Rabu, 22 Disember 2010

Jurugambar Bidan Terjun.

Hari Ahad yang lalu, penulis ke Wangsa Maju kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah isteri. Memandangkan penulis membawa kamera dan peralatan yang agak mencukupi, maka secara tidak langsung penulis diminta menjadi jurugambar rasmi pada majlis tersebut kerana mereka tidak menempah jurugambar frofesional. Di sini penulis kongsikan sedikit foto yang tidak seberapa kerana penulis tiada pengalaman mengambil gambar pengantin, melainkan hanya untuk ‘back-up’ saudara mara sahaja.

Selepas majlis pernikahan.

Pengantin dipaksa menyanyi karouke.

Make up

Outdoor di Tasik Titiwangsa.

Posing pengantin berdasarkan pengalaman ketika mengikut rakan-rakan mengambil gambar outdoor.

Nasib baik cuaca di Tasik Titiwangsa agak ketika itu.

Bersama krew ketika sesi outdoor di Tasik Titiwangsa.

Antara posing yang menarik dari pengantin yang diilhamkan oleh Pak Andam.

Bagaikan pinang di belah dua.

Kak Lyn kelihatan comel di majlisnya itu...

Sebolehnya penulis akan mengambil gambar yang natural sewaktu mereka sedang senyum atau ketawa. Ini akan menambah nilai pada gambar-gambar tersebut jika dibandingkan dengan wajah yang serius sudah tentu akan membosankan dan mewujudkan sedikit kurang keselesaan pada yang melihatnya.

Seronok juga menjadi jurugambar rasmi secara bidan terjun ini. Tambahan pula penulis diminta oleh pengantin ke Tasik Titiwangsa untuk sesi bergambar (outdoor). Walaubagaimanapun penulis masih belum berani menjadi jurugambar rasmi untuk majlis perkahwinan seperti ini kerana belum berasa yakin untuk memuaskan hati pelanggan. Setakat ini biarlah setakat hobi sahaja.

Rabu, 15 Disember 2010

Yaman Ibrahim di Kosmo Hari ini

Saudara Yaman Ibrahim merupakan mantan pengurus kanan di opis enulis dahulu. Kini, beliau merupakan seorang jurufoto yang sedang mencipta nama di tanah air dan mungkin di dunia di suatu hari nanti. Sebagai mantan bos dan juga rakan sekerja, penulis tumpang merasa bangga di atas kejayaan beliau sekarang. Ikuti rencana beliau yang tersiar di akhbar Harian Kosmo hari ini.

Yaman

SUDAH hampir satu jam Yaman Ibrahim, 44, berdiri berhampiran sebuah gerai durian yang terletak di kaki lima berhampiran Jalan Alor di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu.

Tangannya yang menggenggam erat kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) jenis Nikon D3 yang disangkut pada leher dirasakan sedikit kebas, kakinya juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, lelaki bertubuh rendah dan berbadan sasa ini, masih belum berganjak dari tempatnya. Yaman sedar ada mata-mata liar yang memerhatikannya. Namun, dia tidak ambil pusing. Perhatiannya masih tertumpu di hadapan gerai peniaga berketurunan Cina itu.

Dia tidak mahu terlepas sebarang aksi dan gelagat pelanggan yang singgah di gerai itu, jika tidak sia-sia dia bergelumang dengan debu dan menghirup asap kenderaan yang lalu-lalang. Jika beberapa tahun lalu, Yaman tidak bersusah-payah begitu. Selaku pengarah kanan kreatif dan multimedia di sebuah syarikat penerbitan di ibu negara, dia mempunyai unit jurugambar yang boleh diarahkan melakukan tugas itu.

Dia boleh duduk selesa di atas kerusi empuk ruang pejabatnya yang berhawa dingin, cukup bulan terima gaji. Namun, kepuasan yang hilang dalam berkreativiti akhirnya menyebabkan lelaki itu rela melepaskan keselesaan yang dikecapinya. Dia mahu mengejar impiannya menjadi seorang jurufoto.

Mencipta gambar

Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Dua orang pelancong asing yang melintas di hadapan gerai menarik perhatiannya. Tatkala si bapa berjalan tenang, si anak pula kelihatan seperti terseksa menikmati aroma durian yang tajam.

