Tuesday, February 17, 2015

Titisan Nurani menemui pengakhirannya?

Bermula dari semalam ada suatu kecelaruan terjadi di blog TITISAN NURANI ini. Melalui draft apabila dipreview akan kelihatan semua gambar yang mahu dipaparkan tetapi sebaliknya apabila dipublished saja  baik melalui samsung S3 aku, dari mozilla firefox, google chrome atau internet explorer semuanya tidak membantu langsung kerana tidak terpapar semua gambar-gambar yang sepatutnya. Lebih hairan sahabat blogger yang berkunjung boleh pula melihat melainkan Ummiross yang ada masalah seperti aku. Apa yang aku lihat sekarang url blog aku tiba-tiba bertukar kepada https:// berbanding sebelumnya http://. Mungkinkah ini menjadi penyumbang masalah tersebut. Semua entri-entri lama yang ada paparan gambar juga bagaikan menyorok malu-malu untuk dilihat.

Seandainya ini berpanjangan mungkin inilah pengakhiran aku berblog. Atau mungkin aku tambah admin baru di blog yang sama masih dalam pertimbangan. Mengambil kesempatan ini aku memohon kemaafan dari semua yang membaca andai ada salah dan silap aku sepanjang TITISAN NURANI ini berlegar di alam maya yang mana aku sebagai pentadbirnya.

~~ Maaf zahir dan batin. Mungkin juga aku akan menjadi pengunjung dan memberikan komen saja kepada para sahabat blogger yang sebelum ini rajin bertandang ke sini.~~

Monday, February 16, 2015

Alam, serangga dan kehidupan kita

Hari Sabtu yang lepas merupakan hari larian sekolah adik dan aku perhatikan banyak sekolah di Johor Bahru berbuat yang sama. Oleh itu berjogginglah aku bersendirian. Tiba di taman sudah ramai teman walau bukan sebangsa tetapi kami sudah saling mengenali antara satu sama lain. Balik dari jogging hubby jemput untuk pergi bersarapan pagi dan selepas itu terus ke rumah sewa kami yang telah kosong hampir dua minggu. Mengambil peluang yang ada kami membersihkan kawasan luar rumah tersebut.

Buah mata kucing - Sementara mencantas apa yang patut, petiklah juga setangkai-dua untuk dinikmati.

Membakar - Semua daun-daun kering yang berguguran di sekeliling rumah kami bersihkan dan bakar.  Daun mangga, mata kucing, rambutan, pulasan dan jambu batu yang paling banyak berguguran.
Adik - Lebih kurang jam 11:00 pagi adik sudah memanggil untuk diambil. Juga terus ke sini untuk berehat. Bermain unggun api yang ada. Kalah dalam larian tersebut. Top 50 pun tidak dapat adik, tidak mengikut jejak mama-papa dulu yang merupakan pelari pecut di sekolah. Mungkin sebab mama dulu kecil kurang zat jadi ringan untuk berlari pecut.
"Rasulullah SAW melarang kita membunuh empat jenis binatang iaitu semut, lebah, burung hud-hud dan burung shurad" - hadith dari Ibnu Abbas ra. Dari sini jelas menunjukkan larangan membunuh binatang tersebut yang pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui - Wallahu'alam.

Kasut jogging - Akhirnya setelah 3 tahun kasut murah mama menjadi arwah, kenalah kongsi sama dilonggokkan dipembakaran dedaun yang kering. Nasib baik tertanggal tapaknya ketika mengemas di sini. Kalau di padang jogging mahu sengsara mama dibuatnya. Pinjam selipar adik. Satu hal bila memakai selipar kena berperang dengan semut yang banyak. Masalahnya tidak boleh dibakar berdosa - terpaksalah mengelak mana yang mampu.
Bersih - Lebih kurang jam 12:00 tengahari baru selesai semuanya. Itu pun tidak sempurna lagi. Minggu depan kami akan ke sini lagi. Telah berbelas tahun rumah aku sewakan mungkin memerlukan satu pembaharuan. Anak-anak suka rumah ini sebab lebih besar dan mempunyai tanah yang luas maklumlah yang ini corner-lot tetapi aku lebih selesa tinggal di rumah kecil ku yang kami tinggal kini. Senang mahu mengemas.
Saban hari terpaksa menerima panggilan orang mahu menyewa sedangkan kami belum berhasrat mahu menyewakan kepada sesiapa lagi. Dari mana mereka mendapat nombor telefon kami pun tidak diketahui sebab kami tidak memberi notis paparan yang mengatakan rumah untuk disewa. Bagilah rumah itu berehat seketika. 

