Selasa, 30 Jun 2009

3 Hari 2 Malam di Bandar Johor Bahru

Hari Sabtu dan Ahad yang lalu, penulis dan rakan-rakan berkunjung ke negeri Johor untuk menyaksikan Pertandingan Badminton Yonet-Sunrise Malaysia Open GP Gold 2009 di Stadium MBJB, Johor Bahru. Hari Jumaat lalu, kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 3 petang dan sampai di Johor Bahru lebih kurang pada jam 7 petang. Walaupun kami ke negeri Johor untuk menyaksikan perlawanan badminton, namun kami masih lagi berkesempatan dibawa jalan-jalan cari makan di negeri ini oleh rakan kelab iaitu Kepten Shafari. Kepten Shafari merupakan bekas pengurus di salah sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru ini.


Bersama TokMoh di perkarangan masjid Sultan abu Bakar.

Johor merupakan negeri yang terletak paling selatan di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura membuatkan negeri Johor amat popular di kalangan penduduk Singapura sepertimana tempat-tempat perlancongan yang lain. Johor dikurniai limpahan daya penarik semulajadi yang meliputi banyak kemudahan bagi mengisi aktiviti masa lapang mahupun pengembaraan.

Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Ibu negeri Johor, Johor Bahru, merupakan salah satu tempat membeli belah yang mashur di Malaysia. Selain itu, terdapat pelbagai tempat yang menarik di Johor untuk dikunjungi seperti Muzium Diraja, Masjid Sultan Abu Bakar, Galeri Seni Johor, Pusat Kraftangan Mawar dan juga Dataran Bandaraya yang dibina pada tahun 1994 untuk memperingati Johor Bahru sebagai sebuah Bandaraya. Cenderahati, barangan kraftangan dan juga kompleks membeli-belah di sini menawarkan harga barangan yang berpatutan dan berpadanan. Oleh kerana jadual perlawanan badminton berlangsung pada lewat petang, jadi sempatlah kami mengunjungi sebahagian tempat tempat-tempat menarik di negeri ini seperti Masjid Abu Bakar.


Kepten Shafari menjadi pemandu pelancung sepanjang kami berada di Johor Bahru.

Masjid Abu Bakar merupakan masjid utama Negeri Johor di mana mampu menempatkan 2000 orang dalam satu masa. Lokasinya adalah amat strategik di atas bukit di Jalan Sultan Abu Bakar dan menghadap Selat Tebrau. Pembinaan masjid ini telah memakan masa selama 8 tahun (1893-1900) dengan kos perbelanjaan sebanyak RM400,000. Seorang jurutera tempatan telah diberi kepercayaan dalam menjayakan projek pembinaan masjid tersebut iaitu Datuk Yahaya Awaludin dengan pengawasan kerja oleh Batwip Mohd. Arif. Senibina masjid ini adalah gabungan senibina Islam dan Barat Neo-Klasik. Ianya mempunyai 4 buah anjung dan setiap anjung mempunyai menara kubah. Sesungguhnya, Masjid Abu Bakar merupakan salah sebuah bangunan yang telah disenaraikan oleh Jabatan Muzium dan Antik sebagai nilai warisan yang dilindungi.


Bersama TokMoh aka Mansor di perkarangan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar.

Selepas mengunjungi masjid negeri, kami ke Muzium Diraja pula. Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada asalnya merupakan Istana Besar, tempat bersemayam Bapa Pemodenan Johor, Sultan Abu Bakar. Muzium ini telah mula dibina pada tahun 1864 dan siap sepenuhnya pada 1866. Rekabentuk yang menggabungkan senibina Melayu dan Inggris ini diilhamkan oleh Datuk Yahaya Awaluddin. Sesungguhnya, Duke of Endinburgh pernah mengunjungi Istana Besar ini pada tahun 1867. Pada awal tahun 1990an, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar telah memutuskan bahawa orang ramai sepatutnya diberi peluang untuk melihat Koleksi Keluarga Diraja di dalam muzium yang sempurna dan tersusun. 


Penulis tidak tahu kenapa buaya menjadi moskot Bandaraya Johor Bahru. Mungkin saudara Anuar Mansor boleh menjawapnya.