Yaman tersenyum puas, itulah aksi yang ditunggu-tunggu. Reaksi spontan kanak-kanak itu menutup hidung dengan bajunya, memegang perut dan mimik muka loya akhirnya tersimpan rapi dalam memori kamera Yaman.

Biarpun ia dirakamkan kira-kira dua tahun lalu, namun ia sesuatu yang besar bagi Yaman. Gambar yang menceritakan wajah-wajah di Kuala Lumpur itu telah diangkat sebagai pemenang tempat pertama pertandingan fotografi Picture KL 2008.

“Gambar yang baik tidak selalu datang kepada kita. Kita perlu mencari, melihat dan mencipta gambar, agar gambar yang dihasilkan tidak sama seperti orang lain," katanya berfalsafah.

GAMBAR yang dirakam di kawasan Bukit Bintang ini membawa tuah kepada Yaman.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, biarpun berkebolehan menghasilkan karya yang mencakupi pelbagai tema, namun dia lebih selesa merakamkan fotografi berbentuk dokumentari dan jalanan.

Ujarnya, elemen kehidupan dan kemanusiaan yang sering mendasari kedua-dua tema itu cukup dekat dengan jiwanya dan menarik untuk diterjemahkan melalui lensa kamera. Merakamkan gelagat manusia di jalanan menjadi kegemaran Yaman. Kata Yaman, fotografi di jalanan lebih dekat untuk menggambarkan kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

“Saya gemar merakam gambar-gambar yang mempunyai mesej cerita, ekspresi dan emosi kerana ia mampu menghubungkan jiwa-jiwa manusia,” jelasnya yang menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Namun, kata Yaman, bermain dengan subjek hidup seperti manusia memerlukan seseorang jurugambar memahami pelbagai faktor bagi menonjolkan subjek tersebut.

Tambah Yaman, faktor kedudukan subjek, pencahayaan dan teknik yang betul bagaimana untuk berinteraksi dengan subjek penting bagi memastikan foto yang dirakamkan menarik dan tidak kaku.

YAMAN gemar merakam foto jalanan kerana ia menggambarkan kehidupan sebenar masyarakat Malaysia.

Ia ibarat menghasilkan lukisan di atas kanvas kerana selain memerlukan pengetahuan tentang fotografi, seseorang itu perlu kreatif dan sedikit sebanyak mempunyai jiwa seni,” katanya yang berpengalaman bekerja di dalam bidang penerbitan lebih lapan tahun. Pengalaman tersebut banyak membantunya memahami aspek dimensi dan pengimejan dengan lebih jelas.

Kebetulan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya (UM) ini berdarah seni.

“Dulu saya sering melukis mural di sekolah. Malah, ketika bergelar guru sebelum ini pun saya turut mengajar subjek pendidikan seni,” kata bapa kepada dua cahaya mata iaitu Farahanis, 19 dan Faris, 16. Menurut Yaman, pembabitannya dalam bidang fotografi bermula kira-kira empat tahun lalu. Dia mendekati anak-anak buahnya untuk belajar fungsi teknikal kamera DSLR. Internet dan laman-laman rangkaian perkongsian sosial seperti Flikr juga membantunya. Malah, dia juga tidak malu menyertai kelas fotografi.

“Saya berhenti kerja dua tahun lalu dan sejak itu saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” katanya. Perkenalannya dengan rakan-rakan sealiran seperti Bazuki Muhammad, seorang jurugambar profesional yang terkenal di kalangan pengamal media dan peminat fotografi di negara ini banyak membantunya mendalami bidang tersebut.

Bagaimanapun, perjalanannya penuh ranjau berduri. Bidang itu bukan sahaja menuntut kesabaran yang tinggi malah pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Pengalaman diherdik oleh sekumpulan wanita ketika Yaman asyik mengambil gambar mereka membeli-belah di sebuah pasar raya, pelanggan yang memperlekehkan karyanya sedikit pun tidak melunturkan semangatnya.

