Monday, December 08, 2008

SALAM PENGORBANAN

SALAM PENGORBANAN: Sedetik cuma di akhir waktu fikir pengorbanan kita untuk umat, kala masa dan usia terus berdetik mengira iktibar pengorbanan yang lalu menuntut semangat sirah yang abadi. Lorong pengorbanan tersingkat di balik cahaya menanti sosok tubuh pejuang sejati menunggu tiba penyambung Risalah yang suci.

Tuesday, December 02, 2008

SELAMAT BERSARA

"Bahtera perubahan minda ini harus terus dikemudikan agar kebenaran yang bertunjangkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah dapat terus disebarluaskan"


Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada Dr Asri Zainul Abidin sebagai Mufti Perlis pada 30 November yang lalu. Sesungguhnya jasa beliau selama memegang jawatan sebagai Mufti Perlis begitu besar impaknya kepada umat kita di dalam memecah tembok pemikiran yang konservatif.

Perubahan minda yang ingin di bawa oleh beliau berjaya mengajak masyarakat untuk berdiri dan berpegang kepada fakta dan dalil yang kukuh di dalam setiap amalan yang ingin dilakukan. Masyarakat mula celik untuk mencari hujah-hujah yang betul-betul berdasarkan kepada Al-Quran dan Hadith Rasulullah sallahua'laihi wassalam.

Kepada beliau perjuangan masih panjang, teruskanlah walaupun di mana berada dan di dalam posisi mana sekalipun. Bahtera perubahan minda ini harus terus dikemudikan agar kebenaran yang bertunjangkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah dapat terus disebarluaskan.

Monday, November 24, 2008

Haram PENGKID dan haram NYAH/BAPUK

Beberapa minggu lepas Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa haramnya PENGKID. Sepertimana dikatahui umum PENGKID merupakan istilah golongan wanita yang menyerupai lelaki. Tanpa perlu melalui mesyuaratkan khas oleh Majlis Fatwa pun, orang ramai pelbagai peringkat tahap pendidikan agama dapat mengetahui hukumnya adalah haram di sisi agama. Bahkan saya berkemungkinan tiada agama di dunia ini yang membolehkan kaum wanita berubah bentuk menjadi lelaki.

Setelah fatwa ini dikeluarkan, terdapat beberapa NGO bukan Islam yang cuba untuk mempertikaikan fatwa haram PENGKID ini sepertimana dilaporkan di dalam media-media. Saya tidak pasti apakah yang cuba dipertikaikan perkara-perkara yang terkandung di dalam fatwa tersebut. Adakah mereka mempertahankan PENGKID? adakah agama yang dianuti mereka membenarkan PENGKID? sehingga mempertikaikan perkara yang terkandung di dalam hukum syariat Islam yang tidak ditujukan kepada meraka. Ataupun mereka berjuang di atas nama perjuangan hak asasi? hak asasi apa yang diperjuangkan sehingga mereka tidak menyedari kesan yang negatif terhadap masyarakat sekiranya PENGKID ini dibenarkan atas nama hak asasi? maka suatu hari nanti tidak mengenali mana lelaki tulen dengan lelaki "celup".

Namun yang utama diperkatakan di sini adalah masyarakat harus tahu dan menyedari bahawa bukan sahaja wanita yang menyerupai lelaki adalah haram tetapi lelaki yang menyerupai wanita juga diharam sepertimana terkandung di dalam hadis Bukhari iaitu Rasulullah sallahu'alaihi wassalam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari). Ini kerana barah penyakit yang juga besar melanda masyarakat kita sekarang adalah munculnya golongan lelaki yang menyerupai wanita.

Masyarakat harus sedar perkara ini, kerana golongan-golongan kelihatan berleluasa di dalam masyarakat dan juga sudah ditonjolkan di dalam media-media.Ianya seolah-olah sudah mendapat tempat dan lesen untuk dibenarkan di dalam masyarakat. Oleh itu kita harus mengetahui bahawa dua golongan ini iaitu wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita adalah dilaknat oleh Rasulullah sallahualaihiwassalam.

