis hanya guna kamera DSLR yang paling kecil sahaja. Senang hendak di bawa ke mana-mana. Setakat ini, kamera berjenama Canon, model 1000D ini adalah yang paling sesuai untuk penulis. Sungguh ringan, kecil, murah dan paling penting kualiti gambarnya. Penulis tidak akan promote jenis kamera apa yang paling bagus, cuma apa yang penulis gunakan adalah kamera jenis Canon model, 1000D. Jika untuk update blog, rasanya lebih daripada cukup.

Outing di Tasik banding.

Oleh kerana penulis banyak merakamkan foto untuk majlis perkahwinan dan aktiviti-aktiviti kelab, ’shutter count’ kamera ini telah mencecah sehingga 70,000 kali click. Bermakna penulis telah menggunakan shutter kamera ini lebih dari 70,000 kali. Mungkin hanya tinggal 30,000 kali click sahaja dan selepas itu ia akan ‘mati’. Sekiranya masih di click lagi, ianya tidak akan berfungsi.

Penulis dan 1000D

Pada mulanya, penulis terasa segan menggunakan kamera jenis Canon 1000D ini. Terutama ketika mengambil foto di majlis perkahwinan. Mana tidaknya, keluarga dan rakan-rakan pengantinpun menggunakan kamera model 60D dan ke atas. Tetapi lama kelamaan, penulis buat tidak kisah sahaja. Dalam situasi seperti ini, anda tidak perlu panik dan terus menukar kamera yang lebih canggih. Apa yang perlu anda lakukan adalah memperbaiki kualiti gambar yang dirakam untuk pelanggan. Kepada anda yang menggunakan kamera yang lebih canggih, itu adalah satu bonus. Tahniah!

Outdoor pengantin di A Famosa, Melaka.

Penulis suka yang ringkas. Penulis hanya membawa kamera 100D dan lensa 50mm sahaja. Cukup ringan bagi kategori DSLR. Mudah di bawa dan di isi ke dalam beg. Jika ada subjek sesuai, penulis akan keluarkan kamera dan shot untuk dikongsikan ke dalam blog ini. Jika rajin, penulis akan membawa satu unit flash. Manalah tahu, ianya perlu untuk digunakan.

Antara gambar pengantin yang dihasilkan.

Kepada rakan-rakan yang memiliki kamera sekecil 1000D, tidak perlu la risau tentang kualiti gambar atau rakan di sebelah menggunakan kamera besar daripada anda. Yang paling penting kita faham macam mana nak ‘tangkap gambar’. Jangan terpedaya dengan kecanggihan teknologi.

Khamis, 24 Mac 2011

Baling

Minggu lalu, penulis bersama rakan sepejabat iaitu Haji Man dan en. Daud ke Baling, Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat. Sepanjang 3 hari 2 malam di sana, kami sempat jalan-jalan ke tempat-tempat menark di daerah Baling. Baling merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman. Di pinggir pekan Baling terdapat gunung batu yang dikenali dengan nama Gunung Baling. Di sebelah belakang gunung itu terdapat beberapa buah kampung. Antara kampung-kampung itu adalah Kampung Padang Cik Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Charok Bakong dan Kampung Becah Tok Bulan.

Perhentian bas di Pekan Baling.

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Minum teh herba di salah satu gerai di Pekan Baling.

Dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam dan orang Burma yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam dan berniaga untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Pekan Baling.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi, kegembiraan mereka tidak kekal lama, buah-buahan mereka diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka “Ban-Lin” yang bererti “kera”. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjad Baling.

Kami menginap di Hotel Bayu.

Baling sebuah daerah yang terkenal dengan pelbagai susur galur sejarah yang juga mewarnai sejarah tanah air. Baling merupakan tempat di mana Parti Komunis Malaya, Kerajaan Malaysia, dan British berjumpa pada tahun 1955 untuk menamatkan Darurat. Tunku Abdul Rahman, yang ketika itu merupakan ketua kerajaan, memujuk ajar komunis menyerah secara aman dan berjanji tiada tindakan keras akan diambil terhadap mereka. Tetapi, Chin Peng yang merupakan ketua Parti Komunis Malaya mendesak agar kerajaan dan pihak British mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang sah supaya ia boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya di Malaysia. Permintaan ini ditolak dan menyebabkan tiada perjanjian dicapai.

Haji Man dan en. Daud bergambar berlatar belakangkan Gunung Baling.

Terdapat 7 mukim di daerah Baling iaitu Mukim Siong, Mukim Baling/Bongor, Mukim Pulai, Mukim Kupang, Mukim Tawar, Mukim Teloi Kanan dan Mukim Bakai. Terdapat 183 kampung, serta berpuluh taman perumahan di daerah ini. Bandar atau pekan yang berada di daerah Baling ialah Bandar Baling, Malau, Kampong Lalang, Kota Baling Jaya, Kupang, Tawar, Kuala Pegang, Parit Panjang dan Kuala Ketil.