~~ Rumah menjadi keperluan dalam hidup tetapi harga yang ditawarkan kini kelihatan berganda-ganda mahalnya berbanding harga rumah-rumah yang kami beli dulu. ~~

Friday, February 13, 2015

Serangan licik dan halus

Sedari dahulu lagi sebaik nabi Adam dikeluarkan dari syurga disebabkan tipu helah syaitan, sejak itulah juga syaitan tidak pernah jemu dan berhenti untuk berterus-terusan menggoda anak-cucu-cicit nabi Adam termasuklah kita. Pertelingkahan antara anak-anak nabi Adam hanya kerana Qabil tidak bersetuju untuk dinikahkan dengan Lubuda kembar Habil, mengakibatkan Habil dibunuh oleh Qabil. Habil yang akur menikah dengan Iqlima pada pandangan Qabil sebab Iqlima lebih cantik dari Lubuda. Lihatlah bagaimana wanita menjadi punca pertelingkahan. Kematian Habil itulah merupakan sejarah pertama pembunuhan manusia di muka bumi ini. Hidupnya Qabil jugalah yang menjadikan kita semua ini dari keturunannya. Permusuhan, hasad dengki dan pergaduhan tidak dapat dielakkan. Sentiasa mencari jalan memusnahkan golongan yang menegakkan agama Allah. 

Jika dilihat secara teliti penganut agama Islam kian bertambah di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Manakala negara yang majoritinya Islam pula kian longgar dalam mengamalkan syariat Islam. Tanpa disedari ada yang sentiasa mencari agenda untuk memusnahkan Islam secara paling halus. Berbagai ideologi diserapkan secara licik untuk tidak kelihatan di mata kita. Slogan seperti Islam fanatik, Islam pengganas, Islam orthodox, Islam fobia dan sebagainya dilaung-laungkan bagi meracun pemikiran dunia globalisasi tanpa sedar sehingga ada umat Islam sendiri turut angguk bersetuju. Liberalism, kebebasah hak semua ini menjadi unsur budaya biasa. Lebih sadis lagi yang membunuhnya adalah Islam dan yang dibunuh juga Islam. Selidik dan kaji dengan terperinci. Lihat dengan mata hati siapa sebenarnya dalang punca semua ini?

Penerapan sukan di peringkat dunia melibatkan negara Islam dan bukan Islam. Pakaian yang jelas dan terang lebih kepada unsur bukan Islamik sehingga ada ahli sukan tersingkir hanya kerana mahu menegakkan haknya sebagai umat Islam. Sayangnya beliau dan pihak negaranya tidak mendapat sokongan negara Islam yang lain. Negara Islam pula bagaikan taksub bila hanya disebabkan sukan boleh mengakibatkan berpuluh-puluh umat terkorban begitu saja. Begitu juga dengan perindustrian rokok/arak/judi yang meluas. Umat Islam bagaikan didendangkan di depan mata dengan 'nyanyian' hal seumpama ini. Duduk semeja dengan mereka yang menghisap rokok atau minum arak sudah menjadi perkara biasa.

Apa lagi dengan sistem teknologi yang berkaitan skrin seperti televisyen, telefon, panggung-wayang, komputer yang lebih banyak digunakan menjurus kepada yang kontra dalam agama. Paparan iklan di televisyen saja hampir 100%  tidak bercirikan Islamik. Hiburan yang rata-rata jelas terkeluar landasan mendapat liputan meluas. Majukah itu? Apa lagi seks - boleh dikatakan saban waktu dipaparkan di media kita hal-hal pelacuran, bersekedudukan, anak luar nikah bagaikan tanpa batasan. Unsur-unsur ini kian menjadi 'dendangan' biasa dalam dunia umat Islam secara halus. Halusi dan perinci andai unsur yang ada adalah untuk penambah-baikkan kehidupan sebenarnya ianya suatu yang menguntungkan sebaliknya jika diterima bulat-bulat akibatnya akan tergolek-goleklah kita. Usah kata di akhirat yang pasti ada balasan, bahkan di dunia lagi kita pasti akan dengan mudahnya disepak-terajang, djadikan 'boneka' oleh 'dalang-dalang hebat' dengan sewenang-wenangnya.