“Itu merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh seorang jurugambar. Saya positif, tiada istilah kecewa sebaliknya hanya keinginan untuk memperbaiki diri,” kata Yaman.

Melihat karya yang tersimpan di studio miliknya, Neo Edition yang terletak di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur jelas Yaman gemar menjadikan kanak-kanak dan warga emas sebagai subjek utamanya. Merakamkan gambar kanak-kanak satu kepuasan kerana ekspresi dan emosi yang dipamerkan tulus dan ikhlas. Mereka tidak berpura-pura.

Terbitkan buku

“Begitu juga dengan warga emas, saya suka mendengar pengalaman hidup mereka. Sedikit sebanyak kisah itu saya cuba tonjolkan melalui lensa kamera,” ujarnya sering mendapat galakan isterinya, Rita Aziz, 30. Sejak itu, Yaman aktif mengembara hampir ke seluruh pelosok negara bagi mendapatkan rakaman terbaik di samping meneroka kepelbagaian masyarakat serta adat dan budayanya.

MERAKAM memori berlatar belakang Gunung Bromo di Jawa Timur, Indonesia ketika berkunjung ke Indonesia baru-baru ini.

Kunjungannya di sebuah kedai buku kerana mahu mencari bahan rujukan mengenai fotografi Malaysia membuatkan lelaki itu tersedar daripada lena.

Selama ini, kebanyakan bahan rujukan yang terjual dipasaran dihasilkan dari kaca mata orang luar. Lidahnya kelu melihat nama-nama Inggeris tertera pada senarai nama penulis, jurugambar dan penerbit. Rata-ratanya bukan anak tempatan.

Situasi itu menyemarakkan semangat Yaman untuk menerbitkan buku bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang diterbitkan bulan lalu.

Buku yang mengandungi 180 keping gambar koleksi peribadi Yaman yang dikumpulkannya sejak lima tahun lalu itu dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris.

“Saya harap buku ini mampu menceritakan perspektif budaya, adat resam dan masyarakat di negara ini dengan lebih dekat kepada pelancong asing. Saya berharap untuk menjelajah ke negara-negara Asia dan bercadang menerbitkan buku yang sama mengenainya,” jelasnya.

Bersempena pelancaran buku terbaru itu, Yaman turut mengadakan pameran fotografi bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang akan diadakan bermula 29 Disember 2010 hingga 14 Januari 2011 di Map KL, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Adakah Yaman menyesal meninggalkan dunia seni bina yang boleh memberikan masa depan yang jauh lebih baik daripada menjadi seorang jurugambar?

Jawab Yaman, "fotografi adalah kerjaya yang serasi dengan jiwanya dan mampu memberinya kepuasan. “Saya sering mengingatkan diri, jika orang lain boleh buat, kenapa tidak saya,” ujarnya penuh makna.

http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 11 Disember 2010

Mencari Restoran Halal

Mencari masjid dan makanan halal di negara asing seperti China bukanlah sesuatu yang mudah. Satu cabaran berat bagi pengembara poket nipis (budget traveler) yang tidak datang dengan pakej. Yang penting ialah persiapan awal atau groundwork.

Mee Sup Daging Kambing Guangzhou.

Sungguh menyelerakan apabila makan nasi goreng cina.

Sebaiknya, tanya kawan-kawan yang pernah sampai ke sana. Atau buat carian di internet. Cari laman web yang mempromosikan hal ehwal Islam di negara tersebut. Antaranya seperti laman web zabihah.com yang mempromosi restoran halal di seluruh dunia.

Makan nasi ayam masakan arab yang berharga RMB30.

Rasa macam tidak berbaloi apabila makan di restoran arab ini.

Masukkan nama bandar yang anda akan lawati dan insyallah laman web ini akan menyenaraikan semua restoran halal di bandar itu. Anda perlu sokong laman web seperti ini dengan memberi feedback jika anda ke sana. Mereka memudahkan umat Islam membuat kebaikan semasa musafir.

Restoran halal di Changshou Lu.

Walaupun restoran di Beijing Road ini sempit tetapi makanannya murah dan banyak.

