BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, September 10, 2009

Apabila Penulis Menerima 'Rotan'

Setelah berbulan-bulan memberi tumpuan pada kerja menulis, akhirnya siap sebuah manuskrip. Mungkin harus bersengkang mata untuk sampai ke noktah akhir. Atau setelah beberapa hari memerah otak dan menaip di depan komputer, siap sebuah cerpen ataupun artikel. Maka datang satu kepuasan dalam diri. Tetapi rupanya kepuasan itu tidak lama apabila ada orang yang menegur akan kekurangan tulisan itu. Jika sudah sampai ke tangan editor, editorlah yang akan menegur dan mencadangkan supaya diubah itu, ditambah ini, diolah sana dan dipotong sini.

Apabila tulisannya ditegur, seorang penulis seperti kena ‘rotan’. Selalunya penulis yang baik mudah menerima teguran. Dia tahu, teguran itu untuk kebaikan. Sama seperti seorang budak yang redha kena rotan kerana dia tahu rotan itu akan membuat dia sedar akan kesilapannya. Begitulah halnya apabila penulis menerima teguran daripada editor.

Penulis yang baik juga sentiasa bersedia untuk membaiki tulisannya jika perlu. Atau mungkin dapat disebut begini. Disebabkan dia sentiasa bersedia membaiki tulisannya, maka dia mampu menjadi penulis yang baik. Dia dapat meningkatkan kemahiran menulisnya. Penulis ini tahu, orang yang memberitahunya tentang kelemahan tulisannya itu mewakili ramai pembaca lain. Apabila cadangan daripada orang itu diterima, dia seperti meraikan pembaca-pembaca tulisannya.

Dengan kesediaan penulis untuk menerima teguran, pandangan dan cadangan daripada editor, penulis juga dapat membina hubungan baik dengan editor. Hubungan baik penulis-editor ini sangat penting untuk jalinan kerjasama antara penulis dan penerbit. Melainkan seorang penulis itu menerbitkan sendiri karyanya, dia harus memelihara hubungan baik ini.

Alhamdulillah, setakat ini saya belum berjumpa dengan penulis buku atau novel yang mengajukan karya kepada saya tetapi menutup pintu kepada teguran dan saranan. Ironinya, semakin bagus seorang penulis, semakin terbuka dia kepada teguran dan pandangan. Bukan saja penulis baru, malah penulis yang sudah mantap pun masih suka kepada ‘rotan’ daripada editor.

Wednesday, September 9, 2009

Berkarya Di Bawah Lembayung Ramadan

“Cabaran bagi saya di bulan Ramadan, cabaran membahagikan masa antara ibadah dan komitmen penulisan,” luah seorang novelis GISB.

Novelis ini sedang menggilap novel keduanya. Novelnya itu sudah beliau sunting sendiri, tetapi perlu dibaiki dan diperkemaskan. Penyunting mengusulkan beberapa cadangan kepadanya untuk menjadikan cerita lebih menarik, khususnya dalam menambah konflik.

“Banyak nak diubah. Harap-harap sempat sebelum raya,” beritahunya.

Kebetulan, pada tahun lepas, beliau menukangi novel pertamanya juga dalam bulan Ramadan. Walaupun harus membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga, antara ibadah dan tuntutan menulis sepanjang Ramadan, beliau mampu terus berkarya.
Mungkin banyak keberkatannya apabila menulis dalam bulan Ramadan – di celah-celah ibadah khusus, terutama solat dan membaca al-Quran. Barangkali kita yang masih ‘terbeban’ dengan ibadah dan belum merasai apa yang dikatakan lazatnya ibadah, tidak berada pada tahap rohani yang tinggi untuk menulis dengan hati yang jernih seperti Imam Malik misalnya.