"Oleh kerana itu Kami tetapkan bagi Bani Israil, bahawa: Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi." (QS Al-Mai'dah: 32)

~~ Buka mata hati kita seluas-luasnya untuk menjaga keluarga dan mereka yang dibawah tanggungan kita. DSAI sudah jatuh hukum, TGNA pula pulang ke rahmatullah. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah. Al-fatihah.~~


Thursday, February 12, 2015

Anugerah terindah buat keluarga

Sudah dua hari sebenarnya anak buah aku berada di tanah suci sekarang. Siapa sangka anak yang dulunya di dalam kandungan rahim wanita lain akhirnya dengan kebesaran Allah dia menjadi milik keluarga kami. Kenduri besar kami ketika hari pertama menerima kehadirannya dalam keluarga kami. Kami akan mendidik, menjaga dan memberikan kasih sayang sebaik-baiknya selagi ada izin Allah. Menumpang kasih darinya buat pasangan kakak dan abang yang dahagakan kasih seorang anak. Nur Qistina nama diberi oleh ibu-bapa asalnya tetapi keluarga kami memanggilnya Aisyah.


Sudah mahu bertolak ke airport - Doa Mama Zakie semoga semuanya diberi kesihatan terbaik bagi mempermudahkan Aisyah untuk menjalankan ibadah umrah bersama ibu dan abah.
Latihan - Ini sewaktu balik kampung minggu lepas hubby ajar Abah Dol cara memakai ihram dan bertawaf. Sampai berairmata kami semua gelihati melihat latihan yang hubby buat untuk mereka.
Siapa sangka dari hari ke sehari kini Aisyah sudah petah bercakap. November tahun ini genap berusia 6 tahun. Sudah pandai mendirikan solat. Sudah pandai bercerita walau ada sedikit pemalu kepada mereka yang belum dikenali. Kehadiran Aisyah benar-benar menceriakan kakak dan abang ipar kami. Buah hati pengarang jantung kakak dan abang ini harapnya menjadi anak solehah yang mampu mendoakan mak-ayah kandung dan ibu-abahnya juga walau kedua mereka sekadar ibu-bapa angkat saja. Mak-ayah kandungnya pun terharu apabila mendapat tahu anaknya mahu ke tanah suci.

~~ Ibarat kain putih anak pasti akan tercorak sebagaimana cara kita mendidiknya.~~

Wednesday, February 11, 2015

Murtabak Singapore di Air Hitam




~~ Makanan dengan kehidupan tidak dapat dipisahkan.~~


Tuesday, February 10, 2015

Sambil beriadah mata menjeling

Rutin setiap pagi Sabtu dan Ahad pasti akan ke padang untuk memberi tubuh yang kian dimamah usia mengeluarkan peluh. Setelah lima hari duduk, duduk dan duduk, rehat, rehat dan rehat inilah masanya memberi peluang diri beriadah. Sambil kaki melangkah, mata menjeling keliling padang yang sarat dengan tumbuh-tumbuhan. Seandainya ada yang menarik mata memandang, singgah sebentar menghalakan kamera telefon untuk merakamkannya. 

Mengkudu - Pokok mengkudu ini sudah terlalu besar dan tua. Tidak pernah berhenti dari menghasilkan buah. Berguguran tidak ada sesiapa pun yang mengambilnya. Tumbuh sendiri.
Cantik - Terbiar melingkari batang pokok yang dijadikan pelindung mereka yang beriadah di sini. Hidup subur walau tidak pernah ada yang memperdulikan kehadirannya.
Unik - Bungakah ini? Ini hasil dari tumbuhan pokok di atas. Jika di rumah kampung ku ada menanam pokok ini tetapi tidak pernah menghasilkan seperti ini. Sebaliknya pokok ini tanpa jagaan tapi subur dan menghasilkan 'bunga' yang unik.