Baginda juga telah menitahkan agar Istana Besar ditukarkan menjadi muzium dan pada masa yang sama masih digunakan untuk Majlis-majlis Keraian dan Adat istiadat Diraja Johor. Dengan itu, Baginda telah mengisytiharkan dengan rasminya pembukaan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada 11 Mei 1990. Di dalam muzium ini, tersimpan pelbagai khazanah berharga keluarga Di raja Johor termasuk hasil seni, kelengkapan, peralatan adat istiadat, senjata rasmi, pingat dan darjah kebesaran serta koleksi perhiasan yang diperbuat dari emas, perak dan belian. 


Persisiran Pantai Danga Bay.

Selepas puas melawat muzium ini, kami dibawa oleh Kepten Shafari ke Danga Bay pula. Teluk Danga atau lebih dikenali sebagai Danga Bay merupakan taman rekreasi yang terbesar dalam Negeri Johor. Ianya terletak berhampiran dengan Istana Bukit Serene dan kawasannya merangkumi seluas 1380 ekar. Danga bay yang terletak yang terletak di persisiran pantai telah menjadikan ianya tempat yang amat sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti luaran seperti beristirehat, beriadah, berhibur, menjamu selera dan berkelah. Tambahan pula, pengunjung boleh menaiki bot atau feri untuk menikmati dengan lebih dekat lagi keindahan alam dan melihat pusat perikanan yang boleh diperolehi di Kampung Melayu.


Penulis bergambar kenangan di pintu masuk Bangunan Sultan Ibrahim.

Setelah membeli beberapa helai t-hirt dan cenderamata di Danga Bay, kami berkunjung ke Bangunan Sultan Ibrahim. Oleh kerana kami sampai sudah lewat petang, kami hanya sempat bergambar di hadapan pintu masuk bangunan ini sahaja. Mengikut sumber yang kami dapat tahu, Bangun Sultan Ibrahim telah dikosongkan sepenuhnya pada akhir bulan Mei 2009 yang lalu dan segala urusan Kerajaan Negeri Johor akan dilaksanakan sepenuhnya di pusat pentadbiran yang baru tersebut.


Penulis bersama pemenang Kejohanan YONEX-SUNRISE Malaysia Open GP Gold 2009.


Stadium MBJB tempat berlangsungnya kejohanan badminton.

Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di atas puncak Bukit Timbalan telah dibina sekitar tahun 1936 hingga 1939. Rekabentuknya telah dibuat oleh sebuah firma arkitek British iaitu Palmer and Turner. Ia mula beroperasi pada tahun 1940 dan telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Ibrahim pada Tahun 1942. Bangunan ini juga pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Malaya ketika era para-kemerdekaan. Bangunan Sultan Ibrahim yang kini kelihatan sepi dan sangat bersejarah dan sangat berjasa terhadap era kegemilangan dan permodenan Negeri Johor sejak zaman kolonial lagi hinggalah kini.


Hotel penginapan kami di Johor Bahru.

Kami pulang ke Kuala Lumpur setelah selesai menyaksikan perlawanan akhir badminton. Kami bertolak dari Johor Bahru pada jam 9 malam dan sampai di Kuala Lumpur pada jam 12.30 pagi. Pengalaman 3 hari 2 malam di negeri Johor menjadi kenangan indah yang sukar di lupakan.

Khamis, 25 Jun 2009

Kad Ucapan Hari Bapa


Ayah masih ingat kenagan Hari Bapa yang baru lalu. Petang kemarin, kepulangan ayah disambutmu di muka pintu. Ayah masih terbayang kerianganmu melafazkan "Selamat Hari Bapa" kepada ayah lalu kamu menghulurkan sekeping kad ucapan. Sungguh terharu..... Terima kasih anakda, nur Atikah.

Sabtu, 20 Jun 2009

Hari Bapa


Detik 12.30 pagi 04 April 1997 mengubah segala-galanya dalam hidup ayah dan ibu. Kehadiran kamu, Nur Atikah disambut penuh syahdu disulami perasaan yang sukar digambarkan.

Pertama kali menyentuh, mendukung dan menqamatkanmu keheningan pagi di HKL, hati menjadi tenang setenang riak wajah wajah comelmu.

Percayalah Nur Atikah, membesarkanmu memberi pengalaman tidak ternilai. Daripada memandi dan menukar lampinmu, semuanya satu pengajaran baru dalam hidup ayah.

Dari hari ke hari hingga usia kamu menginjak 12 tahun, keletah, kenakalan, gelak tawa, tangisan dan percakapanmu menjadi sebahagian daripada hidup ayah.