Khabarnya, Imam Malik giat mengarang kitab apabila tiba bulan Ramadan. Beliau menghentikan majlis pengajiannya sepanjang Ramadan, diganti dengan lebih banyak membaca al-Quran dan mengarang kitab. Ertinya, beliau memfokus pada aktiviti membaca (al-Quran) dan mengarang. Diriwayatkan, beliau mengkhatam al-Quran sebanyak 30 kali dalam bulan Ramadan, namun masih mampu memfokus pada kerja mengarang. Masya-Allah, hebat.

Walaupun tidak mampu seperti Imam Malik, tidak salah kita meniru habit beliau yang sibuk mengarang dalam bulan Ramadan.

“Saat berpuasa di bulan Ramadan adalah saat paling kondusif menulis,” ujar seorang penulis dari seberang, Ersis Warmansyah Abbas, penulis buku Nyaman Memahami ESQ, antologi puisi Surat Buat Kekasih, dan beberapa judul tentang penulisan – Menulis Sangat Mudah, Menulis Mari Menulis, Menulis Dengan Gembira dan beberapa judul lagi. Ersis juga banyak menulis dalam suratkhabar arus perdana di Indonesia.

“Kalau dibiasakan selama bulan Ramadhan, mudah-mudahan selepas Ramadhan menjadi habit. Kalau demikian ceritanya, bukan tidak mungkin Sampeyan menjadi penulis besar,” ungkap Ersis.


“Menulis adalah kekuatan batin melalui kekuatan pikiran. Kekuatan pikiran didapatkan dari kuatnya kita mengisi dan mengasah pikiran. Ia akan menjadi sangat dahsyat manakala disandarkan kepada ajaran Allah SWT. Dus, berpuasa bukanlah tiket untuk bermalas-malas.

“Kita tidak perlu melakukan perang fisik seperti Rasulullah, cukup memerangi diri menjauhkan hal-hal yang negatif. Membaca, berpikir, dan menulis pada hakekatnya juga berperang dalam bentuk lain. Selama apa yang kita tulis memberi manfaat tentunya.

“Mari menulis di bulan Ramdhan dalam katup meraih ridho-Nya. Amin,” tulis Ersis dalam blognya.

Legasi Asri Ibrahim

Hampir empat minggu berlalu sejak Ustaz Asri Ibrahim bersemadi di alam istirahatnya. Apabila menjenguk ke blog yang ditinggalkannya, kita akan menemui ratusan kata-kata takziah atas pemergian Allahyarham. Dalam entri terakhir di blog beliau bertarikh 18 Mei 2009 (beliau tidak sempat mengemas kini blog dalam tempoh agak lama), 356 orang sudah meninggalkan jejak dalam ruangan komen sejak tarikh beliau dipanggil pulang oleh Allah pada 13 Ogos lalu hingga ke hari ini.

Minggu lalu saya menjenguk semula blog beberapa orang sahabat yang menulis tentang Allahyarham. Lantas segera teringat kepada Ustaz Ghazali, adik Allahyarham, orang pertama yang saya hubungi sebaik-baik mendapat khabar pemergian Allahyarham tempoh hari. Saya lebih mengenali Ustaz Ghazali berbanding adik-beradik Ustaz Asri yang lain, mungkin kerana kami sama-sama penulis. Apabila teringat kepada Ustaz Ghazali selepas membaca blog sahabat-sahabat itu, saya terus menghubungi beliau bertanya khabar.

“Allah … terima kasih atas ingatan. Ana pun sampai sekarang masih terasa pemergian arwah. Tengah kumpul kekuatan untuk siapkan buku kisah arwah. Dah nak siap, tapi bila arwah dah tak ada, nak kena susun semula kisah dan penceritaan. Doa-doa moga ana dapat siapkan,” beritahu Ustaz Ghazali.

“Moga Allah bantu dan mudahkan Ustaz. Kebaikan arwah akan terus disebut-sebut dan dikenang, lebih-lebih lagi apabila keluar buku nanti,” balas saya.