Telah dinyatakan bahawa semua makhluk Allah samada tumbuh-tumbuhan atau haiwan kesemuanya berzikir kepada Allah S.W.T mengikut cara masing-masing. Hukum membunuh binatang tidak kira yang mughalazah tanpa tujuan selain untuk mengelakkan dari membawa kemudharatan seperti penyakit adalah haram. Walau bagaimana pun adalah sunat hukumnya untuk membunuh binatang yang berbisa kerana boleh memudharatkan manusia seperti kala jengking, lipan, ular, dan sebagainya.
 
~~ Tumbuh-tumbuhan sentiasa berzikir kerana takut esoknya hari kiamat. Bandingkan diri kita dengan tumbuh-tumbuhan tersebut.~~

Monday, February 9, 2015

Pukau warga emas

Perbualan di surau kampungku kini berlegar isu berkaitan masalah pukau. Siapa sangka bapak menjadi salah seorang mangsanya. Duduk di bangku panjang di hadapan kedai runcit sambil menunggu anak yang akan pulang tiba-tiba tanpa disedari semua duit di dalam dompet bapak diambil, tinggal RM5/- saja ditinggalkan. Itu pun bapak tersedar apabila mahu membeli roti tiba-tiba dilihat di dalam dompetnya hanya tinggal RM5/-. Masih belum sedar disangkanya dia hanya membawa duit sebanyak itu, tetapi apabila di dalam perjalanan balik ke rumah baru sedar bapak telah terkena pukau.

Menurut bapak sewaktu dia duduk di bangku itu, tidak ada pelanggan lain selain bapak sendiri. Tuan punya kedai ada di dalam kedai bersama isterinya. Tiba-tiba ada sebuah kereta kancil putih berhenti di depan kedai dan melambai bapak. Orang kampung biasalah, disangkanya orang mahu bertanya rumah seseorang memandangkan penampilan pula adalah wanita Melayu sudah berusia dan bertudung pula. Dalam pada itu bapak masih boleh ingat wanita itu bukan mahram apabila diminta masuk dalam kereta bapak masih mampu membaca doa tetapi entah 'syaitan' apa tiba-tiba bapak boleh tidak menolak duduk di dalam keretanya. Apabila mahu dihantar balik bapak masih boleh ingat berkata "Pakcik tengah tunggu anak pakcik tak apalah nanti pakcik balik dengan anak pakcik". Cuba bayangkan kalaulah bapak terus ikut kata makcik itu, aku rasa licin semua duit bapak di rumah sebab rumah kami tidak sampai 10 minit jarak dari kedai runcit tersebut.

Kami sangat bimbang dengan keadaan di kampung sekarang. Kebanyakan penghuni kampung aku yang tinggal adalah warga tua. Sesekali adalah anak-anak balik. Macam bapak seminggu sekali baru ada anak-anak balik. Dua minggu sekali bapak mendapat bayaran hasil jualan dari kebunnya, tetapi biasanya sebulan sekali baru dimasukkan bank. Semalam semua duit bapak sudah berada di tangan kami untuk dimasukkan bank sebab buku akaun bapak ada di rumahku. Tinggalkan bapak RM 200/- saja untuk keperluan seminggu. Sekiranya tidak cukup bila-bila masa saja aku boleh balik. Sayur-ikan dan lain-lain semua sudah ada hanya untuk makan-makan bila bapak hendak membeli di warung saja. 

~~ Biarpun bapak selalu mengajar anak-cucu-cicit doa supaya terhindar dari dipukau, siapa sangka bapak sendiri telah menjadi mangsa. ~~


Friday, February 6, 2015

Tangisan sebatang tamar

Kepada yang mengikuti rancangan radio IKIM pasti tahu yang lagu/nasyid di bawah ini telah dinobatkan sebagai nasyid terbaik untuk Anugerah Nasyid tahun 2014 yang telah berlangsung pada pertengahan Januari, 2015 lalu. Menjuarai carta lagu di radio IKIM selama 12 minggu berturut-turut, lagu Daqmie ini sangat mengagumkan. Menghayati liriknya pun sudah dapat kita rasakan keindahan susunannya. Apa lagi lontaran suara penyanyinya membuat kita yang mendengar pun bagaikan mahu mengalirkan airmata. Cubalah menghayatinya.