Sunday, November 23, 2008

Ketawa Ayah Pin: JHEAT!!?? POLIS!!??

"Ketika pengharaman ajaran yang di bawa oleh Ayah Pin pada tahun 2005, bukankah Ayah Pin telah diburu oleh pihak berkuasa? tetapi tidak dapat ditahan kerana Ayah Pin berjaya menghilangkan diri sehingga pihak berkuasa pun gagal menjejaknya.Sekiranya pemburuan itu berlaku kemungkinan telah pun dikeluarkan arahan sama ada perintah daripada Mahkamah ataupun pihak berkuasa Agama kerana beliau menyebarkan ajaran sesat. Mengapa Polis tidak menggunakan arahan yang dikeluarkan pada waktu itu untuk menahan beliau, kerana beliau masih lagi dalam pemburuan pihak berkuasa? Kecuali kalau sebaliknya".

"Ha ha ha, aku power! aku power! Pejabat Agama ngan Polis pun tak leh wat apa ngan aku,haha!" Mungkin itulah ungkapan Ayah Pin yang terfikir dalam benak fikiran saya melihatkan isu yang berlaku kepada si Ayah Pin ini. Tidak diketahui apakah situasi dan keadaan sebenar yang berlaku antara Polis dan JHEAT ini. Tapi dari kaca mata kasarnya, mengikut pada laporan akhbar Ayah Pin tidak dapat ditahan setelah terdapat maklumat yang beliau kembali ke Besut kerana Polis mendapat arahan supaya beliau tidak ditahan daripada pihak JHEAT.

Isu yang berlaku hampir empat tahun dahulu. Ayah Pin yang dikatakan hilang ke mana, tiba-tiba dikatakan membuat "come back" pada beberapa minggu yang lalu. Namun tidak diambil tindakan kerana ia dikatakan di luar bidang Polis dan tertakluk kepada Pihak JHEAT. Sehingga sekarang (ketika artikel ini ditulis) isu ini masih panas di dada akhbar tempatan sehingga melibatkan campurtangan Menteri Besar Terengganu. Apa yang berlaku melihatkan beberapa kelemahan dan mungkin "missunderstanding" antara beberapa pihak.

Namun, seingat saya ketika pengharaman ajaran yang di bawa oleh Ayah Pin pada tahun 2005, bukankah Ayah Pin telah diburu oleh pihak berkuasa ? tetapi tidak dapat ditahan kerana Ayah Pin berjaya menghilangkan diri sehingga pihak berkuasa pun gagal menjejaknya.Sekiranya pemburuan itu berlaku kemungkinan telah pun dikeluarkan arahan sama ada perintah daripada Mahkamah ataupun pihak berkuasa Agama kerana beliau menyebarkan ajaran sesat. Mengapa Polis tidak menggunakan arahan yang dikeluarkan pada waktu itu untuk menahan beliau, kerana beliau masih lagi dalam pemburuan pihak berkuasa? Kecuali kalau sebaliknya. Tetapi apabila beliau dikatakan telah pun beberapa kali kembali ke Besut sehingga pihak Polis telah pun mendapat maklumat tersebut, namun beliau juga masih tidak dapat ditahan kerana tidak mendapat arahan penahanan oleh pihak JHEAT.

Sesungguhnya isu ini (walaupun pada pendapat saya wujud missunderstanding antara mereka) tetapi sedikit sebanyak menunjukkan sedikit kelemahan sama ada di pihak Polis mahupun JHEAT. Usaha untuk membanteras ajaran penyelewengan akidah bukan hanya tertakluk kepada pihak tertentu sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama. Sekadar Pandangan.


Tuesday, September 30, 2008

CADANG MUFTI PERLIS SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA

’Kita amat memerlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman jelas di dalam kepimpinan yang didasari al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang seperti ini bukan hanya akan mewar-warkan untuk membanteras rasuah mahupun penyelewengan kuasa, namun mengajak rakyat untuk mentaati Allah azza wa jalla.’’