Haji Man dan en. Daud sedang mencari lokasi majlis perkahwinan.

Sumber utama pendapatan penduduk di daerah Baling ialah pertanian, perniagaan, bekerja dengan kerajaan dan swasta serta pekerjaan berasaskan kemahiran seperti pertukangan dan vokasional. Kuala Ketil merupakan pekan yang berkembang pesat aktiviti ekonominya di daerah ini. Ini disebabkan Kuala Ketil berada dalam kawasan segitiga perindustrian iaitu Kulim-Sungai Petani-Kuala Ketil. Kuala Ketil berada pada kedudukan 10 km dari Sungai Petani dan 42km dari Butterworth Pulau Pinang. Terdapat sebuah pekan kecil, iaitu Parit Panjang yang mempunyai lebih 55 premis perniagaan. Uniknya kesemua peniaga adalah kaum bumiputra melayu, sesuatu yang unik di Malaysia. Kebiasaannya perniagaan di pekan dan bandar dikuasai oleh peniaga berketurunan cina.

Isnin, 21 Mac 2011

Kalakatar

Tahun lepas, keluar dalam Majalah 3 tentang sambutan Ramadan dalam kalangan masyarakat kaum Banjar di Parit Buntar, Perak. Antaranya dimuatkan tentang kuih kegemaran masyarakat berkenaan iaitu Wadai Kalakatar.

Dua cawan tepung gandum, satu biji telor ayam, gula secukup rasa dan sedikit garam.

Pada hari Jumaat lau, penulis bersama rakan sepejabat iaitu haji Man dan en. Daud ke Baling, Kedah untuk menghadiri majlis kenduri kahwin seorang sahabat. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat singgah ke rumah mertua Haji Man di Batu 5, Parit Buntar, Perak. Di sini, kami dihidangkan Kalakatar oleh kakak ipar Haji Man.

Campurkan campuran air/isi kelapa muda, tepung, gula, telur dan garam hingga sebati. Ambil bekas untuk memasak, sapukan sedikit minyak pada bekas berkenaan dan masukkan adunan kuih ke dalam bekas berkenaan. Masukan ke dalam ketuhar.

Kalakatar? Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apa kah bendanya itu? Bunyinya seperti nama sebuah tempat di benua India sahaja!. Sebenarnya Kalakatar adalah sejenis kuih tradisional kaum Banjar. Ya... kebetulan penulis adalah salah seorang berketurunan Banjar dan sangat berbangga dengan status itu.

Wadai Kalakatar yang terjual di Batu 5, Parit Buntar.

Petang itu, penulis sempat bertanya resepi kuih ini. Tidak susah sebenarnya. Kuih Kalakatar ini hampir sama dengan kuih Bengkang. Tapi ada topping dengan isi kelapa muda dan air kelapa muda juga digunakan untuk membancuh tepung. Sedap ke? Memang sedap, 2 tumb up. He he...

Wadai Kalakatar yang dihidangkan khas untuk kami.

Jika di kampung penulis, kuih ini hanya boleh dibeli pada di bulan Ramadan sahaja. Pada masa itu banyak kuih-muih tradisional kaum Banjar yang dijual seperti Wadai Kipeng, Balungan Hayam & Murtabak Pisang.

Apa yang penulis harapkan agar kuih-muih ini tidakkan hilang ditelan masa. Maklumlah, sudah ramai anak-anak muda kaum Banjar sekarang ini malu hendak mengaku orang Banjar. Hmm... entah apa yang dimalukan sangat, penulis pun tidak faham.

Khamis, 17 Mac 2011

Bubur dan Pasir

Apa yang cuba mereka padamkan
apa yang mereka jualkan
sejarah silam bahasa
wasilah pejuang bangsa
peradaban sastera seni dan budaya
keindahan karya

kemana condongnya peribadi
ahli fikir berwibawa
sehingga begitu payah sekali
batas batas perjuangan ini
meniti tangga
semakin terhimpit sempit
terpinggir
di kotak kotak kolonisma

apa yang cuba mereka angkat
nama dari bakul bakul sendiri
tembok tembok birokrasi
kehebatan intelektual globalisasi
mengaut kepentingan peribadi

apa yang mereka sembunyikan
nasi sudah menjadi bubur
siapa menuding siapa
lihatlah jari jarimu yang hitam
di manakah amanah bangsa
yang kau pegang
di mana lembut janji doa doa
pada Ilahi dulu

lihatlah hari ini
bubur hanya akan menjadi basi
lihatlah betapa derita
anak anak kami
memilih antara bubur dan pasir
yang kau beri.