Dalam blognya, sahabat saya Pahrol Mohd Juoi menulis perbualannya dengan seorang sahabat lain, “Saya rasa orang baik dirasakan mati cepat kerana orang yang masih hidup belum puas menikmati kebaikannya!”

Allahyarham Ustaz Asri bukan penulis, tetapi beliau sudah ‘menulis’ banyak kebaikan dalam hidupnya. Oleh itu, selain meninggalkan legasi dalam dunia nasyid, beliau meninggalkan legasi dalam bentuk kebaikan yang banyak. Legasi itu akan terus 'dinikmati' oleh sesiapa saja yang mengenali dan pernah berdamping dengan beliau.

Ini ialah ‘wasiat’ Allahyarham yang ditinggalkan pada kata-kata aluan blognya dan disiarkan semula oleh majalah SOLUSI:

“Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.

“Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja, syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke mana pun dan sampai bila-bila pun, syurgaku selalu bersamaku…”

Al-Fatihah.

Thursday, September 3, 2009

Tidak Rugi Bermusyawarah


Dalam Bengkel Penulisan Islam yang saya kendalikan bersama rakan editor, Sdr Nasri Nasir, di dewan Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu, kami mengadakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Inilah kali pertama saya mengendalikan bengkel di luar pejabat dan mengadakan aktiviti LDK.

Bagi lebih 50 siswa-siswi UIA cawangan Nilai, Gombak dan Petaling Jaya yang tekun mengikuti bengkel dari 9 pagi hingga 4 petang itu (sebahagiannya tidak dapat mengikut penuh kerana menghadapi peperiksaan), aktiviti berkumpulan begini memberi peluang kepada mereka mencungkil potensi diri dalam suasana musyawarah.

Dalam LDK, kami meminta setiap kumpulan menghasilkan satu sinopsis buku. Kami teruja juga apabila para pelajar ini mampu mengajukan konsep dan sinopsis buku yang agak baik. Dengan mengambil kira faktor bahawa mereka baru saja didedahkan dengan dunia penulisan buku, mereka menunjukkan potensi yang tinggi apabila dapat menghasilkan idea buku yang boleh diterima untuk diterbitkan walaupun masih perlu diubah suai dan diperkemas. Selain berkat Ramadan, ia adalah berkat musyawarah. Saya harap mereka dapat mengajukan proposal yang lebih sempurna supaya idea itu benar-benar dapat dijelmakan.

Konsep musyawarah dalam LDK boleh dilanjutkan selepas bengkel. Peserta yang mahu mengajukan idea dan judul buku untuk diterbitkan boleh membincangkan idea itu dalam suasana musyawarah, terutama dengan sesama rakan peserta.


Musyawarah memberi banyak kelebihan kepada penulis.

Sewaktu saya masih terlibat dengan penerbitan majalah dulu, kami sering mengadakan musyawarah untuk membincangkan hala tuju artikel utama untuk satu-satu keluaran, khususnya untuk ruangan Fokus dalam majalah Anis. Kami mengadakan sesi brainstorming. Biasanya dalam sesi ini, kami mendapat hala tuju yang lebih jelas tentang apa yang hendak ditulis dan siapa yang hendak ditemubual untuk menguatkan perbincangan satu-satu topik.

Selepas musyawarah itu, barulah kami lebih bersedia untuk menulis. Maka dalam setiap tulisan untuk ruangan Fokus itu, ada sumbangan idea daripada beberapa orang walaupun yang menulisnya mungkin seorang – saya, Hajah Jalilah atau Encik Roslan Kassim. Saya sendiri apabila mendapat input daripada sesi begini, akan menggunakan input itu untuk membuat rangka artikel. Daripada rangka kasar itu, saya mengumpul bahan sokongan dan mula menulis.