Politik Malaysia semakin serabut. Hati rakyat gundah gulana memikirkan apakah situasi dan kondisi yang akan berlaku masa kini dan akan datang. Permainan politik makin berputar dan berbelit. Kuasa menjadi rebutan. Amat parah sekiranya kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa. Perpecahan umat berlaku kerana dibezakan dengan parti-parti tertentu. Taksub kepada parti mengundang kepada perpecahan yang berakar umbi. Pemikiran tertutup dek kerana ketaksuban tersebut.


Tanggungjawab sebagai pemimpin dipandang dengan perasaan untuk populariti. Amanah dipikul dijadikan tiket untuk menunjukkan kekuatan diri. Seolah-olah tiada yang hebat berbanding mereka. Rakyat dibiarkan dengan perasaan resah dan gelisah memikirkan siapa pemimpin yang layak untuk memimpin. Pemimpin yang berteori hebat tidak didasari dengan kefahaman agama yang sebenar mencari ruang untuk berkuasa. Dasar perjuangan tidak dihadami dengan jelas. Perjuangan yang berada pada takhta pemerintahan semakin kabur kerana tidak didasari dengan betul.


Oleh itu, kita harus memikirkan semula dan menilai kembali sistem politik yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama. Sistem yang berdasarkan sistem parti ini mengundang kepada perpecahan yang amat ketara. Rakyat yang dahulunya berdiri di atas kesatuan dipecahkan mengikut kefahaman parti masing-masing. Pemimpin yang diangkat merupakan pemimpin kepada parti tertentu bukan pemimpin untuk semua. Pemimpin itu juga sudah pasti tiada dapat sokongan daripada rakyat yang tidak sealiran. Maka, perebutan kuasalah yang akan menjadi titik utama di dalam perjuangan.


Maka, kita harus memikirkan untuk memilih pemimpin yang memimpin untuk semua. Pemimpin yang dipilih bukan berdasarkan parti tetapi berdasarkan kepada kefahaman yang jelas di dalam kepimpinan yang didasari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang di angkat tidak semestinya perlu mewakili parti politik tertentu. Ini kerana rakyat juga berhak untuk memilih pemimpin yang sesuai digelar sebagai pemimpin. Sekiranya sistem yang ada sekarang menyekat perkara ini, kita boleh ubah kerana ia sistem ciptaan manusia.


Sepertimana yang dinyatakan tadi, kita amat memerlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman jelas di dalam kepimpinan yang didasari al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang seperti ini bukan hanya akan mewar-warkan untuk membanteras rasuah mahupun penyelewengan kuasa, namun mengajak rakyat untuk mentaati Allah azza wa jalla. Ini kerana, siyasah yang menyeru kepada taati Allah yang akan membawa kesejahteraan kepada negara dan umatnya di dalam pelbagai aspek.


Dalam perkara ini, saya dapat melihat ketokohan yang ada pada diri Dr Asri Zainul Abidin selaku Mufti Perlis di dalam ciri-ciri kepimpinan beliau. Beliau merupakan tokoh agamawan yang luas di dalam bidang agamanya. Kefahaman beliau yang mendalam di dalam bidang yang diceburinya iaitu di dalam bidang Hadis memampukan beliau untuk berhujah mengenai pelbagai aspek termasuk dalam perkara pentadbiran Negara. Kepetahan beliau berhujah menyaksikan pelbagai pihak dapat menerima dengan baik berdasarkan dalil-dalil yang dikemukan oleh beliau.


Ketidakcenderungan beliau kepada mana-mana parti politik menyebabkan ramai yang dapat menerima kepimpinan beliau, ini termasuk juga ahli parti-parti politik yang ada di Malaysia. Kepakaran beliau dalam bidang hadis juga mampu untuk mengariskan ciri-ciri tadbir urus negara dan umat sepertimana dianjurkan oleh Islam melalui Risalah Nubuwwah. Saya juga dapat melihat beliau berupaya untuk menyeru bukan sahaja ahli-ahli politik tertentu sahaja tetapi semua ahli-ahli politik khususnya umat Melayu.