Perlu diingat di China walaupun restoran terdapat tanda halal, kadang-kadang terdapat minuman keras juga di jual sama. Makanan dan minumam ringan sahaja yang halal, tetapi yang berat-berat tidak halal. Jadi kita perlu berhati-hati.

Hafidz dan Liza nampaknya berselera apabila menjamu selera nasi goreng daging kambing.

Kami sempat bergambar dengan pemilik dan pekerja di sebuah restoran halal di Guangzhou.

Foto-foto di atas adalah beberapa buah restoran makanan halal yang sempat penulis menjamu selera di sepanjang lawatan penulis ke Guangzhou pada November 2010 yang lalu. Mudah-mudahan ianya memberi manafaat kepada semua pelancong muslim.

Rabu, 8 Disember 2010

Menaiki Cruise di Sungai Pearl

Pelayaran mengambil masa lebih sejam melayari Sungai Pearl (sungai ketiga terpanjang di China) di waktu malam. Ada banyak kapal dan setiap kapal berbeza sama ada dari segi saiz, reka bentuk, konsep dan hiasan dalamannya. Ada yang berupa kapal mewah, ada yang macam kapal layar zaman dahulu, ada yang seperti pokok krismas dengan lampu-lampunya dan ada juga yang berdindingkan kaca pada seluruhan kapal.

Teket menaiki menaiki cruise di Sungai Pearl.

Penulis sedang menunggu kapal belayar.

Kapal yang penulis naiki mempunyai tiga tingkat termasuk dek atas bumbung. Apabila penulis masuk sahaja ke dalam kapal, kami dihidangkan dengan segelas teh cina dan kacang goreng. Akan tetapi, disebabkan kami datang bukan hendak menjamu selera, penulis dan rakan-rakan hanya duduk di bahagian luar kapal dan melihat pemandangan menarik bandar Guangzhao pada waktu malam.

Penulis baru melepasi salah satu jambatan di Sungai Pearl.

Banyak kapal yang belayar pada waktu malam di Sungai Pearl ini.

Penulis lebih banyak menghabiskan masa di sepanjang perjalanan, duduk di atas dek kapal di aras dua sahaja. Sementara rakan-rakan yang lain semuanya duduk di dek aras bawah sekali. Penulis hendak duduk di atas bumbung kapal, terasa gayat kerana tempat tersebut agak tinggi. Pemandangan bandar Guangzhao di waktu malam memang cantik, semua bangunan dan apartment dihias cantik dengan cahaya lampu. Bukan sekadar diletak lampu tapi lampu hiasan yang penuh berwarna-warni.

Bandar Guangzhou di malam hari.

Bangunan-bangunan dihias cantik dengan lampu-lampu yang berwarna warni.

Penulis rasa, lampu-lampu ini sengaja dinyalakan supaya pemandangan menjadi lebih cantik untuk pelancung yang menaiki river cruise. Ada beberapa bangunan tinggi yang telah menjadi seperti papan layar apabila satu bangunan seperti menjadi papan iklan. Itu belum termasuk papan billboard led bersaiz mega di sepanjang sungai yang menunjukkan bermacam-macam objek pada skrinnya. Boleh menjadi ralit apabila kita melihatnya.

Pemandangan menarik di Sungai Pearl di malam hari.

Kami melalui beberapa jambatan yang merentangi Sungai Pearl.

Selain pemandangan bandar yang menarik dan berselisih dengan kapal-kapal layar lain yang cantik, kita juga akan melalui beberapa jambatan yang merentangi Sungai Pearl. Antaranya Jambatan Haizhu, Jambatan Guangzhao, Jambatan Renmin dan Jambatan Jiefang. Jika kita duduk di dek atas, terasa seperti boleh mencapai jambatan-jambatan ini. Jika anda tersampai ke sini cubalah naik, memang best dan bayaran hanya 58 RMB atau lebih kurang RM30 sahaja. Selamat mencuba.

Selasa, 7 Disember 2010

Keretapi Bawah Tanah (Subway) Guangzhou

Sepanjang berada di kota Guangzhou, hampir setiap hari kami menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah Metro (Subway). Walaupun keretapi ini sentiasa dipenuhi dengan penumpang, namun ia lebih cepat dan pantas bergerak untuk menuju ke sesuatu distinasi di kota Guangzhou.