Dalam memikul amanah sebagai bapa, ayah mahu menjadi ayah penyayang dan teman yang memahami. Namun kadang-kadang ayah perlu menjadi guru membimbing dan bersikap tegas.

Namun percayalah Nur Atikah, ini semua dilakukan untuk membentuk nilai positif dan jati diri kamu sebagai insan berguna. Ayah berjanji, setiap detik kita bersama akan menjadi kenangan manis buat kita sekeluarga .

Nur Atikah, ingatlah kamu adalah permata hati ayah. Ayah berharap Nur Atikah membesar menjadi anak soleh yang tidak lupa tanggung jawab kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.

Selasa, 16 Jun 2009

Kali Kedua ke Kota Singa

Ini kali kedua penulis ke negara Singapura. Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, penulis mengikuti rombongan kelab Famemas untuk memberi sokongan kepada pemain badminton negara yang beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2009. Ketika hendak ke Singapura, kami mendapat berita kesemua pemain badminton negara telahpun tewas. Oleh kerana pihak penaja telah menyediakan kenderaan, penginapan dan teket perlawanan, kami terpaksa ke Singapura juga. Jadi, kami ke Singapura jalan-jalan cari makan sahajalah!... hehe...


Dalam perjalanan ke Singapura

Seperti yang diketahui umum, Singapura merupakan sebuah negara kecil. Jika dilihat pada peta dunia, Singapura hanya satu titik daripada peta dunia itu. Namun demikian, Singapura dapat membangun dan mampu berdiri setanding dengan negara lain.

Singapura merupakan sebuah bandar metropolitan bertemu dengan Bandar tradisional dan di mana seni bina moden menyendeh dengan selesa pada tumbuhan yang subur, menggabungkan budaya-budaya bersejarah. Bandar Singapura menawarkan pengalaman unik seperti membeli-belah, makan malam, melawat tempat-tempat menarik dan berhibur pada waktu malam.

Singapura terkenal dengan tempat untuk membeli-belah dengan harga yang berpatutan. Kehidupan malam di Singapura pula penuh dengan hiburan. Banyak tempat-tempat dan aktiviti-aktiviti menarik yang menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk datang bercuti ke Singapura.


Kami sempat bergambar beramai-ramai di luar Staadium tertutup singapura.

Kami tiba di Singapura tepat pada jam 2.30 petang dan sampai di Stadium Tertutup Singapura pada jam 3.00 petang. Kami disambut oleh Puan Ayu yang merupakan rakyat Singapura yang menyertai kelab kami. Kami sempat bergambar ramai-ramai di luar dan di dalam stadium serta menyaksikan perlawan separuh akhir sehingga 5.00 petang. Kelab Famemas sempat bersorak walaupun tiada pemain badminton negara yang beraksi ketika itu. Itulah semangat kelab Famemas yang setiasa meminati sukan.

Undang-undang untuk masuk ke Stadium Tertutup Singapura agak ketat. Beg akan diperiksa setiap pintu masuk. Segala perakam video tidak benarkan dibawa masuk ke dalam stadium. Siap dengan pengimbas keselamatan sekali. Penulis seolah-olah berada di sebuah lapangan terbang antarabangsa yang hendak menaiki pesawat pula. Namun begitu, suasana di stadium ini agak selesa. Segala makanan dan minuman dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium. Tidak kelihatan jurujual makanan di luar stadium. Sebab itu tiada bau-bauan dan sampah sarap bersepah merata-rata. Sebab itu stadium ini sentiasa kelihatan bersih.


Kami tetap bersorak walaupun tiada pemain negara beraksi.

Kami mendaftar masuk ke Hotel Madras pada jam 7.00 petang. Selepas mandi, kami keluar dengan berjalan kaki ke Mustafa Centre. Mustafa Centre merupakan sebuah pasaraya seperti pasaraya mydin di Malaysia. Harganya murah bagi rakyat tempatan tetapi masih mahal bagi kami rakyat Malaysia. Kami hanya melawat sahaja pasaraya ini. Setelah penat berjalan, perut pula terasa lapar, kami sepakat menjamu selera di sebuah restoran mamak yang berhampiran dengan pasaraya ini. Selesai menjamu selera, kami meneruskan perjalanan ke Bugis Street pula.


Sempat bergambar berlatar belakangkan hotel penginapan.