Oleh itu, saya merasakan sudah sampai waktu dan ketikanya kita memainkan peranan yang penting di dalam memastikan pentadbiran negara ini berada di landasan yang benar. Kita amat memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Sudah jelas di mana kita dapat melihat pemimpin yang di angkat sebagai pemimpin yang mempunyai kepentingan parti tertentu tidak dapat memimpin keseluruhan rakyatnya kerana terbatas oleh idealisme partinya. Maka, kita memerlukan pemimpin yang dapat menyeru keseluruhan rakyat di bawahnya untuk mentaati Allah azza wa jalla dan seterusnya menegakkan syariat islam di bumi bertuah ini, Malaysia.

Monday, September 22, 2008

HARAP DI BULAN RAMADHAN MEREDAKAN NAMUN…………

Pergolakkan politik dalam negara ini makin memualkan. Kegilaan kuasa makin tampak meloyakan. Politik adu domba mencampah sehingga ke segenap pelosok kepala yang mendokong idea. Permainan batu api dimainkan dengan tiada tapisan oleh teknologi massa dan pena khabaran.

Kehadiran ramadhan almubarak tidak terkesan kepada golongan ini. Golongan gila kuasa, pangkat, harta dan kehormat. Percaturan kuasa yang ingin dipertahankan seolah-olah menghalalkan apa jua senjata walaupun senjata terlarang. Muqabalah yang dituntut perbalahan yang direncanakan. Kegelisahan umat tiada dihiraukan.

Sedangkan kehadiran Ramadhan seharusnya menambahkan lagi kegembiraan kepada umat Islam. Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.

Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]

Apatah lagi di bulan ini kita dilarang mengeluarkan perkataan-perkataan yang sia-sia dan kotor. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]

Sepatutnya dikesempatan inilah kita mengambil kesedaran untuk mengubah suasana politik negara ini daripada politik keserabutan kepada politik yang menenangkan. Agar umat dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana penuh kerahmatan.

Saturday, September 06, 2008

RAMADHAN

RAMADHAN KAREEM

" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa"
Surah al-Baqarah ayat 183

Wednesday, August 20, 2008

Uitm 10% untuk bukan Melayu


Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) mengemukakan cadangan untuk membuka kuota 10 % kepada kaum Bukan Melayu untuk memasuki Uitm, pelbagai pihak menentang dan memburaikan perasaan marah kononnya ia satu pengkhianatan besar terhadap kaum peribumi iaitu Melayu.

Penentangan itu juga ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswi Uitm dengan berarak ke jalan raya membawa sepanduk (dan berpakaian hitam) dengan melaungkan @ menempik perasaan marah mereka terhadap cadangan tersebut. Pelbagai peringkat dan cawangan Uitm seluruh negara turun beraksi di jalan-jalan dan menghantar memorandum untuk membantah cadangan tersebut.

Dilihat secara umumnya ia menambahkan lagi siri “keparahan” isu- isu berkaitan Melayu selepas peristiwa sejarah yang besar iaitu peritiwa 8 Mac. Ia seolah-olah kesinambungan terhadap kehakisan sisa-sisa ketuanan orang-orang Melayu. Secara rasionalnya, ramai pihak berpendapat ia hanya isu “orang-orang” politik. Isu untuk menarik kaum bukan Melayu untuk menyokong perjuangan parti masing-masing.

Namun, apa yang ingin saya lihat di sini ialah, kenapa perasaan marah untuk membela nasib orang Melayu hanya kedengaran terhadap isu 10% ini dan seolah-olah ia satu kemuncak kepada kemarahan orang Melayu? Pendek kata kalau cadangan ini menjadi kenyataan ia menampakkan bahawa orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di tanah air sendiri. Adakah siri-siri ketuanan Melayu yang sebelum ini sudah pun terhakis?

Mahasiswa-mahasiswi yang turun berarak di jalan-jalan pun pun baru sekarang menampakkan kononnya pembelaan mereka terhadap nasib kaum sendiri. Di mana mereka ketika isu biasiswa 45 peratus diberikan kepada kaum bukan bumiputera? Bahkan isu 45 peratus sudah pun dibincangkan di dalam dewan parlimen. Harus diingatkan bahawa walaupun cadangan itu dikemukan oleh Menteri Besar Selangor, beliau tidak ada kuasa untuk merealisasikan cadangan tersebut. Kenapa kita harus risaukan isu 10% ini sedangkan isu 45% biasiswa tersebut tidak dirisaukan sedemikian rupa?