Sumber: Gopa

Isnin, 14 Mac 2011

Tahniah dan Syabas! Lee Chong Wei

Penulis dan Lee Chong Wei pada tahun 2005. Masa ini Lee Chong Wei baharu bermain untuk Malaysia dan belum lagi tersenarai di antara pemain terbaik dunia.

Perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England 2011, diantara Lee Chong Wei dan Lin Dan berakhir tepat pada jam 1.25 pagi tadi. Akhirnya, Lee Chong Wei berjaya menumpaskan Lin Dan dengan straight game, 21-17, 21-17. Ini merupakan kekalahan pertama Lin Dan untuk tahun ini setelah menyertai 14 perlawanan.

Perlawanan pagi tadi yang sememangnya sangat sengit dan sungguh mendebarkan. Alhamdulillah, Lee Chong Wei tenang sepanjang perlawanan dan berjaya mengawal rentak permainan walaupun kadang-kadang membuat sedikit kesilapan seperti bulu tangkis tersangkut di jaring.

Tahniah! Lee Chong Wei...

Jumaat, 11 Mac 2011

Gempa Bumi di Jepun

Ngeri, apabila penulis terbaca berita negara JEPUN digegarkan oleh gempa bumi yang berukuran antara 8.8 ke 8.9 ritcher. Dilaporkan gempa bumi ini merupakan yang paling teruk dalam tempoh 140 tahun. Setakat ini, ramai yang telah terkorban dan dijangka terus meningkat. Bagi penulis, biarlah foto-foto di bawah yang menceritakan segala-galanya.






Renung-renungkan..

Antara 10 tanda kiamat ialah 3 kali gempa bumi; sekali di Timur, sekali di barat dan sekali di semenanjung Arab. (H.R. Muslim)

Sumber: Terata karmo

Rabu, 9 Mac 2011

Pelangi Petang

Pelangi Petang

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...

Isnin, 7 Mac 2011

Restoran Kudu

Apabila sebut nama restoran Kudu bin Abdul, memang tidak commercial langsung!. Tetapi, sebenarnya restoran ini adalah salah sebuah restoran nasi kandar yang terkenal di Kuala Lumpur. Restoran ini terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sudah beroperasi sejak dari tahun 1969 lagi. Bermakna restoran ini sudah berusia 42 tahun iaitu sebaya dengan usia penulis.

Restoran Kudu bin Abdul.

Restoran ini menjadi tumpuan diwaktu tengahari.

Restoran ini menjadi popular kerana menjadi tempat persinggahan para pemuzik dan bintang filem termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada era tahun 70an dahulu. Jika melalui Jalan TAR diwaktu tengahari, penulis dapat lihat betapa ramainya pelanggan di restoran ini sedang berbaris panjang untuk menanti giliran memilih menu makanan.

Pelanggan sedang berbaris panjang di waktu tengah hari.

Suasana di dalam restoran.

Apabila menjejakkan kaki ke restoran ini, memang terasa suasana di zaman zilamnya. Restoran ini masih berkongsepkan seni bina klasik, tiada penghawa dingin, tiada perkhidmatan internet wifi dan yang paling nyata, restoran ini bukan tumpuan tempat untuk remaja melepak. Namun, jika sesekali kita menikmati suasana sebegini tidak salah rasanya kerana setiap dari kita bermula dari sejarah silam yang membuatkan hati dan perasaan dibuai sebentar dengan suasana di zaman kehidupan ibu bapa kita.

Rasa makanannya juga boleh tahan.

Bermacam-macam lauk pauk ada.

Jika hendak dibandingkan dengan restoran nasi kandar yang lain, Restoran Kudo ini ada keistimewaan tersendiri. Selamat menjamu selera.

Rabu, 2 Mac 2011

Ianya bermula dari Facebook

Tahun 2011 ini sudah menjadi tahun Jejak Kawan pula. Apa tidaknya, penulis telah dapat berhubung semula sebahagian rakan-rakan sekolah semasa belajar di SMV Kelang dahulu. Kenangan bersama mereka telah lama hilang dari ingatan kerana sudah melebihi 25 tahun kami tidak bersua muka. Semuanya bermula daripada seorang kenalan blog dan seterusnya melalui Facebook.

Bergambar kenangan dengan guru kelas kami.

Kami adalah anak murid yang pertama cikgu.

Wajah rakan-rakan sekelas setelah 25 tahun tidak bersua muka.

Ya! saya sudah daftar FB atas pelawaan seorang kawan baik sewaktu di sekolah dulu. Bermula dari seorang, semakin hari semakin bertambah Friendlist. Sabtu lalu, Kami telah berkumpul dan saling bertukar nombor telefon dan terus berbual panjang.