Sedu sedan itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya manjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya
Kisah tangisan sebatang tamar
Menyentoh hati mengocak perasaan
Benarkah.aku cinta benarkah aku rindu
Sedangkan tak pernah gugur airmata ku mengenangkan mu
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya
Betapa kerasnya hatiku ini
Untuk menghayati perjuangan mu
Betapa angkuhnya diriku ini
Untuk menghargai perjuanganmu ya Rasulallah
Ingin aku menjadi sebatang tamar
Yang menangis rindu kepada mu ya Rasulallah
Biarkan aku sebatang tamar
Namun dapat bersama mu di dalam syurga
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran rasul ketika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya.

Nasyid di atas sebenarnya diambil dari kisah berikut:-

Masjid Nabawi adalah masjid yang dibina secara gotong royong golongan Ansar dah Muhajirin . Mengikut sejarah yang tercatat, tapak Masjid Nabawi merupakan perhentian pertama unta putih baginda Rasulullah ketika golongan muhajirin tiba di Madinah.  Terharu kerana rombongan baginda disambut baik oleh golongan ansar. Masing-masing berebut mahu rasulullah singgah kerumahnya. Oleh kerana baginda tidak mahu menghampakan semua pihak, baginda menyerahkan unta putih baginda membuat keputusan . Unta baginda berhenti di suatu tempat dan disitulah baginda akhirnya mendirikan sebuah masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Nabawi. 

Baginda telah membina mimbar yang diperbuat daripada batang tamar . Dalam masjid inilah perjumpaan serta perbincangan juga majlis ilmu diadakan . Namun setelah lama mimbar masjid digunakan, ia menjadi reput . Baginda rasulullah dan para sahabat memutuskan untuk membuat mimbar baru . Mimbar yang lama disimpan di tempat lain. Pada suatu hari ketika rasulullah sedang berkhutbah, terdengar suara tangisan. Setelah diteliti rupa-rupanya suara itu datangnya dari sebatang tamar. Batang tamar itu bersedih kerana khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi oleh rasulullah . Tetapi rasulullah memujuk, walaupun khidmatnya tidak diperlukan lagi kerana keuzurannya, namun ia akan tetap akan bersama baginda di syurga kelak. Sebaik mendengar janji rasulullah itu barulah terhenti tangisan batang tamar yang uzur tersebut. 

Kisah inilah yang tercatat menjadi nasyid yang sangat mendayu-dayu dan kita pula bagaikan mahu mengalirkan airmata seperti batang tamar yang dimaksudkan.

~~ Mampukah kita menjadi seperti batang tamar itu?~~

Thursday, February 5, 2015

Aku-janji bersama demi meraih kejayaan

Seperti tahun-tahun sebelumnya kali ini adik pula membawa surat dari pihak sekolah untuk kami para ibu-bapa melihat secara langsung dan lebih memahami program yang telah disusun oleh pihak sekolah untuk murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperikasaan UPSR tahun ini. Adik pastinya tidak mahu mama-papa tertinggal sama. Walaupun ketika berada di sekolah langsung kami tidak berpeluang bertemunya. Program adik bersama kawan-kawan sudah disusun rapi pihak sekolah. Aku puji sistem pentadbiran sekolah adik. Hanya Allah jua yang membalas jasa-jasa semua warga sekolah yang tidak pernah kenal erti penat demi anak-anak kami semua.
 
Pagar sekolah - Tepat jam 10:00 pagi pagar sekolah dibuka pengawal. Para penjaga yang menanti di luar sedia masuk.
Adik & rakan - Semua pengawas tahun 6 naik ke pentas sebagai wakil murid. Lain-lain murid berdiri di bawah turut sama bediri membuat ikrar aku-janji memikul tanggungjawab untuk meraih kejayaan yang diimpikan.
 