Saya secara peribadinya melihat isu ini bukan cetusan idea yang baru pada kadarnya, pada zaman Tun Dr Mahathir pun pernah dibuka 10% kepada kaum bukan melayu untu memasuki MRSM. Namun gelombang yang kita lihat hari ini tidak pun berlaku pada zaman tersebut. Oleh itu di dalam sebarang bentuk tindakan mahupun mengemukan sesuatu cadangan hendak dilihat dan difikir secara rasionalnya,

Tan Sri Khalid juga harus berfikiran rasional dan melihat apakah implikasi terhadap cadangan tersebut dan rakyat juga (terutamanya Melayu) juga harus ada pendirian sedemikian rupa. Janganlah kita berbalah seolah-olah umat Melayu ini tidak dapat dipisahkan lagi dengan sifat suka berbalah, iri hati, dengki mendengki dan sering berpandangan negatif sesama sendiri. Wallahua’lam.

Monday, August 11, 2008

Forum Mengancam Kedudukan Islam??

Forum anjuran Majlis Peguam Malaysia telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Api kemarahan itu sudah mula terasa bahangnya sejak forum itu belum berlangsung lagi. walaupun begitu, pihak penganjur tetap meneruskan agenda forum tersebut. Maka terjadilah sepertimana yang berlaku pada 2 hari yang lalu. Hal itu mungkin akan lebih gamat jadinya sekiranya tiada campur tangan oleh pihak polis. Sekiranya sebelum ini banyak isu bersentuh dengan "perkauman" dibicarakan, kemungkinan sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan baik maka isu perkauman itu akan berubah kepada isu "agama".

Adakan forum tersebut boleh mengancam kedudukan Islam? Apalah sangat hendak dibandingkan forum tersebut dengan kedudukan Islam di dalam negara yang majoritinya umat Islam ini? Adakah umat Islam di negara ini terlalu sensitif apabila haknya dibicarakan sebegitu rupa? Ya, persoalan ini telah pun dijawab 2 hari yang lalu, apabila umat Islam telah pun bersatu dan berkumpul dihadapan Majlis peguam untuk mendesak pihak penganjur memberhentikan forum tersebut. Malah, perkara ini telah pun disuarakan sebelum berlangsungnya forum tersebut lagi.

Bagi saya, kita tidak menyekat mana-mana pihak untuk berbicara tentang apa jua persoalan yang dikatakan kita berada di dalam negara "Demokrasi" ini, namun dari segi warasnya sekiranya perkara tersebut boleh memberi kesan sehingga pertelingkahan yang besar dan boleh menggugat keamanan di dalam masyarakat apakah rasionalnya forum tersebut diteruskan secara terbuka itu? Ia boleh menimbulkan syak wasangka dikalangan umat Islam terhadap pihak penganjur tersebut. Syak wasangka ini akan berterusan sekiranya pelbagai isu yang cuba dibangkitkan itu boleh menimbulkan kemarahan di pihak yang lain. Kita marah sekiranya isu yang melibatkan sensitiviti kita di bicarakan secara terbuka oleh orang lain, maka kenapa kita terlampau angkuh untuk membicarakan sesuatu yang menyentuh sensitiviti dipihak yang lain?

Namun saya tercari-cari dimanakah pihak yang terlampau KUAT untuk mempertahankan tentang masalah mengenai "Ketuanan Bangsa" mereka tetapi terlalu senyap apabila isu berkaitan agama mereka disentuh oleh pihak yang lain?????? kenapa tidak sekuat itu?????

Thursday, August 07, 2008

Pastikan Pertahan Identiti Negara Ini....

Konflik politik dalam negara pada waktu ini begitu menarik, menarik untuk dijadikan bahan cerita di kedai kopi mahupun lain-lain tempat. Malah ia menjadi antara bahan menarik untuk diulas di dalam usrah mana-mana gerakan Islam di Malaysia. Namun, ia menjadi satu kebimbingan bagi mereka yang memikirkan masa depan geopolitik bagi negara ini. Bahkan ia menjadi satu kebimbingan yang besar bagi kedudukan sesuatu kaum yang menjadi majoriti di Negara ini.