Kami ke Bugis Street kerana ia merupakan pusat membeli-belah yang terbesar di Singapura. Bugis Street adalah ‘wajib pergi’ untuk mereka yang gila shoping dan pencinta makanan. Walaupun ia penuh sesak dengan deretan kedai kecil, ia tetap dikunjungi ramai. Pada pandangan penulis, jika anda ke Singapura, melawatlah ke bazaar sibuk ini dan anda akan menemui pelbagai tawaran yang hebat. Penulis begitu teruja apabila mendapati pelbagai cenderamata, fesyen pakaian dan barang-barang antik ada terjual di sini. Rugi rasanya jika ke Singapura jika tidak bersiar-siar dan membeli belah ke Bugis Street ini.


Bergambar beramai-ramai berlatar belakangkan mercu tanda negara Singapura.

Pulang dari membeli belah di Bugis Street, rakan-rakan mengajak penulis berhibur di sebuah kelab. Oleh kerana perut terasa sakit, penulis terpaksa menolak pelawaan tersebut. Penulis tidak tahu kenapa perut meragam secara tiba-tiba. Mungking perut penulis tidak boleh menerima nasi beriani ayam yang bernilai 7 dollar tadi. Penulis terpaksa pulang ke hotel dan tidur nyeyak hingga ke pagi.


Penulis dan mercu tanda singapura di Merlion Park.

Selepas serapan di hotel, kami ke Merlion Park untuk merakamkan gambar kenangan di sana. Merlion Park merupakan mercu tanda negara Singapura. Ia berbentuk patung kepala singa yang terganga. Tempat ini menjadi tumpuan para pelancung kerana patung kepala singa di sini mengeluarkan air dari mulutnya tanpa henti-henti. Manakala lokasinya pula sangat strategik dan memang sesuai sekali Merlion Park menjadi mercu tanda negara ini. Di sini juga telah disediakan tempat untuk merakamkan gambar dengan sudut pandangan yang menarik dan berlatar belakangkan pemandangan persisiran pantai dan bangunan-bangunan pencakar langit. Apabila bergambar kenangan di sini, bermakna kita pernah berkunjung ke negara singa ini.


Kami sempat membeli belah Orchard Road.

Selepas merakam kenangan indah di Merlion Park, kami ke pusat membeli-belah yang lebih high-class, kami ke Orchard Road. Di sini ada sebuah gedung membeli belah VivoCity yang merupakan pusat membeli-belah yang terbesar di Singapura. VivoCity menawarkan segala yang ada kepada pengunjung dalam satu tempat. 

Namun demikian, Orchard Road sentiasa sesak dengan pelancong yang datang membeli-belah. Pusat membeli-belah di Orchard Road dibuka hingga lewat malam. Penulis hanya membeli dua helai baju t-shirt sahaja kerana barangan yang dijual di sini boleh diketogorikan "mahal".


Penulis menghilangkan stres di Kota singa.

Apa yang menarik yang penulis perhatikan, pengguna jalan raya sama ada yang membawa kenderaan atau pejalan kaki di negara ini amat berdisiplin. Mereka mematuhi segala undang-undang jalan raya walaupun tiada kelihatan polis trafik bertugas. Berbeza sekali apabila mereka menyemberangi Tambak Johor. Mereka seolah-olah terlepas dari undang-undang. Mereka seolah-olah berada di gelanggang F1. Mengapa ini boleh terjadi?. Lu fikirlah sendiri... hehe... 

Oleh kerana masa lawatan kami adalah terlalu singkat, maka kami tidak sempat melawat tempat-tempat menarik seperti Singapore Flyer, Zoo Malam Singapura dan Pulau Sentosa. Jika ada rezeki, pada masa-masa akan datang penulis akan berkunjung lagi ke negara ini .... insyaallah...

Khamis, 11 Jun 2009

Sesi Laporan Penilaian Buku Arab


Para ustaz designer  yang menghadiri sesi ini.



Sesi penilaian dari pegawai Kementerian.


Penulis berdebar menunggu giliran penilaian.


Designer Tilano Joe kelihatan ceria kerana mendapat markah tertinggi.


Suasana sesi penilaian.


Ketika ini designer Suraya kelihatan ceria.


Penerangan dari pegawai teknikal kementerian.


Yang penting, makanan sungguh menyelerakan.

Ingatkan sempena cuti persekolahan ini dapatlah penulis berehat dan bercuti panjang. Rupa-rupanya mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Cuti kami dibekukan. Kami perlu menyelesaikan satu tugas urgent!