Guangzhou Metro System Map.

Membeli teket keretapi bawah tanah di Guangzhou.

Penulis difahamkan, panjang landasan keretapi bawah tanah di Guangzhou ini mencecah 236 kilometer dan bandar raya ini merupakan bandar ketiga di China yang panjang landasan kereta apinya melebihi 200 kilometer selepas Shanghai dan Beijing. Landasan kereta api bawah tanah di Guangzhou dapat menghubungi 80% ke stadium untuk Sukan Asia dan merupakan infrastruktur lalu lintas yang penting bagi temasya sukan tersebut.

Ini teket keretapi bawah tanah di Guangzhou.

Beg penumpang perlu di imbas/scan sebelum memasuki stesen keretapi bawah tanah di Guangzhou.

Dalam tempoh dua bulan yang lalu, Guangzhou telah menyelesaikan pembinaan landasan kereta api bawah tanah sepanjang 86 kilometer untuk Sukan Asia. Jumlah penumpang yang menaiki kereta api bawah tanah ketika berlangsungnya Sukan Asia telah melebihi 6 juta orang sehari.

Akibat kepenatan, penulis duduk bersila di dalam gerabak keretapi bawah tanah Guangzhou.

Walaupun gerabak keretapi bawah tanah Metro (subway) ini panjang ( 2 kali ganda LRT di Malaysia). namun ia sentiasa dipenuhi penumpang.

Walaupun jadual perjalanan keretapi ini tiga minit sekali, bergerak laju dan gerabaknya panjang, namun keretapi bawah tanah tiga tingkat ini sentiasa ini dipenuhi dengan penumpang. Penulis sendiri terasa sesak nafas kerana ditolak dan dihimpit oleh penumpang-penumpang lain. Kesesakannya lebih hebat pada zaman penulis menaiki bas mini di Kuala Lumpur dahulu. pada pendapat penulis, masyarakat di Guangzhou lebih selesa dan pantas apabila menggunakan keretapi bawah tanah ini berbanding kenderaan lain yang mungkin lewat sampai ke distinasi akibat kesesakkan lalulintas.

Ahad, 5 Disember 2010

Guangzhou dan Kota Kambing

Buat kali kedua dalam hidup, penulis berpeluang melawat ke negara China apabila menyertai rombongan 16 ahli kelab Famemas ke negara itu, baru-baru ini. Lawatan itu sempena memberi sokongan kepada atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Asia Guangzhou. Walaupun matllamat kami untuk menyokong atlit Malaysia, kami masih berkesempatan melawat ke tempat menarik di kota berkenaan.

Kotaraya Guangzhou.

Hairan juga kerana tiada langsung kelihatan motosikal di sekitar bandar itu sebelum dimaklumkan yang penduduk Guangzhou tidak dibenar menggunakan kenderaan itu di kawasan bandar untuk mengurangkan pencemaran serta mengelak jenayah ragut.

Penulis di Taman Yuexiu.

Bandar ini juga dikenali sebagai Kota Kambing sempena lagenda lima dewa yang menunggang haiwan itu datang membantu rakyat yang dilanda bencana satu masa dulu dan kononnya haiwan itu terus ditinggalkan di situ untuk melindungi rakyat dalam kesusahan. Tidak hairanlah, setiap kali menikmati juadah tengah hari atau malam di restoran Islam sekitar Guangzhou, kami pasti dihidangkan daging kambing. Untuk makluman, Guangzhou baru sahaja menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia 2010 dan sudah pasti maskot yang dipilih adalah jelas - tidak lain tidak bukan kambing!

Penulis dan rakan-rakan di hadapan Tugu Peringatan Sun Yat Sen.