Selesai anak-anak membuat aku-janji, pihak ibu-bapa pula mengambil tempat dan akhir sekali warga pendidik sekolah. Bila diri kian dipagut usia tua, mudah benar airmata mahu mengalir dari pelupuk mata kala terpahat ikrar aku-janji yang dilafazkan. Terasa ada tanggungjawab yang perlu digalas dengan sempurna sepertimana yang diikrarkan. Terharu dengan kesungguhan para guru. Tinggi harapan mereka. Tahun Kak Reen dulu merupakan tahun terbaik tercatat dan sehingga kini belum terpecah lagi rekod tersebut. Harapan pihak sekolah tahun adik ini mampu memecahkan pencapaian rekod tahun Kak Reen dulu.

~~ Tahun 2015 merupakan tahun terakhir UPSR kerana tahun hadapan anak-anak sudah dengan sistem KSSR.~~


Wednesday, February 4, 2015

Monday, February 2, 2015

Mereka membantu atau menjatuhkan ekonomi kita

Sabtu malam kami keluar menghantar Kak Reen ke terminal bas untuk kembali memulakan kuliah selepas tiga minggu bercuti. Sengaja keluar selepas Isyak walaupun tiket bas jam 12:00 malam sebab sepakat mahu singgah makan malam di restoran yang boleh dikatakan setiap dua minggu sekali kami pasti singgah. Sinonim dengan namanya Singgah Selalu. 

Mereka - Melihat mereka yang bertugas di sini aku rasa 100% yang bertugas sebagai pembantu bukan rakyat Malaysia. Bermula dari tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia sehingga mereka sudah boleh berinteraksi dengan pelanggan. Kalau dulu mahu memesan makanan menggunakan gambar dari menu, tetapi sekarang tidak lagi. Pendapatan mereka mencecah RM2,000 sebulan. Bekerja dari lebih kurang jam 2:00 petang sehingga restoran tutup. Letih, tapi kelihatan mereka puas hati.
Cacatan - Menggunakan kertas NCR mudah buat kami membuat rujukan pada salinan yang diletak di atas meja kami dan melihat apa yang kami pesan. Berbanding dengan catatan yang pernah menjadi viral di FB sedikit masa dulu aku rasa yang ini jauh lebih baik kerana kita boleh faham walaupun mereka bukan rakyat Malaysia. Ejaan diberi usah dihiraukan tetapi aku rasa chef yang menerima catatan ini faham apa yang diminta pelanggan sebab aku pun boleh faham.
 
Lihatlah contohnya M.H itu adalah mee hailam, D.L.M merah adalah daging lembu masak merah, K.T kantenis adalah kwee-teow Cantonese, N.P - nasi putih, A.S - air suam. Hanya yang hujung kanan itu aku tidak dapat tangkap apa maksudnya.
 
Makanan kami - Sebahagian yang kami makan pada malam itu.
Licin - Setiap apa pun yang kami makan tidak pernah kami tinggalkan. Apa pun yang tidak habis akan kami bungkus melainkan kuah sate sebab anak-anak makan sate tidak perlukan kuah.
Biarpun ada ketikanya sakit mata kita melihat terlalu ramainya golongan mereka yang bukan rakyat Malaysia tetapi rata-rata jika ke restoran yang memerlukan ramai tenaga pekerja, kita tidak dapat lari dari senario begini. Kelihatannya cara mereka bekerja bersungguh-sungguh. Hayunan langkah menghantar setiap hidangan ke meja begitu pantas. Senyuman mereka biarpun tidak diminta tetap terukir atau mungkin sebab bimbang diambil tindakan. Dari pemerhatian aku juga ada di kalangan mereka sudah pun menjadi supervisor tetapi masih tetap membawa pesanan. Supervisor biasanya beruniform putih-hitam berbanding waiter biasa beruniform merah.

 ~~ Ada dari kalangan mereka yang datang, tinggal dan bekerja di sini sehingga mampu membuat keluarga di negara asal hidup lebih mewah dari rakyat di negara kita sendiri. Terlalu banyak sudah pengaliran keluar Ringgit Malaysia sebenarnya.~~