Tercetusnya isu yang hangat pada baru-baru ini dengan kekosongan Parlimen Permatang Pauh serta pengumuman SPR tentang tarikh pilihanraya tersebut dan dakwaan isu liwat ke atas Penasihat PKR sudah pasti akan "memaku" perhatian rakyat terhadap sistem politik di negara ini. Mungkin rakyat tidak senang duduk selagi isu ini tidak sampai ke kemuncaknya. Isu-isu lain mungkin akan menjadi kecil selagi isu politik tidak ada penghujungnya. Rakyat juga akan tertunggu- tunggu satu tarikh keramat iaitu 16 September ini sama ada betulkah pimpinan kerajaan akan bertukar tangan pada tarikh tersebut.

Bahkan isu muzakarah antara PAS dan UMNO sudah tidak banyak kedengarannya, rakyat mungkin tertanya-tanya sama ada perkara ini akan berlaku ataupun tidak. Namun bagi yang ingin melihat kesatuan di dalam beberapa perkara asas, begitu menuntut untuk berlakunya muzakarah tersebut. Maka ia terpulang maklum kepada pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya.

Apa pun yang akan terjadi, kepada sesiapa mahupun kumpulan mana yang akan memerintah pastikan identiti negara ini dipertahankan. Kita tidak gusar atau bimbang kerana di dalam mana-mana kumpulan politik yang ada di negara ini adanya golongan yang mempunyai akidah (islamiyyah) yang sama, sekiranya "anda" dipertanggungjawab sebagai pemerintah di negara ini pastikan identiti negara ini dipertahankan dan berpakatlah demi mempertahankannya.

Saturday, August 02, 2008

Upacara Tugu Negara

Masih diteruskan. Itulah yang berlaku semalam sempena menyambut hari pahlawan iaitu upacara meletakkan kalung bunga mahupun tabik hormat. Saya sendiri sudah lama mendengar akan fatwa larangan melakukan upacara tersebut. Namun, mengapa pemimpin-pemimpin masih meneruskan upacara ini? tidak tahukah mereka tentang larangan tersebut? kurang membacakah mereka tentang fatwa tersebut? atau mereka mengetahui namun tidak mengambil berat akan perkara tersebut. wallahua'lam

Di sini saya mengambil kenyataan Dr Asri Zainal Abidin Mufti Kerajaan Negeri Perlis di www. drmaza.com

“Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya 50-54)”

Islam Menyatukan....(PAS + UMNO)


Sedih melihat pertempuran pemikiran dan ideologi politik umat Islam di Malaysia. Atas dasar apakah sehingga mereka tidak dapat mencari titik pertemuan bagi meleraikan kecelaruan yang mengundang keparahan kepada umat. Tidak terfikirkah mereka atas dasar sesama Muslim maka perlu mereka duduk semeja bagi mencari titik pertemuan tersebut.

Bukan bicara siapa yang terdesak. Soalnya, umat yang terdesak untuk melihat titik pertemuan itu dapat dicapai. tidak perlu diwar-warkan ke semarata tempat sehingga celaru umat mendengarnya. Malah, tidak perlu dileburkan prinsip ideologi masing-masing (sekiranya payah untuk dileburkan) namun perlu persengketaan ini dileburkan atas dasar perjuangan yang Haq. Tidak perlu penggabungan itu berlaku (pada waktu ini) tapi perlu disatukan dasar-dasar asas yang perlu dipertahankan.

Maka Islam itu menyatukan, tidak perlu diletakkan asas yang lain, soal bangsa, ketuanan itu belum tentu dapat menyatukan, kerana Islam merangkumi semua merentasi soal bangsa mahupun keturunan.Maka benarlah sekiranya penggabungan ini berlaku maka perlu didasari dengan Islam yang satu.

"Tiada kebaikan pada kebanyakkan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh pendamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kamiakan memberi kepadanya pahala yang besar " (Surah al-Nisa' :ayat 114)