Hari ketiga di kota ini, kami dibawa melawat Tugu Peringatan Sun Yat Sen, dulunya tapak pemerintahan Dinasti Ching yang menempatkan pejabat Presiden, Dr Sun Yat Sen yang memerintah China pada 1921 dan meninggal dunia pada 1925. Bangunan itu pernah musnah dalam rampasan kuasa pada 1922, tetapi penduduk mengutip sumbangan membaik pulihnya sehingga siap pada 1931, tetapi sekali lagi musnah angkara tentera Jepun yang merempuh pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Dewan Peringatan Sun Yat Sen juga ada di sini, berbentuk oktagon atau segi lapan dengan patung pemimpin itu didirikan di hadapan tugu peringatan. Kami kemudian ke taman terbesar di Guangzhou, Taman Yue Xiu yang merangkumi Gunung Yue Xiu dan beberapa gunung lebih kecil selain turut dikelilingi lima tasik buatan manusia.

Rakan penulis sedang memilih kasut yang sesuai di gedung kasut.

Anak tangga tersedia untuk ke puncak bukit yang menempatkan beberapa patung kambing sebagai mercu tanda taman. Disebabkan musim sejuk ketika itu, penulis tidak begitu terasa penat ketika mendaki. Pada sebelah petang, kami ke Masjid Huaisheng atau dikenali juga Masjid Pagoda yang dibina pada awal zaman Dinasti Tang dan antara empat masjid paling awal dibina di China selepas Islam disebar ke negara ini. Aktiviti waktu malam pula diisi dengan kunjungan ke syurga beli-belah di Beijing Road.

Membeli belah di Changshou Road.

Baju sejuk dijual di hampir setiap kedai dan bagi golongan hawa pasti tidak ketinggalan membeli beg tangan. Kami ke Wanling Shopping Mall sebelum bertolak ke Shenzen keesokannya tetapi sempat juga melawat Xiguan Custom Museum yang mempamerkan reka bentuk rumah dan pakaian bangsawan Cina dulu kala. Perjalanan ke Shenzhen mengambil masa lebih kurang dua jam. Penulis kagum dengan kepesatan bandar ini yang sememangnya antara paling pesat membangun di dunia, dipenuhi bangunan pencakar langit moden dan sistem jalan raya amat terancang.

Kami sedekahkan Al-fatihah di Makam Sa'd ibn Abi Waqqas.

Seterusnya, Taman Splendid China menjadi destinasi kami. Kereta api digunakan mengelilingi taman ini bagi menyaksikan replika bangunan dan monumen bersejarah di China. Kami juga ke pusat beli-belah Dongmen Walking Street yang terkenal di sini dan esoknya ke Lotus Mountain Park yang menempatkan patung Dengxiaoping, pemimpin terkenal China serta ke Coastal Ecological Park untuk melihat Hong Kong dari jauh sebelum pulang ke tanah air.

Penulis merakamkan pemandangan menarik di Sungai Pearl.

INFO
Guangzhou

Nama lama, Canton
Bandar ketiga terbesar di China
Populasi tiga juta penduduk Shenzen
Terletak berhampiran Hong Kong
Syurga beli-belah
Terkenal dengan jed dan sutera

Khamis, 2 Disember 2010

Penyokongpun Hendak Rasa Glamour juga...

Di kalangan rakan-rakan Famemas, walaupun kami berbeza bangsa dan agama, kami bersatu untuk menyokong dan bersorak atlit kontinjen negara yang bertanding di Guangzhou 2010 ini.

Famemas dan atlit bowling negara ketika menyokong pasukan hoki negara.

Andai kami berada di gelanggang dan menyaksikan sendiri atlit negara memenangi pingat, seolah-olah ia juga satu kejayaan buat kami. Penulis amat bertuah kerana melihat dan merasai sendiri pengalaman kejayaan pasukan karate negara yang telah memenangi pingat buat kontinjen negara selepas dua belas hari temasya ini bermula.

Bergambar kenangan bersama sukarelawan.

Suasananya memang cukup berbeza dan luar biasa terutama apabila Jalur Gemilang dinaikkan ketika majlis penyampaian hadiah. Timbul rasa bangga, terharu dan bertuah, semua dalam satu perasaan yang penuh semangat patriotism 1Malaysia.

Penulis bergambar kenangan bersama pasukan sukarelawan.

Walaupun dari segi pungutan pingat menunjukkan kita ketinggalan jauh berbanding China yang menghampiri ke angka 200 pingat emas, kami dari kelab Famemas yang menyokong kontinjen Malaysia tetap mengundang rasa hormat di kalangan penganjur termasuk sukarelawan dan penonton.