Hari hari Isnin yang lalu, penulis dan rakan-rakan designer telah menghadiri satu sesi laporan penilaian PMS buku Bahasa Arab bersama editor dan pegawai kementerian di Menara DBP. Alhamdulilah kesemua PMS buku ini  telah diterima oleh ahli panel penilai dengan bersyarat penambah baikkan.

Jadi, sepanjang minggu ini penulis  terpaksa bertungkus lumus menyiapkan pembetulan PMS ini kerana tempoh dateline yang diberi adalah amat singkat, iaitu hanya tempoh seminggu sahaja. 

Walaupun pembetulan ini nampak mudah, tetapi sebenarnya agak sukar juga kerana penulis tidak begitu mahir menaip dan membaca bahasa arab. Naib baiklah ada editor yang sudi membantu hingga lewat malam.

Lagi sekali penulis terpaksa menelan beberapa biji Panadol lagi kerana mahu melegakan kepala yang sakit ini he...he...


Selasa, 9 Jun 2009

Mandi Manda di Hutan Lipur Sungai Congkak

Hari minggu yang lalu penulis sempat berkunjung ke Hutan Lipur Sungai Congkak, Seperti di Hutan Lipur Ampang, di sini pengunjung juga dikenakan bayaran masuk dan meletak kenderaan. Cuma yang membezakan, hutan lipur ini tidak perlu berjalan jauh ke lokasi perkelahan dan penyelenggaraan kemudahan asasnya pula bolehlah dianggap baik.


Anakda Nur Atikah yang sangat teruja untuk berkelah di Sungai Congkak ini.

Kekita hendak masuk, penulis dikenakan bayaran meletak kenderaan RM 2 dan bayaran masuk ke dalam Sg Congkak ialah RM 1 seorang. Sungai Congkak berada di bawah pengurusan swasta iaitu Tourism Selangor Sdn. Bhd. Walaupun penulis dikenakan bayaran, penulis berpuas hati hati kerana hutan lipur kelihatan agak bersih dan kemudahan asasnya diselenggara dengan baik.


Pintu masuk ke Sungai Congkak.

Hutan Lipur Sungai Congkak terletak di Hutan Simpan Hulu Langat yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Hutan lipur ini mempunyai sungai yang cantik dan air yang jernih mengalir dalam kawasan hutan lipur ini. Di sepanjang sungai ini terdapat air yang mengalir dicelah-celah bongkah batu kecil dan besar dan sesuai untuk perkelahan.


Sungai Congkak memberi ketenangan jiwa kepada adik Nur Atikah.

Secara kebetulan, semasa penulis berkunjung ke hutan lipur ini, pada hari cuti umum dan penulis dapati ramai pengunjung sehingga di sepanjang sungai ini dipenuhi oleh orang ramai yang sedang mandi bersama keluarga masing-masing.


Sekumpulan pelajar UNISEL sedang melakukan aktiviti sukaneka.

Para pengunjung bukan sahaja bermandi-manda malah ada yang berkhemah sambil berbeku di tepi sungai. Penulis lihat, kebanyakkan pengunjung membawa makanan sendiri dari rumah. Memang sungguh mengasyikan apabila menjamu selera sambil menyaksikan orang ramai mandi di sungai. Setelah selesai menjamu selera, jangan lupa pula membuang sisa makanan ke tempat sepatutnya. Ingat! kebersihan adalah tanggung jawab kita semua.


Sekumpulan remaja sedang mengadakan aktiviti sukan air.

Suasana bertambah meriah apabila ada sekumpulan keluarga dan remaja melakukan aktiviti sukaneka sama ada di darat atau di air. Kebetulan penulis membawa kamera, sempatlah merakamkan suasana menarik dan meriah itu. Bagi penulis, di hutan lipur ini menjanjikan panorama indah, flora dan fauna yang menggamit pandangan dan ketenangan jiwa kepada para pengunjung.


Surau adalah salah satu kemudahan asas yang diselenggara dengan baik.

Penulis dapati ada banyak kemudahan asas yang terdapat di sini iaitu tapak perkhemahan, tapak perkelahan, chalet, padang permainan, astaka, surau dan pondok rehat, medan selera, pentas dan dewan terbuka, tandas, tempat letak kenderaan dan sebagainya. Kesemua kemudahan asas ini diselenggara dengan baik.


Para pengunjung memenuhi setiap ruang di Sungai Congkak.