Dua kepala lebih baik daripada satu kepala. Dalam sesi brainstorming, ada yang melontar idea atau cadangan. Kemudian ada yang memberi cadangan balas. Dengan itu, idea yang lahir akan berkembang dan menjadi matang kerana sudah dilaga-lagakan. Idea baru yang lebih segar mungkin dapat dicetuskan. Ada sisi positif dan negatif yang dilihat. Ada fokus dan pengecilan skop yang dibuat. Ada input yang dapat menguatkan apa-apa yang diutarakan. Malah ada pencerahan pada isu yang dibincangkan. Perkongsian begini selalunya menghasilkan input yang lebih baik dan lebih kemas.

Bagi penulis atau calon penulis yang mahu mengajukan proposal buku atau proposal novel kepada editor, ada baiknya dia kongsikan dulu idea buku itu dengan orang lain. Sebaik-baiknya dengan orang yang dapat memberi pandangan secara telus. Yang kritis dan tahu menilai buku. Ertinya orang yang banyak membaca, bukan semestinya orang yang pernah menulis.

Bagi penulis yang mempunyai mentor, dia boleh berkongsi idea penulisannya dengan mentor. Kemudian nantikan pandangan dan komen. Apabila menerima komen pula, penulis mesti bersikap berlapang dada dan bersedia mengemas kini ideanya jika perlu. Apa-apa pandangan dan idea lain harus diterima.

Dengan berkongsi idea buku atau idea cerita untuk novel dengan orang lain, kemudian bersedia menerima komen dan cadangan dengan dada yang lapang, maka berlakulah suasana musyawarah. Dua orang saja pun sudah cukup untuk melahirkan suasana musyawarah ini.

Tidak rugi bermusyawarah. Insya-Allah, di situ ada berkatnya.

“… dan urusan mereka (diputuskan) secara musyawarah sesama mereka; dan mereka pula menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.” – Asy-Syura: 38

Tuesday, September 1, 2009

Kerja Menulis vs Kerja Pasca Menulis

Ketika melangkah keluar dari Masjid Putra Nilai sebaik-baik saja selesai mengendalikan Bengkel Penulisan Islam pada Sabtu lalu, seorang peserta bengkel menghampiri saya dan rakan editor, Sdr Nasri Nasir. Siswi jurusan undang-undang itu bertanyakan satu perkara yang ada kaitan dengan gejala kebuntuan yang dialami oleh penulis (writer’s block).
Siswi ini mengadu sukar untuk menyelesaikan penulisannya kerana sangat berhati-hati dalam menyusun ayat. Dia mahu memastikan ayat yang ditulisnya kemas dan betul. Masalah ini menyebabkan dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan tugasan.

Nasihat saya kepadanya, “Sewaktu sedang menulis, jangan betulkan apa-apa. Tulis dulu hingga selesai, kemudian baru edit tulisan itu.”

Sesetengah penulis terlalu memikirkan kesempurnaan. Tetapi dalam proses menulis, hal itulah yang mesti dielakkan. Proses menulis yang semula jadi adalah menulis tanpa membetulkan apa-apa. Apabila kita menulis dalam keadaan terlalu berhati-hati dan sibuk membetulkan ayat atau memperkemaskan olahan, proses semula jadi menulis akan terganggu.

Penulis harus membezakan proses menulis dan proses pasca menulis. Menyemak dan membetulkan tulisan adalah kerja di peringkat pasca menulis. Sekiranya kerja menyemak dan membetulkan tulisan dibuat di peringkat menulis itu sendiri, maka berlakulah writer’s block.

Saya tidak pasti sama ada di kalangan kira-kira 50 peserta bengkel sehari yang saya kendalikan bersama Sdr Nasri itu, ada yang menghadapi masalah yang sama. Jika ada, saya harap mereka membaca entri ini.

Ketika sedang menulis, penulis harus menyibukkan diri dengan pengaliran idea dari mata pena (baca: komputer). Apabila terasa seperti hendak membetulkan ayat atau mengubah olahan, biarkan saja perasaan itu. Teruskan saja proses menulis. Nanti akan sampai masanya untuk membetulkan itu dan membetulkan ini, iaitu apabila sudah selesai menulis.