Penulis bergambar kenangan dengan atlit bowling negara.

Selain kagum dengan semangat yang dibawa rakyat Malaysia ke Guangzhou ini, mereka juga mungkin hairan bercampur pelik melihat warna kulit dan wajah Melayu, Cina dan India di dalam kumpulan kecil penyokong Malaysia yang menjadi ‘atlit tidak rasmi’ atau duta kecil negara di sini.

Bergambar kenagan dengan sukarelawan di hadapan stadium karate.

Jadi tidak hairan, kumpulan Famemas sering kali diajak untuk bergambar kenang-kenangan oleh penonton dan sukarelawan yang bertugas di pelbagai venue di temasya ini.

Rabu, 1 Disember 2010

Seminggu di Guangzhou

Deretan kilang, bangunan tinggi yang menjulang, jalan sesak, pelaburan yang masuk mencurah-curah, kepesatan pembangunan dan rakyat berdaya saing - itulah yang sering dikaitkan dengan Guangzhou. Dengan populasi lebih 13 juta penduduknya bersaing mencari rezeki, penulis ada mendengar yang sektor pekerjaan di Guangzhou jauh lebih sengit - sama seperti di Hong Kong, manakala suasana kehidupannya juga pantas dan sukar.

Penulis berlatar belakang kota Guangzhou.

Sebagai kota ketiga terbesar di China dan antara pusat perusahaan utama negara itu, Guangzhou sering disalah anggap sebagai kota comot yang padat dengan penduduk. Aktiviti masa lapang rakyatnya pula dikatakan hanya membeli-belah dan makan. Tiada tempat untuk pelancong - setidak-tidaknya itulah dalam fikiran penulis pada mulanya.

Penulis dan rakan-rakan di dalam keretapi Metro.

Gambaran awal ketika menjejakkan kaki di kota ini seakan mengiyakan tanggapan itu. Guangzhou agak comot, bangunan berselirat dan semuanya pantas bergerak masa. Manusia berjalan pantas, kenderaan dipandu laju, malah dialek Kantonis yang dituturkan penduduknya kedengaran lebih cepat dan kasar berbanding di Malaysia atau Hong Kong.

Penulis berlatar belakangkan mercu tanda Guangzhou.

Namun, semakin jauh mengembara dan menyelami kota ini, penulis dapati ada aspek lain yang begitu berbeza di Guangzhou. Suasananya lebih sunyi, damai dan dipenuhi banyak tarikan, masyarakat penuh sopan santun serta pelbagai keistimewaan lain yang amat memukau.

Penulis di hadapan bangunan Dr Sun Yat Sen.

Guangzhou dipenuhi taman penuh kehijauan dan ketenangan. Keindahan itu diserikan elemen air seperti anak sungai, kolam dihias cantik atau tasik yang menyuntik suasana sejuk walaupun di tengah-tengah bahang kepanasan metropolitan. Penulis sendiri mendapati ada kira-kira 12 taman sedemikian di dalam dan sekeliling bandar, termasuk Renmin iaitu taman awam pertama di China yang dibuka pada 1921 dan Taman Sejuta Bunga Matahari, padang luas dipenuhi bunga-bungaan seluas saujana mata memandang.

Penulis dan rakan-rakan sedang menanti ketibaan keretapi Metro.

Beberapa taman di Guangzhou turut dilengkapi jambatan tradisional China, pagoda atau wakaf rehat yang membangkitkan kembali memori zaman silam. Ada juga yang dihiasi arca diperbuat daripada tanah liat, kayu, seramik, besi dan pelbagai jenis batu. Di taman tertentu, anda boleh menemui teknik seni taman terkini, manakala beberapa taman lagi diperindahkan dengan seni landskap berasal usul dari zaman Dinasti Qing. Apa yang paling menarik perhatian penulis ialah kewujudan pelbagai tugu, muzium, rumah suku kaum dan dewan peringatan yang begitu anggun.

Penulis dan rakan-rakan di Beijing Road.