Penulis difahamkan oleh petugas di situ, pengunjung boleh mendaki bahagian tertinggi di hutan lipur tersebut iaitu Bukit Chenuang setinggi lebih kurang 850 meter dari aras muka laut. Sungai Congkak merupakan pintu masuk bagi mendaki Bukit Chenuang ini.


Anak-anaklah yang paling seronok di Sungai Congkak ini.

Semasa dalam perjalanan pulang, penulis dapati masih ramai lagi pengunjung berpusu-pusu hendak masuki ke hutan lipur ini. Kenderaan ini berbaris panjang sehingga dua kilometer untuk menunggu giliran meletakkan kenderaan masing-masing.

Isnin, 1 Jun 2009

Taman Rimba Ampang

Jika sebelum ini penulis berkelah nun jauh di Hulu Selangor, tetapi minggu lepas penulis dan keluarga bercadang-cadang hendak berkelah berhampiran dengan rumah sahaja iaitu di Taman Rimba Ampang. Sebenarnya sudah bertahun juga penulis tidak mengunjungi taman rimba ini.


Pintu masuk ke Taman Rimba Ampang, Selangor.

Jadi, semalam penulis berkunjung ke taman rimba ini. Penulis agak terperanjat apabila keindahan Taman Rimba Ampang yang suatu ketika dahulu menjadi tarikan orang ramai khususnya pada hujung minggu kini agak tergugat kerana penyelenggaraan yang dilihat semakin diabaikan.


Tiket memasuki ke Taman Rimba Ampang.

Pada pandangan penulis, bukan sahaja penyelenggaraan taman rekreasi yang dahulunya dikenali dengan Taman Rekreasi Bukit Belacan itu diabaikan, paling mengejutkan penulis dan pengunjung dikenakan bayaran RM2 untuk meletak kenderaan serta bayaran masuk RM1 bagi setiap pengunjung. Kebanyakan pengunjung tidak berpuas hati dengan penyelenggaraan yang dilakukan di taman rekreasi tersebut sejak pengurusannya diambil alih oleh pihak swasta.


Penulis terpaksa berjalan hampir dua kilometer ke tempat lokasi.

Mungkin disebabkan bayaran yang dikenakan tidak ramai yang berkunjung. Bayangkan, penulis dan pengunjung terpaksa berjalan hampir dua kilometer dari tempat meletak kenderaan. Sepatutnya hujung minggu seperti ini dipenuhi dengan pengunjung.


Pengunjung tetap bermandi manda tanpa menghiraukan air sungai yang kotor.

Penulis juga melahirkan kekesalan kerana pengunjung tetap bermandi manda tanpa menghiraukan air sungai yang kotor dengan sampah sarap. Mungkin mereka tidak ada pilihan, tetap mandi walaupun air sungai kotor. Penulis sendiri tidak tergamak hendak mandi dengan keadaan air sungai seperti ini.


Rumah rehat yang kotor dan dipenuhi sampah sarap.

Penulis amat berharap kawasan ini diambil alih oleh MPAJ. Jika dilihat hari ini, kawasan ini lebih teruk jika dibandingkan sewaktu dikendalikan oleh MPAJ dahulu. Jika dahulu bayaran masuk percuma, tetapi sekarang bayaran dikenakan sedangkan penyelenggarakan tidak dilakukan. Dalam pada itu, Penulis mendapati tandas dan surau yang tidak diselia dengan baik dan kawasan sekitarnya juga tidak dibersihkan.


Antara landkap menarik di Taman Rimba Ampang.

Penulis dapati sampah sarap tidak disapu. Begitu juga dengan ranting kayu jatuh. Semuanya dibiarkan begitu sahaja. Pengunjung ramai yang merungut bukan sahaja bayaran masuk, malah mereka terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke kawasan perkelahan itu. Tandas juga kelihatan kotor dan tidak dijaga.


Tandas kelihatan kotor dan tidak dijaga.


Pengunjung terpaksa berjalan hampir dua kilometer untuk kembali ke kenderaan.

Lagi sekali penulis amat mengharapkan pihak MPAJ dapat mengambil alih semula pengurusan yang dilihat lebih berkesan jika dibandingkan dengan pihak pengurusan sekarang yang dilihat mengabaikan kebersihan serta keselesaan pengunjung. 

Minggu depan penulis bercadang berkelah ke Sungai Congkak pula.