Di Taman Yuexiu yang terletak di atas bukit contohnya, tersergam Menara Zhenhai atau dikenali juga sebagai Menara Lima Tingkat atau Menara Wanghai. Rujukan kedua itu mewakili struktur menara terbabit yang mempunyai lima tingkat, manakala Wanghai pula kerana ia pernah digunakan sebagai menara peninjau atau bangunan pengawal pantai suatu masa dulu. Dibina pada 1380 iaitu zaman Dinasti Qing, Menara Zhenhai pernah menjadi bangunan tertinggi di Guangzhou. Ia dibina menggunakan batu pasir berwarna merah dan bata berwarna coklat kemerahan, membentuk gabungan menarik unsur seni bina moden Bauhaus dan pagoda tradisional China. Pada 1956, menara ini dijadikan Muzium Guangzhou.

Penulis di bangunan Guandong Folk Art Museum.

Taman Yuexiu juga menempatkan Dewan Peringatan Sun Yat Sen yang dibina pada 1929 bagi mengenang tokoh revolusi hebat, Dr Sun Yat Sen. Tugu ini terletak di atas Bukit Guanyin dengan ketinggian 37 meter dalam gaya pagoda sambil dihiasi 12 arca kepala kambing di ruang bawahnya selaras simbol Guangzhou yang digelar kota lagenda kambing. Pada bahagian depan tugu pula, ada kepingan batu tebal sepanjang tujuh meter dan lebar empat meter mengandungi ukiran kata-kata wasiat terakhir Sun Yat Sen. Imej tokoh revolusi ini juga diabadikan di Taman Peringatan Huanghua Gang, kawasan indah dipenuhi bunga-bungaan cantik, astaka tersergam serta tugu dan hiasan taman yang mengagumkan.

Penulis di pintu masuk Masjid dan makan Abu Wggas.

Di Taman Baomo pula, pelawat akan terpegun dengan keanggunan Dewan Khazanah Baomo, Dewan Ju Bao dan Dewan Long Tu. Antara arca yang menyerikan taman itu adalah patung ilmuwan hebat China, Confucious yang saban tahun menarik ramai pengunjung. Satu lagi lokasi menarik pilihan saya di Guangzhou ialah kawasan tenang yang terserlah gaya lamanya iaitu Pulau Shamian. Terletak di tebing Sungai Mutiara, pulau ini satu-satunya lokasi yang mana orang asing dibenarkan menetap sejak berdekad lalu.

Menikmati pemandangan menarik bandar Guangzhou di malam hari dengan menaiki cruise di Sungai Mutiara.

Di sini, anda pasti berasa tenteram sambil menikmati keindahan desa yang disulami ciri-ciri Eropah silam dan tarikan budaya Timur yang tidak hilang ditelan zaman. Ilmuwan China pernah berkata: “Guangzhou bergerak pantas, Shamian pula begitu tenang” - kesimpulan paling tepat bagi menggambarkan pesona destinasi ini.

Barisan pepohon tua berdaun lebat tegak berdiri di sepanjang jalannya, manakala bangunan era kolonial, rumah lama dan dua gereja besar dengan seni bina antara abad ke-17 dan ke-18 menjadikan Shamian tempat sesuai untuk bersantai dan menikmati kehidupan sambil bertemankan secawan kopi di kafe ala Perancis. Itulah yang dilakukan penduduk warga emas Guangzhou. Di laman yang redup dengan rimbunan pokok di Pulau Shamian sehinggalah jalan berselirat di pusat bandar dan kerusi selesa di taman, kalangan warga emas ini menambahkan lagi daya tarikan kota ini dengan sikap mereka yang penuh budi bahasa, bersopan santun dan mesra.

Rakan-rakan penulis sedang bershoping sakan di gedung kasut.

Di sebalik wajah berkedut, mereka petah berbicara mengenai penderitaan dan kegembiraan sepanjang dua abad lalu. Masih menyarung kemas pakaian tradisi, mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti ringan seperti bermain dam, minum atau sekadar bersembang kosong dan disulami gelak tawa. Kehidupan mereka menyamai keunikan taman bersejarah yang terus segar di kota metropolitan ini - kedamaian dan ketenangan Guangzhou lama.